Prolog

Young Adult Completed 7336

Manusia yang terduduk di atas lantai kelas kosong itu dia pandang dengan hina. Menyedihkan. Dia lemah - satu keadaan yang Mawar tidak pernah ingin alami. Namun, dalam lemah kudratnya itu, nyata kecerdikan dan kepandaiannya dalam pelajaran mengatasi Mawar.

Mawar lalu mula menunjal kepala gadis bertudung itu sebelum melontarkan kata-kata kesat kepadanya. "Asyikin, kau ni memang sial, kan? Patutnya aku yang dapat nombor satu dalam kelas! Bukan betina babi macam kau!" hina Mawar sekali lagi dengan suara yang berdesir.

Baru dia hendak mendaratkan sebuah penampar kepada pipi gadis bernama Asyikin itu, pandangannya teralih kerana terdengar namanya dipanggil.

"Mawar!" jerit kawan baiknya.

"Eh, bodoh! Kau tak nampak ke aku tengah sibuk ni?" nyaring Mawar bersuara.

Kesenyapan kawannya itu daripada membalas kembali kata-katanya tadi menimbulkan rasa pelik. Ditinggalkan gadis seusianya itu tanpa sempat dia memberi habuan terakhirnya. Asyikin di belakang tertunduk mencela diri dan meratapi kelemahannya.

"Kau kenapa, Adibah?" soal Mawar bimbang. Dia menoleh ke belakang sejenak untuk memerhatikan kalau-kalau mangsanya tadi telah lari. Senyuman sinis terbentuk apabila dilihat gadis itu masih terduduk di tempat yang sama.

"Tadi telefon kau berbunyi. Mak Ngah kau telefon," ujar Adibah teragak-agak.

"Mak Ngah aku?" tanya Mawar disalut keanehan.

Perasaan ingin tahu mula menebal di dalam hatinya. Dah kenapa pula Mak Ngah nak telefon dia? Mereka berdua bukannya rapat. Tambahan, bukan Mawar tidak tahu Mak Ngah sebelah emaknya itu tidak begitu suka kepadanya.

"Dia kata apa?"

Kejengkelan mula mekar. Kenapa lama sangat masa yang diambil Adibah untuk menyampaikan hal yang sebenarnya? Khabarkan sajalah kepada Mawar agar masa yang berlalu tidak terbuang secara sia-sia!

"Mak ayah kau dah meninggal, wei. Diorang kena langgar lari." Terburai air mata Adibah sejurus dia menyampaikan perkhabaran penuh duka itu kepada kawan baiknya.

Beg sandang dan telefon bimbit miliknya yang Mawar minta Adibah pegangkan tadi dia rampas. Telefon bimbit dihidupkan dan dia segera berlari ke pagar sekolah.

Suasana lengang di sekolah pada petang Sabtu itu membuatkan Mawar tidak segan-silu menumpahkan air matanya. Bunyi menunggu panggilan disambungkan menimbulkan resah dan gentar di dalam jiwa Mawar.

Dia abaikan terus mangsa lepas geramnya tadi. Asyikin boleh pergi mampus!

Dia abaikan terus kawan baiknya yang memanggil-manggil namanya dan mengekori dari belakang. Mawar tidak peduli! Apa yang penting sekarang ni, Mak Ngah perlu dihubungi! Dia perlu tahu perkembangan terkini!

Terbit jua harapan yang mengarut di dalam hatinya - harapan yang apa telah Adibah sampaikan tadi hanyalah lawak bodoh yang dia dan Mak Ngah telah rancangkan sebagai satu komplot untuk mengenakan Mawar.

"Assalamualaikum, Mawar! Mak Ngah tengah on the way ke sekolah kamu ni. Kelas tambahan dah habis, kan?" Mawar dapat mengesan getaran di dalam bicara wanita itu.

"Mak Ngah, betul ke mak dengan ayah dah meninggal?" Air matanya lolos lagi. Tangisannya semakin lebat membasahi pipi.

"Betul, Mawar," jawab Suhana dengan sayu.

Mawar terduduk. Dia menangis dan meraung sekuat hati. Pujukan pak cik pengawal yang muncul tiba-tiba dari dalam pondok kawalan sekolah itu tidak dia pedulikan. "Mak! Ayah! Kenapa tinggalkan Mawar macam ni?" soal Mawar sendiri penuh emosi. Tubuhnya lalu dirangkul ke dalam pelukan kawan baiknya.

Adibah memujuk Mawar yang sedang dirundung kesedihan itu. Jujur, Adibah sendiri tidak mampu untuk memahami ujian yang menimpa Mawar saat ini. Dia belum pernah mengalami kehilangan seseorang.

Ibu ayahnya masih hidup.

Dia bersyukur akan hakikat itu.

Mulutnya terkunci daripada sebarang ayat untuk memujuk. Dia mengusap-usap belakang jasad Mawar. Pak cik pengawal tadi lalu masuk ke dalam semula apabila yakin Adibah mampu mengawal suasana.

"Kenapa Allah buat macam ni pada aku, Adibah? Ni balasan untuk aku sebab aku belasah dan buli orang selama ni ke? Aku buli bukan saja-saja! Diorang tu yang banyak buat salah pada aku! Diorang berdosa pada aku!" soal Mawar dengan wajah yang sembab.

"Aku tak tahu, wei. Tapi, aku tak rasa elok kita fikir macam tu. Sekarang ni, baik kau focus sedekahkan doa dan Al-Fatihah untuk arwah mak ayah kau." Adibah mengerti jawapannya gaya berdalih.

Namun, untuk mengingati dosa dan salahnya yang dilakukan bersama Mawar dan yang lain-lain saat ini sangat menyakitkan. Timbul perasaan serba salah di dalam dirinya. Benarlah mati boleh datang menjemput bila-bila masa.

Sebuah kenderaan dilihat Adibah berhenti betul-betul di hadapannya dan Mawar. Dia yakin itu ibu saudara Mawar yang menghubungi tadi.

"Mawar, Mak Ngah kau dah sampai tu," ujar Adibah.

Terima kasih sudi baca cerita saya ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience