Malam itu rumah Tan Sri Mansur sunyi sepi selepas apa yang terjadi petang tadi. Masing-masing mengurungkan diri dalam bilik mereka. Tiada siapa pun yang keluar untuk menikmati makan malam. Rina keluar ke beranda biliknya untuk mengambil udara malam yang segar kerana berasa lemas dan rimas terus menerus di dalam bilik. Matanya dipejamkan dan bibirnya mengucap zikrullah mengikuti degupan jantungnya.
Rina membuka mata saat bahunya disentuh oleh seseorang. Rina menoleh dan melihat Tan Sri Mansur yang basah wajahnya akibat masih menangis selepas mendengar cerita sebenar daripada Rina. Rina mencapai tangan Tan Sri Mansur di bahunya dan dipusingkan kerusi rodanya menghadap Tan Sri Mansur.
“Papa, minta maaf. Papa benar-benar minta maaf pada kamu.” Tan Sri Mansur menggenggam tangan Rina erat. Wajahnya ditundukkan tidak mampu untuk memandang wajah itu.
“Bukan salah pakcik. Rina minta maaf sudah sakitkan hati pakcik dengan memberitahu kebenarannya.” Rina mencium tangan tua itu. Dia yang bersalah kerana mengungkit cerita lama bukan Tan Sri Mansur yang tidak mengetahui apa-apa. Dia terlalu ikutkan emosi petang tadi sehingga keluar semuanya yang tersirat di hati.
“Kalau waktu boleh diundurkan, papa akan minta Haikal bertanggungjawab atas apa yang dia lakukan pada kamu agar kamu tidak perlu hidup seperti ini.” Tan Sri Mansur mengusap kepala Rina yang sedang mencium tangannya.
“Sudahlah, pakcik. Jangan dikenang lagi perkara yang sudah berlalu. Rina cuba melupakan semuanya dan Rina harap pakcik dan Aqil dapat melakukan perkara yang sama. Kita buka lembaran buku yang baru.” Rina mendongakkan kepalanya dan melihat wajah Tan Sri Mansur yang masih menangis.
“Semoga Allah melimpahi rahmat-Nya kepada kamu.” Tan Sri Mansur mendoakan Rina dunia dan akhirat. Jarang ada orang yang mampu bersikap tenang seperti yang dilakukan Rina selepas menjalani hari-hari yang kelam. Dia tahu Rina berbeza dengan wanita-wanita yang pernah dilihatnya dengan Haikal satu ketika dahulu. Rina seorang wanita yang baik agama dan akhlaknya. Takdir wanita itu berjumpa dengan anaknya yang tidak berguna sehingga menghancurkan masa depan Rina.
“Pakcik sudah makan?” Rina cuba mengubah topik perbualan kerana tidak mahu tenggelam dengan perasaan sedih. Syaitan senang menghasut manusia yang sedang lemah hatinya.
“Mari kita turun makan bersama.” Tan Sri Mansur tersenyum mendengar pertanyaan Rina. Dia mengusap wajahnya sebelum menyapu air mata Rina yang menitis di wajah menantunya itu.
Tan Sri Mansur menolak kerusi roda Rina untuk dibawa turun ke bawah. Ketika mereka keluar daripada bilik Rina, Rina memandang bilik Aqil yang paling hujung. Aqil juga berkurung di dalam biliknya sejak daripada tadi pasti lelaki itu masih tidak menikmati makan makan.
“Panggillah Aqil, ajak dia turun makan bersama. Papa turun dahulu untuk menyuruh Mak Sofi menghidangkan makanan.” Tan Sri Mansur menggosok kepala Rina yang dibaluti tudung litup itu sebelum menuruni tangga.
Rina menggerakkan kerusi rodanya ke arah pintu bilik Aqil. Belum sempat dia mengetuk pintu, pintu itu sudah terbuka dari dalam dan Aqil sedang berdiri di hadapannya. Aqil yang kebetulan memang mahu keluar daripada biliknya untuk mengambil udara segar dibawah terkejut apabila melihat Rina berada di hadapan pintu biliknya. Masing-masing diam tidak berkata apa-apa.
“Mari kita turun makan malam bersama. Pakcik sudah menunggu di bawah.” Akhirnya Rina berkata dengan nada yang bersahaja tidak mahu kelihatan janggal diantara mereka.
Sebaik saja melihat Aqil mengangguk Rina memusingkan semula kerusi rodanya dan mahu menuju ke lif kecil yang akan membawanya ke tingkat bawah. Lif itu jarang digunakan oleh mereka tetapi kini lif itu khas digunakan oleh Rina sahaja memandangkan Rina tidak dapat menggunakan tangga.
“Rina.” Aqil memanggil. Rina menoleh dan melihat Aqil berjalan mendekati dirinya.
“Aqil benar-benar minta maaf atas apa yang terjadi diantara kita. Aqil malu untuk berdepan dengan Rina tetapi Aqil akan terus rasa bersalah jika tidak meminta maaf kepada Rina sekarang.” Aqil berkata perlahan dengan wajah yang ditundukkan menghadap lantai.
“Rina sudah maafkan Aqil tanpa Aqil minta. Rina juga minta maaf jika Rina terkasar bahasa kepada Aqil tadi. Kita lupakan semuanya.” Rina memberikan senyuman nipisnya kepada Aqil yang tidak memandang wajahnya langsung.
“Aqil…” Rina memanggil sehingga membuatkan wajah lelaki itu memandang wajahnya.
“Rina harap awak tidak ceritakan perkara itu kepada sesiapa. Rina juga harap Aqil tidak memberitahu kawan-kawan Rina atau sesiapapun yang mengenali Rina bahawa Rina ada disini. Rina tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi jadi biarkanlah Rina benar-benar memulakan kehidupan yang baru selepas ini.” Rina menundukkan wajahnya apabila tersedar pandangan matanya harus dijaga walaupun Aqil adalah adik iparnya.
“Aqilah pasti merindukan Rina. Apakah Rina yakin tidak mahu memberitahu sekurang-kurangnya Aqilah bahawa Rina baik-baik saja disini?” Aqil bertanya apabila teringatkan sahabat baik Rina itu.
“Tidak perlu. Rina tidak mahu menyusahkan dia lagi. Aqilah sahabat yang baik dan Rina tidak mahu Aqilah terkena getahnya jika terus bersama Rina.” Rina bercakap perlahan kerana dia berasa rindu dengan sahabatnya itu. Rina menggerakkan kerusi rodanya masuk kedalam lif dan meninggalkan Aqil di situ sendirian.
Makan malam mereka masih kelihatan janggal diantara satu sama lain walaupun masing-masing mahu cuba melupakan apa yang terjadi. Mereka diam membisu sambil menikmati makan malam yang kelihatan sangat menyelerakan tetapi mereka seperti tiada selera mahu menikmatinya.
“Rina, kenapa makan sikit saja? Kamu kena makan banyak biar badan itu bertenanga dan kamu cepat sembuh.” Tan Sri Mansur menegur Rina yang hanya menikmati sesuku nasi dan setengah ikan sambal merah.
“Sejak mengandungkan Qalifh selera makan Rina berkurangan. Ini saja sudah cukup mengeyangkan.” Rina memberitahu Tan Sri Mansur supaya bapa mertuanya itu tidak mengkhuatirkan dirinya.
“Apa perlu kita jumpa doktor untuk cari solusinya?” Tan Sri Mansur masih bertanya risau kerana dia baru teringat sepanjang mereka makan bersama Rina memang makan sangat sedikit sehingga tubuh itu masih tidak berisi walaupun sudah hampir sebulan terjaga dari komanya.
“Tidak perlu, Rina tidak sakit pun pakcik. Pakcik jangan risau ya.” Rina ketawa kecil apabila berasa kelakar melihat reaksi Tan Sri Mansur yang terlalu menjaga dirinya.
Ketawa Rina itu membuatkan Aqil mengangkat kepalanya yang sejak daripada tadi menjadi pendengar setia. Lama sekali rasanya dia tidak mendengar ketawa wanita itu. Wanita itu memang jarang ketawa dan hanya senyuman saja yang menghiasi bibirnya tetapi hari ini dia dapat mendengar kembali ketawa Rina dan itu membuatkan dia turut gembira.
“Bagaimana keadaan di Makkah dan Madinah? Apakah masih ada pembinaan untuk memperbesarkan masjidilharam?” Rina bertanya tiba-tiba menghilangkan lamunan Aqil.
“Ya, pembinaan untuk memperbesarkan masjidilharam masih belum selesai tetapi boleh dikatakan sudah lapan puluh lima peratus sudah selesai. InsyaAllah, mungkin dua tahun lagi akan selesai menurut apa yang mereka khabarkan. Cuaca di Mandinah juga amat baik tidak terlalu panas seperti di Makkah tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan selamat.” Aqil bercerita dengan penuh semangat apabila teringatkan umrah pertamanya bersama keluarga Shofwah dua minggu yang lalu.
“Bilakah agaknya Rina dapat ke sanakan?” Rina bertanya lebih kepada dirinya sendiri tetapi boleh didengar oleh mereka yang duduk di meja makan itu.
“Rina mahu menunaikan umrah? Papa boleh uruskan kalau Rina mahu.” Tan Sri Mansur segera menawarkan kepada Rina. Apa yang diinginkan oleh menantunya itu dia akan tunaikan selagi dia mampu.
“Tidaklah, masih belum waktunya. Nanti kalau Rina sudah ada rezeki sendiri, Rina akan pergi ke sana.” Rina menolak. Dia tidak mahu menyusahkan Tan Sri Mansur dan berasa malu mahu menerima tawaran daripada bapa mertuanya itu.
“Kalau Rina nak pergi mana-mana negara yang Rina ingin kunjungi beritahu saja sama papa. Papa amat uruskan semuanya.” Tan Sri Mansur mengangguk tanda menghormati keputusan Rina itu. Dia tahu jika Rina sudah membuat keputusan tiada sesiapa yang boleh mengubahnya. Serba sedikit dia sudah mengetahui sikap menantunya itu sejak mereka tinggal bersama.
“Maafkan papa Aqil, papa boleh lupa kamu balik umrah hari ini. Kalau tidak, papa sudah suruh Pak Razak jemput kamu di lapangan terbang.” Tan Sri Mansur baru teringat bahawa dia tidak sempat meminta maaf kepada Aqil disebabkan terlupa menjemput anaknya itu di lapangan terbang antarabangsa.
“Papa ni, Aqil bukan budah kecil lagi. Aqil boleh balik sendiri, papa jangan risau. Kalau Rina nak tahu papa ni masih anggap saya macam budak kecil. Malu saja kadang-kadang dibuatnya. Sudah seperti sebaya Qalifh saja layanan papa pada saya.” Aqil mengusik Tan Sri Mansur.
“Anak-anak ni sentiasa seperti anak kecil di mata orang tuanya. Betul tak Rina?” Tan Sri Mansur bertanya kepada Rina memandangkan menantunya itu sudah menjadi seorang ibu walaupun Qalifh masih belum berumur setahun.
“Betul tu, pakcik. Dulu ibu dan Nek Jah juga selalu layan Rina macam budak kecil. Hari-hari telefon sewaktu di universiti dulu tanya adakah Rina baik-baik saja. Sampaikan jika mereka tidak telefon Rina pula yang risau takut terjadi sesuatu kepada mereka.” Rina mengangguk bersetuju dengan kata-kata Tan Sri Mansur daripada pengalamannya sendiri.
“Oh ya, papa baru tahu yang kamu dan Aqil sebenarnya satu universiti. Adakah kamu berdua tidak mengenali satu sama lain sebelum ini?” Tan Sri Mansur bertanya sambil memandang Aqil dan Rina silih berganti.
Rina dan Aqil diam seketika. Masing-masing cuba mencari jawapan yang tidak mencurigakan. Mereka tidak tahu mengapa tetapi mereka melakukan itu tetapi mereka tidak mahu Tan Sri Mansur tahu apa yang terlah terjadi kepada mereka sebelum ini.
“Err…sebenarnya Rina kenal dengan Aqil sebab dia senior Rina di universiti dulu. Siapa yang tak kenal Aqil, pakcik. Ketua pelajar dan terkenal macam Aqil ni selalunya sibuk dengan aktiviti universiti sehingga tiada masa untuk bersosial dengan pelajar-pelajar yang lain. Lagi pula kami tidak sama bidang jadi kami jarang mahu terserempak.” Rina cuba memberikan jawapan yang yang tiada unsur penipuan di dalamnya.
“Betullah tu, apa yang dikatakan Rina tu papa. Tapi yang terkenal dan tiada masa untuk bersosial itu tidak benar. Pandai-pandai dia buat cerita tentang kita. Padahal dia yang terkenal sampai satu universiti kenal dia.” Aqil berseloroh mahu menjawab gurauan Rina itu dengan gurauan tetapi lain pula jadinya apabila semua yang berada di ruang makan itu kembali diam.
Rina dan Tan Sri Mansur terdiam dengan kata-kata Aqil sebentar tadi. Ya, memang Rina terkenal di akhir semester sebelum dia menjalani latihan industry. Terkenal kerana kisahnya yang mengandung tanpa seorang suami disisi.
“Rina, Aqil tak bermaksud…” Aqil yang cepat tersedar kesilapannya yang telah melampau batas segera mahu meminta maaf.
Rina ketawa kecil tiba-tiba. Ketawa yang panjang sehingga Tan Sri Mansur juga turut ketawa walaupun dia tidak tahu apa yang kelakarnya sehingga Rina ketawa.
“Tak ada apalah, Aqil. Rina saja main-main. Betul tak apa yang Rina kata papa, Aqil ni tak pandai bersosial sangat sampaikan tak tahu orang bergurau dengan dia.” Rina masih ketawa mahu membuatkan suasana kembali riang.
Usikan Rina pada Aqil itu membuatkan mereka ketawa bersama-sama. Tan Sri Mansur tahu Aqil tidak bermaksud untuk berkata seperti itu tetapi dia juga tahu Rina terluka dengan kata-kata Aqil sebentar tadi tetapi menantunya itu sangat positif. Rina benar-benar mahu melupakan semuanya sehingga dia masih boleh mengukirkan senyuman riang seperti yang dilihatnya sekarang. Semoga keadaan ini berkekalan sampai bila-bila. Itulah doa Tan Sri Mansur ketika itu.
Share this novel