Rate

1 | Eldemar

Fantasy Series 816

Ia bermula lima tahun yang lalu. Ketika itu manusia hidup aman dan damai meskipun arus permodenan memakan hampir semua sumber semula jadi yang ada. Namun mereka masih mampu hidup dan mempunyai tempat yang dipanggil rumah. Sehinggalah kemunculan mereka yang memusnahkan segalanya.

Manusia menggelarkan mereka sebagai Void, disebabkan bentuk fizikal mereka yang berubah-ubah dan tidak mempunyai wajah. Void berketinggian hampir sama seperti manusia, yang membezakan adalah ia memiliki suhu yang tinggi hingga apa yang disentuh menjadi lebur dalam sekelip mata. Manusia yang dipegang akan hangus terbakar, meninggalkan serpihan tulang di lantai.

Tidak ada siapa pun tahu bila mereka tiba. Yang diketahui hanyalah bila lubang galaksi atau wormhole muncul di sesuatu tempat, membawa paling banyak setakat ini tiga Void yang bersaiz sederhana.

Sehingga hari ini, hampir separuh dari negara di bumi sudah lenyap dari peta dunia. Yang tinggal hanyalah negara besar yang sukar untuk ditakluki dan juga...

Eldemar.

***

"Hei, Kairy!"

Kairy menoleh ke belakang. Belum sempat dia menyoal, sesuatu yang lembut tetapi kenyal menghentak dahinya yang luas. Tubuh Kairy terdorong ke belakang lalu terjatuh ke lantai tanah. Berpinar terasa matanya.

"Gol! Hebatlah kau, Ryan!"

Tawa riang bergema di gegendang telinga Kairy. Perlahan-lahan remaja itu bangun, mengimbangi tubuhnya dan menepuk punggungnya yang berpasir. Beg sandang yang jatuh tadi diambil lalu disangkut semula di bahu.

Kairy tidak berkata apa bila tiga remaja lelaki yang lebih tinggi darinya sedang memandangnya dengan mata penuh sinis. Dia tahu apa saja yang dilawannya akan mendapat balasan tiga kali ganda. Kairy pernah melaluinya dahulu dan pengakhirannya, dia terpaksa berehat di rumah selama seminggu akibat lebam di wajah.

"Nak apa?" Tanya Kairy separuh berbisik. Bahunya merapat ke leher, tali beg digenggam erat. Dia tidak berani menentang mata ketiga-tiga remaja itu, takut mendapat habuannya lagi.

"Kau takut apa ni?" Dahi Kairy ditunjal beserta dekahan ketawa.

"Aku tak buat apa-apa salah pun kali ni," Kairy menjawab berani, namun mata masih menekur di lantai. Dan seperti yang dijangkakannya, satu tumbukan padu hinggap di perut. Berdesir suara Kairy saat dia menahan kesakitan.

"Dah pandai menjawab," kata remaja yang berdiri di tengah. Tubuhnya lebih tinggi dan sasa berbanding yang lain. Rambut hitamnya disikat rapi, berpakaian kemas dan harumannya semerbak di laman belakang sekolah itu. Sejak tadi dia hanya memerhati dengan senyuman sinis, tidak sekalipun menyentuh Kairy.

"Kau nak apa lagi, Raes?" Kairy menyoal remaja itu. "Aku dah buat semua yang kau suruh. Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku?"

Kairy rasa mahu menjerit. Hidupnya tidak pernah aman semenjak Raes berpindah ke bandar kecil itu. Setiap hari ada saja tidak kena di mata Raes dan semuanya perkara yang remeh-temeh. Baik dari warna pakaian Kairy hinggalah ke cara Kairy berjalan. Disebabkan itu Kairy terpaksa datang ke sekolah selepas loceng bermula berbunyi. Dan sebab itu juga setiap hari Kairy akan didenda berdiri untuk satu waktu.

"Dah aku terserempak dengan kau, nak buat macam mana," kata Raes selamba. Bola sepak ditangannya dibaling ke kiri dan ke kanan. Kairy jadi kecut perut, takut-takut benda bulat itu akan mengenai tubuhnya lagi.

"Sampai bila kau orang nak buli aku?" Kata Kairy, mengangkat wajahnya buat pertama kali. Penumbuk dikepal demi menahan amarah yang membuak. Sudah lebih dua bulan dia terpaksa menahan segala tohmahan dan buli yang dilakukan. Tidak sekalipun Kairy cuba untuk melawan kerana sedar dia lemah. Nak panggil kawan untuk tolong? Di sekolah itu, tak, di bandar itu tiada seorang pun yang sudi berkawan dengannya. Sudahlah tidak berharta, anak yatim piatu, lembik lagi tu! Sekali Raes tolak, Kairy sudah jatuh terlentang. Tapi itu tidak bermakna Kairy merelakan harga dirinya diperkotak-katikkan.

Dengan hanya berketinggian 163cm, Kairy tidak ubah seperti arnab di hadapan singa yang kelaparan. Namun Kairy sudah bosan diarah dan dimaki. Raes patut sedar yang pendatang sepertinya tidak layak memperlakukannya sebegitu rupa.

Raes terdiam. Dia menjeling rakan-rakannya yang membuat muka terkejut. Tiba-tiba dia ketawa, seolah kemarahan Kairy sesuatu yang lucu baginya.

"Kau nak buat apa? Nak tumbuk aku? Hah?!" Raes menolak bahu Kairy kasar, berkali-kali sehingga remaja itu sehingga dia terdorong ke belakang. "Jomlah, kita lawan. Aku nak tengok macam mana lelaki lembik macam kau ni boleh kalahkan aku."

Kairy tidak sempat melawan bila kolar bajunya ditarik kasar oleh dua orang remaja yang sering bersama dengan Raes. Ryan dan Bron. Konco Raes yang patuh dengan segala perintah dan arahan remaja itu. Tidak tahu kenapa mereka begitu taat. Mungkin kerana mahukan perhatian dan mata kabur dengan kekayaan Raes. Mana taknya, dimana saja Raes berada, semua mata tertumpu pada remaja itu.

Selain menjadi orang terkaya di bandar kecil itu, rupa paras Raes juga boleh tahan. Dengan kulit yang cerah dan mata yang redup, Raes digilai oleh budak-budak perempuan di bandar itu. Namun tidak ramai yang tahu. Di depan Raes seperti lelaki budiman yang peramah dan sering tersenyum, tetapi di belakang dia menjadikan Kairy sebagai tempat melampiaskan kemarahan dan kebosannya.

Kairy ditarik dan ditolak sehingga belakang badannya merasai pagar berdawai. Matanya meliar memerhati keadaan sekeliling. Bila menyedari lokasi dimana mereka berada, dia menjadi panik.

"Kita buat apa kat sini?" Soal Kairy resah. Kesakitan di bahagian belakang tidak dihiraukannya.

"Buat apa? Kan kau nak tunjuk berani tadi, jadi kita lawanlah," kata Raes sambil melipat hujung bajunya sehingga ke lengan. Bron dan Ryan sudah tersengih-sengih seperti kerang busuk.

"Kita di belakang sekolah," kata Kairy lambat-lambat. Dia cuba mencari satu jasad yang mungkin melalui kawasan itu namun hampa. Belakang sekolah adalah tempat yang jarang sekali dikunjungi oleh mana-mana pelajar atau guru. Pendek kata, ia kawasan yang terbiar kerana terletak berdekatan dengan hutan belantara. Di kiri kanan cuma ada pohon. Kalau dia mati dibelasah di situ, tiada siapa yang akan sedar kehadiran mayatnya.

Memikirkan itu, Kairy jadi gerun. Menggunakan sekuat tenaganya, dia cuba melepaskan diri dari rangkulan besi Ryan namun remaja berbadan gempal itu dengan mudah saja menolak tubuhnya hingga dia terduduk di tanah.

Raes ketawa. Pandangannya penuh sinis. "Dengan tenaga macam kapas tu kau nak lawan kitorang?"

"Kenapa korang asyik kenakan aku? Apa salah aku sampai tengok aku je, korang mesti buli aku?" Kairy rasa mahu menyerah. Ikutkan hati yang sakit, sudah lama dia berhenti sekolah. Dia lebih rela mencari kerja daripada membiarkan dirinya dibuli. Tapi bila mengenangkan Mak Cik Lara yang mahukan dia berjaya dalam kehidupan, Kairy terpaksa menguatkan dirinya untuk menghabiskan sekolah yang cuma tinggal setahun saja lagi. Selepas itu, dia akan jadi seorang lelaki dewasa yang bebas pergi ke mana saja. Cita-citanya? Mahu keluar dari Eldemar. Itu yang Kairy tunggu selama ini.

"Kenapa? Sebab kau annoying. Aku benci lelaki lembik, yang pengecut." Mata redup Raes bersinar garang, seolah memancar kebencian terhadap sesuatu yang Kairy kurang pasti kenapa. Benci kerana dia lemah? Ada lebih ramai lagi remaja seusia mereka yang tidak aktif, tidak kuat walaupun Kairy yang mengungguli carta. Namun begitu itu bukan sebab kukuh untuk Raes memilihnya.

"Itu je?" Tanya Kairy pelik. Kemarahan tiba-tiba membuak naik. Hanya itu saja sebab Raes membulinya? Sangat tidak rasional!

"Tak cukup ke?" Jawab remaja itu tenang. Dia sudah bersedia dengan dirinya - beg dibaling ke tepi, rambut disikat ke belakang dan baju dilipat kemas.

Rasa amarah Kairy hilang bertukar cemas. Kelam-kabut dia cuba berdiri, tali beg sandang digenggam kuat. "Kejap- tunggu." Akalnya mencari seribu alasan sambil dalam hati berdoa agar mana-mana cikgu, hatta tukang kebun sekalipun untuk melintas di kawasan itu. Walaupun harapan itu tipis, Kairy masih berdoa.

"Kita -" Kairy teringatkan sesuatu yang tidak munasabah, yang dia baca setiap hari di internet. Ia memang perkara yang mustahil tapi untuk menyelamatkan dirinya sekarang, itu saja yang dia dapat fikirkan.

"Macam mana kalau Void muncul?"

Nah, sangat tidak rasional, kan? Macam mana makhluk asing yang digemparkan dalam internet boleh muncul di Eldemar. Ya, kita sekarang bercakap tentang Eldemar, sebuah negara kecil yang sangat terlindung dan tidak muncul di peta dunia. Kedudukannya juga tidak diketahui oleh sesiapapun, malah dikaburi dengan sistem perisai yang membuatkan Eldemar seolah seperti sebuah gunung. Tiada siapa yang pernah keluar dari Eldemar dan tiada siapa pernah masuk. Sebab itu Kairy mahu keluar. Sudah lebih 16 tahun dia hidup di bandar dengan hanya melihat langit yang sama. Kairy sudah bosan dengan hidupnya, seolah dirinya terperangkap dalam penjara.

Tidak sesaat pun dia merasakan hidupnya tidak disia-siakan oleh benda yang sama dan berulang-ulang. Bangun pagi, pergi sekolah, balik ke rumah, bantu mak ciknya berniaga di kedai hingga ke malam dan akhirnya tidur. Satu putaran yang membosankan! Ditambah lagi dengan kejadian membuli ini, Kairy jadi semakin stress.

"Void?" Raes ketawa terbahak-bahak, kuat sehingga Kairy berharap ia akan menarik perhatian orang lain. "Kau pernah tengok Void ke?"

Kairy terdiam. Sejujurnya, dia tidak pernah. Bahkan di internet, tiada satu pun gambar atau video yang menunjukkan rupa makhluk asing itu secara jelas. Semuanya kabur dan jauh. Dengar kata, sentuhan Void mampu mencairkan apa-apa objek termasuk manusia. Itu apa yang Kairy baca dan dengar.

"Tak pernah kan? Kau tak tahu ke dalam sejarah tak pernah walau sekalipun Void muncul di sini. Ini Eldemarlah." Raes beri senyuman mengejek, puas hati dengan kebisuan Kairy. "Lagipun..."

Raes menyelongkar beg sekolahnya sambil diperhati dengan penuh minat oleh Bron dan Ryan. Tiada perkataan yang terkeluar dari bibir Kairy apabila remaja seusianya itu mengeluarkan sesuatu berwarna perak yang dia yakin, kanak-kanak berumur tiga tahun pun tahu.

Kairy terlopong. Rasa tidak percaya menghantui dirinya. Bagaimana Raes boleh memiliki objek yang diingini oleh semua manusia di bumi?

"Woah, kau ada Diginer?" Jerit Bron teruja.

Raes tersenyum bangga manakala Kairy masih lagi tidak mempercayai bagaimana Raes boleh memiliki Diginer.

Diginer atau Digital Partner. Ia adalah satu alat digital berbentuk sarung tangan tetapi menyelaputi bahagian atas tangan saja. Ia berwarna perak dan mempunyai sebiji batu di tengahnya. Kairy belum pernah melihat Diginer secara langsung di depan matanya, selalunya melalui gambar di internet. Apa yang membuatkan alat itu diingini oleh semua orang adalah ia boleh berubah bentuk dan kebanyakannya adalah haiwan. Tapi sebab lain yang utama adalah ia satu-satunya senjata untuk melawan Void.

"Mustahil," gumam Kairy, mata tidak lepas memandang ke arah tangan kanan Kairy. "Macam mana kau boleh dapat benda tu?"

"Apa benda-benda? Ini Diginer okay. Kau ingat aku curi eh?" Marah Kairy. "Papa aku beri tau. Mungkin kau tak tahu tapi dia salah seorang saintis yang cipta alat ni. Normallah aku dapat satu."

"Serious, Raes? Hebatlah papa kau! Boleh tak kau minta satu untuk aku?"

Perbualan Raes dengan rakan-rakannya tidak Kairy pedulikan. Otaknya masih mencerna kelogikan bagaimana remaja itu boleh memiliki Diginer. Setahu Kairy, hanya orang tertentu saja yang dapat memiliki alat itu.

"Korang nak? Nanti aku minta dengan papa aku-"

Tiba-tiba bunyi siren memecah kesunyian, panjang dan penuh amaran. Selama Kairy hidup, siren yang dipasang di setiap penjuru bandar itu tidak pernah berbunyi dan hanya ada satu sebab saja kenapa ia diaktifkan.

Eldemar telah diserang.

***

A/N: Siri baru - dystopia+sains fiksyen. Sambil-sambil menulis Alveria, tiba-tiba teringin plak nak tulis cerita dystopia. Cerita ni terhasil dari gabungan beberapa anime yang saya minat. Mungkin agak tipikal and basically cerita syok sendiri wakaka. Apa pun harap korang enjoy cerita ni! ????

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience