BAB 6

Family Completed 2427

Kekuatan bukit itu pasti datang dari pasaknya. Dia berfikir manusia juga pasti dapat berdiri dengan kuat kalau hati dan kekuatan dalamannya kukuh. Iman; kata bapanya.

Tiba-tiba seperti mendapat semangat baru, Farisi kembali menyelak buku teks matematik tambahannya itu. Sufian yang melihat kelakuan Farisi hanya mampu tersenyum.

Dia tahu rakan baiknya itu seorang remaja lelaki yang telah matang berbanding usianya. Sufian mengagumi kepandaian serta perwatakan yang dimiliki oleh Farisi.

Walaupun dalam keadaan tertekan, Farisi masih mampu menangani masalah dengan baik. Memang sesuai untuk jadi seorang pilot!. Sufian tersenyum senang.

Petang itu Farisi mengayuh laju basikalnya menuju ke kebun pisangnya. Hari ini dia telah berjanji dengan Pak Jamlus untuk menjual pisang-pisangnya. Hasilnya nanti dapatlah dia beli ubat untuk bapanya.

Kebun pisang yang sudah tidak jauh membuatkan Farisi mengayuh lebih laju basikalnya. Setelah membelok di simpang kecil berdekatan dengan parit, dia melihat van Pak Jamlus yang sudah sedia menanti.

“Maafkan saya Pak Jamlus. Saya terlambat sikit”. Farisi menyalami tangan Pak Jamlus yang sedang tersengih dengan rokok daun terkepit kemas di celah giginya.

“Tak apa, Farisi. Pak Jamlus sengaja datang awal. Boleh tolong kamu tebang pisang-pisang tu. Bapa kamu macam mana? Sakit-sakit lagi?”.

“Macam tu la Pak Jamlus. Bapa degil. Tak mahu ke klinik”. Farisi yang mula bergerak ke pohon pisang dengan sebilah parang menjawab sambil memandang Pak Jamlus yang sudah pun bersedia untuk mencantas pisang yang masak kuning.

“Nanti Pak Jamlus singgah rumah kamu sekejap. Mana tahu bapa kamu nak dengar cakap Pak Jamlus.“ Kata-kata Pak Jamlus sedikit melegakan hati Farisi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience