Cinta Seorang Lelaki Egois

Romance Completed 117449

BAB 35

            SUASANA nyaman di kampung halaman arwah isterinya itu sedikit mengubat rasa rindunya kepada wanita yang sudah hampir 15 tahun meninggalkannya itu. Malam ini perasaan rindu itu semakin kuat, bukan sahaja kepada arwah isterinya tetapi kepada anak-anaknya yang berada jauh darinya. Dia membuat keputusan untuk menetap di kampung ini lima tahun lalu selepas pemergian Sir Adam Taylor. Baginya, tugas sebagai pembantu kepada lelaki yang sangat dihormatinya itu telah berakhir. Dia mula bekerja dengan lelaki itu sejak berumur awal 20-an sehinggalah usianya mencecah 50 tahun. Dia adalah lelaki kepercayaan Sir Adam.

            Encik Malik bersandar di anjung rumah sambil menikmati pemandangan malam yang tidak pernah jemu untuk dihayatinya. Di rumah ini jugalah menjadi saksi penyatuan dua jiwa hampir 27 tahun yang lalu. Pernikahannya dengan Ayu Sofia adalah satu pelengkap hidupnya, saat-saat bahagia masih segar diingatannya. Mereka dikurniakan empat orang anak dan hidup mereka sebagai sebuah keluarga yang bahagia suatu masa dahulu sebelum isterinya di jemput menghadap Tuhannya.   

            Keluarga mereka hampir menjadi tunggang-langgang selepas kematian isterinya kerana dia terpaksa menguruskan anak-anaknya yang masih kecil. Penyakit yang dihadapinya juga semakin kritikal sehingga dia terpaksa berhenti kerja. Mujurlah Sir Adam Taylor, majikannya itu menghulurkan bantuan yang tidak mungkin dilupakan seumur hidupnya. Sir Adam pernah meninggalkan satu pesanan kepadanya sebelum lelaki itu menghembuskan nafas terakhir. Sehingga kini, dia masih tidak dapat menunaikan permintaan majikannya itu kerana dia sendiri mempunyai masalah untuk menunaikan janjinya itu.

            “Malik...” Suara garau Sir Adam menyebut namanya seperti dekat dengan deria dengarnya. Encik Malik menutup matanya, cuba mengimbas kembali peristiwa lima tahun lalu ketika mereka berada di hospital.

            “Sir... saya ni,” Encik Malik menggenggam tangan majikannya itu dengan erat. Melihat tubuh tua yang terlantar uzur di atas katil itu telah meragut tangkai hatinya. Sir Adam bukan sekadar majikan, malah seperti seorang ayah baginya.

            “Malik...” Sir Adam manarik nafas perlahan-lahan untuk berbicara. Walaupun agak sukar dia perlu menyampaikan kepada lelaki yang paling dipercayainya itu.

            “Aku nak sampaikan satu permintaan... aku harap kau dapat tunaikannya.” Tersekat-sekat suara Sir Adam, ternyata amat sukar untuk dia bersuara.

            “Insya Allah, sir. Saya pasti akan tunaikan.” Ujar Encik Malik dengan penuh keyakinan sekaligus dia turut berjanji.

            “Se... selama ini, hanya aku yang menjaga hubungan keluarga ini dari berantakan. Hubungan Laura dan anaknya sangat jauh... selepas pemergian aku, mereka pasti lebih tegang. Aku menyangka, aku sempat melihat mereka kembali bersatu... tapi, nampaknya usaha aku tak pernah berhasil...”

            “Sir, hubungan tuan muda dan Madam Laura adalah anak dan ibu. Suatu hari pasti mereka akan sedar...”

            Sir Adam menggeleng perlahan. “Harry seorang pendendam... bila dia tak dapat apa yang dia nak, dia sukar memaafkan orang yang menghalangnya.”

            Encik Malik terdiam apabila mendengar luahan majikannya itu. Dia mengakui perkara itu kerana dia menjaga Harry sejak dari kecil, sikap memberontak tuan mudanya itu sememangnya sangat membahayakan. Dia berubah menjadi pendiam, dingin dan akan menjadi pemarah apabila emosinya terganggu atau seseorang memaksanya untuk melakukan perkara yang dia tidak suka. Sikapnya itu terbentuk sejak Laura dan suaminya berpindah ke Jepun dan menyerahkannya kepada Sir Adam untuk dijaga. Sejak itu, Harry seperti menyimpan satu perasaan yang sukar untuk ditafsirkan. Sikap memberontaknya semakin menjadi-jadi sehinggalah dia dewasa.

            Manakala Laura, dia sendiri sangat memahami wanita yang tegas itu. Seorang wanita yang ingin memiliki apa yang dihajatinya, jika dia tidak dapat, pasti dia akan tidak berasa puas hati untuk seumur hidup. Encik Malik mengeluh berat. Dia berdoa supaya wanita itu akan berlembut hati kelak.

            “Jadi...” Sir Adam menyambung. “Aku ingin menyerahkan tangungjawab ini kepada kau, Malik. Tolonglah... satukan kembali keluarga aku...”

            “Tapi...” Encik Malik seperti tidak yakin dirinya dapat menggalas tangungjawab besar itu. Perkara itu berada di luar kemampuannya.

            “Aku yakin kau boleh, Malik. Kau paling memahami Harry sejak kecil, dan juga... Laura.”

            Encik Malik tergamam mendengar kata-kata Sir Adam itu sehingga terkunci mulutnya. Dadanya turut berdebar.

            “Aku... aku ingin lihat keluarga ini bersatu” Sir Adam tiba-tiba menangis. “Tolonglah....”

            Encik Malik tersedar kembali setelah mengimbas kembali peristiwa lima tahun lalu yang sentiasa bermain di fikirannya.

            “Laura...” Encik Malik mengeluh berat apabila menyebut nama wanita itu.

            Lamunannya segera berkecai apabila terlihat kelibat adik kepada arwah isterinya berjalan menghampiri rumahnya. Rumah yang didiami bersama dua anaknya itu dibina lima tahun yang lalu, tidaklah besar mana tetapi cukuplah untuk memberi keselesaan kepada anak-anaknya. Tapak rumah ini adalah milik arwah isterinya, hanya bersebelahan dengan rumah pusaka tinggalan arwah ayah mertuanya yang di diami oleh Ani, adik iparnya dan sekeluarga.

            “Assalamualaikum, Abang Malik.” Mak Cik Ani memberi salam apabila sudah menghampiri rumah abang iparnya itu.

            “Waalaikumsalam, Ani. Masuklah.”

            Mak Cik Ani pun menaiki dua anak tangga untuk masuk ke anjung rumah. Dia mengambil tempat di kerusi kayu sebelum memulakan bicara.

            “Ada apa, Ani? Macam ada benda penting aje.” Tanya Encik Malik, kemudian dia berpaling ke pintu rumah. “Hani, mak cik datang ni, buatkan air.” Dia menjerit kepada anaknya Marhani yang sedang bercuti semester waktu ini.       

            “Tak payah susah-susah la, saya datang kejap je ni Abang malik.” Kata Mak Cik Ani.

            “Tak apalah bukan susah pun nak buat air tu. Ada apa Ani?” Soalnya lagi penuh dengan tanda tanya.

            “Saya dah berapa kali nak tanya hal ni, tapi tak sempat pulak bila Abang Malik sibuk berniaga sekarang ni.” Mak Cik Hasnah hanya tersenyum dalam mengatur ayat untuk menyampaikan hasratnya. Abang iparnya itu sekarang sedang mengusahakan ternakan ikan keli di kampung ini, dan perniagaannya semakin hari semakin baik. Berbeza ketika lelaki itu mula-mula tiba di kampung dahulu, satu kerja kampung pun dia tidak tahu buat. Maklumlah sejak dari muda sampai ke tua dia hanya memakai kot kemas dan berjalan di samping Sir Adam Taylor ke mana sahaja. Tidak pernah mengenal cangkul atau kapak, kini lelaki itu sudah menyesuaikan diri dengan pekerjaan di kampung atas bantuan beberapa kenalan barunya di kampung ini.

            “Sibuk sikit aje Ani...” Meleret saja jawapan darinya. Senyumannya masih meniti di bibir.

            “Abang tu bukannya muda lagi, kena la jugak jaga kesihatan. Anak-anak abang semuanya perlukan abang, tanpa Abang Malik susah la mereka nak hadapi kehidupan mendatang ni. Mereka cuma ada abang aje...”

Encik Malik hanya tersenyum. Wanita itu kelihatan sangat memngambil berat ke atas anak-anaknya.

“Iyelah Ani... apa tujuan sebenar Ani datang ni. Dari tadi saya tunggu nak dengar ni...” Encik Malik masih tersenyum.

“Emm... pasal Aya, Abang Malik.”

“Kenapa dengan Aya?” Encik Malik yang sedang bersandar itu terus duduk menegak. Rasa risau mula mengusai dirinya.

“Janganlah terkejut, tak ada apa yang berlaku kat Aya pun. Saya nak tanya aje, Aya tu dah ada calon ke belum?” Akhirnya dia menyampaikan juga tujuan sebenar dia mendatangi rumah abang iparnya itu.

Encik Malik terus ketawa kecil. “Ingatkan apalah tadi,”

“Iyelah, abang tahu tak tentang Aya tu?”

Encik Malik menggeleng perlahan. “Dia muda lagilah, Ani...”

“Hah, itulah abang. Masih terbawa pemikiran orang bandar tu. Abang sepatutnya risau kat anak dara abang tu. Duduk Kuala Lumpur sorang-sorang tu, macam mana pergaulannya. Kita kena risau jugak Abang Malik...”

“Saya percayakan Aya, Ani. Dia anak yang bertangungjawab sejak kecil lagi. Tak kan bila dah besar dia nak buat benda tak baik...”

“Saya memang saratus peratus percayakan Aya tu, abang. Tapi kita sebagai orang tua ni kena fikir juga keselamatan dia kat sana tu. Abang pun mesti nak tengok juga ada orang yang baik-baik dapat jaga dia sebelum pejam mata nanti.” Mak Cik Ani cuba meyakinkan abang iparnya itu.

“Beginilah, Ani. Sebenarnya awak dah ada calon ke untuk anak saya tu? Saya ni bukannya berfikiran orang bandar sangat, cuma tak nak paksa budak-budak aje. Bila dia orang dah ada calon, datang jumpa saya bila-bila masa pun saya setuju. Saya pun tak nak la apa-apa berlaku yang tak elok. Saya faham zaman sekarang ni memang mencabar...” ujar Encik Malik mengeluarkan pandangannya.

“Baguslah Abang Malik sedar semua tu. Sebenarnya ada la kawan saya ni, bertanyakan saya kalau ada calon yang baik untuk anak lelaki dia. Anak lelaki dia cikgu sekolah menengah di Kuala Lumpur tu, dia jenis tak suka bercinta. Jadi, dia serahkan aje urusan jodoh dia kat emak dia. Saya bukannya apa abang, rasa rugi pulak kalau tuju kepada orang lain, dah anak sedara sendiri pun ada kan. Dah tu sama-sama duduk Kuala Lumpur, boleh la mereka berjumpa dulu, berkenal-kenalan...”

            Encik Malik menarik nafas panjang lalu menghembusnya perlahan. “Anak saya tu bukannya kerja bagus sangat, Ani. Dia orang mahu ke?”

            “Apa pulak, Aya tu lulusan universiti. Ada degree pulak tu, memang dah sepadan sangatlah kalau Aya setuju. Macam mana Abang Malik?” Mak Cik Ani menunggu jawapan dari abang iparnya itu dengan penuh harapan.

            “Saya akan cuba bincang dengan Aya dulu... InsyaAllah.”

*********

            “MACAM mana dengan makanan tadi? Aya suka?” Soal Ray sambil tersenyum manis.

            Aku turut membalas senyumannya itu sambil mengangguk. Sejak dulu apabila berada di samping lelaki ini aku pasti akan selalu rasa tenang. Aku teringat ketika zaman sekolah dahulu, Senior Ray sangat mengambil berat atas diriku, seolah-olah dia bertangungjawab untuk menjaga aku ketika berada di kawasan sekolah mereka. Sejak itu, aku rasakan diriku sentiasa selamat apabila berada di sampingnya. Walaupun lelaki ini pernah menunjukkan perasaannya kepadaku dahulu, tetapi aku tidak pasti sama ada dia masih berperasaan seperti dulu atau tidak. Dari apa yang aku lihat, Ray cuba membuatkan aku rasa selesa apabila kami bertemu kembali setelah bertahun lamanya. Walaupun pada mulanya aku agak kekok, tetapi kini aku sudah kembali selesa seperti dahulu.

            Kami baru sahaja makan di sebuah restoran Indonesia iaitu Bumbu Desa di KLCC. Setelah menikmati makan malam kami berjalan-jalan di sekitar taman KLCC. Suasana malam itu sangat meriah seperti kebiasaan, tempat ini menjadi tumpuan untuk bersantai pada waktu malam. Kami mencari tempat duduk yang menghadap ke arah bangunan yang pernah menjadi menara tertinggi di dunia itu. Beberapa pasangan yang lalu lalang sedikit menganggu pemandanganku ke arah menara yang tersergam indah dengan cahaya lampu bergemerlapan.

            “Aya okey duduk sini?” Soal Ray lagi untuk memastikan aku selesa.

            “Saya okey, kadang-kadang datang tempat macam ni seronok juga.” Aku tersenyum ikhlas.

            “Senior... thanks, sebab belanja saya dinner,” Sambungku kemudian.

            “Welcome... terima kasih juga sebab sudi keluar dengan saya.”

            “Sama-sama,” jawabku ceria. Kemudian aku memandang ke arah bangunan KLCC, lama aku termenung.

            “Apa yang Aya nampak?” Soal Ray bersahaja apabila melihat aku begitu menghayati pemandangan di hadapanku itu.

            “Kalau kita lihat pemandangan alam, kita akan nampak kebesaran Allah. Bila kita lihat pemandangan begini kita akan kagum dengan manusia. Hakikatnya, apa yang datang dari manusia itu juga dari Allah, Allah meminjamkan ilmunya kepada mereka... sehingga dapat mencipta sesuatu yang luar biasa di muka bumi.”

            Ray mengangguk perlahan. “Tak sangka Aya pandai menilai...”

            “Semua orang pun pasti menilai seperti itu.” Balasku sambil tersenyum.

            “Mungkin semua orang Islam akan menilai seperti itu, tapi bukan orang-orang kafir.”

            “Ya... seperti orang yang mencipta Titatic, dia kata kapal itu adalah yang paling selamat, sehingga Tuhan pun tak boleh menenggelamkannya. Kata-katanya itu seperti dialah yang memiliki kekuasaan mutlak dalam mencipta Titanic, akhirnya...” aku tidak menyambung hujahku itu kerana semua orang pun pasti tahu apa kesudahan kapal tersebut.

            “Juga orang-orang yang tidak percayakan kewujudan Tuhan. Mereka bertuhankan sains dan teknologi, bagi mereka tanpa Tuhan pun, mereka boleh berjaya...” Ujar Ray pula.

            Aku tersenyum memandang lelaki di sebelah aku itu. Tidak sangka perbualan kami sudah menajadi perbualan ilmiah pula. Beginilah Senior Ray, yang selalu meletakkan aku di zon yang selesa ketika bersamanya.

            “Ketika berlaku tsunami di Jepun dan bencana letupan nuklaer yang membolehkan seluruh dunia berada dalam bahaya dulu, mereka dengan lantang berkata itu semua adalah fenomena bencana alam yang selalu berlaku di mana-mana. Itulah kata-kata manusia yang bertuhankan sains dan teknologi moden. Tapi bagi umat islam yang melihat sesuatu dengan iman dan takwa, pasti mengetahui semua itu adalah satu petanda dari Allah untuk memberi peringatan kepada umat manusia yang masih lalai...”

            Aku kagum mendengar hujah dari lelaki itu, dan aku sangat bersetuju dengan pendapatnya. “Betul tu... sangat berbeza penilaian dari orang-orang mukmin dan orang-orang yang tidak mendapat pertunjuk. Sangat berbeza...”

            “Aya hairan tak, mengapa ilmuan barat selalu meletakkan nama mereka apabila mereka menemui ciptaan baru atau teori-teori yang baru, mereka akan menamakan dengan nama mereka. Berbeza dengan ilmuan islam mereka tidak meletakkan nama mereka dalam setiap penemuan mereka?”

            “Kenapa?” Aku tidak pasti dengan jawapanku. Jadi biar aku bertanya sahaja.

            “Kerana bagi ilmuan Islam, setiap ilmu itu adalah milik Allah, bukan milik mereka. Mereka cuma menyampaikan sahaja kepada manusia...”

            “Betul tu...” aku tersenyum, “Senior ada banyak pengetahuan.” Aku memujinya.

            Ray tiba-tiba ketawa kecil sambil menunjukkan jarinya ke atas. “Semuanya dari Allah, saya cuma menyampaikan kepada Aya apa yang saya tahu.”

            Aku membalas tawanya sambil mengangguk. “Ya...” tawaku semakin reda. Aku sangat ceria malam ini walaupun sedikit letih.

            “Emm...maaf la kalau saya cakap benda yang bosan,” Ujar Ray kemudian.

            “Mana ada bosan, saya suka berbual dengan senior...” balasku jujur.

            “Kalau macam tu jom kita berjalan,” Ajak Ray sambil bangun berdiri.

            Aku menurut katanya. Kami berjalan-jalan di taman KLCC itu sambil melihat gelagat muda mudi dan kaum keluarga yang memenuhi tempat itu. Kami berjalan menaiki sebuah jambatan dengan langkah yang perlahan.

            “Dah hampir dua minggu Harry di Malaysia...” Ray berjeda sebentar sambil melihat reaksiku yang berjalan di sebelahnya.

            Aku menjadi gugup apabila nama lelaki itu di sebut, namun aku cuba mengawal riak wajahku. “Ya...” balasku perlahan.

            “Aya ada berjumpa dia?”

            “Hah?” aku menjadi tidak keruan pula kali ini. Adakah aku harus berterus terang sahaja? Tetapi, apa pula pandangan Senior Ray apabila mengetahui aku bekerja dengan Harry. Ahh, kacau! Aku juga sudah agak satu masa dia pasti akan bertanyakan soalan ini kepadaku.

            “Kenapa? Aya dah jumpa dia ke?” Soal Ray lagi. Kali ini lelaki itu berhenti melangkah ketika kami berada di tengah-tengah jambatan.

            “Ada...” Aku teragak-agak untuk menjawab.

            “Aya janganlah risau. Tak ada siapa nak halang Aya nak jumpa Harry. Lagipun kita semua kawan sejak zaman sekolah...” senyuman Ray itu sedikit membuat hatiku yang kacau ini kembali tenang.

            “Senior... jangan risau, saya tak akan buat benda yang tak masuk akal. Hubungan kami tak mungkin lebih dari kawan. Saya tahu, Cik Sallyna sangat berharap untuk bersama Harry. Dan saya akan cuba pujuk Harry...” aku turut tersenyum panjang bagi menunjukkan keyakinanku. Walaupun dalam hati bergaul seribu satu rasa.

            “Harry tak datang malam persembahan Sallyna walaupun dia adalah tetamu utama. Nampaknya dia dah betul-betul putus asa dengan Sallyna...”

            Aku tiba-tiba diserbu perasaan bersalah. Aku menimbang-nimbang sama ada ingin memberitahu Harry sebenarnya pergi ke konsert itu atapun tidak.

            “Kalau... kalau mereka bersama, apa jadi dengan senior dan Cik Sallyna?” Soalku dalam nada bergetar.

            Ray tersengih sambil menyandar di tiang sambil menghadap menara KLCC yang dapat dilihat dengan jarak dekat. “Kami akan putuskan hubungan secara rasmi,”

            “Macam tu je?”

            “Keluarga kami mesti faham, lagipun ini persetujuan bersama. Dan... Harry bukan orang sebarangan, tak ada alasan untuk keluarga Sallyna nak menghalang mereka.”

            “Macam mana... dengan keluarga senior?” Aku menanti riaksi dari wajah lelaki itu. Tidak berubah, malah dia tetap tersenyum dengan penuh tenang.

            “Saya lelaki, tak ada apa nak dirisaukan kalau putus tunang. Kalau duda pun laku kan?” Sempat dia bergurau sehingga membuatkan aku ketawa kecil.

            “Tapi... pertunangan kami dirancang sejak kecil, memang sedikit sukar. Saya tak akan anggap itu satu masalah yang besar, apa yang penting... hati. Inilah masalah yang paling besar, kan?” Ujar Ray sambil meletakkan tapak tangan di dadanya.

            Aku mengangguk perlahan walaupun rasa agak gusar. Pasti sangat sukar untuk Ray berhadapan dengan keluarganya. Dan dia cuba menyembunyikan dengan keyakinan yang tinggi yang ada dalam jiwanya. Ya, Senior Ray selalu yakin dengan setiap apa yang dilakukannya.

            “Saya... saya betul-betul rindukan Aya.” Tiba-tiba lelaki itu meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

            Aku mendongak melihat wajah Ray yang berhadapan denganku. Jantungku kembali berdegup pantas. Mata kami bertentang lama sehingga aku tidak sanggup lagi melawan pandangannya.

            Mujurlah deringan telefon menyelamatkan diriku, pantas aku menyeluk beg tangan untuk mengambil telefon bimbit. Nama yang muncul di skrin itu membuatkan aku terpaksa meminta diri sebentar dari Ray untuk menjawab panggilan itu. Aku bergerak menjauhi Ray dan terus menekan butang hijau di skrin.

            “Ya, ada apa?” Aku bersuara dengan perlahan, risau juga jika Ray terdengar perbualan kami walaupun aku yakin dengan jarak ini sudah selamat.

            “Aku nak kau datang ambil aku kat hotel tadi sekarang jugak!” Jeritan di corong telefon itu hampir memecahkan anak telinga sehingga aku menjarakkan sedikit dari telingaku.

            “Kenapa pulak, tadi kata saya boleh balik?” Suaraku seakan merayu agar tidak di suruh ke sana.

            “Hey! Kau tak tinggalkan kunci kat aku la, lembap!”

            Hah! Kali ini barulah aku menggelabah teruk. Pantas aku memeriksa isi kandungan beg tanganku, aku mencari sehingga terjumpa. Kenapa aku boleh terlupa?!! Hampir aku menjerit di situ juga kerana terlalu kesal. Kunci kereta Harry berada di tanganku!

            “Ya, saya akan pergi sana. Sila tunggu. Maafkan saya.” Aku terus memutuskan talian tanpa menunggu Harry membalas.

            “Kenapa cemas sangat ni?” Soal Ray yang turut berasa risau apabila aku kembali kepadanya. “Siapa yang call?”

            “Kawan. Emm... saya rasa saya kena balik sekarang. Ada hal sikit.”

            “Kalau macam tu kita balik sekarang.”

            “Tak!” aku menghalang Ray yang bersedia untuk melangkah. “Saya kena pergi satu sempat, ada hal penting. Saya pergi dengan teksi je,”

            “Saya tak kisah kalau nak hantar Aya...” wajah Ray ternyata penuh hairan dan aku perlu bertenang supaya dia tidak mensyaki apa-apa.

            “Saya pergi sendiri aje. Senior, hati-hati balik ya. Nanti saya call... bye!” Selepas melambai tangan aku terus berlari anak meninggalkan Ray yang terpinga-pinga.

**********

            KETIKA berada di dalam teksi aku merungut-rungut memarahi diri sendiri kerana terlalu cuai. Sepatutnya sekarang aku dalam perjalanan pulang ke rumah bersama Ray dan terus boleh berehat. Tetapi sekarang terpaksa berhadapan dengan singa jadian itu pula. Telinga aku sudah letih mendengar suaranya hari ini, memang betul-betul mimpi buruk.

            Akhirnya aku sampai di hotel tersebut dan terus pergi ke tempat letak kereta. Aku mengambil kereta Harry dan memandu keluar ke lobi di mana lelaki itu sedang menunggu.

            Dengan wajah yang masam mencuka Harry membuka pintu belakang dengan kasar dan terus masuk. Aku menelan liur, bersedia menahan telinga. Namun, aku tetap gagahkan kakiku menekan minyak, kereta itu bergerak keluar dari kawasan hotel itu.

            “Saya minta maaf,” aku memulakan dengan meminta maaf apabila Harry masih tidak bersuara sejak tadi.

            “Aku pun terlupa nak mintak kunci dari kau, jadi lupakan ajelah...”

            Aku menyembunyikan senyuman kerana berasa lega, mujurlah dia turut rasa bersalah. Kalau memang seratus peratus salahku, sudah pasti kereta ini pun boleh meletup!

            “Terima kasih...” aku masih tidak dapat mematikan senyumanku. Entah kenapa, walaupun sedikit Harry menunjukkan sikap baiknya, aku berasa sungguh gembira!

            “Macam mana dengan makan malam bersama persatuan sukan tadi?” Entah kenapa mulutku menjadi ramah pula apabila melihat anginnya baik seperti itu.

            “Everything is good.” Komennya ringkas.

            Aku ingin bertanya lagi tetapi aku terlihat Harry sudah memejam matanya. Mungkin dia sangat letih. Mata aku juga sudah berat, harap-harap dapat selamat sampai ke rumah lelaki itu.

            “Harry...” Aku menggongcang lututnya perlah-lahan. Nampaknya dia dah tidur nyenyak, aku yang masih duduk di tempat pemandu kembali memegang stereng. Macam tak sampai hati pula nak kejutkannya. Setelah beberapa minit dia masih tidak terjaga aku menoleh ke belakang semula.

            “Harry, kita dah sampai...” aku menepuk lututnya pula. Kali ini lebih kuat.

            “Emm...” Dia mengeliat kecil. Aku tidak dapat menyembunyikan senyumanku lagi. Dia sangat comel...

            Aku mendahului Harry keluar dari kereta, Harry kelihatan masih mamai dan menguap kecil di tempat duduk belakang. Kemudian barulah dia melangkah keluar, matanya merah. Alahai... mengantuk sangat la tu.

            “Ini kunci kereta, saya balik dulu...” aku menyerahkan kunci ke dalam tangannya supaya dia tidak terlepas.

            “Teman aku naik atas.” Katanya sambil melangkah longlai.

            “Eh... tapi dah lewat ni.” Aku rasa serba salah.

            “Sebab dah lewat la aku tak nak kau balik sorang-sorang.”

            “Saya boleh naik bas, mesti masih ramai orang...” Aku melihat jam tangan, sudah menunjukkan pukul 12.30 malam.

            Harry menoleh dengan lemah, “Kalau jadi apa-apa jangan cari aku.” Selepas itu dia terus melangkah meninggalkan aku di situ.

            Aku mencebik. Ingat aku takut ke?! Huh. Tetapi apabila melihat kawasan gelap untuk berjalan menuju ke perhentian bas membuatkan aku terfikir dua kali akan kata-kataku sebentar tadi.

            “InsyaAllah, tak ada apa. Bismillahitawakal...” aku terus menghayunkan langkah.

            “Hey!!”

            “Oh mak!!” Aku memegang dada sambil menoleh ke belakang dengan pantas. Terasa kering darahku kerana terlalu terkejut.

            “Awak!! Kenapa buat saya terkejut!” Aku benar-benar marah kerana jantungku sudah hampir tercabut apabila mendengar jeritan Harry itu. Tanpa menjawab soalanku dia berjalan menuju ke arahku. Kenapa dia berpatah balik?

            “Nah, ambil kunci kereta ni. Drive balik rumah, esok pagi mesti datang awal. Faham?”

            “Ya...” aku menyambut huluran kunci kereta itu. Kemudian Harry memusingkan badannya dan melangkah pergi.

             “Kenapa masih ambil berat kat aku. Emm...” Tiba-tiba aku teringat pula teori cinta yang pernah dikatakan oleh Julia. Cinta seorang lelaki egois? Ah... merepek aje semua tu.

**********

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience