BAB 5
KERETA yang terparkir elok di garaj dipandang dengan perasaan gembira tak terperi. Nufa mendekati Myvi itu sambil tersenyum meleret. Bahagia sungguh hatinya. Mana tidak. Hampir seminggu jiwanya dilanda kacau bilau gara-gara kereta mama buat hal. Hari ini Nufa boleh menarik nafas lega.
"Saya dah settle kan semua bil. Sekarang awak dah boleh senyum dengan senang hati."
Tingkah gembira Nufa terbantut tiba-tiba. Dia menoleh Ismail di belakang. Senyuman masih meniti elok di ulas bibir nipisnya.
"Berapa? Nanti saya bayarkan."
"No need... Saya belanja. Sekali sekala bersedekah itu bagus."
"Jangan macam tu encik. Segan lah saya. Encik dah banyak membantu saya selama beberapa hari ni."
"No hal lah... Anggap ini tanda perkenalan kita memulakan persahabatan."
Berkeras menolak bayaran daripada Nufa, akhirnya bicara Ismail dan Nufa dipangkah oleh sapaan seseorang.
"Is, semua dah settle ke?"
Serentak mereka menoleh ke arah suara tersebut. Mulut Nufa ternganga. Tidak percaya. Dia sedang bermimpikah? Dalam rasa terkejut bukan kepalang namun senyuman tetap terukir manis. Sedetik kenangan sewaktu menjadi pelatih PLKN terbias di minda dan mata. Kembali terimbas.
"Tuan Abdullah?" soal Nufa masih lagi dengan reaksi yang cukup terkejut dan tidak percaya. Tak mungkin lah dia lupa Tuan Abdullah merangkap timbalan komandan Kem Summer Set Resort.
"Ye saya. Macam mana awak boleh tahu nama saya? Is bagitahu ke?" Soalan berbalas soalan. Wajah Tuan Abdullah jelas menampakkan kerutan. Sedang menganalisis wajah teruja Nufa sambil berfikir-fikir.
"Tuan tak ingat saya? Bekas pelatih PLKN Kem Summer Set Resort tahun 2016. Kumpulan 1." Bersungguh-sungguh Nufa memberitahu setelah melihat dahi Tuan Abdullah berkerut. Tampak lelaki itu sedang berfikir dalam. Tuan Abdullah masih sama seperti tujuh tahun dulu. Tak berubah. Awet muda.
"Kecil betul dunia ni. Saya Nufa Inshirah." Dengan mesra Nufa memperkenalkan diri. Sehingga dia lupa kewujudan Ismail di situ.
"Ehem! Ehem! Korang jangan lupa saya dekat sini." Deras dehaman Ismail setelah merasakan dia dipinggirkan. Terasa terasing. Matanya laju menilik. Memerhati Nufa yang kelihatan teruja seolah-olah berjumpa artis glamour. Setakat 'Dollah' ni apalah sangat. Tak ada yang menarik langsung. Sakan Ismail mengutuk Tuan Abdullah dalam hati.
"Terima kasih sebab masih ingatkan saya. Tapi... Saya minta maaf, otak saya tengah loading nak kembali ke tujuh tahun lalu. Biasa lah dah 4 series ni banyak lupa. Remaja senja la katakan." Terselit nada bangga daripada bicara Tuan Abdullah. Bangga kerana Nufa masih mengingati akan dirinya.
Masih dalam keadaan dan tingkah teruja Nufa masuk ke dalam kereta. Sekeping gambar passport yang disangkut bersama rantai silver di cermin tengah kereta diambil.
"Ni buktinya."
Tuan Abdullah melopong beberapa saat. Ismail di sebelah dikerling.
"Tuan ingat tak?" soal Nufa sambil mendekatkan gambar tersebut. Di dalam gambar itu dia lengkap uniform celoreng biru.
"Sudah tentu saya ingat. Budak mentah yang cengeng. Haha..." Tuan Abdullah kerling lagi Ismail.
"Kau tak ingat ke bro? Budak mentah yang aku pernah matching kan untuk kau? Betul cakap aku dia semakin cantik. So beautiful," ujar Tuan Abdullah berbisik halus ke telinga Ismail. Sementara pandangan Ismail sudah melekat pada seraut wajah gembira Nufa. Budak ni ke? Hati Ismail bersoal jawab sendiri.
"SERONOK la ek Myvi kesayangan dah ada depan mata."
"Sangat."
"Tapi yang aku musykil macam mana kau tak ingat dekat Tuan Ismail tu. Dia tu handsome kot. Tuan Dollah juga yang tersemat dekat dalam kepala hotak kau."
Nufa jungkit kedua-dua belah bahunya. Masih tak percaya sebenarnya. Dan betul lah kemusykilan Salsabila itu. Macam mana dia langsung tidak mengecam Ismail sedangkan lelaki itu yang 'patut' diingati. Sudah la menuduh dia mencuri duit. Hish! Hati Nufa jadi berbahang tatkala kenangan itu menggamit di kotak ingatan.
"Maybe dia suka menyakat. Mungkin sebab itu kepala hotak aku ni dah remove dia. Cakap topik lain lah. Malas lah nak cakap pasal Abang Mail kekwat kau tu."
"Masih handsome macam dulu-dulu tak?"
"Tak," balas Nufa ringkas. Malas sebenarnya nak memanjangkan topik ini. Tak berminat.
"Tak percaya lah aku. Selagi aku tak tengok dengan dua bijik mata aku ni. Aku tak percaya." Salsabila tersengih-sengih.
"Dia dah kahwin ke? Atau masih available."
Nufa berdesis geram. Entah bila nak jumpa jalan penamat kepada topik ini?
"Entah... Nampak macam dah kahwin."
"Perut boroi ke?" soal Salsabila lagi.
"Haah... Tunggu due nampak gayanya."
Wajah Salsabila mengeryit tak puas hati sambil menggeleng. "Tak jadilah."
"Apa yang tak jadi?"
"Yelah tak jadi nak tackle. Aku taknak digelar penyondol."
"Punya lah berlamba jejaka kacak dalam Malaysia ni. Takkan Tuan Ismail kau nak tackle."
"Kau apa tahu... Dia tu crush aku. Kalau betul dia masih single and available. Aku tackle terus dia. Jodoh pun kita kena usaha cari. Tak boleh tunggu ia jatuh dari langit."
Nufa bereaksi bersahaja. Mati kata nak meningkah ucapan Salsabila. Betullah jodoh pun harus diusaha mencari, mendapatkannya.
"Aku doakan urusan pertemuan jodoh kau dipermudah. Mungkin Tuan Mail jodoh kau. Siapa tahu."
"Tak naklah aku jadi yang kedua. Aku nak jadi yang pertama dan terakhir."
"Dah sah-sah kau akan jadi yang kedua atau pun yang ketiga."
"Reason."
"Yang pertama sudah pasti mak ayah dia lepas tu bini dia."
"Ya tak ya jugak kan... Tapi, kan best kalau dia masih single. Muka macho dia masih melekat elok dalam kepala hotak aku ni."
"Eeee menyampah!" Nufa menjeling saat mata Salsabila bertentangan dengan matanya.
"Kau nak tahu tak. Kebahagiaan yang sebenar-benarnya bahagia apabila kita berjodoh dengan orang yang kita cinta."
"Tapi jangan lupa jodoh tu di tangan Dia. Kita hanya mampu merancang tapi jangan kita lupa Dia juga maha merancang. Dan sudah pasti perancangan-Nya adalah yang terbaik."
Salsabila ketawa kuat. "Setahu aku kau cikgu BM. Sejak bila jadi ustazah."
"Apa yang aku cakap tu benda basic Bella. Takkan itu pun kau dah panggil aku ustazah. Kau tanya students kau pun. Diorang boleh jawab lah. Tak percaya kau cuba test."
Salsabila mengerdip-ngerdip mata bundarnya. Sementara Nufa menjeling. Menyampah pula tengok Salsabila mengerdip-ngerdip macam tu.
"HUD! Terkejut saya. Kenapa tak bagitahu nak datang sini?" Nufa bertingkah teruja. Keterujaan Nufa makin membesar setelah Hud menghulur bouquet ke arahnya.
"Special for you dear. Saya sengaja tak bagitahu nak datang sebab nak surprise kan awak."
"Thanks so much awak." Sambil menyambut bouquet itu senyuman Nufa merekah lebar. Pandangan Hud tidak lepas walau sesaat menatap wajah jelita Nufa. Mengimbau saat pertemuan pertama dengan wanita ini, bibir Hud tersenyum manis.
"Senyum-senyum ni ingat dekat perempuan lain la tu."
"Jealous?"
"Of course la. Siapa tak jealous dapat tunang kacak bergaya seperti awak." Bicara Nufa terbit kecemburuan yang ketara. Hud ketawa kecil, melihat wajah cemberut Nufa.
"So nothing to worry. Siapalah nak tackle tunang awak ni. Walau bidadari ada depan mata saya tetap pilih awak."
"Sembang."
"Taklah betul. Saya tak main-main." Hud letak tangan kanannya melekap ke dada. Mengikrari satu perjanjian yang selalu diucapkan seperti awal perkenalan dahulu. Lima tahun menjalin hubungan sebahagian sikap Nufa sudah dia tahu.
"Saya nervous."
"Nervous sebab apa?"
Nufa berdecit sambil memberi jelingan manja. "Lagi dua bulan kita bakal menamatkan zaman bujang."
Hud masih ketawa kecil. "Tak ada apa yang patut awak risau dan nervous. Mudahan semuanya berjalan lancar. Saya akan kotakan janji saya. Trust me."
"Trust me? Ayat ni saya dah jemu dengar daripada mulut awak. Saya tak tahu kenapa hati saya ni rasa semacam. Macam ada sesuatu yang tak kena dan menganggu fikiran."
"Awak selalu fikir yang bukan-bukan. Kita dah kenal lama. Bukan sebulan dua."
"Kenal lama tak menjamin kita akan berjodoh."
Mata Hud membulat besar. "Tengok siapa yang tak percaya sekarang ni? Awak jugak cakap kepercayaan tu penting dalam perhubungan. Trust me Nufa. Please jangan fikir yang bukan-bukan tentang saya. Tentang hubungan kita."
Perlahan-lahan bibir Nufa mencoret senyuman. Mungkin kelihatan tidak berseri tapi ucapan Hud sedikit sebanyak membuat hatinya tenang.
"Senyum macam ni baru cantik. Awak bertambah cantik kalau senyum. Saya suka tengok senyuman indah awak. Senyuman awak tulus. Ikhlas. Saya tahu awak ikhlas menyintai saya."
"Perasan."
"Nope." Hud menggeleng. "Saya tak perasan. Saya dapat rasakan perasaan awak, Nufa. Dan saya rasa saya lelaki yang paling bertuah... Bertuah sebab dapat memiliki cinta awak. Dan yang Paling dan terpaling penting you make me happy."
Nufa mengeryit namun ada kegembiraan yang jelas meratai wajah lembutnya.
"Always." Sambung Hud.
"Lagi?" Nufa sudah terbuai dengan madah kata Hud. Ya, Hud tahu titik kelemahannya. Hud tahu dia punyai hati yang mudah tersentuh dan terbuai.
"Kata madah pujangga yang lain saya simpan hari kita disatukan. Boleh?"
"Sudah tentu boleh. Kan kita nak bercinta selepas kahwin."
"Sure dear. Saya akan tunaikan segala impian awak. Nufa, please jangan mencurigai saya. Saya tak minta banyak cukup awak percayakan saya. Semampu boleh saya akan cuba membahagiakan awak. Tiada dua, tiada tiga. Cinta saya hanya untuk Nufa Inshirah seorang."
Nufa membalas pandangan Hud dengan senyuman yang melebar panjang. Siapa tak gembira mendengar ucapan kata cinta dari orang yang dicintai seluruh jiwa raga.
"MA... Is bukan taknak tapi tak ada orang lain ke? Is dah anggap Zara macam adik sendiri. Lagipula kita orang sepupu, kenal sejak kecik." Di awal perbualan sehingga ke hampir lima belas minit berlalu Puan Aida tidak berhenti-henti menyatakan hasratnya mahu jadikan Zara sebagai menantunya.
Ismail picit dahi sambil berjalan mundar mandir di dalam ruang pejabat. "Ya tahu... Alasan kenal dari kecik tu tak valid tapi Is tak boleh mama. Is tak cintakan Zara. Is taknak mainkan perasaan dia."
"Is tak setuju kalau mama samakan cinta di zaman 70-an dengan zaman sekarang. Yes cinta boleh dipupuk but not me. Is kalau boleh taknak bakal isteri Is nanti kenalan Is dari kecik. Zara tetap Is anggap seperti adik. Tak lebih dari itu. Okey mama nanti Is call lagi. Tentang hari perkahwinan Hud tu, insyaAllah Is cuba hadirkan diri. See you later. Take care. InsyaAllah mama, Is cuba dapatkan cuti."
Hembusan kasar terlolos keluar setelah panggilan tamat. Ismail picit lagi dahi. Pening lalat kembali hinggap apabila memikirkan hasrat Puan Aida.
"Setahu aku kau bebas dari list kasanova termasyhur. Dari riak muka kau ni macam ada masalah dengan teman wanita."
Ismail toleh ke arah suara yang datang. Tuan Abdullah menapak masuk ke ruangan pejabat dengan tersengih-sengih.
"Ke aku yang tertinggal kapal terbang? Macam mana aku boleh tertinggal kisah cinta kau ni."
"Mama aku." Ismail jawab bersama keluhan. Telefon diletak ke tengah meja kerja. Punggung dihempas kasar ke kerusi. Muka pula serius pakej kerutan seribu.
"Pilihan jodoh daripada orang tua. Okey lah tu. Tunggu kau cari sendiri ibarat tunggu arnab bertanduk."
"Yang menjadi masalah aku tak cintakan Zara. Aku anggap dia macam adik."
Tuan Abdullah renung ke wajah Ismail dengan dalam. "Is orang tua ni dia tahu mana yang terbaik, lebih-lebih lagi untuk anaknya. Terima ajelah. Kesian mama kau nak menantu dari anak sulung dia."
"Aku tak cintakan Zara. Macam mana lagi aku nak cakap supaya kau faham."
"Cinta boleh dipupuk dan disemai bro."
"Kau pun sama macam mama aku. Selain cinta, aku tak rasa ada chemistry dengan Zara. Aku pun rasa dia sama macam aku. Kita orang nak bercinta dan jadi suami isteri... Memang tak mungkin bro. Aku tahu taste Zara macam mana."
Tuan Abdullah picing mata sambil menggeleng-geleng. Sebenarnya banyak lagi dia mahu 'brain wash' Ismail tetapi setelah melihat wajah serius itu Tuan Abdullah mematikan sahaja niat murninya itu.
"Patutlah kau membujang sampai ke tua. Memilih sangat. Kau nak yang macam mana Is? Model international ke?"
Ismail sekadar menggeleng perlahan. Model international? Tidaklah sampai kesitu taste untuk mencari calon isteri. Yang penting cukuplah sedap mata memandang dan memiliki sifat keibuan yang tinggi. Keluhan kecil terlepas lagi dari bibir Ismail.
"Belum sampai seru aku."
"Kau ni... Dari dulu sampai sekarang tak lekang dengan belum sampai seru. Kau tak mencuba mencari sebab tu tak jumpa."
Ismail hanya diam sementara otaknya ligat berpusing mengenai perbualan dengan Puan Aida sebentar tadi. Adakah dia perlu menurut saja kemahuan Puan Aida dengan mengorbankan perasaan sendiri? Ismail mengeluh hampa.
Share this novel