Bab 27

Short Story Series 55082

Tan Sri Mansur tidak dapat melelapkan mata tuanya dan dia mengambil keputusan untuk duduk di ruang makan sambil menikmati air panas yang dibancuhnya sendiri kerana tidak mahu membangunkan Mak Sofi yang pasti sudah tidur lena kerana sudah masuk ke angka dua pagi. Tan Sri Mansur melihat skrin telefon pintarnya lama sebelum dengan segera Tan Sri Mansur mencari nombor telefon seseorang sebelum didailnya.

“Hello, who is this?” Kedengaran suara seorang perempuan menjawab panggilan telefon itu dengan nada malas. Sepertinya wanita itu seperti baru terjaga dari tidur kedengaran daripada suaranya yang masih serak dan lemah.

“Sorry, I though it was Haikal number phone.” Tan Sri Mansur menjawab dengan hati yang berdebar-debar ketika itu.

“Yes, it is. He takes a shower right now. With who I’m taking with?” Perempuan itu bertanya lagi.
Tan Sri Mansur tidak menjawab dan langsung mematikan panggilan telefon. Digenggam penumbuknya kerana berasa marah yang teramat dengan Haikal. Perangai tidak berubah-ubah sejak daripada dulu. Masih sering melakukan maksiat. Apa nak jadi dengan anaknya itu juga dia tidak tahu.

Tan Sri Mansur melihat skrin telefonnya yang berbunyi tidak lama kemudian. Panggilan itu daripada Haikal. Pasti perempuan itu sudah memaklumkan kepada Haikal bahawa ada seseorang menelefon sebentar tadi. Tan Sri Mansur mengangkat panggilan telefon itu dengan hati yang terbakar dengan api kemarahan.

“Haikal, siapa perempuan yang menjawab telefon tadi?” Tan Sri Mansur terus menyembur Haikal dengan kasar. Dia mahu tahu apa hubungan anaknya itu dengan perempuan yang menjawab panggilan telefonnya tadi. Sepertinya Haikal dengan wanita yang menjawab panggilan telefon tadi mempunyai hubungan yang terlarang.

“Chill papa. Tak payah marah-marah. Papa tak perlu tahu siapa dia. Ada apa papa telefon ni?” Haikal menjawab dengan nada jengkel kerana baru saja mahu berbicara dengan baik dengan Tan Sri Mansur yang sudah lama tidak dijumpainya tetapi malah bapanya itu memarahinya tidak tentu pasal.

“Haikal apa nak jadi dengan Qal ni? Qal sedar tak apa Qal dah buat sekarang? Qal dah jauh dari agama. Haikal sudah tidak tahu dosa dan pahala ke?” Tan Sri Mansur mula mengendurkan suaranya kerana tidak guna dia memarahi Haikal yang sudah hampir memasuki usia tiga puluhan. Dia harus bicara secara dewasa agar Haikal mengerti bahawa dirinya sangat merisaukan kehidupan anaknya itu.

“Papa, kalau papa nak berceramah dekat Haikal papa lupakan saja. Haikal tak nak dengar. Kalau tak ada apa-apa yang penting papa nak cakap Haikal nak putuskan panggilan ini.” Haikal sudah merengus tidak mahu Tan Sri Mansur memulakan mukadimah mahu membebel kepadanya tentang agama. Bagi Haikal ketika itu bapanya saja tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang muslim yang baik mengapa harus dia melakukannya.

“Haikal nanti dulu papa belum habis cakap lagi…Haikal!” Tan Sri Mansur meninggikan suaranya kerana panggilan sudahpun diputuskan oleh Haikal. Baru saja Tan Sri Mansur mahu menelefon Haikal semula matanya tertangkap susuk tubuh Rina yang berada di anak tangga terakhir sedang melihatnya.

“Papa?” Aqil datang mendekati Tan Sri Mansur yang kelihatan marah itu. Dia terdengar nama Haikal disebut oleh Tan Sri Mansur ketika dia menuruni anak tangga mahu ke dapur. Adakah Tan Sri Mansur sedang bercakap dengan Haikal ketika itu?

“Aqil, kenapa kamu tidak tidur lagi?” Tan Sri Mansur memandang Aqil yang sudah duduk disebelahnya dengan senyuman.

“Papa pun sama kenapa tak tidur lagi? Tak baik papa tidur lewat dengan faktor usia papa sekarang. Aqil lainlah muda lagi.” Aqil sengaja memancing senyuman Tan Sri Mansur yang berwajah kelat tadi.

“Pandailah kamu nak kenakan papa ni.” Tan Sri Mansur ketawa kecil sebelum terdiam semula dan memandang ke bawah.

“Ada apa papa? Papa telefon abang ke tadi?” Aqil bertanya kepada Tan Sri Mansur apabila melihat wajah sedih menghiasi wajah Tan Sri Mansur.

“Papa tak tahulah apa nak jadi dengan abang kamu. Perangainya semakin lama semakin teruk. Papa risaukan keadaan dia Aqil. Kalau bukan kita yang mahu menyedarkannya siapa lagi?” Tan Sri Mansur mengurut kepalanya yang berdenyut-denyut akibat sakit kepala dengan memikirkan perangai Haikal.

“Kita tak boleh berputus asa untuk terus mendoakan abang. Siapa tahu suatu hari nanti abang akan berubah malah lebih baik berbanding kita.” Aqil memujuk bagi menyedapkan hati Tan Sri Mansur. Dia tidak suka meihat bapa angkatnya itu bersedih.

“Aqil memang anak yang baik. Papa bersyukur Aqil tak ikut perangai abang Aqil yang tunduk pada hawa nafsu. Papa terfikir, bagaimana mahu menyatukan Rina bersama Haikal jika Haikal berperangai seperti ini. Rina pasti tidak mahu menjadi isteri kepada seorang lelaki yang sering melakukan kemaksiatan setiap hari. Apa pandangan Aqil?” Tan Sri Mansur meluahkan rancangannya mahu menyatukan Haikal dan Rina.

Aqil diam sejenak.

“Papa, bukankah sebaiknya kita biarkan saja Rina menuntut fasakh daripada abang? Rina sudah tanyakan kepada Aqil bila mahu menghantar dia ke mahkamah syahriah.” Aqil bertanya tidak memandang wajah Tan Sri Mansur sebaliknya dia juga ikut tunduk memandang ke bawah.

“Apa yang Aqil cakap ni? Papa tidak akan izinkan mereka bercerai sampai bila-bila pun. Tiada lagi dalam sejarah keluarga papa ada yang bercerai.” Tan Sri Mansur mengangkat wajah memandang Aqil akibat terkejut dengan perkataan Aqil sebentar tadi.

“Dosa pa, jika kita biarkan Rina hidup seperti ini. Kita tak berhak untuk mainkan hidup orang, papa. Aqil rasa…” Aqil baru mahu menyambung kata-katanya lagi sebelum dipotong oleh Tan Sri Mansur.

“Adakah wanita yang Aqil katakan kepada papa satu ketika dulu yang kamu mahu nikahi walaupun dia mempunyai seorang anak itu adalah Rina Altafunisa?” Tan Sri Mansur bertanya curiga. Matanya tepat memandang tingkah laku Aqil yang seperti terkejut mendengar pertanyaannya itu.

Aqil mengeluh. Dia harus berkata jujur dan dalam masa yang sama dia tidak mahu Tan Sri Mansur terluka dengan pengakuannya. Apa yang harus dia katakana kepada bapa angkatnya itu?

“Papa…sebenarnya.” Aqil mahu memberitahu kebenarannya.

“Bukan Rina wanita itu kan? Aqil papa hanya percayakan Aqil saja sekarang ini jangan hancurkan kepercayaan papa pada Aqil.” Tan Sri Mansur menggenggam tangan anak angkatnya itu dengan kuat berharap wanita yang dicintai Aqil itu bukan Rina Altafunisa menantunya.
Perlahan dan lambat-lambat Aqil mengangguk. Dia tidak sampai hati mahu menghancurkan hati Tan Sri Mansur yang sudah banyak berjasa di dalam hidupnya. Jika bukan kerana ihsan lelak itu pasti sekarang dia entah di mana dan mungkin tidak akan mampu menikmati kehidupan yang selesa seperti yang diberikan oleh Tan Sri Mansur kepadanya sehingga sekarang.

“Bukan Rina wanita itu papa. Ketika itu Aqil hanya bertanya dan tiada langsung memikirkan sesiapa.” Aqil berbohong dalam rasa yang berdosa teramat sangat kepada Allah dan kepada Tan Sri Mansur. Semuanya demi kebahagiaan Tan Sri Mansur ketika itu walaupun dirinya yang terluka.

“Baguslah kalau macam itu Aqil. Kamu harus pujuk Rina agar menghentikan niatnya untuk menuntut fasakh walau dengan apa cara sekalipun. Papa tidak mahu satu hari nanti Qalifh mempunyai ayah tiri. Ayah tiri tidak akan mencintai anak tirinya seperti mencintai anak kandungnya sendiri.” Tan Sri Mansur berprasangka tidak langsung memikirkan hati Rina ketika itu.

“Kamu kenal dengan Munirah anak Tan Sri Mikhail?” Tiba-tiba Tan Sri Mansur bertanya tentang seorang wanita yang bernama Munirah.

“Aqil kenal Tan Sri Mikhail tetapi tidak anaknya, kenapa?” Aqil mengerutkan keningnya apabila Tan Sri Mansur membangkitkan nama anak kepada Tan Sri Mikhail yang tidak dikenalinya. Tan Sri Mikhail merupakan rakan bisnes syarikat Tan Sri Mansur yang sangat berpengaruh di kalangan syarikat-syarikat besar kerana lelaki itu sering memberikan bantuan dalam bentuk dana kepada syarikat yang memerlukannya.

“Papa mahu kenalkan kamu dengan Munirah. Tan Sri Mikhail yang meminta papa membuat temu janji untuk Aqil dan Munirah. Kamu mahu bertemu dengan anak gadis Tan Sri Mikhail?” Tan Sri Mansur bertanya mahu pandangan anak angkatnya itu. Dia tidak mahu memaksa Aqil jika Aqil tidak mahu.

“Maaf papa, Aqil bukan mahu menolak pilihan papa tapi buat masa sekarang Aqil tidak mahu memikirkan tentang perkahwinan dulu. Aqil masih belum bersedia.” Aqil menolak dengan penuh adab agar tidak mengundang kekecewaan di hati Tan Sri Mansur.

“Apakah kamu masih tidak mampu untuk melupakan Shofwah, Aqil?” Tan Sri Mansur membangkitkan tentang arwah tunang Aqil iaitu Shofwah apabila teringatkan gadis itu meninggal dunia dihari pernikahan mereka.

“Shofwah tidak akan terlupakan papa. Kebaikan dan akhlak mulianya akan sentiasa menjadi kenangan buat Aqil.” Aqil memuji Shofwah dan teringat akan wajah lembut itu yang sedang tersenyum kepadanya.

“Bukan macam itu. Maksud papa kamu tidak mahu mencari pengganti Shofwah? Sudah tiba masanya kamu berkahwin sekarang. Kamu terlampau sibuk dengan urusan syarikat dari waktu pagi sehingga ke petang dan sibuk menguruskan Qalifh dan Rina di waktu malam. Sudah masanya ada seorang wanita pula yang menjaga kamu.” Tan Sri Mansur menyuruh Aqil mencari pengganti Shofwah anak Dato’ Bahrin.

“Aqil masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Mungkin Allah sudah mempunyai rancangan yang lain untuk Aqil pada masa akan datang. Buat masa sekarang Aqil hanya mahu tumpukan seluruh perhatian Aqil pada syarikat dan keluarga kita sahaja.” Aqil menafikan sekali lagi. Dia bukannya belum bersedia mencari pengganti Shofwah tetapi dia belum bersedia mahu melupakan Rina di dalam hati dan fikirannya.

“Baiklah kalau itu yang kamu mahukan papa tidak boleh memaksa. Papa cuma mampu mendoakan yang terbaik untuk kamu. Semoga kamu mendapat jodoh yang sebaik Rina ataupun lebih baik daripada kakak ipar kamu itu.” Tan Sri Mansur menepuk bahu Aqil dengan lembut.

“Papa, boleh tak papa ceritakan kepada Aqil tentang ayah? Aqil masih kecil sewaktu ayah dan mak meninggal. Tiba-tiba Aqil berasa rindu pula dengan mereka.” Aqil cuba melarikan topik perbualan mereka kepada sesuatu yang lain.

“Kamu ini tak ubah seperti ayah kamu. Pandai saja mengelat jika tidak mahu ditanya tentang perkara yang tidak disukai.” Tan Sri Mansur terkenangkan pula arwah adiknya yang sudah meninggal dunia yang banyak persamaannya dengan Aqil. Dimanakah kuah tumpah jika tidak pada nasi!

“Bagaimanakah sikap ayah dahulu, papa?” Aqil bertanya mengimbau kembali kenangan bersama ayahnya apabila Tan Sri Mansur mengatakan dia mempunyai sikap yang sama seperti ayah kandungnya.

“Ayah kamu lelaki yang hebat dan ibu kamu seorang wanita yang kuat. Mereka hidup sederhana walaupun ayah kamu mampu untuk mencari kekayaan di Kuala Lumpur ini sama seperti papa. Ayah kamu hanya mahukan kesederhanaan dalam keluarga kalian kerana dia tidak mahu menjadi hamba dunia. Kadang-kadang papa cemburu kepada ayah kamu. Walaupun hanya berserdehana tetapi dia sentiasa gembira dengan hidupnya tidak seperti papa yang asyik mengeluh tentang itu dan ini walaupun harta papa bertompok-tompok. Dulu papa sama seperti Haikal yang senang mengejar dunia dan akhirat papa lupakan. Papa bernasib baik saja tidak terjebak lebih dalam seperti abang kamu sekarang.” Tan Sri Mansur teringat pula dirinya sewaktu dia masih berdarah muda seperti seumuran Aqil sekarang. Benarlah, harta tidak menjamin kebahagiaan.

“Papa bangga dengan kamu, walaupun kamu bukan anak kandung papa tapi papa dapat menjaga kamu dengan baik sehingga menjadi orang yang berjaya sekarang. Tidak saja pada pengetahuan dunia tetapi pada pengetahuan agama juga.” Tan Sri Mansur berusara syahdu. Sekurang-kurangnya Aqil tidak berperangai seperti Haikal jika tidak pasti dia benar-benar berasa orang yang gagal mendidik anak-anaknya.

“Semua pasti ada hikmahnya. Kita tak boleh berputus asa untuk membawa kembali abang ke jalan yang benar.” Aqil mengeluarkan kata-kata yang kedengaran seperti sebuah harapan. Dia juga mahu Haikal berubah dan tidak terus menerus tenggelam dengan tipu daya syaitan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience