Bab 4

Romance Series 297502

KELUAR saja daripada bilik, Aileen melangkah ke dapur. Mahu membantu ibu dan makcik-makciknya menyediakan sarapan. Hayl pula duduk di pangkin hadapan rumah sambil berbual dengan bapa saudara Aileen.

“Amboi... Sampai sembab mata kau ya Leen. Suami kau tak bagi kau tidur ke malam tadi?” Memetir suara mak ngah menegur. Disambut dengan gelak ketawa yang lain.

Aileen ketap bibir. Belakang lehernya diusap perlahan. Mesti mereka fikir matanya sembab sebab tak cukup tidur. Padahal dia menangis teruk malam tadi.

“Mana ada mak ngah,” nafi Aileen segan.

“Biasalah tu. Pengantin baru. Mak long pun masa mula-mula kahwin, macam Leen juga. Jangan dilayan mak ngah Leen ni. Dia apa tahu.” Kali ini mak long yang sedang menumis sambal itu pula yang bersuara.

Aileen hanya ketawa. Dia membantu mak su nya mengupas bawang. “Nak masak apa ni?” soalnya.

“Pagi ni nak masak nasi lemak dengan mi goreng. Hayl makan kan?” soal mak su.

Aileen mengangguk. “Hayl makan je. Dia tak memilih.”

“Baguslah kalau macam tu. Senang Leen nak masak nanti bagi dia makan,” celah mak lang.

“Apa? Leen masak? Hmm... Alamatnya kelaparanlah menantu aku tu kalau nak tunggu Leen yang masak.” Mak Siti yang sedari hanya menjadi pendengar bersuara.

“Ibu...” Aileen tayang muka kesian. Memanglah dia tak tahu masak. Tapi boleh belajar kan? Lagipun Hayl sendiri tahu dia memang tak pandai memasak. Tapi apa yang Aileen tahu suaminya itu memang pandai memasak. Selalu masuk dapur agaknya. Eh, tapi kau pun selalu masuk dapur juga Leen? Hmm... Masuk dapur cari makanan bolehlah.

“Tak apalah Leen. Semua tu boleh belajar lepas kahwin,” ujar mak long.

Aileen mengangguk setuju.

“Rancaknya borak. Dah siap ke nasi lemaknya?” sapa suara garau itu.

Mereka semua menoleh ke pintu dapur. Figura Adam terjengul di situ. Adam ialah anak kepada mak lang. Sepupu Aileen yang paling rapat sekali dengannya kalau nak dibandingkan dengan sepupu-sepupunya yang lain.

“Haa Adam, ada ke roti canainya? Punyalah lama kau pergi beli roti canai. Ke kau pergi mengorat Milah janda tu?” soal mak ngah.

Mereka semua ketawa. Dah kenal sangat dengan mulut mak ngah yang berbisa itu. Kalau orang luar yang baru kenal mak ngah mesti kecil hati mendengar ujaran mak ngah.

“Orang ramailah mak ngah. Berpeluh-peluh Adam tunggu,” balas Adam seraya melangkah masuk ke dapur. Plastik roti canai yang dibelinya tadi dihulurkan pada Aileen.

Aileen terus bangun dan mencapai pinggan di rak. Roti canai di dalam plastik itu dikeluarkan lalu diletak ke dalam pinggan. Kuah dal pula dituang ke dalam mangkuk.

“Sedapnya roti canai ni. Dah lama Leen tak makan,” ujar Aileen. Dia jarang pulang ke kampung. Sibuk bekerja di bandar. Sebulan sekali pun susah nak balik.

“Leen punya pasal, abang sanggup beratur lama-lama,” balas Adam. Mak uda ada cakap yang Aileen teringin nak makan roti canai. Itu yang pagi-pagi dia sanggup keluar mencari roti canai Pak Ali.

“Dekat KL tu tak ada jual roti canai ke Leen?” soal mak ngah.

“Bukan tak ada mak ngah. Ada. Tapi rasanya tak sesedap roti canai dekat sini,” jawab Aileen.

“Majlis Leen dah selesai. Kamu pula bila lagi Adam?” soal mak long tiba-tiba.

Adam garu kepalanya yang tidak gatal. Tahun hadapan umurnya nak masuk 30 tahun dah. Tapi sekarang ni bayang jodohnya pun masih belum kelihatan. Bukannya dia tidak laku. Ramai je yang datang mendekat tapi semuanya tak berkenan di mata Adam. Nak buat macam mana, hatinya sudah berkenan pada yang seorang tu.

Aileen. Ya, sudah lama Adam memendam perasaan pada sepupunya itu. Dia tiada keberanian nak meluahkan rasa hatinya. Disebabkan dia takut nak luahkan perasaannyalah dia terlepas peluang untuk memiliki Aileen. Sekarang ni Aileen dah selamat jadi isteri orang. Adam juga yang berputih mata.

Tipulah kalau dia cakap dia tak kecewa bila tengok Aileen kahwin. Waktu awal-awal dia dapat tahu yang Aileen bakal berkahwin, Adam frust menonggeng! Susah untuk dia terima hakikat yang satu itu. Namun siapalah dia untuk menghalang. Jika itu yang membuatkan Aileen bahagia, Adam reda.

“Belum ada jodoh mak long,” balas Adam.

“Nak mak ngah carikan tak? Anak dara dekat kampung ni ramai,” tawar mak ngah. Haa mula dah nak jadi agen pencari jodoh pula.

Adam laju menggeleng. “Tak apa mak ngah. Bila sampai waktunya nanti, kahwinlah Adam ni.” Matanya mengerling sekilas ke arah Aileen.

“Hmm ya lah tu. Jangan tunggu lama-lama sangat Adam. Jadi bujang terlajak nanti,” usik mak su.

Adam hanya senyum. Saat matanya beradu pandang dengan mata Aileen, cepat-cepat Aileen memandang ke arah lain.

SELEPAS menolong makcik-makciknya mengemas dapur, Aileen melangkah ke biliknya. Dia lihat Hayl sedang mengemas pakaian mereka. Lepas asar nanti mereka akan bertolak pulang ke KL semula. Esok mereka sudah mula bekerja.

“Hayl kemaskan beg Leen juga?” soal Aileen.

Hayl senyum lalu mengangguk. Dah alang-alang dia nak kemas beg bajunya, apa salahnya kalau dia kemas beg baju Aileen sekali. Tahu yang isterinya itu sibuk.

“Tak payahlah susah-susah. Leen boleh buat sendiri.” Aileen mahu mengambil pakaiannya yang berada di tangan Hayl tapi lelaki itu terus menarik tangannya lalu Aileen terjatuh ke atas pangkuan Hayl.

“Hayl!” Aileen terjerit kecil.

Hayl pula seronok ketawa. Pinggang Aileen dirangkul. Dagunya diletakkan di atas bahu Aileen.

“Leen...”

“Hmm.” Debar jantung Aileen memukul dada. Berada dekat dengan Hayl dalam keadaan begini buatkan jantungnya hampir tercabut. Memanglah semalam mereka tidur satu katil. Tapi cuma tidur bersama. Tak ada apa-apa yang berlaku pun.

“Leen nervous ke?” soal Hayl. Dapat dia rasakan kegelisahan si isteri tika ini.

Aileen tak menjawab. Dia hanya mengangguk.

“Hayl tak akan sentuh Leen kalau Leen belum bersedia.”

Aileen terus menoleh mencari wajah Hayl. “Hayl... Hayl nak sentuh Leen sekarang ke? Tapi kan... Siang lagi...” soalnya polos.

Soalan yang keluar daripada bibir Aileen mengundang tawa Hayl. Polos betul isterinya itu. Tanpa menjawab soalan Aileen, bibir isterinya itu terus dipagut.

“Leen nak sekarang ke?” soal Hayl sambil menjungkit kening. Sengaja mahu mengusik isterinya itu sebenarnya.

“Hayl...” Merah padma muka Aileen sekarang ni.

Tiba-tiba Hayl ketawa. Ditarik Aileen ke dalam pelukannya erat. “Hayl bergurau je lah.”

Aileen tarik nafas lega. Ah! Hayl memang sengaja nak kenakan dia.

“Tapi kalau malam nanti Hayl nak tuntut boleh?”

Dengan malu-malu Aileen mengangguk. Itu hak Hayl. Tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Walaupun hakikatnya Hayl belum sepenuh hati mencintainya, dia tetap akan menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Mungkin dengan cara ini juga dia dapat membuat Hayl melupakan wanita itu. Dia mahu Hayl terus jatuh cinta kepadanya.

Hayl senyum melihat balasan Aileen. “Okaylah, kita stop cakap pasal ni. Dah merah padam dah muka isteri Hayl ni.” Pipi Aileen dielus perlahan.

“Tahu pun!”

Hayl ketawa. Jemari Aileen diramas lembut. “Leen memang rapat ya dengan Adam tu?” soal Hayl tiba-tiba.

“Rapat. Rapat sangat. Dah macam adik-beradik. Kami ni sama-sama anak tunggal. Jadi Abang Adam je lah tempat Leen menumpang kasih.”

Hayl mengangguk mendengarnya. Sejujurnya dia cemburu melihat kedekatan mereka berdua. Lelaki dan perempuan yang tiada ikatan tidak boleh berhubungan rapat. Pasti salah seorangnya akan memendam perasaan.

“Leen pernah ada perasaan pada Adam?” Tiba-tiba soalan itu terlintas di fikiran Hayl.

Soalan Hayl mengundang tawa Aileen. “Mestilah tak. Mana ada orang suka dekat abang sendiri. Kan Leen dah cakap yang Leen anggap Abang Adam tu macam abang kandung Leen sendiri.”

Hayl tersenyum nipis. Itu jawapan Aileen. Bagaimana pula dengan Adam? Macam mana kalau Adam menyimpan perasaan pada Aileen?

“Kenapa Hayl? Hayl cemburu?” soal Aileen.

Hayl mengangguk perlahan. “Sejujurnya Hayl cemburu. Tapi Hayl percayakan Leen.”

“Leen cuma cintakan Hayl. Leen tak akan pernah khianati cinta Leen pada Hayl.” Tiba-tiba dada Aileen dihurung sebak yang teramat. Memikirkan selama ini cintanya hanya bertepuk sebelah tangan.

Dia silap. Sangkanya selama ini Hayl juga mencintainya seperti mana dia mencintai lelaki itu. Rupa-rupanya ada nama lain yang terukir di hati lelaki itu.

Hayl memang melayaninya dengan baik. Tapi hakikatnya bukan dia yang Hayl cinta. Bukan dia yang berada di hati lelaki itu.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience