10 Kita Cuba

Family Series 57531

Kerana opah, Deila tahan diri. Kerana opah, Deila menurut dalam keterpaksaan. Semua terpaksa ditelan bila opah menjegil mata memandang dia. Kerana opah dan Rhett Raffendy, Deila muncul di majlis orang dengan wajah bengang gila memakai baju kurung polos dan rambut ala ponytail.

Bertambah bengkak hati bila setiap kali berpapasan dengan tetamu yang hadir, opah hanya iyakan sambil tersengih lebar bila mereka bercakap tentang bertapa kacaknya bakal cucu opah. Rhett di samping opah pula hanya tersenyum simpul, langsung tidak menafikan.

Deila melajukan langkah, meninggalkan opah dan Rhett di belakang. Dia duduk berkumpul bersama beberapa anak dara yang kelihatan tersipu-sipu melihat kemunculan beberapa pemuda kampung. Tiada kelibat Amirul. Deila tahu Amirul takkan datang. Lelaki itu tidak berminat berada di tempat yang dipenuhi manusia.

Rhett menyusul kemudian, ditemani opah. Tajam anak mata Rhett memanah mata Deila. Pantas pula Deila buang wajah dan buat-buat tak nampak. Dia perasan gadis-gadis berdekatan mulai berbisik-bisik sambil menjeling Rhett. Wah, kembang semangkuklah mamat tu jadi perhatian si anak dara.

“Kau nak ke mana tu, Rhett?” Opah pantas menyambar lengan Rhett bila lihat Rhett terkocoh-kocoh mahu mendapatkan Deila.

“Kita nak duduk di sebelah Del kan, opah?”

“Kau ni nak kena kutuk orang kampung ke? Tak nampak ke Del tu dikelilingi anak dara orang? Hish… sini, kau duduk dengan opah. Nenek tua ni takde orang nak pandang.” Rhett tersengih sumbang lalu kelam kabut buka langkah mengekori opah. Sempat dia jeling Deila. Pandangan mereka bertaut. Rhett ukir senyum mesra, malangnya Deila balas dengan cebikan bibir. Cis!

Selesai upacara penting, Deila bingkas berdiri. Dia mahu berjumpa Tehah sebentar sebelum meminta diri untuk pulang.

“Tahniah Tehah, tak lama lagi kau dah jadi milik orang.” Deila memeluk Tehah yang kelihatan begitu cantik mengenakan pakaian serba putih. Dah macam pengantin dia tengok. Naik betul seri di wajah Tehah. Tak dinafikan jauh di sudut hati, Deila rasa cemburu. Satu persatu temannya menamatkan zaman bujang. Dia entahkan bila nak sampai seru.

“Terima kasih, Del. Kau tu pun dah tak lama lagi kot. Tak sabar nak tengok kau bersanding dengan lelaki kacak tu. Pasti kecoh satu kampung tengok korang berdua. Bagai pinang dibelah dua!”

Berubah terus air muka Deila. Ah, lupa! Opah dah sebarkan ke serata tempat berita tak benar itu. Tak hairan jika Tehah bercakap tentang perkara itu.

“Ish, jangan dengar sangat cakap opah tu, Tehah. Saya dan lelaki tu tiada apa-apa hubungan.” Nafi Deila sungguh-sungguh. Tehah tersengih penuh makna.

“Iya ke takde apa-apa? Habis tu, yang lelaki tu asyik pandang kau kenapa?”

Eh? Tersentak, Deila pantas menoleh ke arah anak mata Tehah. ZZZET! Terasa tubuh disengat arus elektrik saat pandangan bertaut dengan Rhett.

“Lelaki tu dah sah tergila-gilakan kau, Del.” Usik Tehah lalu menyenggol bahu Deila dengan bahunya. Deila tersentak lagi. Cepat-cepat dia larikan mata dari terus ditatap oleh Rhett. Wajah berbahang. Dia tiba-tiba rasa malu yang teramat lalu cuba mengipas-ngipas wajah dengan tapak tangan.

“Cepat-cepatlah suruh lelaki tu masuk meminang, Del oi! Dah parah korang berdua ni saya tengok.”

Eh, Tehah ni kan, pandai-pandai je buat kesimpulan. Deila terus menarik wajah masam. Tehah tergelak lalu menampar lembut bahu Deila.

“Kau jangan cakap yang bukan-bukan Tehah, malu saya dengan orang kampung nanti.” Bidas Deila dengan suara rendah.

“Kau tak pernah bercinta kan? Saya tahu bagaimana rasanya jatuh cinta Del. Saya yakin dengan penglihatan saya tau. Kau tak percaya? Cuba kau berbincang dengan lelaki tu dari hati ke hati.”

Deila kemam bibir. Patutkah dia buat macam tu? Tapi Rhett cuma singgah sebentar. Tak lama lagi, lelaki itu akan blah dari kampung mereka. Lagi pun, mustahil lelaki seperti Rhett akan jatuh cinta kepada gadis kampung seperti dia. Deila pantas menggeleng. Semua ni sebab opahlah, ish!

“Jangan fikir yang bukan-bukanlah Tehah. Saya berserah saja pada jodoh. Saya dah nak balik ni. Risau pula dengan opah tu kalau lewat malam balik.”

“Yela, terima kasih tau sudi datang tolong tadi. Nanti majlis kahwin kau saya pasti akan datang tolong, promise!” Deila hanya tergelak. Mereka berbalas pelukan sekali lagi sebelum Deila beredar untuk mencari opah.

Deila memandang sekeliling. Ke mana pulak opah dan Rhett? Tadi ada je dia nampak. Deila mencari sampailah ke dapur. Tiada juga. Dia kemudian bergegas keluar. Mungkin opah berlegar-legar di halaman rumah Tehah yang siap dipasang khemah supaya tetamu dekat luar lebih selesa.

“Hai!” Ketika berada di laman, Deila ditahan oleh seorang pemuda. Dia tidak pernah melihat pemuda itu sebelum itu. Mungkin dari kampung sebelah, datang bersama rombongan meminang.

“Dari tadi saya perhati awak. Boleh berkenalan tak? Nama Saya Dhani. Awak pula?”

Deila tersengih lebar. Nak saja dia lari cari opah dan tunjuk kepada opah yang dia masih laku. Jadi, tak perlulah opah risau sangat sampai sibuk nak carikan jodoh untuk dia.

“Nama saya Deila. Awak dari kampung sebelah ke? Saya tak pernah nampak awak sebelum ni.” Deila menjawab dengan ramah. Siapa kata dia tak laku?

“Eya, saya merupakan salah seorang dari rombongan pihak lelaki. Saya sepupu sekali bakal pengantin lelaki hehe.” Deila ikut tersenyum bila lelaki bernama Dhani itu tergelak halus.

“Oh, macam tu. Saya pula kawan baik bakal pengantin perempuan.” Terang Deila tanpa dipinta.

“Oh ya ke? Kalau macam tu senanglah nak cari awak nanti.”

“Eh, mestilah. Saya buka ke…”

“Del!!!”

Omak kau! Hampir saja Deila terlompat bila namanya dilaung dengan kuat hingga buat beberapa pasang mata berhampiran kelam kabut menoleh kerana terkejut, termasuklah Deila dan Dhani. Deila undur setapak bila lihat Rhett Raffendy menghampiri dengan wajah kelat. Dia nak cari gaduh ke apa?

“K… kenapa?” Deila tanya dengan suara terputus-putus. Bukan takut tapi dada tiba-tiba bergetar melihat air muka Rhett ketika memandang dia dan Dhani silih berganti. Macam mahu telan orang!

“Opah ajak balik!” Kasar Rhett jawab. Wajah tanpa secebis senyuman, apalagi kemesraan. Macam mahu pergi berperang gaya Rhett ketika itu.

“Maaf… awak siapa?” Dhani menyampuk, kurang senang bila perbualan dia dan Deila terganggu. Rhett memandang Dhani dengan mata marak dibakar api cemburu.

“Saya bakal suami Deila!” Hampir tercabut kuping telinga Deila dengar jawapan Rhett. Marak berapi bola mata saat dia tenung Rhett. Tanpa meminta kebenaran, Rhett tarik tangan Deila untuk pergi dari situ. Dhani hanya mampu memandang dengan mulut melopong.

“Kau kata apa tadi?!” Setelah mereka berada agak jauh, Deila bertanya geram lalu merentap kasar tangannya dari pegangan Rhett.

“Saya cakap apa? Rasanya takde!” Rhett tayang muka selamba buat dada Deila seakan mahu meletup saat itu.

“Kau betul-betul nak jadikan saya anak dara tua tak laku-laku dekat kampung ni kan? Kau memang penjahat!!!” Terpempan Rhett bila lihat bola mata Deila mulai berkaca saat menatap dia. Timbul rasa bersalah bila lihat keadaan Deila.

“Del, tunggu!” Deila yang sudah mengorak langkah dengan laju Rhett kejar sepantasnya.

“Del?! Kau nak ke mana tu? Tunggulah opah!” Jeritan opah sontak mematikan langkah Deila. Air mata cepat-cepat dikesat. Dia tidak mahu opah lihat dia menangis.

“Opah, jom balik.” Deila mara ke arah opah lalu menggamit lengan opah. Mereka jalan beriringan. Rhett terpaksa membantutkan niat dan hanya diam mengekori di belakang.

Ketika keluar dari perut kereta dan mereka kini sedang melangkah menghampiri pintu rumah, Rhett menarik lengan Deila secara senyap-senyap.

“Del, saya nak cakap sikit dengan kau.” Pinta Rhett penuh mengharap. Opah yang sudah melangkah lebih dulu di antara mereka buat tak tahu dan meneruskan langkah sambil menguap dengan suara yang sengaja dikuatkan.

“Opah masuk tidur dulu. Opah letih sangat.” Buru-buru opah mengatur langkah meninggalkan mereka berdua di halaman rumah.

Deila hanya memandang sekilas ke arah opah sebelum berjalan menuju ke pangkin yang diperbuat dari batang buluh. Dia duduk di atas pangkin lalu mendongak, merenung langit yang terbentang luas dihiasi bintang-bintang bergemerlapan.

“Del, saya nak minta maaf. Saya tahu saya salah. Tak patut saya kata macam tu tadi.” Rhett melabuhkan punggung di sebelah Deila sebelum memulakan bicara. Deila diam tak berkutik. Bebola mata masih tertancap ke langit hitam pekat. Dia suka suasana malam, lebih-lebih lagi bila duduk di pangkin itu dan mendongak ke langit. Terasa begitu sempurna bumi ciptaan Tuhan.

“Saya sebenarnya… tak tahu apa yang terjadi kepada diri saya sejak akhir-akhir ni.”

“Sebab itu, kau kena cepat-cepat pergi dari sini. Jangan tambah keruhkan masalah yang opah dah cetuskan.”

Rhett merenung Deila sejenak. Terpukul dengan kata-kata Deila. Tak semena-mena, tangan Deila disentuh perlahan. Hampir terlompat Deila dibuatnya. Laju Deila toleh lalu memicing mata merenung Rhett.

“Kau buat apa ni, Rhett?” Dingin nadanya tetapi dada berdentam dentum saat itu. Deila sendiri hairan dengan reaksi tubuh bila bersentuhan dengan Rhett.

“Saya nak beritahu kau sesuatu, Del.”

Deila cuba menenangkan diri. Saat itu dia benar-benar rasa gemuruh. Lebih gemuruh berbanding ketika dia mengambil keputusan peperiksaan dahulu. Rhett juga kelihatan sedikit tergagap ketika itu.

“Apa dia?” Setelah beberapa saat menunggu, Deila tanya tanpa kesabaran. Bukankah penantian itu satu penyeksaan? Dia terseksa menunggu bicara Rhett walau pun yang berlalu tu cuma saat, bukan minit apatah lagi jam. Rhett berdeham halus, cuba meluaskan salur kerongkong yang tiba-tiba macam tersumbat.

“Saya dah…urm… saya dah… rasanya saya dah tersuka kau, Del.”

Mendadak Deila berdiri tegak lalu mengipas wajah dengan tapak tangan. Tak cukup dengan itu, Deila berjalan mundar mandir buat beberapa saat. Terpegun Rhett memandang.

“Del?”

“Kau cakap apa tadi? Cuba ulang balik.” Pinta Deila sambil terus mundar mandir di hadapan Rhett.

“Saya sukakan kau, Deila Araferro. Saya ikhlas nak ajak kau bercinta dengan saya.”

Ber… bercinta?!

Fuh! Semakin rancak Deila kipas wajah. Semakin rancak kaki bergerak mundar mandir di hadapan Rhett. Tak! Ini pasti mimpi. Deila cubit pipi kiri. Sakit! Tak puas hati, dia cubit lagi pipi kanan. Sakit!

“Del!”

“Apa?!” Deila hampir menjerit. Tercengang Rhett memandang Deila. Dia salah apa sampai ditengking oleh gadis itu?

“Deila Araferro!” Rhett sudah hilang sabar. Lengan Deila ditarik kuat. Deila yang langsung tak bersedia hilang kawalan tubuh. Deila rebah sebelum disambut dan berakhir di dalam pelukan Rhett. Terkejung sekujur tubuh! Rhett tersenyum penuh kemenangan. Wajah dirapatkan. Deila tergamam sampai tak mampu membuka mulut untuk menyembur kata-kata pedas seperti yang selalu dia lakukan.

“Saya cuma ajak kau bercinta. Tak perlu menggelabah teruk macam ni.”

Gila tak menggelabah. Ini pertama kali seorang lelaki ajak dia bercinta. Dulu, ada juga lelaki yang cuba mengorat dia waktu sekolah menengah dan ketika dia masih menuntut di universiti. Tapi tak pernah ada yang direct terus ajak dia bercinta macam yang Rhett buat.

“Saya… tak pandai… bercinta.” Akui Deila sejujurnya dengan suara terputus-putus.

“Cinta tu datang secara semulajadi, tak perlu belajar. Kau cuma perlu buka hati untuk saya masuk dan terus bertakhta di hati kau.”

Ah, mengapa kata-kata itu terlalu sweet untuk didengar? Deila tersipu malu.

“Tapi… kau akan pergi.”

Kata-kata Deila buat Rhett terjeda untuk berfikir.

“Itu kita fikirkan kemudian. Tapi, selagi ada jalan yang menghubungkan, selagi kita berada di bawah langit yang sama… rasanya tiada alasan untuk kita tidak bertemu walau pun saya jauh di bandar dan kau jauh di kampung.”

Deila terdiam. Dalam hati, turut mengiyakan kata-kata Rhett. Pandangan Rhett yang tidak beralih dari wajahnya buat Deila semakin tidak keruan. Macam terpanggang wajah dia ketika itu.

“Saya perlukan jawapan, Del. Nak bercinta dengan saya tak? Jadi teman wanita saya, please?”

Deila tersipu-sipu malu. Yang pasti, Rhett sudah nyatakan yang mereka tetap akan bertemu kembali walau pun Rhett akan berangkat pergi tidak lama lagi. Itu sudah cukup menyakinkan Deila.

“Kita cuba!” Deila jawab malu-malu dengan suara perlahan. Rhett tersenyum bahagia.

“Yeay, Del dah sah jadi girlfriend Rhett.” Rhett bersorak dengan suara tertahan, terikut Deila guna suara rendah walau pun dia benar-benar rasa mahu melompat dan buat gimnastik belakang saat itu.

Bebola mata Rhett turun merenung dua ulas bibir Deila. Selepas didatangi Deila dalam mimpi, keinginan mahu menyentuh bibir merah merekah itu begitu melonjak. Rhett memandang Deila sesaat, seolah memberi isyarat kepada Deila sebelum bebola mata kembali menatap bibir Deila. Air liur sempat diteguk. Perlahan, Rhett menghapuskan jurang antara mereka. Deila terus memejam mata saat kehangatan Rhett menjamah lalu meresap ke seluruh tubuh. Tanpa perlu dipaksa, tanpa perlu diminta… tubuh mulai bertindak balas.

Ni smbungan bab yg spatutnya sy publish smlm tetapi x siap hihi, hope u enjoy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience