Blind Date!

Romance Completed 117402

BAB 38

            MATAHARI sudah meninggi sehingga mencucuk mataku yang masih belum terbuka sepenuhnya. Menyesal pula terlupa menutup langsir semalam, kalau tidak waktu ini dalam bilik aku masih gelap dan tidak mengganggu tidurku yang nyenyak. Aku mengeliat malas sambil meraba-raba di bawah bantal untuk mencari telefon bimbit. Sempat aku menguap dengan puas sebelum melihat jam. Terbeliak mata aku apabila jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Hah, aku dah terlewat benar ni. Selalunya aku akan pergi ke rumah Harry pada pukul 6.30 pagi selepas solat subuh. Sudah tentulah untuk menyiapkan sarapan pagi untuknya.

            Aku tidak membuang masa terus mencapai tuala dan masuk ke dalam bilik air. Ketika aku sedang mandi, barulah fikiranku kembali memutarkan kejadian semalam. Aku telah menghambur kemarahan kepada Ray. Aduh... mesti Senior Ray fikir aku ini perempuan kasar dan mulut celupar. Panas baran pula tu, tetapi memang patut pun dia fikirkan seperti itu. Aku marah seperti orang hilang akal saja.

            Usai mandi aku duduk di birai katil dalam keadaan masih bertuala. Selalunya kalau aku lambat Harry pasti sudah memekik di telefon, kenapa pagi ini dia senyap saja. Walaupun hari ini hari sabtu, tidak ada apa yang berubah dengan jadual kerja aku. Setiap hari pun aku akan bekerja. Aku mula terfikir mungkin Harry ingin bersendirian hari ini. Aku membuat keputusan untuk tidak ke rumahnya sehingga dia panggil aku untuk ke sana.

            Keputusan sudah di buat, lalu aku bangun mengambil pakaian di dalam almari. Seluar pendek dengan t-shirt putih aku keluarkan. Dah lama tak pakai pakaian santai macam ni di hujung minggu. Selesai menyalin pakaian aku keluar menuju ke dapur kerana perut aku mula berkocak minta di isi. Aku terkejut apabila melihat Lin sudah bangun dan sedang memasak di dapur. Aku menyandar di dinding yang memisahkan ruang dapur dengan ruang tamu sambil memerhatikannya.

            “Kak Aya! Terkejutnya saya.” Lin mengurut dada apabila menoleh melihat aku. Mujurlah dia tidak membaling sudip ditangnnya ke arah aku.

            “Wah... macam tak percaya aje Lin buat breakfast.” Aku tersengih memerlinya. Langkah aku atur ke meja makan lalu duduk di situ.

            “Dah lama Lin buat breakfast, cuma Kak Aya aje yang tak tahu. Maklumlah sejak dapat kerja baru ni, sebelum matahari muncul lagi dah keluar. Berdedikasi betul!” Giliran Lin pula menyindir aku dalam gurauan.

            Aku hanya mencebik membalas kata Lin. “Cepat la hidang, akak nak rasa nasi goreng kau.”

            “Okey, tapi Kak Aya tak pergi kerja ke hari ni?” Soal Lin dengan pelik. Dia sudah sedia maklum bahawa aku kerja tidak ada cuti.

            “Hari ni akak cuti.” Ujarku separuh perasaan sambil menuang air teh ke dalam cawan.

            “Wah, dapat cuti akhirnya.” Sekilas Lin menoleh melihat aku. Dia sibuk mencedok nasi goreng ke dalam dua biji pinggan.

            Aku menyedari ketiadaan Julia, masih tidurkah minah seorang itu.

            “Mana Julia, Lin?” Tanyaku sebelum menghirup air teh yang suam itu.

            “Setengah jam tadi family dia datang jemput, katanya dia kena balik rumah. Malam ni ada kenduri tahlil kat rumah dia. Lin nak kejutkan Kak Aya tadi, tapi Julia kata tak payah. Tak nak ganggu Kak Aya tidur.” kata Lin. Dia meletakkan dua biji pinggan di atas meja. Satu dihulurkan kepada aku.

            “Macam tu ke, tak apalah. Emm... sedapnya bau, terima kasih, Lin.” Aku menghidu bau yang terbit dari masakan Lin itu. Ini kali pertama aku makan masakan budak ini. Kena pula tengah lapar, memang terbangkit selera. Aku jarang makan sarapan, tetapi selalu pula kena bebel dengan Harry. Katanya, sangat penting untuk mengambil sarapan pagi untuk kesihatan, bla... bla... penat aku mendengarnya. Dia dah macam pakar diet kat London Weight Management pula. Huh!

            “Makanlah.” Pelawa Lin dengan ceria.

            “Sedap.” Pujiku ikhlas. Jari aku angkat membuat ‘thumbs up’. Lin tersipu malu namun tersenyum kembang.

            “Kak Aya, kerja kat mana sebenarnya ni? Sampai kerja tiap-tiap hari.” Tanya Lin dengan sedikit perasaan risau.

            Aku mengunyah nasi dengan perlahan untuk melengahkan masa bagi menjawab soalan Lin. “Emm... adalah. Kerja biasa aje, jangan la risau.”

            “Tapi, Kak Aya nampak macam tak bermaya aje. Kerja banyak sangat ke?”

            Aku mengeleng lemah. Bukan kerja banyak yang membebankan aku tetapi letih dengan sikap majikan yang... macam hantu!

            “Tak apalah kalau Kak Aya tak nak cerita. Lin tak paksa.” Lin menyentuh tangan kiri aku dengan lembut. Aku terharu dengan sikap memahami Lin itu. Lantas aku tersenyum kepadanya sebagai tanda terima kasih.  

            Selepas sarapan pagi, aku berehat di atas sofa sambil menonton TV. Saluran 702 menjadi saluran kegemaran aku. Banyak memaparkan cerita penyiasatan seperti FBI atau CIA. Tidaklah membosankan seperti kebanyakan drama-drama cinta. Lama-lama boleh naik loya juga. Tiba-tiba aku teringatkan tentang hal yang mak cik cakapkan semalam. Aku menggigit jari telunjuk sambil berfikir masak-masak. Adakah aku perlu berjumpa dengan lelaki itu hari ini saja. Tak apalah, lebih baik selesaikan dengan cepat.

            Aku bangun melangkah ke bilik lalu menutup pintu dengan rapat. Rasanya Lin sedang berada di biliknya sekarang. Aku tidak mahu perbualan aku itu didengari sesiapa.  Tanpa membuang masa aku mengambil telefon bimbit yang berada di atas meja. Apabila aku membukanya, langsung tiada SMS mahupun call dari Harry. Nampaknya, dia benar-benar tidak mahu aku ke sana hari ini. Tak apalah, aku pun boleh berehat. Harapan aku punah apabila teringat tujuan asal aku masuk ke bilik adalah untuk menghubungi Khairil, lelaki yang dikenenkan oleh mak cik. Nampaknya lain harilah aku nak berehat.

            Aku sudah menyimpan nombor lelaki itu di dalam telefon bimbit, dengan lafaz bismillah, aku menekan punat hijau. Menanti panggilan disambut dengan penuh debar.

            “Assalamualaikum.” Sapa seseorang di sebelah sana.

            Aku mengetap bibir apabila mendengar suara lelaki itu, debaran di dada semakin rancak kerana aku tidak tahu bagaimana untuk memulakannya.

            “Er... waalaikumusalam.”

            “Ya, siapa ni?” Soal lelaki itu. Suaranya kedengaran serak. Baru bangun tidur barangkali.

            “Boleh saya bercakap dengan Encik Khairil?” Setelah mengumpul semangat akhirnya aku boleh bersuara dengan sedikit tenang.

            “Ya, saya bercakap.” Jawab lelaki itu.

            Aduh, suaranya boleh tahan juga. Macam manalah orangnya nanti. Huhu...

            “Saya, saya Marhaya.”

            Lelaki itu terdiam sejenak seperti memikirkan sesuatu atau terkejut aku pun tidak pasti.   

            “Oh... Marhaya.” Kedengaran suara lelaki itu sedikit berubah. Agak terkejut nampaknya.

            “Ya, maaf mengganggu pagi-pagi ni.” Tiba-tiba sahaja suaraku bertukar lembut bak sutera. Sopan. Iyelah, aku tidak mahu memalukan mak cik yang pastinya sudah bercerita perkara baik-baik aje tentang aku kepada emak lelaki ini. Sudah semestinyalah kan? Aku sendiri mendengar mak cik puji lelaki ini tinggi melangit. Biasalah, macam itulah prosedur kalau nak kenenkan orang. Mana boleh cerita yang tak elok, kan?

            “Tak apa, Marhaya. Emm, awak call ni sebab hal tu ke?

            Iyelah. Hal apa lagi yang saya ada untuk berurusan dengan anda, Encik Khairil.

            “Ya, macam tulah...”

            “Jadi, awak dah bersedia nak jumpa saya?” Soalnya.

            “Saya free hari ni, hari lain mungkin sibuk.”

            “Oh. Kalau macam itu kita jumpa hari ni ajelah.”

            Lega! Sebenarnya aku ingin mengelak untuk menunjukkan aku yang mengajakkanya keluar. Seperti tidak sopan pula. Mujurlah dia yang memahami terus mengajak aku.

            “Okey,” Balasku pendek.

       Setelah menentukan tempat pertemuan nanti, aku terus menamatkan perbualan. Dengan satu keluhan, aku baring semula ke atas katil. Nampaknya seorang lagi lelaki telah muncul dalam kamus hidup aku.

***********

  

            AKU perlu ingat kembali kata-kataku kepada Ray petang kelmarin. Kita tidak perlu bermati-matian mempertahankan cinta kerana kita ada Tuhan. Cukuplah dengan berdoa dan bertawakal kepada-Nya. Seandainya seseorang itu jodoh kita, dekatkanlah dia kepada kita, seandainya orang itu bukan jodoh kita, jauhkanlah dia dari kita. Allah pasti sudah mengatur perkara yang terbaik untuk kita, kerana Dia lebih mengetahui.

Kalau kita lepaskan seseorang yang kita cintai itu, tak bermakna kita akan kehilangan dia terus. Jika dia itu takdir kita, pasti dia akan kembali. Jadi, janganlah kita memudaratkan diri sendiri, demi perkara yang tidak mampu kita aturkan sendiri. Berserah... dan menyerah. Itulah yang aku lakukan sekarang. Ini bukan bermakna aku menyerah kalah, tetapi bukankah ada banyak hikmah di sebalik perkataan tawakal itu?

Aku juga ada perasaan, bohonglah kalau aku katakan aku tidak kecewa dengan Harry. Tetapi aku cuba untuk mengingatkan diri sendiri bahawa untuk memilikinya adalah sesuatu yang luar batas kemampuan aku. Ya, aku pasti akan bersedih jika aku tidak dapat memilikinya. Tetapi, siapa aku untuk melawan takdir?

Setelah agak lama aku mengelamun di dalam bilik, barulah aku sedar yang aku masih tidak lagi bersiap untuk berjumpa dengan Khairil. Dengan langkah yang lambat, aku mengambil tuala untuk mandi sekali lagi. Sudahlah, Aya. Tidak usah melayan perasaan kecewa itu lama-lama. Bukankah sudah berserah?

Petang itu menjelma juga, aku yang bersiap ala kadar mengambil teksi untuk ke Suria KLCC. Entah kenapa laju sahaja aku memberi idea untuk berjumpa di Bambu Desa yang pernah aku pergi dengan Ray sebelum ini. Mujurlah lelaki itu setuju.

Tiada lagi debaran di dada yang aku rasa, perasaan aku benar-benar kosong. Sepanjang perjalanan tadi aku hanya membelek telefon bimbit, menunggu pesanan ringkas atau call dari si dia. Sebenarnya aku lebih kepada risau tentang Harry. Selalunya dia tidak pernah bersikap seperti ini, dia benar-benar buat aku runsing memikirkan hal dia di waktu penting seperti ini. Namun, aku cuba untuk mengosongkan fikiran aku setelah tiba di restoran Bambu Desa.

Aku mengatur langkah melewati beberapa meja menuju ke meja paling hujung. Dari jauh aku sudah dapat melihat seorang lelaki bertubuh sederhana sedang duduk menunggu seseorang. Aku pasti itulah Khairil.

“Assalamualaikum, maaf sebab terlambat.” Ujarku ketika tiba di meja itu.

Lelaki itu sedikit tersentak namun cepat-cepat bangun berdiri untuk menyambut kedatanganku. Emm, agak beradab.

“Waalaikumussalam, silalah duduk.” Pelawa Khairil dengan mesra.

Aku mengambil tempat berhadapan dengannya, sekilas aku meneliti penampilan lelaki ini. Dia memakai kemeja putih tanpa tali leher namun kelihatan kemas, layak seperti seorang cikgu. Kulitnya sawo matang dan mempunyai senyuman yang menarik. Kesimpulannya, boleh tahan.

“You look nice,” Pujinya.

Aku terasa sedikit segan menerima pujian pertama dari lelaki itu. Aku menyelit rambut ke belakang telinga sambil tersenyum kepadanya. Boleh tahan juga cara lelaki ini berkomunikasi dengan perempuan. Hairan pula bila dia memilih untuk menyerahkan urusan jodohnya kepada keluarga. Dia tidaklah kelihatan seperti lelaki skema, walaupun dia adalah cikgu. Cikgu zaman moden sekarang bukan macam-macam dulu-dulu lagi. Itulah pandangan pertama aku kepadanya.

“Marhaya, terima kasih sebab sudi jumpa saya.”

“Sama-sama. Encik Khairil boleh panggil saya, Aya.” Jelasku.

“Kalau macam tu, awak boleh panggil saya Khairil aje.”

Aku mengangguk perlahan. Bukan sesuatu yang biasa bagi aku memanggil nama orang tanpa panggilan hormat di hadapan jika baru kenal. Namun, aku harus menghormati permintaannya.

Setelah memesan makanan ala Indonesia di restoran francais ini, kami teruskan berbual tentang latar belakang keluarga dan pendidikan. Bunyinya agak formal, tetapi itu permulaan yang baik untuk aku. Lelaki ini berjaya meletakkan aku di zon selesa. Ya, apabila bersama lelaki itu yang paling utama bagi itu. Jika aku kurang selesa, pasti wajah aku akan terpamer ketidakselesaan itu dengan jelas, Seperti yang berlaku dengan first blind date aku dulu. Memang betul-betul hampeh. 

Khairil adalah lulusan dari Universiti Perguruan Sultan Idris. Umurnya 30 tahun dan keluarganya ada 3 beradik. Ayahnya pesara guru yang pernah mengajar satu sekolah dengan pak cik aku. Pada pandangan aku, Khairil adalah lelaki yang sederhana dan berpendidikan. Jika dilihat dengan mata kasar, lelaki seperti ini barulah sama taraf dengan keluarga aku. Tidak perlu pening kepala memikirkan gagak di rimba atau merak di kayangan lagi. Tetapi, terlalu awal untuk aku menilai Khairil. Lagipun, aku masih tidak bersedia untuk hubungan yang lebih serius. Aku berjumpa dengannya ini pun, kerana hormatkan permintaan Mak Cik Ani.

“Jadi, Aya kerja sebagai personal assistant. Boleh saya tahu kat syarikat mana?” Soal Khairil yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang diri aku.

“Sebenarnya saya kerja kontrak. Buat masa ni, saya masih belum ada kerja tetap. Jadi, saya tak bersedia cerita tentang kerja saya. Saya minta maaf.” Aku jujur sahaja. Biarlah apa pun pandangannya. Yang penting aku tidak boleh memberitahu pekerjaan aku. Bagi aku, ia agak sulit.

“Sebenarnya saya jenis yang tak kisah, kalau Aya kerja macam mana pun. Kalau kita kahwin, saya yang bertangungjawab atas Aya, kan?” Ujar Khairil dengan bersahaja.

Aku hampir tersedar air apabila mendengar kata-katanya itu. Kahwin? Kenapa aku rasa dia ni terlalu cepat bercakap perkara seperti itu.

“Maaf kalau Aya terkejut. Tapi, lebih baik kita cakap berterus terang aje. Memang perkenalan kita ni diaturkan bukan untuk saja-saja, kan?”

“Ya, tapi...”

“Saya faham, Aya tak nak terburu-buru kan?”

Aku mengangguk perlahan. Mujurlah pelayan restoran itu datang untuk menghantar pesanan kami. Sebentar aku dapat mengatur nafas kembali agar lebih tenang.

“Saya serahkan hal ini kepada keluarga kerana saya sedar, saya mungkin susah nak jumpa wanita yang baik di KL ni. Bandar ini mencabar untuk golongan wanita. Saya tahu banyak yang baik di luar sana tu, tapi saya lebih rasa selamat kalau hal ini di urusakan keluarga.” Jelas Khairil panjang lebar.

Aku mengetap bibir kerana kehilangan akal untuk bercakap lagi. Kemudian Kharil menjemput aku untuk makan, kami tidak banyak berbual ketika makan kecuali memberi komen terhadap hidangan itu.

“Encik Khairil, maafkan saya sebab saya lebih selesa panggil macam tu. Encik Khairil lebih dewasa dari saya, jadi saya tak boleh panggil nama aje.” Aku memulakan bicara apabila kami selesai makan makanan utama. Kini cuma tinggal pencuci mulut sahaja lagi.

“Kalau macam tu, boleh panggil saya abang.” Ujarnya bersahaja.

Oh tidak! Janganlah cuba meremangkan bulu tengkok aku. Hanya Abang Is, abang aku dunia akhirat. Orang lain aku tidak akan memanggil dengan panggilan itu.

“Maafkan saya, saya tak boleh panggil macam tu.” Aku jujur lagi.

“Aya, awak pun nampak macam wanita moden di KL ni.” Komennya sambil tersenyum.

Adakah dia sedang condem aku? Huh, suasana semakin panas ni. Cikgu ini ingat aku ini pelajar dia ke apa?

“Baiklah, Encik Khairil. Saya mengaku yang saya bukan gadis yang Encik Khairil harapkan. Emak saudara saya yang perkenalkan saya kepada emak Encik Khairil, saya tak tahu apa yang mak cik saya dah ceritakan tentang saya. Tapi, saya tak nak berpura-pura, inilah diri saya yang sebenar.”

“Kenapa awak setuju dengan cadangan mak cik awak?” Soal Khairil serius.

“Saya hormatkan mak cik saya yang cuba lakukan sesuatu yang baik untuk saya. Bila saya setuju jumpa awak, tak semestinya kita boleh berjaya, kan? Macam sekarang, Encik Khairil sendiri dah boleh lihat saya bukan calon yang sesuai.”

Khairl tersenyum tanpa memandang aku. Dia hanya menunduk seperti memikirkan sesuatu yang sesuai untuk membalas kata-kata aku.

“Well, Aya sorang yang jujur dengan perasaan sendiri. Apa yang mak cik awak cakap tentang awak, tidak jauh bezanya dengan apa yang saya lihat hari ini. Aya, saya sukakan sikap terus terang awak. Dan awak boleh saja menolak untuk berjumpa dengan saya, tapi kerana hormatkan keluarga, awak berada di sini sekarang. Inilah yang saya cari sebenarnya...” Khairil tersenyum lagi. Kali ini dia memandang aku tepat.

Aku menjadi tidak keruan pula setelah mendengar pengakuannya. Bukankah sepatutnya dia tidak menyukai aku? Kenapa tiba-tiba.. haish!

“Aya, saya minta maaf kalau ada cakap yang tidak sepatutnya tadi. Saya kata awak macam orang moden tapi saya tak maksudkan awak hidup sosial. Aya, faham maksud saya, kan?”

Aku mengangguk. Betul juga, kenapa cepat sangat aku melenting tadi? Sejak bila aku terkena penyakit baran si hantu itu?

“Baguslah macam tu. Saya harap kita dapat menjadi kawan. Saya jujur nak berkawan dengan Aya.” Khairil menghulurkan tangannya untuk bersalam.

Aku menyambut. Walaupun sedikit tidak berjalan lancar, Khairil orang yang sabar. Sebab itulah kami tidak terus berperang mulut. Sikapnya yang mudah meminta maaf itu membuatkan aku rasa tidak patut untuk terus rasa tidak puas hati kepadanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience