BAB 6

Romance Completed 4031

Dia cuba untuk menyelami hati Rania. Dia mengakui kebenaran dalam kata-kata Rania. Hidupnya sendiri pernah hampir musnah kerana dia kehilangan kedua ibu bapanya serentak dalam satu hari. Di saat dia sedang bertarung menghadapi peperiksaan SPM, dia telah dikhabarkan dengan berita kemalangan yang telah meragut nyawa kedua ibu bapanya. Akibat lemah kekuatan diri, dia menarik diri dari menduduki peperiksaan tersebut. Dia membawa diri dan memencilkan diri di Rumah Perlindungan Anak-anak Yatim. Untuk bangkit semula meneruskan kehidupan ini dia telah mengambil masa hampir lima tahun. Kerana taraf pendidikannya yang rendah, akhirnya dia memilih kerjaya sebagai penyanyi. Justeru, dia tidak mahu Rania menjadi sepertinya. Dia redha dengan permintaan Rania andai keputusan itu adalah yang terbaik untuk mereka berdua.

“Menyintai kamu adalah satu pengalaman yang indah dalam hidupku. Biarlah kenangan indah ini tersemat manis. Kekalkan hubungan kita sebagai sahabat. Kita berpisah bukan kerana benci, bukan kerana tiada rasa cinta. Kita berpisah kerana tiada jodoh antara kita.” Luah Amirul. Rania mengangguk.

“I pergi dahulu. Terima kasih untuk segalanya.” Ucap Rania sambil berdiri. Selepas beberapa langkah, Rania berhenti. Dia memalingkan wajahnya ke arah Amirul. Amirul yang sememangnya sedang memerhatikan Rania, menghadiahkan sebuah senyuman. Rania membalas senyuman tersebut dan berlalu pergi.

“Percayalah Nia. Kalau ada jodoh tak kan ke mana.” Rania hanya membalas dengan senyuman kata-kata Shafie tersebut. Dia meletakkan semula majalah hiburan yang dibacanya sebentar tadi di atas rak majalah.

“Saja je baca sementara tunggu kau sudah. Tak sangka ada cerita tentang dia.” Terang Rania. Shafie hanya senyum. Dia faham dengan situasi Rania. Cinta pertama tidak mudah untuk dilupakan. Tambahan pula mereka berpisah bukan kerana tiada rasa cinta dalam hati mereka. Takdir yang tidak mengizinkan mereka untuk bersama.

“Nak ke mana lepas ni?” Tanya Rania.

“Jom makan. Aku lapar.” Pelawa Shafie dan dibalas dengan anggukan kecil dari Rania. Sepanjang perjalanan Rania hanya mendiamkan diri. Sepatah yang ditanya, sepatahlah yang dijawab.

“Apa masalah Amirul, Nia?” tanya Shafie. Rania segera berpaling ke arah Shafie. Shafie kelihatan tenang sahaja memandu kereta. Rania tersenyum.

“Kau ni memang kawan yang baiklah. Dapat baca je apa yang aku tengah fikirkan.”

“Aku kenal kau bukan setahun dua. Sejak aku tau erti kawan, kaulah kawan aku.” Balas Shafie.

“Shafie, aku nak cari Syalia.” Rania bersuara secara tetiba sewaktu mereka berdua sedang menunggu makanan di restoran The Chicken Rice Shop. Shafie hanya mengangkat kening tanda memerlukan penjelasan yang lebih lanjut dari kata-kata tersebut.

“Dia cuba nak cipta nama semula, tapi tak berjaya. Macam-macam kontroversi pulak yang keluar.” Sambung Rania.

“Apa kaitan dengan Syalia?”

“Mungkin Syalia boleh bantu Amirul bina semula kerjaya nyanyiannya. Lagu-lagu ciptaan Syalia kan best.”

“Sebab lagu tu lahir dari hati dia untuk Amirul.” Potong Shafie. Rania mencebik.

“Tengok tu. Baru cakap sikit dah nak tarik muka. Kalau Syalia balik semula ke Amirul, pasti akan berputik rasa cinta. Macam mana nak hadapi? Boleh lihat?” Rania terdiam. Mampukah dia melihat Amirul bersama Syalia?

Sewaktu Syalia meletakkan jawatan sebagai pengurus Amirul dan membawa diri ke luar negara, barulah dia tahu rupanya dalam diam Syalia menyimpan perasaan cinta terhadap Amirul. Kerana menghormati Amirul, dia hanya memendamkan sahaja perasaan itu. Dia berharap Amirul akan menyedari perasaan cintanya. Tetapi layanan Amirul yang tidak lebih dari rakan sekerja membuatkan dia pasrah. Apatah lagi saat Amirul memberitahunya yang dia menyintai Rania, dia benar-benar mengalah. Dia tidak mampu untuk melihat percintaan antara Rania dan Amirul lalu dia meletakkan jawatan. Sejak dia meletakkan jawatan tersebut, Amirul tidak berhasrat untuk mencari pengganti. Amirul menguruskan sendiri kerjaya seninya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience