11 Saya Jaga

Family Series 64098

Rhett menghempas tubuh di atas katil lalu baring terlentang. Siling bilik Deila direnung sebentar sebelum dia tiba-tiba tersipu malu lalu meraup wajah. Badan dipusing ke kiri. Tidak lama kemudian, berubah menghadap ke kanan. Pusing kiri lagi. Seketika kemudian, balik menghadap ke kanan.

“Ish…” Rhett merenggek halus lalu bangun separuh tubuh.

“Argh!” Rhett mendengus dan kembali menghempas tubuh di atas tilam. Bantal disambar lalu dia tekap di wajah.

Tiba-tiba Rhett berguling-guling sebelum menggelupur sambil menendang-nendang angin di udara.

“Kau dah gila, Rhett. Kau betul-betul dah gila… hesy!” Rhett bermonolog sambil terus berguling-guling. “Kau buat apa Rhett? Jom bercinta? Kau dah gila? Kau datang bukan untuk bercinta bahlul.”

Tiba-tiba Rhett bingkas duduk. Gambar si kecil Deila bersama ibunya disambar. Rhett merenung anak kecil bermata bundar beriris besar hitam pekat yang sangat comel itu.

“Tapi, saya tak dapat kawal perasaan. Masalahnya, budak ni sangat memukau. Semakin saya nafikan, semakin kuat tarikan magnetik budak ni.” Tiba-tiba Rhett tersenyum bahagia. “And she tastes sweet… macam biskut jejari yang dia buat. Sedap dan buat ketagih.” Rhett kembali berbaring lalu memeluk gambar tersebut. Senyum bahagia tak lekang di bibir.

SEPERTI biasa, awal pagi lagi Deila sudah bangun dan menyiapkan sarapan. Dia kena buka kedai hari ini. Cukuplah sehari bercuti. Cuti semalam boleh dimaafkan kerana dia tahu semua penduduk kampung sibuk ke rumah Tehah, kecuali pelanggan tetap dia yang rata-ratanya adalah kanak-kanak di kampung itu.

Setengah jam kemudian, opah muncul sambil tersenyum-senyum. Deila memandang hairan namun dia malas mahu bertanya.

“Kau dah siap masak ke?” Opah tanya. Senyuman tak lekang dari wajah. Deila semakin hairan. Opah mimpi apa sampai tak penat-penat nak senyum ni?

“Hampir siap opah. Tinggal gulai untuk makan tengah hari opah lagi. Tak lama lagi masaklah tu.”

“Takpe, biar opah tengokkan. Agaknya budak Rhett tu dah bangun ke belum? Kau pergi kejutkan dia, Del. Nanti terlepas lagi solat subuh.”

“Eh, opah ni. Tak manis tau suruh Del masuk bilik yang dihuni oleh lelaki asing. Biarlah dia, bukan budak kecil lagi, opah. Taulah dia urus diri.”

“Kau ni pun, opah suruh kejutkan je bukan suruh kau terjah masuk dalam bilik tu.” Pantas Deila melarikan wajah dari tatapan opah yang pastinya sudah berubah warna. Pandai opah kenakan dia kan!

“Del tak naklah, opah!” Semakin merah wajah putih bersih Deila bila teringat peristiwa semalam. Aduh, mampus dia! Macam mana dia nak hadap Rhett tanpa rasa gemuruh dan kekok? Opah tersengih bila lihat Deila tersipu-sipu.

“Kau ni kan, bila nanti kau dah jadi isteri itu semua tanggungjawab kau tau. Ingat tu.” Tambah tak keruan tingkah Deila bila dengar nasihat opah. Jadi isteri? Aihhh… Deila paling tubuh membelakangi opah lalu menutup wajah dengan kedua-dua tapak tangan. Malu!

Badan auto mengejung saat terdengar suara maskulin memberi salam. Deila tidak berani memusing badan. Laju Opah membalas salam lalu menjemput Rhett duduk.

“Wah, hensem-hensem ni nak ke mana?” Usik opah sambil merenung Rhett yang begitu terserlah pesonanya di mata opah. Berseri-seri wajah Rhett pagi itu.

“Mana ada, opah. Macam nila saya hari-hari.” Nafi Rhett lalu tergelak halus. Bebola mata bergerak melirik Deila. Kening dibengkokkan bila lihat Deila mundar mandir berhampiran gas memasak sambil gigit kuku.

“Err…” Rhett kembali memandang opah. “kenapa dengan Del? Dia sakit ke opah?”

Opah jongket bahu. Sengih di wajah tak luntur.

“Entah, semalam disampuk hantu cinta kot.” Jawapan opah buat Rhett terbatuk halus. Spontan muncul tompok-tompok merah di pipi. Opah tahu? Mereka berdua diintai ke semalam? Aduh, malunya!

“S… saya tolong Del dululah.” Bingkas Rhett bangun dari tempat duduk. Bergegas dia menghampiri Deila yang masih mundar mandir, langsung tak sedar yang Rhett sedang menuju ke arahnya. Sekejap dia gigit kuku, sekejap kemudian dia gosok-gosok telapak tangan.

“Del!” Panggil Rhett dengan suara perlahan. Terkejut bukan kepalang Deila disergah oleh Rhett. Tangan terayun laju dan melibas sudip yang dia guna untuk menggaul lauk hingga sudip itu jatuh di atas lantai. Semua berlaku secara tidak sengaja. Tindakan refleks kerana terkejut.

“Aduh!” Hujung jari tercalar pada bucu meja buat Deila terjerit kesakitan.

“Del!” Rhett menerpa lalu menarik tangan Deila. Belum hilang rasa terkejut, semakin bertambah-tambah rasa itu bila Rhett yang kelihatan panik terus menarik jari telunjuk Delia yang mulai mengeluarkan sedikit darah masuk ke dalam mulutnya. Delia tercengang. Jatuh rahang dengan perbuatan luar jangkaan Rhett.

Deila pandang Rhett dengan mata terbelalak. Rhett pandang Deila dengan wajah serba salah. Sedar dia bertindak agak melampau, tapi dah terlanjur. Nak undur balik, dia sudah malu teramat!

“K… kau… kau buat apa ni?” Rhett undur setapak. Wajah merah bak kulit udang galah baru keluar dari periuk.

“Saya tak bermaksud…” Dalam kepanikan, Rhett menjawab dengan jari Deila masih berada di dalam mulut.

“Hoi, kau berdua! Buat apa tu? Jangan berlebihan, kamu dua tu belum halal!” Pantas Rhett menarik tangan Deila menjauhi mulut dia. Deila tarik tangan dari pegangan Rhett lalu dibawa ke belakang tubuh. Sergahan opah auto buat wajah mereka berdua bagai dipanggang, merah padam.

“Kau tak payahlah nak risaukan Del tu. Dia pernah jatuh pokok, terseliuh kaki, terseliuh tangan! Setakat luka di jari macam kena gigit semut je bagi Del. Dah, hidangkan makanan tu. Opah dah lapar.”

Deila mendengus dalam hati. Opah ni kalau tak bagi dia sedas kata yang menyengat kalbu, memang tak sah! Tak sakit kata opah? Dia jerit berguling-guling menangis masa jatuh dari pokok mangga, pokok jambu dan entah apa lagi pokok buah-buahan yang dia panjat dulu. Tu baru jatuh pokok, belum lagi sakit bab terseliuh masa ikut budak-budak lelaki di sekolah main bola sepak. Sakit tau! Dia cuma buat-buat tabah depan opah kerana takut dimarahi oleh opah.

“Err… mana satu nak dibawa ke meja makan, Del? Biar saya bantu.” Suara Rhett menyentakkan fikiran Deila yang mulai jauh menerawang. Deila bergerak mengambil pinggan. Sudip yang terjatuh di lantai dia kutip lalu dibasuh. Deila meringis kepedihan bila luka tercalar di jari terkena air. Rhett memandang tajam.

“Kau okey tak ni?” Rhett bisik, risau opah dengar dan mula membebel lagi.

“Okay.” Pendek Deila jawab. Jari yang basah dikeringkan di baju sendiri. Deila menyenduk gulai dan nasi putih. Pinggan-pinggan yang telah diisi Rhett bawa ke meja makan tanpa disuruh.

Masing-masing tunduk membisu ketika makan. Hanya opah yang terjeling-jeling sambil sesekali meleretkan senyuman dalam diam. Cukuplah dia mengusik, tengoklah anak muda yang sedang dilamun cinta tu. Dua-dua malu-malu kucing di depannya.

“Rhett!” Panggil opah selesai bersarapan pagi. Rhett yang kelihatan tergesa-gesa mahu menaiki anak tangga ke tingkat atas mematikan langkah lalu menoleh ke arah opah.

“Ya opah,”

“Kau nak ke mana hari ini? Apa urusan kau dah selesaikah? Bawalah opah jenjalan ke pekan sebelah kampung guna kereta besar kau tu.” Rhett jeda. Beberapa saat dia fikir sebelum menjawab.

“Maaf opah, hari ni saya ada urusan penting. Saya nak selesaikan sesuatu di bilik dulu sebelum keluar. Lain kali kalau ada kesempatan saya cuba bawa opah.”

Opah memuncungkan bibir. Rhett usap belakang tengkuk bila lihat reaksi opah. Aduh, takkan merajuk?

“Yela, opah tunggu!” Opah pusing badan dan berjalan sambil hentak kaki. Rhett melepaskan keluhan. Ah, kemudian saja dia pujuk opah. Dia memang pakar memujuk orang tua. Rhett bergegas memanjat anak tangga.

Deila keluar dari bilik opah. Dia sudah bersiap mahu ke kedai. Bekal sudah dia masukkan ke dalam bakul rotan. Tinggal diangkut masuk ke dalam kereta. Ketika melangkah mahu menuju ke dapur, tiba-tiba tangannya direntap. Deila terkejut dan mahu menjerit tetapi mulutnya pantas ditekap oleh sebuah tapak tangan.

“Del, it’s me!” Celaka punya lelaki! Kalau saja dia punya sakit jantung, dah lama dia mati mengejung. Deila ditarik menuju ke belakang, tempat yang agak tersorok dari pandangan.

“Kenapa ni Rhett?” Deila menarik kasar tangan Rhett dari mulutnya sebaik sahaja langkah mereka terhenti.

“Luka tu… masih sakit tak?” Berubah air muka Deila. Dari berang jadi terharu.

“Seperti kata opah, sakitnya macam kena gigit semut je.” Balas Deila dengan suara perlahan. Rhett tarik tangan Deila. Jari yang terluka ditenung sebentar. Rhett menarik keluar sesuatu dari dalam kocek seluar. Berkedut dahi Deila memandang.

“Apa tu?” Tanya Deila sedikit hairan.

“Saya bawakan ubat. Jangan gerak, saya nak letak ubat luka.” Deila tergamam. Hanya diam memerhati.

Luka di jari Rhett sapu dengan cream dari dalam tiub kecil. Kemudian plaster luka ditampal di jari Deila yang luka.

“Luka ni walau pun kecil harus dirawat, takut terkena jangkitan.” Ujar Rhett setelah selesai membalut luka di jari Deila. Rhett menaikkan bebola mata untuk menatap Deila setelah puas hati menilik hasil kerjanya. Berubah air muka Rhett bila lihat Deila memandang dia dengan mata berkaca-kaca.

“Laa… kenapa ni?” Tegur Rhett. Pipi Deila dielus perlahan. Rasa bahagia menerpa bila Deila hanya biarkan. Bukan selalu boleh berada rapat-rapat macam ni. Perangai Deila sukar dijangka, ditambah lagi dengan kehadiran opah.

“Saya kan kata sakitnya macam kena gigit semut je. Tak perlulah kau susah payah nak rawat. Dari mana kau dapat ubat dan plaster ni? Setahu saya tiada benda ni dalam rumah.” Rungut Deila dengan suara sebak. Dia terharu. Tak pernah dia dapat layanan baik macam ni dari orang lain selain opah dan Amirul.

“Kena gigit semut tak sakit ke? Pedih juga tu. Boleh bengkak juga kan? Ubatan semua ni memang saya bawa just in case berlaku kecemasan.”

Deila melarikan wajah bila terasa air mata hampir keluar dari tubir mata. Dia tidak mampu menahan sebak. Rhett menahan laju dagu Deila.

“Dah, jangan nangis. Selagi saya di sini, saya akan jaga kau sebaiknya, Del.” Rhett menyambung kata sambil mengesat air mata yang mulai menuruni pipi Deila.

“Saya rasa terharu Rhett. Kau baik, saya je ni yang…”

“Kasar nak mampus, I know. Tapi, kasar-kasar pun kau kuat nangis jugak. Tak padan betul dengan gaya kau.”

Cis! Deila menumbuk dada Rhett dengan rasa geram. Rhett tergelak perlahan. Risau ada yang sedang memasang telinga. Tapi dia lihat opah dah keluar menuju ke rumah jiran sebelah tadi.

“Hoi, sakitlah!” Pantas Rhett menangkap pergelangan tangan Deila.

“Sakit kan? Nak lagi?”

“Nak, I nak you!” Deila terpegun saat Rhett merapatkan wajah. Tiba-tiba dia rasa mereka sedang berada di dalam ketuhar. Tubuh dan wajah mulai terbakar. Panas!

“Rhett… tak boleh…”

“Sikit je.”

Rhett tarik Deila ke dalam pelukan sambil memburu bibir Deila.

KETIKA Deila memarkir kereta di hadapan kedai, Amirul yang sudah siap membuka kedai meluru keluar mendapatkan Deila. Wajah masam mencuka.

“Kenapa kau lambat?” Marah Amirul. Deila hanya tersengih. Dia siap awal sebenarnya, tapi tula… gangguan muncul dan dia terleka sebentar.

“Laa, janganlah tunjuk muka gorilla kau tu. Tak hensem kau macam tu. Sorrylah, Mirul. Ada hal sikit dekat rumah tadi.” Semakin kelat Amirul tarik wajah.

“Kau sibuk uruskan lelaki bandar tu kan?” Deila tercengang. Mati sengihan di wajah dia.

“Tak adalah!” Nafi Deila tetapi pipi sudah dicemari tompok merah. Amirul mendengus. Sakit hati dia melihat wajah malu-malu Deila apabila dia petik perkataan lelaki bandar itu. Pasti tekaan dia tepat. Ah, tak suka!

“Kau ingat saya tak tahu? Lelaki tu kata dia bakal suami kau di majlis Tehah semalam. Heboh satu kampung, Del! Kau jangan nak sorok dari saya. Kau memang nak kahwin dengan lelaki tu kan?” Amirul meninggikan suara. Deila tersentak. Sampai juga ke telinga orang kampung tentang hal itu? Menakjubkan!

“Mirul, dia orang bandar. Saya pulak orang kampung. Beza antara kami terlalu jauh. Kau mengerti? Saya serahkan semua pada ketentuan-Nya. Kalau berjodoh, kami kahwin. Kalau tak, kau jela kahwin dengan saya sebab saya ni kompom dah tak laku selepas hal ni tersebar. Kau mengerti?”

Amirul terdiam. Hilang kata-kata mahu menjawab. Asyik-asyik ulang ‘kau mengerti?’ macamlah dia ni lembab sangat. Akhirnya, dia rampas bakul rotan di tangan Deila lalu hentak-hentak kaki masuk ke dalam kedai. Nak tunjuk proteslah tu. Deila mengeluh. Tiada yang terpaling memahami Deila selain opah dan Amirul. Tiada yang terpaling memahami Amirul selain keluarga dia dan Deila. Sebegitu rapatnya hubungan mereka berdua.

Seperti biasa, Deila dan Amirul mulai sibuk memeriksa stok dan mengira duit masuk dan keluar. Amirul sedang sibuk menyusun barang di beberapa rak yang sudah kosong sementara Deila masih sibuk membuat kira-kira di meja kaunter ketika seorang kanak-kanak masuk ke dalam kedai.

“Miss Pepero, mak suruh hantarkan barang-barang ni ke rumah.” Sehelai kertas yang dikoyakkan dari sebuah buku latihan kanak-kanak itu serahkan kepada Deila.

Ya, selain walk in, mereka juga menyediakan perkhidmatan hantar ke depan rumah. Cas penghantaran dikenakan mengikut jarak rumah dari kedai. Deila bingkas berdiri dan segera mendapatkan barang-barang tersebut.

“Miss, saya juga nak beli biskut jejari coklat dan aiskrim. Yang ini saya bayar sendiri. Duit gaji ibu beri kerana saya rajin.” Kanak-kanak itu terus menghulur dua keping duit kertas seringgit kepada Deila.

Tersenyum Deila dengar celoteh budak kecil berumur sembilan tahun itu. Dia mengambil seperti apa yang dipinta lalu dia serahkan kepada kanak-kanak lelaki itu.

“Ya, miss tahu Iqbal memang rajin. Ni, miss belanja sebiji lollipop! Rajin-rajin tolong mak di rumah tau?”

“Yeayyy! Terima kasih, Miss Pepero.” Melonjak kegirangan si kecil Iqbal menerima hadiah gula-gula dari Deila. Kanak-kanak itu terus berlari keluar sambil bersorak.

“Del, biar saya je hantar barang tu. Saya nak singgah rumah sekejap. Nak ambil sesuatu.” Amirul muncul lalu menawarkan diri untuk menghantar barang-barang tersebut.

“Banyak ni, Mirul. Kau guna je kereta saya. Motor kau tak muat ni. Nah, kunci!” Amirul menyambut segugus kunci yang Deila lempar kepada dia.

Selepas Amirul pergi, Deila menyambung kerja-kerja Amirul yang terbengkalai. Deila menarik keluar tangga lipat di belakang untuk mengambil beberapa bungkus stok barangan dapur yang terletak di rak paling atas untuk disusun di rak jualan yang sudah kosong. Sedang cuba menarik bungkusan paling atas, Deila tergelincir.

“Ahhh!” Deila terjerit kaget saat tubuh hilang kawalan. Taklah tinggi sangat pun. Setakat dua atau tiga meter je tingginya tapi kalau dah jatuh terhempas tu memang boleh tahan juga sakit dia. Bisa terkucil kencing!

Deila menutup mata saat tubuh melayang jatuh. Eh? Mengapa tak sakit? Tiba-tiba bibir terasa hangat disambar sesuatu. Pantas Deila kuak mata.

“Kau!” Merah padam wajah Deila ketika melihat seraut wajah tampan yang sedang tersenyum gatal merenung dia. Cepat-cepat Deila melompat turun dari pangkuan lelaki itu. Risau benar dia jika ada orang kampung melihat adegan mereka tadi.

“Kenapa kau boleh muncul di sini?”

“To save you my dear. Saya cakap saya akan jaga kau kan?”

Cis!

Bertambah merah masak wajah Deila menahan malu. Cepat-cepat dia kutip bungkusan yang turut jatuh bersama dia tadi. Mujur cuma serbuk kopi pek-pek di dalam bungkusan itu. Deila memeriksa sebentar bungkusan tersebut. Kalau ada yang terkoyak, rugilah dia tak dapat nak jual.

“Kenapa buat kerja bahaya ni? Tak sedar kau tu perempuan? Amirul mana?” Amboi, bersuara mengalahkan bos dia ni kan! Deila jeling.

“Mirul pergi cod barang pelanggan.” Terangkat kening Rhett dengar.

“Huish, dekat sini pun ada cod eh?” Deila jeling tajam bila Rhett letuskan tawa kecil. Melihat tatapan bengis Deila, Rhett cepat-cepat kemam bibir. Tu pun nak marah!

“Miss Pepeyo! Oh Miss Pepeyo!” Deila bergegas menuju ke kaunter bila dia dengar suara kanak-kanak memanggil.

“Miss Pepeyo?” Ulang Rhett sambil membengkokkan kening. Laju dia mengejar Deila.

“Ya, Mimi… nak apa sayang?” Rhett berdiri tidak jauh dari Deila, memandang gadis itu melayan pelanggan ciliknya dengan penuh minat sambil memasukkan kedua tangan ke dalam kocek seluar.

“Nak Pepeyo peyisa stobeyi dan coklat.” Pelat anak kecil itu berbicara.

“Okay, kejap eh. Biar miss ambilkan.” Deila bergegas mendapatkan apa yang dimahukan kemudian dia serahkan kepada budak perempuan bergaun kembang ala-ala princess Disney itu.

“Pe.. pe..rrro, Mimi… rrrr…ro.” Deila cuba membetulkan sebutan pelat anak kecil yang dipanggil Mimi itu.

“Pepe….ryo!” Ulang si kecil penuh bersemangat. Deila tergelak.

“Teyima kasih, Miss Pepeyo!”

“Pepeyo pun Pepeyolah, Mimi. Hati-hati jalan, jangan lari nanti jatuh!”

Selepas budak kecil itu menghilang, Rhett menghampiri.

“Kau ciplak produk Pepero eh?” Kembang lubang telinga Deila dengar. Ciplak katanya?

“Inovasi, Rhett! Saya ubahsuai ikut kemampuan pelanggan di sini.” Rhett tersenyum. Bijak juga girlfriend dia ni kan! Dalam diam, batin memuji. Tiba-tiba kening Deila bertaut bila dia terperasan sesuatu.

“Kau makan apa tu?” Terus Deila tanya curiga. Rhett tayang balang yang menyimpan biskut jejari perisa strawberi di depan muka Deila sambil mengunyah laju.

“Pepeyo stobeyi ni memang se…”

“Rhett Raffendy!!!” Terlepas jatuh balang akibat terkejut diteriak nyaring oleh Deila. Habis bertaburan isi balang di atas lantai. Melihat sepasang mata Deila marak dipenuhi percikan api ketika memandangnya, tak tunggu lama Rhett lari lintang pukang keliling kedai untuk selamatkan diri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience