BAB 9

Fantasy Completed 10501

Ariana melangkah laju. Setiap langkah kakinya diiringi alunan zikrullah. Meski sekelilingnya gelap pekat, di hatinya tetap tiada walau sekelumit rasa takut. Dia terus melangkah dan melangkah. Perjalannya terasa seperti tiada penghujungnya. Dia kini seperti si buta. Tiada cahaya yang menerangi jalannya.

“Cucu…” Ariana menangkap suara Tuk Pujangga. Dia berpaling mengikut arah suara itu. Saat itu dia melihat pancaran cahaya putih seperti membentuk satu lorong. Dengan lafaz basmallah, Ariana melangkah ke arah cahaya itu.

Ariana menutup matanya. Kedua-dua tangannya menutup cahaya yang terlampau menyilaukan. Seketika kemudian, Ariana membuka semula matanya. Terbentang satu perkampungan di hadapan matanya. Perkampungan itu persis perkampungan yang jauh jarak zamannya. Kesemua penduduk di situ memakai baju serba putih. Yang lelaki memakai jubah dan yang perempuan memakai kurung dan di kepala mereka tersangkut selendang putih bersih menutupi aurat selayaknya.

Ariana berpaling ke kanannya saat menyedari kehadiran Tuk Pujangga. “Tuk… Di mana saya boleh cari Ha…” Belum sempat Ariana menghabiskan kata-katanya, Tuk Pujangga mencelah terlebih dahulu.

“Mari ke rumah tuk dahulu. Akan kita selesaikan bersama. ulah ini dimulakan dari kaum tuk sendiri. Tuk turut memikul amanahnya.” Ariana mengangguk. Dia membontoti langkah Tuk Pujangga. Selama ini Ariana belum pernah melangkaui hijab dengan jasadnya. Hanya matanya yang berjalan jauh memerhati kehidupan di alam lain. Dia dapat rasakan perbezaan berada di alam ini. Tubuhnya terasa ringan dan bertenaga.

Sepanjang perjalanan, Ariana amati suasana perkampungan bunian itu. Penduduk kampung itu rata-rata merenung Ariana dengan wajah yang berkerut. Kehairanan mungkin dengan kedatangan manusia. Tambah pula dengan cara Ariana berpakaian. Dia hanya mengenakan seluar track adidas berwarna biru gelap dan baju t-shirt hitam berlengan panjang serta tudung bawal yang juga berwarna hitam.

Tidak semena-mena langkah Ariana dihalang seorang pemuda bertubuh sasa. Tersentak Ariana dibuatnya hingga gadis itu terundur selangkah ke belakang. Tuk Pujangga yang awalnya berjalan di hadapan berpatah balik mendapatkan mereka.

Ariana mengerutkan kening melihat lelaki itu yang langsung tidak mengangkat wajahnya. Tuk Pujangga menghampiri mereka lalu memegang bahu pemuda tersebut. “Apa tujuanmu Hasbullah?” Soal Tuk Pujangga.

Lelaki muda itu mengangkat wajahnya berbalas pandang dengan Tuk Pujangga. Ariana hanya diam memerhati. “Tuk membawa ancaman ke perkampungan kita.” Lembut suaranya namun bernada tegas.

“Dia bukan ancaman. Ancaman datang dari kaum kita sendiri.” Tuk Pujangga memandang Ariana sekilas. “Manusia ini ke sini atas kehendak takdir. Dia kini amanahku.” Sambung Tuk Pujangga. Terdengar keluhan halus dari bibir lelaki itu. Saat itu Ariana mengerti lelaki itu tidak menyenangi kehadirannya di dunia ini. “Tidak baik mengeluh, Hasbullah… Nanti selepas isyak, datang ke rumahku. Assalamualaikum.” Tuk Pujangga memberi isyarat pada Ariana untuk mengekorinya.

“Waalaikumussalam.” Ariana sempat menangkap suara pemuda itu sebelum berlalu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience