- KNOW
2015
Qayreena menekan kekunci terakhir untuk lagu yang sedang dimainkannya. Nafasnya turun naik kerana dia memainkan piano dengan tempo yang lebih pantas daripada tempo asalnya yang sudah sedia pantas.
Qayreena menghembus nafas lega. Kepalanya sudah tidak sesakit tadi.
Qayreena entah kenapa tergerak untuk menjenguk abangnya di bilik bacaan. Sebelum itu, dia melangkah ke arah dapur untuk menyiapkan minuman untuk abangnya.
Qayreena menyiapkan semug neslo dan mengambil bekas biskut daripada para. Qayreena terus melangkah ke bilik bacaan.
Pintu bilik tersebut diketuknya.
"Abang?" Qayreena menguak pintu bilik tersebut. Kelihatan Qausar segera mengemaskan barang-barang di atas mejanya. "Abang buat kerja ke buat apa ni?"
"Buat kerja lah," kata Qausar. "Kenapa Qay datang?"
Qayreena meletakkan mug berisi neslo itu di atas meja kerja Qausar. Bekas biskut itu turut diletakkan di situ.
"Takut abang lapar," kata Qayreena.
"Oh. Thanks," ucap Qausar. Qayreena terpandang gambar-gambar di atas meja kerja Qausar. Qaysar memandang apa yang sedang dilihat oleh Qayreena.
"Itu..."
"Apa?" tanya Qausar. Dia cuba mencari apa yang sedang dilihat oleh Qayreena. Qayreena mengambil salah satu gambar yang ditindih-tindih dengan kertas-kertas yang berselerakan di atas meja tersebut.
"Ini," kata Qayreena menunjukkan gambar pistol yang sama yang tidak sengaja dijatuhkan oleh Qausar tempoh hari.
"Kenapa dengan pistol tu?" tanya Qausar.
"Tak lama dulu, Qay ada mimpikannya," kata Qayreena.
"Yang Qay pegang pistol tu?" tanya Qausar.
"Sebenarnya, Qay tak rasa Qay mimpi yang Qay pegang pistol tu. Tapi, Qay nampak Qay pegang pistol tu. Faham tak? Macam tengok tv. Nampak diri sendiri," kata Qayreena.
Qausar menggenggam potret suspek yang berada di belakang tubuhnya. Dia menyorokkan potret tersebut dari pandangan Qayreena.
"Apa lagi yang Qay nampak?" tanya Qausar.
"Macam..."
BANG! Visual itu muncul di mindanya. Matanya buntang.
"Kenapa?" tanya Qausar risau melihat Qayreena tiba-tiba diam.
"Seorang perempuan mati dengan tembakan kat kepala. Perempuan tu pakai baju biru sanggul rambut. Dan dia gunakan minyak wangi dari Paris," terang Qayreena.
Biarpun begitu, Qausar tidak dapat menangkap apa yang dibicarakan oleh Qayreena.
"Tak sampai 5 minit lepas tu, seorang perempuan melayu. Dress biru, ditembak betul-betul masa dia keluar daripada bilik mandi," kata Qayreena.
"Qay?" Qausar memanggil Qayreena. Qayreena tidak menyahut. Tetapi, menyambungnya.
"Sama juga macam tadi. Tak sampai 5 minit seorang perempuan cina ditembak masa dia nak masuk kembali ke dalam bilik setelah keluar ke beranda," kata Qayreena. "Perempuan melayu bertudung ditembak sebaik sahaja dia buka pintu bilik dia,"
"Qay. Apa yang Qay cakap ni?" tanya Qausar.
"Tak tahu," kata Qayreena. "Semua pembunuhan tu, ada kaitan dengan pistol ni,"
Qayreena menunjukkan gambar pistol yang sedang dipegangnya.
"Qay tak sakit kepala?" tanya Qausar.
"Seorang lelaki pula dibunuh. Dia pakai kemeja coklat. Ditembak masa dia sedang bercakap di telefon," kata Qayreena. "Seorang lelaki Pan Asia. Ditembak di dapur. Masa dia minum air,"
"Tak ada orang dengar bunyi tembakan tu?" tanya Qausar.
"Dia gunakan penyenyap," kata Qayreena. "Atau, Qay yang gunakannya?"
"Qay yang buat ke?" tanya Qausar.
"Tak tahu! Qay nampak Qay pegang pistol tu. Tapi, Qay tak boleh kawal apa yang Qay nak buat lepas tu," kata Qayreena.
"Qay. Tenang. Qay boleh dengar apa yang abang cakap?" tanya Qausar.
"Lelaki tu. Adik lelaki yang kononnya menjemput mereka ke hotel tu kena tembak masa dia baru nak ke tandas," kata Qayreena. "Perempuan tu. Ditembak masa dia tengah tengok tv. Dia pakai rantai berkalung jed. Lepas tu, perempuan cina bercermin mata ditembak dekat dapur,"
"Qay!" panggil Qausar. Tetapi, Qayreena tidak berhenti.
"Perempuan yang pakai selendang tu kena tembak dekat depan meja solek. Lelaki yang pakai cermin mata tu kena tembak masa dia kat depan almari," kata Qayreena. "Tapi..."
"Tapi kenapa?" tanya Qausar.
"Dia tak nampak mangsa terakhir dia. Ada yang suruh dia membunuh lagi. Yang terakhir. Tapi, dia tak jumpa," kata Qayreena.
"Tak jumpa?" tanya Qausar. Pasti itu Hamizi. Memang. Dia tidak berada di biliknya saat itu.
"Kembali semula ke bilik-bilik mangsa dia. Setkan jam pada dinding kat bilik mereka, 11 malam, 1 minit, 12 saat. Tarikh hari tu. Tarikh hari kejadian," kata Qayreena. "Dan mula telefon reception. Minta room service tepat jam itu,"
"Macam mana boleh tak ada yang nampak dia keluar masuk daripada bilik ke bilik? Dan kenapa langsung tak ada jejak yang dia tinggalkan?" tanya Qausar.
"Abang kena periksa balik rakaman CCTV masa kejadian. Sekitar, 10 malam," kata Qayreena.
"Kejap! Kalau dia buat kerja tu dalam pukul 10, sepatutnya, dia nampak Hamizi baru balik lah, kan?" tanya Qausar. "Sebab dia call reception pada pukul 11,"
"Dia tak perlu ada kat bilik tu untuk call reception," kata Qayreena. "Atau, Qay,"
"Allah! Kenapa kami tak terfikirkannya?" tanya Qausar. Dia mencapai telefon bimbitnya lalu menaip sesuatu.
"Abang. Mimpi Qay ni pelik, kan?" tanya Qayreena.
"Tapi, ia membantu," kata Qausar. "Thanks," ucap Qausar.
"Hm," Qayreena tidak tahu harus gembira atau apa. Tetapi, bagaimana dengan mimpi yang baru sahaja dia alami tadi?
Tangannya tersentuh poket seluarnya. Tiket? Dan... Masa lalu Aliman. Ia seharusnya memberi sesuatu petunjuk untuk dia menyelesaikan mimpinya itu.
"Abang. Qay masuk bilik dulu, eah?" Qayreena meletakkan gambar pistol itu kembali ke atas meja.
"Yalah," ucap Qausar. Apabila Qayreena sudah keluar, dia mengeluarkan potret yang disorokkannya tadi. "Dia betul-betul macam ada kat sana,"
Qausar terpandang alat perakam yang terletak di hujung meja kerjanya. Qausar terperasan ada lampu merah padanya. Tandanya ada yang sedang dirakam.
Qausar melangkah ke arah alat perakam tersebut. Alat perakam itu dihentikan.
"Bila masa aku letak benda ni kat sini?" tanya Qausar sendirian.
Dia memandang ke arah laci meja kerjanya. Ia terbuka. Bila masa dia mengeluarkannya? Dan... Bila masa dia menekan butang rakam? Apa sahaja yang sudah terakam?
Qausar menekan butang replay.
"Seorang perempuan mati dengan tembakan kat kepala. Perempuan tu pakai baju biru sanggul rambut. Dan dia gunakan minyak wangi dari Paris,"
Kedengaran suara Qayreena. Rakamannya, rakaman tadi. Betul-betul ketika Qayreena menceritakan apa yang dimimpikannya berkenaan pistol tersebut.
Butang henti ditekannya. Qausar menelan liur. Bagaimana hal itu boleh terjadi.
"Apa yang dah jadi ni?" tanya Qausar sendirian. Tiba-tiba, Qausar terperasan sesuatu. "Perfume Paris?"
Qausar kembali membelek fail 110112 tersebut. Mangsa yang dimaksudkan ialah, Cole Victoria.
"Nombor 12. Orang pertama dibunuh," kata Qausar. Dia mencapai pen dan kertas lalu mula memainkan semula alat perakam tersebut.
~
Qayreena melangkah melalui jalan itu. Dia amat pasti ada yang masih mengikutinya dari rumah tadi. Apabila dia berhenti, benda itu pasti turut berhenti.
"Sabarlah. Nanti saya fikirkan macam mana nak tolong awak," kata Qayreena.
Qayreena terus melangkah. Dan benda itu mengekorinya. Lagi. Qayreena mengeluh.
"Kak," panggil seseorang. Pelajar lelaki sekolah menengah.
"Ya?" tanya Qayreena. Qayreena menoleh. Kosong. Tiada apa-apa bayangan di mindanya.
"Ni. Akak terjatuhkan kad ni," kata pelajar lelaki itu. Qayreena tidak dapat melihat apa-apa yang berkaitan dengan pelajar lelaki itu. Adakah kebolehannya sudah hilang?
Qayreena mencari apa-apa yang boleh digunakan untuk memanggil pelajar lelaki itu. Tanda nama yang terjahit pada seragam sekolahnya, Rayyan. Rayyan masih menghulurkan kadnya.
"Terima kasih, Rayyan," ucap Qayreena lalu mengambil kad pelajarnya. Tunggu! Bila masa dia menjatuhkannya.
"Sama-sama, Kak Qay," ucap Rayyan. "Boleh saya panggil tu?"
"Boleh. Apa salahnya," kata Qayreena.
"Saya minta diri dulu, ya. Saya ada latihan bola. Saya harap kita boleh jumpa lagi," kata Rayyan.
"Ya. Saya pun," kata Qayreena. "Terima kasih sekali lagi sebab pulangkan kad ni,"
"Tak ada hal lah," kata Rayyan. "Bye. Kak Qay,"
Qayreena hanya tersenyum memandang pelajar lelaki itu. Namun, sebaik sahaja Rayyan pergi, sesuatu muncul di mindanya. Tapi, bukan tentang sesiapa. Dia hanya melihat dirinya sendiri.
Qayreena memegang kepalanya yang mula terasa sakit. Berdenyut-denyut. Qayreena tidak dapat menampung tubuhnya lagi. Dia cuba berpegang pada rak buku di kedai buku tersebut tetapi, tidak sempat. Dia sudah jatuh.
Nasibnya baik kerana dia tidak terus jatuh ke lantai. Ada seseorang yang menyambutnya. Qayreena mendapat bayangan orang yang sedang menyambutnya.
Ya. Biar dia tidak memandang lelaki itu, dia nampak dengan jelas di mindanya. Itu kelebihan yang dia miliki.
"Awak... rupanya..."
Hanya itu yang sempat diucap sebelum Qayreena tidak sedar kerana tidak mampu menahan kesakitan yang dialaminya.
Share this novel