BAB 13

Humor Completed 12881

DI dalam bilik aku….

Mak memandang ke arah aku yang sedang berbaring di atas katil. Semacam sahaja pandangan mak itu. Naik seram bulu tengkuk.

“Kenapa mak pandang Fiona macam tu? Fiona tak ada buat salah apa-apa, tahu!” tegur aku.

“Siapa kata Fiona buat salah?” soal mak kembali.

“Habis tu… pandang Fiona macam nak telan. Kenapa?” tanya aku lagi. Masih tak puas hati.

“Fiona dah fikirkan apa yang mak kata semalam?” Mak bertanya lagi.

Adeh… banyaknya soalan mak malam ini.

“Err…. dah!” jawabku ringkas.

“Setuju terima pinangan Encik Zack?” Mak meneruskan soalannya.

“Tak setuju!” jawabku pantas.

Kedengaran mak mengeluh.

“Mak tak setuju kalau Fiona tetap pilih si Fahrin tu? Walaupun budak tu baik dan mukanya handsome macam Fahrin Ahmad, mak tetap tak setuju sebab perangai maknya yang tak semenggah tu. Perangai mak dia yang tak semenggah, boleh pula kata perangai Fiona yang macam tu,” bebel mak.

Aku tersenyum. Sudah lama aku tidak mendengar mak membebel panjang. Sejak aku bertukar jadi budak baik, mak sudah jarang membebel. Bukanlah dulu aku jahat, cuma nakal sedikit sahaja.

“Senyum-senyum pulak budak ni. Mak Fahrin tak akan setuju punya. Mak pun, kalau boleh tak naklah berbesankan perempuan macam tu. Cakap ikut sedap mulut saja. Tak fikir langsung perasaan orang lain. Lagipun… tak salah kan kalau Fiona terima Encik Zack? Mak tengok dia pun baik sangat orangnya,” bebel mak lagi separuh memujuk.

Pantas aku mematikan senyuman.

“Memanglah Encik Zack tu baik. Baik sangat… tapi mak, Fiona cintakan Fahrin,” suaraku.

“Yalah… mak tahulah Fiona cintakan Fahrin. Tapi kalau mak Fahrin dan mak sendiri tak setuju macam mana? Takkanlah Fiona nak kahwin lari? Sampai hati Fiona nak buat mak macam tu…” Kedengaran suara bernada sedih keluar dari mulut mak.

Kekuatan dan kelemahan aku adalah mak. Sungguh tidak sampai aku melihat mak bersedih. Biarlah aku berkorban, asalkan mak bahagia.

“Hmm… baiklah, mak. Fiona setuju dan ikut cakap mak. Tapi… Fahrin macam mana? Mesti dia pun tak mahu lepaskan Fiona,” luahku kemudian.

“Pasal Fahrin biar mak sahaja yang uruskan. Lagipun mak pasti, mak Fahrin tu mesti dah ada calon menantu sendiri. Sebab tu dia mati-mati tak sukakan Fiona,” teka mak sebarangan.

“Hmmm….” Hanya itu yang mampu aku suarakan.

Mak tidak tahu apa yang sebenarnya terjadi antara aku dan Puan Khadijah. Dan sesungguhnya tiada seorang pun yang tahu tentang itu secara terperinci. Biarlah ia menjadi kenangan aku sendiri. Malas mahu menceritakannya kepada sesiapa.

Biarlah sahaja aku menerima pinangan Encik Zack. Pasti nanti mata Puan Khadijah akan terbeliak melihat aku berkahwin dengan Encik Zack, seorang pensyarah sama seperti Puan Khadijah yang dikatakan tidak setaraf dengan seorang Pembantu Makmal seperti aku.

Bukanlah niat aku mahu menunjuk-nunjuk kepada Puan Khadijah. Tetapi sejujurnya, aku juga tidak sanggup mempunyai mak mertua seperti Puan Khadijah. Nanti kang asyik ‘perang’ memanjang. Bahaya tu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience