BAB 5

Family Completed 32037

Hari ini sudah dua bulan, ibu tiada disamping aku. Hari ini tiada lagi panggilan daripada ibu. Pak cik pula baru balik sahaja pulang dari kerja. Malam itu pak cik hanya menggoreng telur dadar dan sambal belacan. Aku tidak selera untuk makan kerana hari ini ibu tidak menelefon aku.

“Pak cik...”

“Ya sayang?”

“Medina rindu ibu... tadi beberapa kali Medina telefon ibu... tak jawab.”

Air mataku mengalir ke pipi. Tangan aku menguis-nguis nasi di dalam pinggan.

“Sabarlah Medina. Ibu sibuk barangkali. Tak boleh selalu telefon. Kerja sebagai pembantu majikan di Kuala Lumpur sana agak susah dan sibuk. Jangan menangis. Mari sini pak cik suap Medina makan.”

Pak cik menggumpal nasi di dalam pingganku lalu masuk ke dalam mulutku dengan perlahan. Aku menyeka air mataku yang tidak putus-putus mengalir. Malam itu, aku tidak boleh tidur. Terpusing sana, terpusing sini. Aku menyedapkan hatiku bahawa ibu berpenat-lelah mencari rezeki untukku. Aku akan tunggu ibu di hadapan pintu setiap satu bulan kerana ibu telah berjanji bahawa ibu akan balik sebulan sekali.

Keesokannya, aku pergi ke surau dihantar oleh pak cik dengan menunggang motorsikalnya. Aku mengikuti kelas mengaji yang diajar oleh Ustaz Umar.

“Assalamualaikum Aaliya Medina..”

Seorang budak lelaki mungkin sebaya denganku memberi salam sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam kawasan surau.

“Waalaikumussalam. Awak siapa ya? Macam mana tahu nama saya?”

Budak lelaki itu tersenyum.

“Nama saya Uwais Al- Qarni Bin Umar Rahimi. Walid saya beritahu awak pelajar baru.”

“Oh, awak anak ustaz Umar ya?”

Dia mengangguk sambil tersenyum. Senyumannya tak pernah lekang daripada bibirnya. Aku membalas senyumannya.

“Marilah, kita mengaji bersama-sama. Walid saya sudah masuk ke dalam tu.”

Aku mengekori langkahnya masuk ke dalam surau yang berwarna biru cair itu. Sungguh menenangkan. Ustaz Rahimi mengajarku dengan penuh lemah-lembut dan kadang-kala tegas. Aku semakin mahir membaca Al-Quran. Hukum tajwid dan pelbagai lagi banyak aku sudah belajar. Uwais turut membantuku. Uwais hanya tua setahun daripadaku.

“Medina, boleh tak kita berborak dengan pangkin sana? Walid masih di surau ada beberapa orang tengah berborak dengan walid.”

Aku mengangguk lalu duduk di bawah pangkin bersama Uwais. Pangkin tersebut terletak di bawah pokok mangga. Kelihatan buah mangga sedang memasak. Nampak enak sahaja...

“Jadi, awak macam mana dengan keluarga awak? Awak tinggal dengan siapa?”

“Saya tinggal dengan ibu dan pak cik tapi buat masa ni ibu berhijrah ke Kuala Lumpur atas urusan kerja di sana. Dia akan pulang sebulan sekali tapi...”

“Kenapa Medina?”

“Sudah sebulan ibu tidak pulang, katanya sibuk sangat sehingga susah untuk mendapat cuti. Saya amat merindui ibu...”

Aku tak dapat lagi menahan tangisan di mataku.

“Sabarlah Medina. Ibu awak juga merindui awak.”

“Esok dah mula bersekolah... saya nak ibu temankan saya esok ke sekolah.. itu sahaja saya mahu.”

“Sabar ya Medina. Allah SWT sayang orang yang bersabar.”

Aku mengangguk perlahan lalu mengelap air mataku yang sudah membasahi pipi. Uwais masih kekal dengan senyuman. Dia memang seorang yang pemurah dengan senyuman sama seperti walidnya, Ustaz Umar. Ustaz Umar menghantar aku pulang ke rumah. Nampaknya pak cik belum lagi balik daripada kerja, terpaksalah aku duduk seorang di rumah. Rasa takut pula, cuaca pula seperti mahu hujan.

Kilat mula berdentam-dentam. Hujan turun dengan lebat. Aku sudah tidak tentu arah. Bermundar-mandir. Kemudian aku menyorok duduk di belakang sofa sambil menutup dengan selimut yang aku ambil dari dalam bilik.

Dumm!

“Ahhhh! Ibu, Medina takut...”

Aku menjerit kuat apabila terkejut mendengar bunyi dentuman kilat yang paling kuat. Aku menggigil ketakutan. Aku nak ibu, cuma nak ibu! Aku menangis teresak-esak.

“Medina, kenapa menangis ni? Medina takut kilat?”

Aku terus menerpa ke arah pak cik yang pakaiannya basah lencun. Pak cik mendukung aku lalu memelukku erat.

“Pak cik nak mandi sekejap, nak tukar pakaian. Medina duduk sini diam-diam, ya.”

Aku mengangguk. Aku memandang telefon pak cik sepi. Ibu dah lama tak call aku. Hanya dua belas kali sahaja call pada hari permulaan ibuku pergi ke Kuala Lumpur. Esok aku akan mula bersekolah semula tanpa ibu...

Malam itu aku hanya menjamah biskut kering dan air kosong. Tidak selera untuk makan makanan berat. Pak cik yang sedang makan asyik memandang aku yang sedang termenung jauh ke luar jendela. Aku masih tidak puas hati, aku terus mencapai telefon bimbit pak cik lalu mendail nombor ibu.

Tut.. tut.. tut.. tut..

Kali kelima bunyi barulah ibu angkat dengan suara seperti terlalu penat.

“Assalamualaikum ibu...”

“Waalaikumussalam Medina. Kenapa call malam? Ibu penatlah... baru sampai rumah.”

Hati aku sedikit terusik dengan cara percakapan ibu yang seperti tidak mahu bercakap dengan aku.

“Medina rindu ibu... rindu sangat. Esok Medina akan bersekolah semula... ibu bila nak balik, bu?”

Aku terdengar ibu mengeluh lama kemudian barulah ibu menjawab soalanku.

“Berapa kali ibu nak cakap Medina? Ibu sibuk sangat. Bos ibu tak bagi cuti lagi memandangkan ibu baru sahaja masuk bekerja. Nanti ibu nak balik ibu akan beritahu. Medina jangan pandai-pandai call ibu kalau ibu tengah bekerja ataupun masa hari bekerja. Ibu kadang-kala hari Ahad pun kerja tahu. Penat. Medina fahamlah sikit...”

Air mataku mengalir deras tanpaku sedari. Suara ibu kedengaran dingin.

“Takpe ibu. Maafkan Medina. Assalamualaikum, Medina sayang ibu.”

Ibu terus mematikan talian tanpa menjawab apa-apa. Aku meletak telefon bimbit pak cik di atas meja kemudian aku berlari masuk ke dalam bilik, menekup bantal sambil menangis teresak-esak. Aku tahu aku salah menelefon ibu tika ibu sedang kepenatan cuma aku tak boleh tahan lagi kerinduanku pada ibu.

“Medina, kenapa menangis ni?”

Pak cik menarik aku masuk ke dalam dakapannya. Tersedu-sedan aku menangis. Aku tidak menceritakan tentang hal tadi kepada pak cik kerana itu semuanya salah aku. Takpelah, aku yang bersalah telah membuat ibu marah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience