BAB 10

Humor Completed 12881

MALAM ini aku mahu berehat sepuas-puasnya. Mahu melepaskan tekanan yang aku hadapi semasa di tempat kerja siang tadi. Baru sahaja aku mahu melelapkan mata, telefon bimbitku berbunyi. Tertera nama Kak Maya di skrin.

“Hello… Assalamualaikum, Kak Maya,” suaraku.

“Hello… Waalaikumussalam. Fiona, akak nak minta maaf. Akak baru teringat ni yang siang tadi akak terlupa nak letak ais kat makmal akak. Puan Khadijah tu mengamuk ke?” luah Kak Maya.

Aku mendengus tatkala mengingati kembali kejadian di Makmal Sains 9.

“Mahunya dia tak mengamuk, kak. Mengamuk sakan. Kalah singa betina,” kataku dengan perasaan geram.

“Alaa…. sorry sangat ya, Fiona. Lepas akak dapat panggilan dari rumah pengasuh tadi, terus akak lupa,” kata Kak Maya lagi.

“Tak apalah, Kak Maya. Benda dah lepas pun. Macam mana dengan keadaan anak Kak Maya?” soalku kemudian. Malas mahu membicarakan soal makmal lagi.

“Alhamdulillah, keadaan dia dah okey. Dia tergelincir masa tengah bermain. Mujurlah tak teruk sangat,” terang Kak Maya.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu,” balasku.

“Okeylah Fiona, akak nak letak telefon dulu. Terima kasih sekali lagi ya sebab tolong akak tadi.”

“It’s okey. Sama-sama, akak. Assalamualaikum,” kataku.

“Waalaikumussalam,” jawab Kak Maya. Talian dimatikan.

Beberapa minit kemudian telefon bimbit aku berbunyi kembali. Aku kerling nama si pemanggil. Oh… kali ini nama Si Jantung Hati yang sedang terpapar di skrin. Pantas aku menekan punat hijau menandakan aku menerima panggilan tersebut.

“Hello… Assalamualaikum, Fahrin.” Aku memberi salam.

“Waalaikumussalam, sayang. Kenapa suara macam tak bermaya aje ni,” tegur Fahrin di hujung talian.

Siapakah Fahrin? Tentu ada yang menyangka dia adalah teman lelaki aku, bukan? Ya… betullah tu. Fahrin memang teman lelaki aku. Jangan risau, aku bukannya seorang yang suka berdolak-dalih. Bukan juga seorang yang suka bersembunyi di sebalik realiti. Dan Fahrin inilah yang ingin sangat mak aku kenali.

“Penat sikit kerja hari ni. Ada eksperimen,” jawabku ringkas. Malas aku mahu menceritakan apa yang terjadi.

“Kesian awak. Tak apa la… awak rehat la, ya. Hmm… tapi sebelum tu saya nak cakap sikit. Awak… saya dah bersedia nak jumpa mak awak. Bila awak nak saya jumpa dengan mak awak?” Soalan Fahrin itu mengingatkan aku kepada ugutan mak tempoh hari.

“Hujung minggu ni boleh tak?” pintaku.

“Aik, sebelum ni awak suka bertangguh-tangguh. Kali ni, tak pulak ya?” Kedengaran suara Fahrin yang jelas kehairanan.

“Err… nak jumpa ke tak nak jumpa?” soalku kembali.

Macam mengugut pun ya jugak gaya pertanyaan aku itu. Ah, biarlah! Yang penting dia tidak akan bertanya lagi tentang perubahan sikap aku ini. Masakan aku mahu beritahu dia yang mak mengugut untuk merajuk selama setahun jika aku masih tidak mahu memperkenalkan dia kepada mak.

“Nak… nak… hujung minggu ni saya bawa keluarga saya sekali pergi rumah awak. Boleh la mereka berkenal-kenalan,” putus Fahrin.

Aku tahu, Fahrin tentu takut jika aku akan menarik kembali kebenaran untuk dia bertemu dengan keluargaku. Sebab itulah cepat-cepat dia berkata seperti itu. Aku tersenyum sendiri. Fahrin… Fahrin.. kalutlah dia ni. Kalut-kalut pun aku sayang. Senyuman aku makin meleret.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience