Antara Dua Darjat: Sang putera dan si gadis Butler.

Romance Completed 117449

BAB 49

            LANGKAH aku lemah longlai ketika kembali ke majlis yang dipenuhi tetamu jemputan. Dari jauh aku melihat Harry tersenyum sambil berbual dengan para tetamunya. Mata aku juga mencari kelibat Sallyna dan Ray. Mereka berdua nampaknya sudah meninggalkan majlis. Cuma Sam masih lagi berada di sini, dia sedang berbual dengan seorang gadis cantik. Abang Is yang menyedari kehadiran aku di situ terus menghampiri aku.

            “Aya, esok ayah akan datang ke rumah lama kita. Aya mesti balik tau.” Ujar Abang Is sebelum dia meninggalkan majlis hari lahir Harry yang meriah itu.

            Wajah aku yang sedikit layu sebelum itu kembali ceria dan berbunga. “Betul ke?! Aya rindu sangat kat ayah!”

            “Ya, jangan lupa datang. Tapi, datang seorang diri aje tau.” Pesan abangku itu lagi. Aku mengerti maksudnya itu. Sudah pastilah Abang Is tidak mahu aku membawa Harry bersama. Jika tidak dipesan pun aku memang tidak mahu membawa dia.

            “Baik.” Aku mengangguk.

            Apabila Abang Is sudah pulang aku kembali melayan perasaan di tengah-tengah majlis yang dipenuhi para tetamu yang masih belum pulang.

             “Cik Aya, kenapa muka pucat ni?” Tegur Hanna yang muncul entah dari mana.

            Aku baru tersedar dari lamunan. “Er... saya okey aje.” Aku berpura-pura tersenyum.

            “Kalau Cik Aya perlukana apa-apa beritahu saya, ya? Saya kena teruskan kerja ni.” Kata Hanna. Aku mengangguk perlahan.

            Ketika itu juga aku melihat Harry melangkah menuju ke arah aku. Serba tidak kena aku rasa ketika itu. Aku berpura-pura tidak nampak kehadirannya dan mengatur langkah ke arah lain.

            “Tunggu dulu.” Panggilnya.

            Aku terpaksa berhenti. Harry sudah berdiri di hadapan aku apabila aku menoleh.

            “Kau nampak macam tak sihat. Kenapa?” Soalnya.

            “Awak tak perlu nak risau. Saya tak apa-apa.” Jawabku.

            “Mulai hari ini aku akan selalu risaukan kau. Jangan berdegil, pergi naik ke atas dan berehat.” Tegas Harry. Matanya tepat memandang wajah aku yang sedikit pucat.

            “Hari ni majlis hari lahir awak... saya nak berada di sini sampai majlis ni tamat. Saya tak ada hadiah untuk awak, ini saja yang saya mampu buat.” Kataku sambil tersenyum dalam kepayahan.

            Harry tiba-tiba menyentuh dahiku. Aku terkejut dan segan apabila beberapa tetamu sudah memandang ke arah kami berdua. Harry betul-betul selamba!

            “Tak panas pun. Kau tak demam tapi kenapa pucat? Kau dah makan?” Tanyanya lagi.

            Aku menggeleng. Harry mengeluh. Dia menarik tangan aku ke meja yang dipenuhi dengan hidangan makanan. Dia mengambil pinggan dan mengambil makanan untuk aku. Aku hanya memerhatinya dengan mata yang bergenang.

            “Nah... Harap kau makan sampai kenyang.” Harry menghulurkan pinggan yang berisi sushi.

            Aku menyambut hulurannya dengan wajah sedikit menunduk. Aku tidak mahu dia melihat perubahan air mukaku.

            “Aku tinggalkan kau kat sini. Habiskan makanan ni lepas tu terus masuk bilik dan berehat.” Selepas itu Harry terus berlalu pergi mendapatkan rakan-rakannya yang masih belum pulang.

            Aku menjamah makanan dengan tidak berselera. Setiap kali terpandang Harry, hati aku dipagut rasa sendu. Oh, Tuhan... aku benar-benar menyintainya.

            Hanna menemani aku menuju ke bilik. Aku sudah tidak larat lagi berpesan kepada Hanna supaya melayan aku seperti orang biasa, tetapi Hanna tetap berdegil untuk melayan aku persis cik muda.

            “Saya nak pergi mandi dulu. Hanna, terima kasih banyak untuk hari ni. Awak banyak membantu saya.” Ujarku perlahan.

            Hanna tersenyum. “Saya sedia berkhidmat untuk Cik Aya. Cepatlah pergi bersihkan diri Cik Aya. Saya nak kemas bilik ni dulu.” Ujar Hanna yang sudah pun memulakan kerjanya dengan menyusun bajuku ke dalam almari.

            “Eh, tak apa Hanna. Biar aje baju saya dalam luggage tu. Saya bukan lama sangat kat sini.”

            “Tak boleh Cik Aya. Nanti kalau Puan Sara buat pantauan saya yang kena sebab tak jaga kebersihan dan kekemasan bilik Cik Aya.” jawab Hanna.

            Aku mengangguk. Susahnya hidup dalam rumah penuh protokol macam ni. Ini belum lagi tinggal di istana!

            Selang 15 minit aku keluar dari bilik air dengan lengkap berpakaian. Aku lihat Hanna duduk termemung di atas katil sedangkan pakaian aku masih ada lagi dalam bagasi yang berada di lantai. Aku kehairanan melihat keadaan itu.

            “Er... Hanna. Awak okey ke?” Tegurku sambil menyangkut semula tuala di tempat asalnya. Aku sudah menukar pakaian di dalam bilik air tadi.

            Wajah Hanna serius dan aku tidak pernah melihat raut wajahnya berubah seperti itu. Adakah aku ada buat salah? Gusar sungguh hati aku ketika ini.

            “Cik Aya...” Suara Hanna tersekat-sekat. Dia bangun perlahan-lahan berdiri di depanku.

            “Apa ni?” Soal Hanna sambil menunjukkan sampul surat berwarna putih di tangannya.

            Berderau darahku apabila melihat sampul surat itu berada di tangan Hanna. Macam mana aku boleh terlupa tentang sampul surat yang berada di dalam bagasi itu.

            “Hanna! Awak tak sepatutnya tengok barang saya.” Suaraku agak meninggi dalam menahan getaran di hati.

            “Saya minta maaf. Surat ini terkeluar dari sampul dan saya tak sengaja melihatya.” Jawab Hanna. Aku yakin dia memang jujur.

            Aku terdiam dan menoleh dari melawan pandangan Hanna.

            “Kenapa Cik Aya nak tinggalkan tuan muda?” Soal Hanna.

            Melihat aku yang masih membatu Hanna menyambung lagi. “Tuan muda sangat menyukai Cik Aya, malah sanggup buat apa sahaja demi Cik Aya. Saya yakin tuan muda tak tahu tentang perkara ini kan?”

            Aku menggeleng.

            Hanna mengeluh berat. Air matanya juga bergenang. Dia juga bersedih?

            “Kenapa Cik Aya tiba-tiba nak sambung belajar di luar negara? Tiket juga sudah ditempah. Kenapa Cik Aya nak larikan diri dari tuan muda?”

            “Hanna. Saya tak ada pilihan lain...” Kataku perlahan.

            “Siapa yang merancang semua ni? Adakah Madam Laura?” Teka Hanna.

            Aku terdiam lagi.

            Hanna mencampak surat itu ke atas katil. “Saya akan beritahu tuan muda hal ni.” Kata Hanna yang melulu ke arah pintu bilik. Aku yang baru tersedar mengejarnya dan sempat menarik tangan Hanna.

            “Hanna, tunggu dulu!”

            Suasana menjadi sepi. Hanna masih menunggu aku memulakan bicara apabila aku berjaya memujuknya supaya tidak memberitahu perkara itu kepada Harry.

            “Sebelum ni... saya tak pernah terfikir untuk bersama Harry. Tetapi Harry sentiasa mengikat saya dengan bermacam-macam cara. Dari dulu sampailah sekarang. Bukannya saya tidak mahu lepaskan diri darinya, tetapi saya boleh pula ikut rentaknya. Mungkin disebabkan saya benar-benar menyukainya. Tetapi, saya sentiasa bangun dari mimpi setiap pagi, saya harus berada dalam realiti. Anehnya... di mulut saya sentiasa berkata saya membencinya, tetapi hati saya berkata saya mencintainya. Saya rasa saya semakin parah.” Aku tersenyum sedikit walaupun hati aku sedang berkecamuk waktu itu.

            Hanna memegang tanganku dengan lembut. Dia bersedia mendengar ceritaku lebih lanjut.

            “Teruskan Cik Aya...” Kata Hanna.

            “Malam itu semasa saya tengah mengemaskan barang untuk mengikuti tuan muda bercuti menaiki kapal ke Phuket, saya mendapat satu panggilan...” Aku memejam mata untuk mengingati semula peristiwa tersebut.

            “Hello, assalamualaikum.” Aku menyapa dengan sopan.

            “Waalaikumussalam.” Jawab si pemanggil yang bersuara agak tegas.

            “Siapa ni?” Aku terus bertanya kerana aku ingat-ingat lupa suara yang mungkin pernah aku dengari itu.

            “Saya Laura, mama Harry.” Jawab wanita itu.

            Aku terduduk di atas katil. Lemah sendi lutut aku ketika itu. Apa yang aku risaukan selama ini akhirnya terjadi juga. Bercakap dengan wanita itu adalah mimpi buruk yang selama ini aku cuba hindar.

            “Jangan risau saya bukan jenis orang yang suka bercakap banyak. Saya dah dapat banyak maklumat tentang kamu, Nur Marhaya. Kamu sekarang memang selalu keluar masuk kediaman Harry kan?”

            “Puan... saya sebenarnya bekerja untuk Harry.”

            “Saya tahu. Tapi, saya rasa kamu pun tahu apa sebabnya Harry pergi ke Jepun 8 tahun lepas kan?”

            Aku terdiam. Tidak mampu menjawab soalannya.

            “Saya memang tak suka kamu bersama dengan anak saya dari dulu lagi. Kenapa sampai sekarang awak cari dia?”

            “Bukan macam tu, puan.” Aku memegang dadaku. Pedih.

            “Harry akan pulang ke Jepun lepas dia mengumumkan persaraannya secara rasmi. Dan saya hanya akan terima dia pulang seorang diri sahaja. Saya harap kamu faham.”

            “Saya faham... saya tak ada apa-apa hubungan dengan tuan muda. Tolonglah percayakan saya.” Ujarku untuk meyakinkannya.

            “Macam inilah... saya mengaku yang anak saya tu memang sudah tergilakan kamu. Dia sanggup buat apa sahaja demi kamu termasuklah membuang keluarganya. Harry adalah lelaki yang paling keras kepala dalam dunia ni. Saya sendiri tak dapat mengawalnya.”

            Suara wanita yang bergelar ibu kepada Harry itu masih lagi senada. Dia tidak menengking tetapi ayatnya cukup menekan-nekan dadaku.

            “Dengar sini Cik Nur Marhaya. Saya yakin keluarga kamu sendiri tidak setuju dengan hubungan kamu dengan anak saya. Jangan lupa akan jasa keluarga Taylor kepada keluarga kamu. Saya tak akan tarik balik segala bantuan kepada keluarga kamu ataupun pecat abang kamu dari Adam Taylor High School. Jadi, saya harap kamu dapat bekerjasama dengan saya.”

            “Apa maksud puan?” Soalku perlahan.

            “Saya sudah aturkan satu perancangan untuk kamu. Saya sudah daftarkan nama kamu di sebuah universiti terbaik di luar negara. Saya juga akan membiayai seluruh pembelajaran kamu sehingga tamat pengajian. Kamu tak ada pilihan lain selain setuju dengan perkara ini. Kamu juga tidak boleh berhubung dengan Harry lagi selepas itu. Pergi jauh dari hidupnya dan jangan cuba muncul di depannya lagi.”

            Aku menekup mulut kerana terlalu terkejut. Tidak mungkin sejauh itu perancangannya.

            “Tapi saya masih ada keluarga di sini. Tak mungkin saya kena berjauhan dengan keluarga saya. Saya sanggup tinggalkan Harry. Saya boleh buat apa sahaja.”

            “Awak jangan bantah cadangan saya. Ini adalah perkara yang baik bukan? Adakah saya merancang untuk memusnahkan hidup kamu, Nur Marhaya? Kamu boleh sambung belajar dan mencari lelaki yang jauh lebih baik dari anak saya.”

            Air mataku merembes keluar. Aku menggeleng perlahan kerana tidak menyangka aku akan berhadapan dengan perkara ini.

            “Saya menghormati permintaan akhir arwah Sir Adam untuk melayan keluarga kamu dengan baik. Saya tidak nafikan jasa ayah kamu kepada keluarga kami. Dan saya orang yang lebih tahu tentang itu.”

            “Saya... saya...” Aku menahan suara yang sudah bertukar serak.

            “Kamu harus bersyukur kerana saya tidak bertindak melampaui batas. Jadi, jangan buat saya bertindak yang lebih kejam. Saya cuma mahu kamu pergi jauh dari hidup Harry.”

            Aku terdiam tidak menjawab walau sepatah kata. Hakikatnya aku memang sudah tidak ada pilihan.

            “Cik Nur Marhaya... saya ada satu lagi permintaan. Jangan tunjukkan apa-apa perubahan sikap di depan Harry selepas ini. Kamu terus mengikut rentaknya. Jangan biar dia perasan saya pernah bercakap dengan kamu sehingga dia boleh hidu perancangan ini. Bila tiba masa yang sesuai, kamu akan terus pergi tanpa pengatahuannya. Dan jangan sesekali tunjukan kehilangan awak itu ada kaitan dengan saya.”

            Aku menyeka air mata yang tumpah, mengalir seperti sungai. Hanna memeluk bahuku dengan erat, dia juga turut menangis.

            “Saya cuba sedaya upaya untuk berlagak biasa di depannya. Saya sudah berjaya kan, Hanna?” Soalku dalam sebak.

            “Cik Aya. Tak ada jalan lain ke? Saya kasihankan tuan muda dan Cik Aya...”

            “Saya tak ada pilihan Hanna... siapa saya, siapa saya Hanna? Tak mungkin saya boleh melawan keluarga yang sudah banyak berbakti untuk keluarga kami. Saya tidak mahu kerana saya, keluarga ini berpecah-belah. Dan ayah, abang dan adik-beradik saya pasti akan kecewa dengan saya. Saya tidak boleh pentingkan diri sendiri.”

            “Tuan muda mesti akan jadi gila tanpa Cik Aya! Saya tahu tuan muda tak boleh terima hakikat bila kehilangan Cik Aya!”

            “Harry perlu tahu... cinta yang tidak direstui tak akan pergi ke mana. Restu Tuhan itu datangnya dari restu kedua ibu bapa. Kami tak mungkin akan bahagia... saya cuma si gadis dari keluarga butler, sedangkan Tuan Muda Harry, adalah majikan kami yang perlu dilayan dengan terhormat."”

            Hanna terdiam mendengar kata-kata aku. Dia masih tidak berpuas hati.

            “Hanna... tolonglah simpan rahsia ini baik-baik. Saya lakukan ini demi keluarga Taylor, demi arwah datuk angkat saya yang sangat saya hormati.” Air mataku berguguran laju.

            “Jika arwah Sir Adam masih ada, dia pasti akan membantu tuan muda dan Cik Aya.” Hanna terus memeluk aku dengan erat. “Saya sentiasa doakan Cik Aya... saya yakin cinta yang tulus pasti akan bersatu.”

            Aku tidak membalas kata-kata Hanna kerana aku tidak mahu menyimpan walau secubit harapan lagi. Aku sudah pasrah!

*********

            Keesokan hari aku sudah bersiap-siap untuk pergi bertemu dengan ayahku. Aku memang terlalu merindui ayah dan adik-adik. Katanya mereka juga datang bersama. Dapatlah kami berkumpul bagi melepaskan rindu. Aku menarik nafas dengan panjang apabila melihat penampilan aku yang ringkas di hadapan cermin. Aku cuba tersenyum dan meletakkan tangan di dada.

            “Keep smile, Aya!” Aku memujuk hati sendiri walau mata aku sedikit bengkak kerana semalaman bertemankan air mata.

            Ketika turun ke bawah aku melihat Hanna yang sibuk membantu pekerja lain mengemas ruang utama yang digunakan untuk majlis semalam. Wajah Hanna muram, dia hanya membalas pandangan aku dengan senyuman hambar. Berita yang aku sampaikan kepadanya semalam turut meninggalkan bekas dihatinya.

            “Kau bersiap ni, nak ke mana?” Tegur Harry yang juga baru turun dari biliknya.

            “Saya nak keluar sekejap. Saya tak sarapan kat sini, saya kena pergi dulu.” Kataku.

            “Kenapa rushing sangat ni!” Harry menarik lengan aku.

            Hanna hanya memandang dari jauh. Dia turut tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerjanya.

            “Saya nak jumpa ayah saya.”

            “Kita pergi sama-sama.”

            “Tak! Awak pun tahu kan, keadaan sekarang ni macam mana. Ayah saya tak tahu lagi pasal kita ni...”

            “Kalau macam tu jomlah kita beritahu dia.” Cadang Harry.

            “Awak suka fikir cara senang kan. Saya pergi dulu. Jangan ikut!” Tegasku. Kemudian aku terus berlari ke pintu utama. 

            Harry tersenyum penuh makna. Dia juga ada perancangan sendiri.

*********

            “APA? Ayah tak ada kat rumah?” Soal aku kepada adikku Hani yang menyambut aku di depan pintu.

            “Ayah dah keluar tadi, katanya ada urusan. Kak Aya masuklah dulu.”

            Aku terus melangkah masuk ke ruang tamu. Rumah ini sudah lama aku tinggalkan, sekarang hanya Abang Is seorang yang tinggal di sini. Kata Hani, Abang Is keluar ke pasar untuk membeli barang untuk di masak. Malu sungguh aku kepada abang aku seorang itu. Dari dulu dialah lebih banyak menjaga makan minum kami adik beradik.

            “Kak Aya!” Naufal menjerit memanggil aku dari atas. Dia meluru turun ke arah aku.

            “Hey! Naufal!”

            Naufal terus memeluk aku dengan mesra. Hubungan kami adik-beradik masih erat seperti dulu. Naufal memang adik kesayangan aku.

            “Macam mana belajar sekarang?” Soalku.

            “Bagus sangat.” Naufal mengangkat ibu jarinya.

            “Iyelah. Belajar betul-betul jangan sampai jadi penganggur terhormat macam akak ni.” Ujarku.

            “Apa?! Kak Aya menganggur?!” Tanya Hani dengan wajah terkejut.

            Naufal juga melopong. “Jadi, macam mana Kak Aya hidup kat bandar ni tanpa ada kerja?!”

            Aku baru tersedar yang aku terlepas cakap terus pura-pura ketawa. “Hahaha... akak bergurau ajelah. Itu dulu, selepas habis belajar. Lama jugak akak menganggur kan. Sekarang memang akak bekerjalah...”

            “Kerja jadi driver artist kerek tu lagi ke?” soal Hani dengan mempamerkan wajah jelik. Dia benci dengan Dayana sebenarnya.

            “Emm... tak. Akak dah kerja lain sekarang. Eh, ayah pergi mana? Dia ada beritahu tak?” Tanyaku sengaja mengubah topik.

            “Entah. Ayah tak cakap apa pun.” Jawab Naufal.

            Aku mengeluh kecil. Rindu kepada ayahku semakin kuat. Tidak lama lagi aku tidak dapat berkumpul seperti ini lagi dengan keluarga aku. Tabahlah Nur Marhaya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience