BB - BAB 13

Drama Completed 309207

TAUFIQ melangkah masuk dengan selamba sambil meletakkan bungkusan makanan yang dibawanya di atas meja yang berada di depan Qaireena dan Nasrul.  Dia kemudian menoleh ke arah Qaireena dan senyum.

"Kawan Reen ke?". Soal Taufiq sambil mengukir senyuman.  Qaireena menganggukan kepalanya sambil memandang Taufiq.

"Kawan satu kampus Reen sebelum ni.  Kenalkan Nasrul".  Jawab Qaireena.  Taufiq terus menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Nasrul.

"Taufiq, majikan Qaireena". Kata Taufiq sambil mengukir senyuman kepada Nasrul.  Terkejut Qaireena saat mendengar jawapan lelaki itu.

"Reen, saya ada bawakan makanan tengah hari untuk awak dan Sara, nanti awak makanlah ya.  Saya datang nak lawat Sara, tapi dia tidur pula".  Kata Taufiq. Senyuman masih lagi menghiasi bibir lelaki itu.

Mata Qaireena masih tidak lepas memandang Taufiq, buat pertama kalinya lelaki itu tersenyum manis padanya.  Dia terfikir sejenak, adakah lelaki itu sedang menyembunyikan amarahnya? Sungguh, dia masih belum dapat mentafsir sikap lelaki yang telah bergelar suaminya itu.

"Abang Taufiq".  Panggil Qaisara lembut yang baru sahaja sedar dari tidurnya.  Senyuman diukir sambil cuba bangun dari pembaringannya untuk duduk.

Serta merta Taufiq menoleh ke arah Qaisara, dia sedikit terkejut mendengar gelaran yang keluar dari mulut adik iparnya itu.  Dia kemudian menoleh ke arah Qaireena seolah-olah meminta penjelasan mengenai panggilan Qaisara terhadapnya sebentar tadi.  Qaireena yang turut memandang Taufiq seolah-olah faham akan maksud lelaki itu, hanya menganggukkan kepalanya sebagai jawapan kepada persoalan tanpa bicara lelaki itu.  Taufiq menghampiri katil Qaisara bersama senyuman.  Tidak menyangka yang Sara akan menerimanya dengan baik sebagai abang ipar.

"Terima kasih untuk segalanya.  Jasa Abang Taufiq takkan kami lupakan".  Jawab Qaisara bersama senyuman apabila lelaki itu sudah pun berdiri di tepi katilnya. Taufiq hanya senyum dan menganggukkan kepalanya.

"Sara berehatlah, nanti jangan lupa makan tengah hari dengan Kak Reen ya. Bila ada masa Abang Taufiq datang lagi dan kita borak panjang-panjang.  Abang Taufiq pergi dulu, sekejap lagi ada meeting pula".  Kata Taufiq dengan senyuman.

"Baiklah, terima kasih lawat Sara dan bawakan makanan".  Ucap Qaisara sekali lagi.  Taufiq mengangguk dan senyum sebelum dia mengalihkan pandangannya kepada Qaireena.

"Reen, saya pergi dulu ya".  Kata Taufiq dengan senyuman.  Dia turut memandang Nasrul dan menghadiahkan senyuman kepada lelaki itu.

Qaireena mengangguk dan senyum memandang Taufiq.  Matanya kemudian menghantar lelaki itu sehingga hilang di balik pintu.

"Baik juga majikan Reen tu.  Reen kerja apa sekarang? Reen tak cerita pun pada Nas yang Reen dah tukar kerja".  Ujar Nasrul sambil memandang Qaireena.

Qaireena menapak menghampiri Qaisara tanpa menjawab pertanyaan Nasrul itu.

"Sara nak makan?".  Soal Qaiereena.

"Sekejap lagilah Kak Reen.  Sara tak lapar lagi".  Jawab Qaireena.

"Kalau macam tu, Kak Reen turun bawah sekejap dengan Nas ya, ada perkara yang Kak Reen nak bincangkan".  Qaisara senyum dan menganggukkan kepalanya.  Faham tentang situasi yang dialami oleh Qaireena.

"Nas, Reen ada sesuatu nak beritahu pada Nas, jom kita turun ke cafe sekejap".  Kata Qaireena pada Nasrul.

"Okay". Jawab Nasrul sambil mengukir senyuman kepada Qaireena.  Dia kemudian terus melangkah keluar dari bilik itu.  Qaireena menuruti langkah Nasrul sambil otaknya memikirkan bagaimana untuk memulakan bicara kepada lelaki itu.

Sampai sahaja di cafe hospital, Nasrul dan Qaireena terus membuat pesanan minuman.

"Macam penting sangat je perkara yang Reen nak beritahu Nas ni".  Kata Nasrul memulakan bicara.  Wajah Qaireena dipandang, menanti kata-kata yang akan keluar dari mulut wanita.

"Reen harap Nas tak terkejut dengan apa yang bakal Reen sampaikan ni".  Qaireena memandang wajah Nasrul. 

Selama setahun lebih mereka berkenalan, tipulah jika dia mengatakan dia tidak mempunyai perasaan terhadap lelaki itu.  Nasrul lah lelaki yang selalu ada disisinya, sudi mendengar setiap keluh kesahnya, sentiasa memberikan nasihat dan juga semangat saat dirinya rapuh dengan ujian yang datang.  Namun apakan daya, jodoh itu bukan milik mereka.

"Tak apa, Reen cakap je, Nas sedia mendengar".  Ujar Nasrul dengan senyuman.

"Nas, Reen dah berkahwin".  Kata Qaireena.  Nasrul yang baru sahaja menyedut minuman di dalam gelasnya terus tersedak saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Qaireena.

Huk...huk..huk... cepat sahaja tangannya menepuk-nepuk dadanya.  Nafas ditarik, dan perlahan air digelas di sedut lagi untuk menghilangkan perit di tekaknya akibat tersedak.

"Apa ni Reen benda macam tu pula dibuat gurauan".  Bebel Nasrul.  Tangannya masih lagi mengurut dada.

"Tak Nas, reen tak bergurau .  Betul Reen dah bernikah semalam di pejabat agama".  Kata Qaireena sekali lagi bagi meyakinkan lelaki yang berada di depannya itu.

"Dengan siapa? Kenapa tiba-tiba je?".  Soal Nasrul sambil memandang tepat ke wajah Qaireena.

"Dengan Tuan Taufiq yang datang melawat Sara tadi tu.  Reen dah tak ada pilihan lain lagi Nas selain daripada berkahwin dengan dia".  Jawab Qaireena jujur.  Wajahnya ditundukkan.  Sungguh dia tidak sanggup untuk melihat wajah kecewa Nasrul ketika itu.

"Tak ada pilihan lain? Sebab dia orang kaya? Dia dapat penuhi segala apa yang Reen dan Sara perlukan, macam tu? So, Reen terpaksa menjual diri Reen pada dia walaupun dia kelihatan jauh lebih tua daripada Reen supaya Reen tak perlu lagi bekerja keras untuk mencari rezeki dan menyara hidup Reen dua beradik? Mudahnya menjadi perempuan yang cantik macam Reen, segalanya Reen dapat miliki dengan sekelip matakan walaupun terpaksa menggadai maruah".  Ujar Nasrul dengan wajah yang sinis.

"Nasrul Al Haq!!".  Sedikit tinggi suara Qaireena menyebut nama penuh lelaki itu. Mujurlah tidak ramai orang tang berada di cafe tersebut, jika tidak pasti ramai mata yang akan memandang kepadanya.

"Berhenti menghina Reen.  Jangan terus menghukum Nas, kalau Nas sendiri tak tahu kenapa perkara ni boleh berlaku.  Reen betul-betul kecewa pada Nas".  Qaireena bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya dan berlalu meninggalkan Nasrul sendirian di situ.  Airmata yang mula mengalir di pipi, disekanya.

Ketika Qaireena melangkah masuk ke dalam bangunan hospital itu, pergelangan tangannya di pegang oleh seseorang.  Qaireena sedikit terkejut, cepat-cepat dia mengangkat wajahnya untuk melihat siapa orang yang sedang memegang tangannya itu.

Taufiq!

Sekali lagi Qaireena terkejut.  Setahunya lelaki itu sudah pun pulang sebentar tadi.

"Kenapa awak menangis?". Soal Taufiq sambil memandang tepat ke wajah Qaireena.

Apabila dilihatnya Qaireena tidak menjawab pertanyaannya, dia menarik tangan Qaireena menuju ke kereta.  Pintu bahagian penumpang hadapan dibuka dan perlahan tubuh Qaireena ditolaknya masuk ke dalam perut kereta tersebut, kemudian dia turut masuk ke tempat duduk pemandu.

"Kenapa awak menangis? Awak bergaduh dengan Nasrul ke?".  Soal Taufiq.  Pandangan matanya masih lagi melekat kepada Qaireena, menanti jawapan dari mulut wanita itu.  Perlahan Qaireena menganggukkan kepalanya.

"Nasrul tu teman lelaki awak?".  Tanya Taufiq lagi.

"Sebelum ni kami hanya kawan rapat je, Nas selalu jadi tempat untuk Reen meluahkan kegusaran hati dan juga kesedihan Reen.  Dia selalu beri nasihat dan semangat pada Reen.  Tapi dua minggu yang lalu, Nas ada menyatakan hasrat untuk jadikan Reen sebagai isteri apabila dia dah habis belajar dan mendapat pekerjaan nanti".  Jawab Qaireena sambil mengesat sisa airmata di pipinya.

"Tapi, takdir Allah terlebih dahulu menentukan segalanya.  Reen tak nak berselindung dan berikan harapan pada dia, jadi Reen ambil keputusan untuk berterus terang tentang status Reen pada dia".  Sambung Qaireena lagi.

"Jadi, apa yang berlaku selepas tu? Nas marah awak?".  Soal Taufiq.

"Reen tak kisah pun kalau Nas nak marah pada Reen, tapi yang buat Reen betul-betul sedih, Nas hina Reen dan tuduh Reen menjual diri dan menggadai maruah".  Ujar Qaireena.  Airmatanya kembali mengalir dengan deras.  Taufiq mencapai tisu yang berada di dashboard dan dihulurkan pada Qaireena.

"Awak dah ceritakan segala yang berlaku pada dia?".  Tanya Taufiq lagi, sungguh hatinya pilu saat melihat Qaireena menangis sebegitu.  Mahu sahaja dia keluar dan mencari Nasrul serta menghadiahkan penumbuk ke wajah budak lelaki mentah itu.  Namun dia cuba menenangkan hatinya agar tidak mengeruhkan keadaan.

"Reen belum sempat nak jelaskan perkara sebenar, tapi Nas dah terlebih dahulu menghukum Reen".  Kata Qaireena lagi.

"Awak sayang dan cintakan Nas?".  Mata Taufiq melekat ke arah Qaireena.

"Reen nak naik atas tengok Sara, dia belum makan tengah hari lagi.  Sekejap lagi dia kena makan ubat".  Kata Qaireena.  Sengaja dia mahu mengelak dari menjawab pertanyaan lelaki itu.

"Baiklah.  Petang nanti saya datang jemput awak balik".  Ujar Taufiq.

"Reen tak balik malam ni, Reen nak temankan Sara, boleh?".  Wajah Taufiq dipandangnya.  Taufiq hanya menganggukkan kepala.

"Malam nanti saya datang hantar makanan yang Mak Leha masak untuk awak dan Sara".  Kata Taufiq.

"Kalau tak datang pun tak apa, Reen boleh buat pesanan penghantaran makanan je.  Abang berehat jelah dekat rumah".  Ujar Qaireena.

"Saya datang malam ni". Kata Taufiq sekali lagi seolah menegaskan kata-katanya.

"Iyalah, Reen pergi dulu".  Sambil membuka pintu kereta dan turun.

Setelah melihat Qaireena masuk ke dalam bangunan hospital itu, Taufiq turun dari keretanya.  Niat dihatinya mahu mencari Nasrul, namun belum sempat dia melangkah ke arah cafe hospital, dilihatnya Nasrul sedang berjalan menuju ke kawasan parkir yang tidak jauh dari keretanya itu.  Besar langkah Taufiq untuk menghampiri lelaki itu.

"Nasrul, saya nak bercakap dengan awak sekejap".  Tegur Taufiq apabila dia sudah betul-betul berada dekat dengan lelaki itu.  Nasrul menghentikan langkahnya dan menoleh ke arah suara yang memanggil namanya itu.

"Saya rasa saya tak ada apa-apa urusan dengan tuan".  Kata Nasrul sambil memandang Taufiq yang kini berada di depannya.

"Saya nak bercakap tentang Reen".  Ujar Taufiq.

"Tuan nak suruh saya jauhi Reen ke? Jangan risau, saya tak ada apa-apa kaitan pun dengan dia lagi".  Sinis Nasrul berkata-kata.

"Saya cuma nak bagitahu awak, yang awak tak ada hak pun untuk menghina Reen sampai macam tu sekali sedangkan awak langsung tak tahu apa yang telah terjadi pada dia".  Tenang Taufiq berkata-kata.  

"Wah cepat juga Reen mengadu pada tuan ya".  Sambil tersenyum sinis.

"Kalau saya tak ada malam tu mesti awak pun dah tak dapat jumpa Reen hari ni Nas.  Reen hampir dijadikan pelacur oleh along kerana tidak menjelaskan hutang ibu dan bapa saudaranya".  Riak wajah Nasrul serta merta berubah saat mendengar apa yang baru sahaja keluar dari mulut lelaki di depannya itu.

"Ma..maksud tuan?".  Soal Nasrul.

"Reen ditangkap oleh along yang datang menagih hutang ibu dan bapa saudara Reen, tapi Reen tak ada duit untuk menjelaskan hutang tu.  Mujurlah saya ternampak Reen meronta-ronta meminta tolong ketika dia mahu dimasukkan ke dalam kereta along tersebut.  Saya buat rundingan dengan along tu dan bayar wang tebusan, barulah Reen dibebaskan".  Jelas Taufiq kepada Nasrul.

Nasrul menundukkan wajahnya, rasa kesal mula menyelubungi dirinya. Dia kesal kerana terus menghukum Qaireena tanpa mendengar penjelasan daripada wanita itu.  Pasti Qaireena tidak akan memaafkan dirinya kerana telah berkata yang bukan-bukan dan menghina wanita itu.

"Tapi kenapa tiba-tiba Reen berkahwin dengan tuan pula?".  Wajahnya diangkat memandang Taufiq.

"Saya yang minta dia berkahwin dengan saya atas alasan untuk melangsaikan wang tebusan yang telah saya berikan kepada along.  Setelah mendengar kisah hidup Reen yang berjuang bersendirian untuk menyara hidupnya dan Sara serta mengumpul wang untuk kos pembedahan Sara, saya nekad untuk membantu Reen.  Dalam masa yang sama juga saya mahu melindungi Reen daripada dicari oleh along lain lagi".  Jawab Taufiq.  Dia memandang wajah Nasrul tepat.

"Terlalu banyak ujian yang telah dilalui oleh Reen seorang diri Nas, tanpa pertolongan daripada sesiapa.  Awak sendiri dah tahukan kisah hidup dia. Dan hari ini, awak hancurkan hati Reen dengan kata-kata penghinaan yang awak lemparkan padanya.  Jika ikutkan rasa hati saya pada waktu ini, mungkin awak akan terlantar di tepi jalan ni dengan gigi yang tidak lagi tersusun cantik digusi awak.  Tapi awak cukup bertuah kerana saya tidak mahu menghancurkan hati Reen di atas perbuatan saya terhadap awak". Kata Taufiq kemudian terus berlalu dari situ meninggalkan Nasrul terpinga-pinga sendirian.

Bungkusan makanan yang diberikan oleh Taufiq tadi, dikeluarkan oleh Qaireena. Dia sedikit hairan apabila melihat ada tiga bekas makanan. Dia berfikir seketika, pasti lelaki itu datang untuk makan tengah hari bersama dia dan Sara namun niatnya dibatalkan kerana melihat Nasrul ada di sini. Satu keluhan terlepas dari mulut Qaireena. Rasa bersalahnya timbul pada Taufiq.

Telefon bimbitnya yang berbunyi berulang kali itu hanya dipandang kosong oleh Qaireena.  Dia tahu Nasrul yang menghubunginya tanpa henti.  Mesej yang dihantar oleh lelaki itu juga sudah mencecah sebanyak 20 mesej, namun satu pun tidak ada yang dibacanya.  Kata-kata penghinaan lelaki itu masih terngiang-ngiang di gegendang telinganya. 

Sungguh dia tidak menyangka begitu sikap Nasrul, sedangkan selama ini lelaki itulah yang selalu menjadi penasihat dan pendorong kepada dirinya.  Namun hari ini, Nasrul lah lelaki pertama yang telah menghina dirinya dan merendahkan maruahnya sebagai seorang wanita.

Happy Reading korang :-)

Share this novel

NANA.ED
2021-01-25 22:35:48 

Nasrul ni, mulut tak boleh jaga ekk...

xandra
2021-01-25 22:28:15 

Thanks sis:)


NovelPlus Premium

The best ads free experience