Cinta Seharum Mawar!

Romance Completed 117449

BAB 14

            AKU keluar dari bilik dengan hanya bertuala sahaja. Perlahan-lahan aku melangkah menuju ke katil. Sehelai dress berwarna putih diletakkan di atas tilam. Juga ada sepasang kasut bertumit yang cantik mereka sediakan. Aku mengambil baju itu dan menilik. Cantiknya... macam inilah kehidupan cik muda yang belajar di Sekolah Tinggi Adam Taylor gamaknya. Mereka dilayan seperti tuan puteri dan segala keperluan disediakan. Tidak perlu bersusah payah seperti kami. Yang perlu bangun awal pagi untuk ke sekolah, sediakan baju, kasut sekolah dengan sendiri. Sarapan juga kena buat sendiri, keluar rumah kena kejar bas lagi kalau terlewat. Kalau hujan habis basah kuyup, balik dalam keadaan terketar-ketar kesejukan. Tetapi... itulah kehidupan namanya. Kan?

            Tanpa membuang masa aku terus bersiap ala kadar. Rambut dikeringkan dan aku hanya mengikat satu. Bedak di sapu nipis dan aku terus mencerminkan diri. “Go go fighting, Aya! Ingat... kau datang sini untuk meringankan beban keluarga. Jangan lupa, kau tak boleh jadi tuan puteri. Tapi, cubalah jadi cucu angkat yang terbaik untuk membalas jasa Tuan Adam.” aku cuba memberi motivasi kepada diri sendiri.

            Setelah yakin aku mampu bertenang dan tidak berdebar lagi. Aku membuka pintu bilik dan aku melihat Hanna sudah pun tunggu aku di depan bilik itu.

            “Maafkan saya kalau terlalu lama.” Ucapku dalam keadaan serba salah pula. Berapa lama agaknya Hanna menunggu aku?

            “Tak mengapa. Mari kita ke taman, Sir Adam menunggu di sana.”

            “Taman... taman bunga ros tadi ke?” soalku teruja sambil melangkah mengikuti Hanna.

            “Ya, taman tu sangat luas. Ia menjadi tempat kesukaan tuan besar untuk bersantai di waktu petang. Jika waktu pagi, Sir Adam akan mengambil angin di pantai. Taman itu dijaga rapi dan benih-benih ros semuanya dari baka yang terbaik. Sebab itulah... bunganya sangat harum dan segar bila mata memandang.” Jelas Hanna panjang lebar tentang taman itu.

            Aku mengangguk faham. Patutlah begitu ramai pekerja di rumah agam ini, terlalu banyak tempat yang memerlukan penjagaan rapi.

            “Sir Adam sangat sukakan keindahan semulajadi. Dia juga ada ladang teh di Cameron Highland, dan ladang lavender di UK. Rumah dia kat sana tu, tempat untuk mereka sekeluarga pergi holiday pada setiap kali musim bunga.”

            “Haa...” aku tidak mampu menutup mulut apabila mendengar kata-kata Hanna itu. Ladang lavender?! Ladang teh?! Mesti sangat... sangat indah! Seperti dalam mimpi aku. Wah... betul-betul satu kebetulan.

            Pemandangan di pintu masuk taman itu sangat cantik. Pintu gerbang yang dihiasi bunga ros berwarna-warni menyambut kedatangan kami. Juga tertulis di sebuah papan tanda yang terpasang di situ ‘Welcome to Rose Garden’. Aku tersenyum, Tuan Adam seorang pencinta bunga, walaupun dia seorang lelaki. Aku dapat merasakan dia pastilah seorang lelaki yang berhati lembut dan romantik.

            Sepanjang perjalanan untuk ke tempat pertemuan dengan Sir Adam itu, Hanna menceritakan serba sedikit tentang taman bunga ini. Dan aku dapat melihat pokok-pokok bunga ros berkembang dan memenuhi di sepanjang jalan itu.

            “Jika di Eropah suatu masa dahulu, bunga ros menjadi sangat penting untuk ditanam di kawasan taman larangan istana. Bunga ini melambangkan cinta, dan ia menjadi bunga yang sangat rapat dengan kaum wanita.” Hujah Hanna lagi. Wanita itu sangatlah ramah dan betah bercerita. Sehingga dengan mudah aku dapat menyesuaikan diri.

            “Kenapa Sir Adam bina taman ini? Mesti ada kisahnya kan?” aku cuba mengorek cerita di sebalik taman ini. Bukankah ros itu lambang cinta?!

            “Tepat sekali. Taman ini ada kisahnya... nanti Aya bolehlah tanya Sir Adam sendiri.” Hanna tidak menjawab soalanku itu. Ya, mungkin jika tuan punya taman yang bercerita pasti lebih penghayatan.

            “Kita dah sampai.” Ujarnya kemudian. Kami berhenti melangkah dan aku lihat ke hadapan.

            Seorang lelaki yang sudah berusia kelihatan masih gagah sedang melakukan latihan seni mempertahankan diri kendo. Dia menggunakan kayu atau pedang buluh yang dipanggil shinai. Hayunannya masih bertenaga dan cukup cekap setiap gerak-gerinya. Aku seperti tidak percaya. Lelaki itu juga memakai baju kimono jepun berwarna kelabu seolah-olah dia benar-benar seperti seorang samurai!

            “Sir, she is here.” Tegur salah seorang pembantunya.

            Hanna menolak aku kehadapan dengan lembut. “Selamat menjamu teh.” Ucapnya dalam senyuman yang amat manis.

            “Oh...” Sir Adam segera menamatkan latihannya dan memandang aku tepat. Kemudian dia menyerahkan shinai itu kepada pembantunya dan bergerak mendekati aku yang berdiri di sebelah meja bulat berukiran Inggeris klasik.

            “Selamat datang, kamu apa khabar?” Sir Adam menghulurkan tangan kepadaku.

            Aku menyambutnya. “Alhamdulillah, baik.”

            “Mari kita duduk... silakan.” Sir Adam ketawa kecil. “Tak sangka, Malik ada seorang anak yang cantik. Atuk dengar kamu juga pelajar bijak kat sekolah.” Sir Adam turut duduk di hadapanku.

            “Terima kasih...” aku tersenyum tersipu-sipu. Aku melihat pula keadaan sekeliling. Sungguh nyaman dan segar.

            “Aya selesa di sini?” soalnya.

            “Ah...” aku yang terleka sebentar itu terkejut dengan tegurannya.

            “Ya... ya..” jawabku tergagap-gagap.

            “Anggaplah seperti rumah sendiri. Rumah ini dah lama sunyi, bila ada Aya dan cucu atuk yang seorang itu. Bolehlah kamu menceriakan rumah ini. Kalau tidak kelihatan seperti rumah berhantu pula, kan?” ujar Sir Adam sambil ketawa.

            “Eh, taklah. Rumah ni sangat cantik.” Pujiku dengan ikhlas. Sukar aku gambarkan keindahannya. Seperti kata Hanna, sudah seperti taman larangan istana di Eropah pula.

            “Macam inilah setiap petang, atuk akan buat axercise. Duduk dalam rumah pun sangat bosan.”

            “Oh... tadi tu...”

            “Ya, itu seni mempertahankan diri Jepun. Dulu, atuk pernah belajar masa muda-muda. Sekarang atuk melatih cucu atuk pula. Tapi, dia itu sangat sibuk dengan aktiviti lain. Kalau berlawan dengan atuk pasti kalah. Orang muda sekarang memang lemah betul. Haha...” Sir Adam semakin ceria.

            Aku turut ketawa ceria. Nampaknya hubungan lelaki ini sangat rapat dengan cucunya. “Patutlah, Tuan Adam nampak sihat.” Aku memberi komen atas apa yang dapat aku lihat dari segi luaran lelaki itu.

            “Panggil aje atuk. Jangan segan-segan. Mari kita minum teh. Ini teh yang dipetik dari ladang atuk sendiri. Cubalah rasa.” Sir Adam sungguh peramah, dia sendiri yang menuangkan teh itu dalam cawan kecil seperti mangkuk untuk aku.

            “Silakan...” Sir Adam menghulurkan kepadaku.

            “Terima kasih...” aku benar-benar rasa segan.

            “Macam tak percaya Aya sudi datang ke sini.” Ujarnya sambil menuang teh dari teko ke dalam cawannya pula.

            “Saya suka tempat ini.” Aku cuba mengambil hatinya. Tanganku mengangkat cawan teh itu dengan lemah-lembut lalu aku minum dengan hati-hati. Agar tidak tertumpah atau terlepas dari peganganku kerana cawan itu kecil dan licin.

            Aku meletakkan kembali cawan itu ke meja dan menarik nafas lega. Apa yang bertambah segan, beberapa pelayan turut berdiri melihat kami di sebelah. Seorang lelaki yang berpakaian chef datang dan meletakkan semangkuk puding yang kelihatan sangatlah lazat.

            “Please enjoy your pudding.” Katanya sambil tersenyum manis kepadaku. Terserlah matanya yang kehijauan dan giginya yang tersusun rapi. Chef pun sangat kacak! Ish... ish... ish... bertenang Aya, bertenang.

            ‘Breath Aya, breath!’ kataku dalam hati.

            “Atuk juga harap, Aya akan berkawan baik dengan cucu atuk itu. Sejak kecil, tidak ada kawan. Kawannya semuanya buku-buku. Tapi, sejak kebelakangan ini... atuk nampak dia semakin ceria. Walaupun dia dalam tekanan. Jadilah kawan yang baik kepada dia. Malah, kamu akan jadi adik-beradik angkat.” Bicara Sir Adam kali ini lebih rendah dan lahir dari hatinya yang paling dalam. Ada wajah penuh berharap dipamerkan.

            “Saya akan cuba...” aku mengangguk beberapa kali. Ini adalah harapan seorang datuk yang banyak berbakti untuk keluarga ini. Lihatlah kehidupannya... penuh dengan lambang-lambang kecintaan.

Seperti taman ini. Siapa yang datang pasti akan merasai perasaan kasih sayang itu di sebalik setiap warna mawar berduri ini. Teringat pula kata-kata ahli falsafah, janganlah kamu melihat duri di tangkai mawar, akan tetapi nikmatilah keindahannya. Maksud di sebalik ayat itu, kita janganlah melihat dunia dengan penuh bala bencana. Tetapi lihatlah keindahan yang telah Tuhan limpahkan untuk dinikmati. Barulah kebahagiaan itu datang dan ketenangan bisa diraih. Kita juga janganlah terlalu membenci sesama manusia, akan tetapi lihatlah juga kebaikannya agar hati kita sentiasa suci.

            “Habiskan puding kamu. Lepas ini atuk bawa kamu jalan pusing taman ini. Ada lebih 60 spesis bunga mawar yang atuk dapatkan dari seluruh dunia. Jadi, kamu pasti akan suka melihatnya.”

            Mukaku berubah ceria. Itulah yang aku nanti-nantikan! Tidak sabar ingin melihat keindahan taman ini sepenuhnya dan mencari kisah di sebalik taman yang indah ini!

**********

            KAMI berjalan melewati beberapa pokok ros putih yang berkembang mekar. Kelihatan sungguh suci dan cantik. Sempat aku mencapai sekuntum dan dibawa ke hidung untuk menghidu keharumannya sambil memejamkan mata.

            “Tak sangka ros dapat tumbuh subur di sini. Selalunya di Cameron Highland ataupun di tanah tinggi.” Kataku.

Sir Adam ketawa kecil. “Dulu atuk pun fikir begitu. Sekarang apa yang mustahil pun boleh jadi tak mustahil kan? Teknik menanam ros dengan betul telah berjaya ditemui oleh penggemar ros yang mencuba dan mencari formula terbaik untuk menyesuaikan mawar pada persekitaran tanah rendah. Hasil usaha mereka itu kini, kultivar ros juga mampu hidup, dibiakkan dan mekar dalam cuaca serta iklim tak menentu di mana sahaja asalkan betul teknik-teknik penjagaannya.” Terang Sir Adam dengan panjang lebar. Kemudian, dia memetik sekuntum mawar berwarna kuning dan memberikan kepadaku.

“Terima kasih...” aku tersenyum suka. Aku tidak henti-henti mencium aroma yang terbit dari bunga itu. Ah... wanita dan ros tidak boleh dipisahkan!

Kami meneruskan perjalanan meneroka taman itu. Sungguh, pelbagai jenis ros tumbuh dengan subur dan ada juga ros yang di kacukkan. Namun, warna ros asal tetap menarik perhatianku. Iaitu ros merah!

“Ros merah ini yang mula-mula ditanam di sini. Kalau kamu suka boleh petik sendiri. Tapi hati-hati dengan durinya.” Pesan Sir Adam.

Aku terus mencapai sekuntum dan memetiknya dengan hati-hati. Senyumanku makin melebar.

“Boleh saya tahu... kenapa atuk buat taman ini?”

Lelaki itu bergerak sedikit dan mengambil tempat di sebuah kerusi kayu berhampiran. Aku turut mengambil tempat di sebelahnya. Angin petang bertiup lembut dan kelopak mawar berterbangan lagi. Aku seolah-olah ingin bangun berlari untuk menangkapnya.

“Arwah isteri atuk, menghidap kanser. Dan dia dikatakan tidak punya banyak masa. Waktu itu, atuk sangat tertekan dan sangat sedih. Kehilangan isteri pertama dulu pun atuk sukar untuk terima, atuk tidak mahu rasa kehilangan lagi. Sehinggalah kawan lama atuk yang tinggal di UK beritahu sesuatu.

Dia dulu juga penghidap kanser. Jadi, dia telah berkongsi pengalamannya kepada atuk. Dalam kajian klinikal ros secara saintifik, bunga ros mengandungi agen anti-kanser yang dapat membantutkan pertumbuhan sel kanser. Siapa sangka aromaterapi mawar menjadi kuasa penyembuh setelah dia hampir berputus asa dengan pelbagai rawatan moden yang terbaik di sana. Keajaiban yang berlaku itu ada signifikannya dengan kuasa penyembuhan yang berlaku hasil aktiviti terapi mencium haruman bunga ros setiap hari.

Jadi, atuk mula rasakan harapan itu kembali hidup. Atuk ciptakan taman ini agar dia dapat terapi yang baik dari bunga-bunga ros yang terdapat di sini. Setiap hari atuk bawa dia jalan-jalan dalam taman ini dan sama-sama mencium haruman ros. Alhamdulillah, dengan kehendak Allah umurnya dipanjangkan sehingga 10 tahun. Selepas itu dia pergi juga, kerana Allah lebih sayangkannya. Tetapi atuk sangat bersyukur... 10 tahun itu kami nikmati hidup bersama, kami menghargai setiap detik yang ada, dan tidak mungkin atuk dapat lupakan.”

Aku terasa air mataku bergenang. Sungguh aku terharu dengan kisahnya. Tanda kasih-sayang Sir Adam kepada isterinya sangat luar biasa. Tidak sampai hati pula memetik bunga yang berada di taman ini.

“Semoga... semoga rohnya sentiasa dirahmati Allah...” ucapku perlahan.

“Terima kasih Aya, sebab sudi mendengar cerita atuk yang tak seberapa ini.”

“Tak... saya fikir ianya... satu keajaiban.”

“Semuanya kehendak Allah. Cuma kita manusia harus ada usaha.”

Aku mengangguk setuju.

“Mari... kita balik ke rumah. Mesti cucu atuk pun dah balik, kita makan petang sama-sama. Kamu bolehlah berkenalan...” Sir Adam bangun berdiri.

Aku mengetap bibir. Cucu Sir Adam? Macam mana rupanya ya? Adakah selembut Sir Adam juga. Yang sangat menghargai bunga dan wanita?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience