BAB 3.

Drama Series 7729

Istana Durga,

"HAHAHA! Terima kasih cermin saktiku.  Aku memang amat-amat gembira pada hari ini. " Ratu Ratana berkata-kata dengan wajah cerianya. Dia terangguk-angguk sendirian.

"Ya, memang aku tahu. Aku memang yang terindah dalam dunia ini. Hahahha!" Ratu Ratana menyahut pada kata-kata dari sang suara ghaib.

"Nah! Ini upah kau!" Sambil membaling uncang wang emas kepada si bongkok kerana sudah berjaya membunuh Saryleyla. Dan si nenek kebayan hanya mampu menahan perasaan pada kegagalannya yang berkali sebelum menghilang. 

Dalam keadaan terangguk-angguk, terbongkok-bongkok si bongkok berkelubung kain  guni itu,  dalam mendekati altar sambil tangan terangkat-angkat untuk menyambut balingan uncang dari bawah singgahsana yang di kelilingi dua ekor naga serta kesatria tengkorak berbaju  besi. 

Ratana bukan saja ada lasykar-lasykar manusia malahan dari puak bayangan juga. 

Di permukaan cermin sakti tiada lagi wajah manis jelita itu.  Yang ada hanyalah wajah tegas Ratu Ratana pemilik empayar Kerajaan Qalha. 

"Dan sekarang, aku adalah yang terindah dalam dunia ini.  Aku Ratana!" Ujarnya dengan mengangkat kedua belah tangan lalu muncul bebola api atasnya. Ular yang seringkali melingkari leher Ratu Ratana berdesis-desis bagaikan menyambut kejayaan tuannya. 

"Pengawal, dayang-dayang malam ini beta mahu adakan jamuan.  Jemput semua para tamu sekarang. Beta yakin takkan ada lagi perempuan yang lebih jelita dari beta. Haahaha!" 

"Dayang! Sediakan mandian bunga tujuh purnama beta sekarang!" Arahan berkuatkuasa dan kesemua dayang-dayang bingkas bangun menyembah takzim sebelum berlalu ke balai siram.

Istana Kota Melaka Lama,

ARAKIAN sembah tari ditamatkan.  Para penari berbunga mawar putih tepi telinga merafak sembah dengan tapak tangan merapat pada dahi, sebelum mengundur pergi.

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Patik memohon ampun kurnia Kebawah Duli Tuanku mempersembahkan hasrat patik untuk menyembah maklum mengenai…" Pohon mamak bendahara sambil merafak sembah dari arah barisan para memanda menteri sisi kanan mendepani singgahsana.

"Baiklah, beta memperkenankan.  Silakan mamak bendahara…" Sambut Sultan Mahmud dari menyandar langsung menegak. Sekali lagi, mamak bendahara merafak sembah sebelum membuka bicara.

"Ampun kurnia Tuanku. Patik dan yang lain-lain masih gagal untuk menemui Tuah… Ampun Tuanku…" Kata mamak bendahara bernada takut-takut.  Namun di sebelah kiri, ada wajah sedang menyembunyikan senyuman sinisnya. 

"Ampun Tuanku, ijinkan saya berkata sesuatu…" Celah satu suara juga merafak sembah. Seorang lelaki berwajah nusantara tetapi tidak berpakaian seperti warga tempatan. Berambut panjang berikat ekor kuda. Berhias Sinar Majapahit di dahi dan telinga kiri dan kanannya pula di hiasi dengan Sangkha bersayap berwarna keemasan tajam menirus ke atas.

"Beta perkenankan…" Jawab Sultan Mahmud sambil lelaki itu merafak sembah.  Dia merupakan salah-seorang pengikut setia Wijaya dari Kerajaan Mataram Dewa.

"Ampun Tuanku, menurut hemat patik... Tuah laksamana pembelot itu sudah melarikan dirinya dari kota ini.  Saya ada saksinya…" Sambil berkata-kata mata Karno sang memanda menteri dari tanah Majapahit itu, sempat menjeling pada mamak bendahara. 

Mamak bendahara mengebam bibirnya.  Dia pula mengalih pandangan matanya ke arah Tun Mamat dan Tun Ali. Kedua-duanya menunduk. Sementara itu, baginda Sultan Mahmud sudah menggenggam tangan.

Amarah semakin memuncak tatkala dia terkenangkan ucapan Raden Ratna.  Berani dia menolak cintanya kerana Tuah si pembelot itu.  Suasana masih sepi selagi dia tidak bersuara. Dari jauh, Teja hanya mampu memandang sepi di temani Raja Muda yang masih kecil.

Teja merasa sedih suaminya itu sanggup mahu menikam anaknya sendiri demi permintaan Raden Ratna yang sebenarnya alasan penolakan. 

"Beta tak peduli! Beta perintahkan kamu mamak bendahara cari si pembelot itu sampai dapat.  Dan kamu Karno! Kamu beta arahkan supaya mengetuai angkatan pencarian!" 

Karno merafak sembah dengan laju dan penuh rasa bangga berlainan pula dengan mamak bendahara. Telinga Karno bergerak-gerak dan terangguk-angguk sang nenek kebayan berwujud siluman itu berbisik sesuatu tanpa ada yang sedar mahu pun nampak.

Di luar angin secara tiba-tiba menjadi kuat dan langit menghitam menandakan bala bencana akan menimpa bumi berdaulat itu.  Sultan Mahmud bingkas bangun dari atas kerusi singgahsana lalu menuruni anak tangga ke bawah.  Teja melarikan dirinya ke arah kamar setelah dia lihat wajah sang suami berapi-api. 

Dalam sebuah gua,

TAMING SARI dikucup dengan lama.  Panglima Zheng hanya memerhati.  Saryleyla masih tidak sedarkan diri. Kini mereka bertiga berada dalam sebuah gua berteduh dari hujan lebat.

Tuah meletakkan permukaan mendatar taming sari ke atas sepasang bibir basah milik Saryleyla.  Mulut Tuah juga berkumat-kamit sehingga mata Panglima Zheng dipaparkan dengan kemunculan cahaya kekuningan jernih meresapi tubuh itu.

"Tuah…" Panggil Panglima Zheng kala melihat Saryleyla menggelepar sedemikian rupa. Tuah tidak menyahut dan dia tetap memegang tamingsari. Dia tahu makna pada getaran tersebut. 

Panglima Zheng mendongak ke atap gua dengan guruh berdentuman di luar, menyakinkan dia apakah gangguan tersebut berlaku kerana momentum guruh atau kilat.

Hujan serta angin tadinya sederhana menjadi lebat semula. 

Berkat kesabaran Tuah, Saryleyla terbuka mata.  Tuah mengucap syukur sama juga dengan Panglima Zheng.  Saryleyla melilau pandangan ke setiap arah dalam gua. Kemudian terhenti ke wajah kacak milik dua orang sahabat berkulit putih dan sawo matang.

"Saya di mana ni? Kamu berdua siapa? Saya di mana ni? Kamu orang-orang…" Tidak sempat gadis yang ketakutan itu menghabisi ayat Tuah sudah menyampuk. 

Panglima Zheng turut ke belakang semula supaya dengan tindakan tersebut dapat mengurangkan sedikit rasa gentar pada gadis asing itu.  Dia sedar, siapa yang tidak takut tatkala di kerumuni dua lelaki dan dia seorang gadis.

"Jangan takut tuan hamba. Kami berdua ini tiada niat buruk sama kamu. Patik Tuah dan ini Panglima Zheng…" Tuah memperkenalkan dirinya.  Saryleyla terpinga-pinga kerana dia tidak pernah dengar bahasa sebegitu rupa di tempatnya.  Tetapi dia macam pernah nampak dengan rupa pakaian lelaki bermata sepet berkulit putih di sebelah sang penegurnya. 

"Mungkin bahasa dia lain kut, Tuah…" Bisik Panglima Zheng setelah mendekati Tuah.  Tuah mengangkat kening minta pertolongan Panglima yang menjadi ketua kemudi tongkang dagangan kain-kain sutera itu. 

"Saudari, maksud sahabat saya namanya Tuah dan saya pula Zheng.  Saudari pula?" Panglima Zheng menyoal sambil tersenyum serta ibu jari terangkat sama. Tuah pula meneliti pakaian gadis dari tanah Qalha itu sehingga Saryleyla merasa tidak selesa. Perlahan-lahan dia membuka bicaranya.

"Saya Sary…" Jawabnya dengan mengangguk pada kedua-dua lelaki tampan itu sebelum bingkas bangun dan berlari.  Sungguh dia dapat merasakan itu, hanya jerangkap untuk menawan dia kembali. Tindakan tidak semena-mena itu mengejutkan Tuah dan Panglima Zheng. 

"Saudari nak ke mana? Luar hujan saudari! Saudari!" Jerit Panglima Zheng bingkas bangun begitu juga dengan Tuah.

"Saudari tunggu dulu!"  Sekali lagi, Panglima Zheng menjerit.  Saryleyla tetap berlari keluar walau dia tahu hujan serta tidak tahu nak ke mana. 

"Apa salah aku? Aku di mana ni?"  Saryleyla menyoal dengan teresak-esak berlari dalam hujan. 

"Zheng mungkin dia mangsa buruan seseorang…" 

"Mungkin juga Tuah, sebab itu aku tengok dia pun macam takut-takut saja.  Apa kita nak buat sekarang ni Tuah? Kita sudahlah tersalah destinasi yang sepatutnya…" Sela Panglima Zheng.  

"Cepat, kita ikut dia sebelum dia makin jauh.  Mungkin pemburu dia masih ada di luar sana…" 

"Mari cepat!" Sahut Panglima Zheng berlari ke arah pintu gua.  Tuah juga dalam masa sama, dia cuba mengesan jejak gadis tersebut melalui pandangan batinnya.

Menghampiri setengah jam pencarian...

"Mana dia Tuah?" Panglima Zheng menyoal.  Habis basah-kuyup kedua-duanya tanpa ada tempat berlindung dari disimbahi airmata langit kelam. 

"Dia ada dekat-dekat sini…" Sahut Tuah membuka matanya kembali. Panglima Zheng tahu pada kebolehan Tuah dia mengangguk dan menuruti saja ke mana langkah kaki laksamana kota Melaka Lama itu pergi. 

'Siapakah gerangan dikau?'  Sempat lagi hati kecil Tuah berbicara pada jasadnya kala kaki sedang melangkah atas bumi yang dibasahi hujan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience