PROLOG

Romance Series 3317

“Kau nak pergi mana, Ivy?”

Ivy yang sudah berada di muka pintu kelas, berpaling dengan senyuman manis dan cerah di bibirnya. Sepasang mata bundar itu kelihatan bersinar memancarkan kebahagiaan dan penuh tekad kuat.

“Aku nak pergi berperang, kau..doa untuk aku tau!” Dia senyum lagi, angkat tangan kanan yang dikepal sebatas leher sebelum dia mula berlari anak meninggalkan kelas dan menuruni satu persatu anak tangga bangunan blok tingkatan tiga. Mengabaikan suara teriakan yang memanggil-manggil namanya.

Kasut sekolah putih itu menapak satu demi satu langkah di atas koridor menuju bangunan Melati. Dia terus berlari menyelusuri pelajar-pelajar yang berpapasan dengannya di koridor. Rungutan demi rungutan yang dikeluhkan kepadanya ketika dia tidak sengaja berlaga bahu dengan beberapa pelajar perempuan hanya dia balas dengan senyuman manisnya tanpa langsung berniat untuk menghentikan langkah.

Sempat dia melirik jam tangan yang terlilit kemas di pergelangan tangannya. “Dah lambat!”getusnya kalut lalu langkaham kakinya semakin dilajukan.

Langkah kakinya satu demi satu mendaki anak tangga bangunan Melati menuju ke tingkat tiga. Nafasnya mula tercungap-cungap, namun dia tetap tidak menghentikan langkahnya langsung untuk beristirahat.

“Sampai pun….”Kakinya sampai di anak tangga terakhir dengan sebelah tangan mencengkam pemegang tangga, tubuhnya pula sedikit bongkok tercungap-cungap mencari nafas.
Kepala ditoleh ke kanan. Bilik Muzik.

Pintu bilik Muzik tertutup rapat, namun lampu di dalam bilik Muzik masih menyala terang.. Dia menghela nafas lega, dengan bibir diketap menahan senyuman yang semakin lebar.

“Nasib sempat….”Tubuh diluruskan, langkah demi langkah diatur menuju bilik Muzik dengan penuh keyakinan. Tangannya mula membetulkan awning tudung, dan mengemaskan baju sekolah.

Kedua tangan dikepal di hadapan dada dengan wajah penuh yakin. “Aku boleh buat. Aku kena berani, aku tak boleh sia-siakan perjuangan aku selama berbulan-bulan ni sebab aku penakut. Aku boleh!”kata-kata penyemangat diri sendiri digumamkan di bibir dengan kepala terangguk-angguk.

Langkahan kakinya terhenti di hadapan pintu. Dia berdehem sejenak, tangan kanan yang dikepal tergawang di permukaan pintu. Tidak jadi hendak mengetuk. Tiba-tiba keyakinan dia yang menggunung tinggi sejak bangun pagi hilang macam debu bila dia berada di depan pintu bilik.

Kepalan tangan dilepaskan, tapak tangan yang sudah berpeluh dipandang. Jantung sudah mula berkonsert rock, punk dan indie.

Kedua telapak tangan dilapkan pada baju sekolahnya. ‘Dah mula dah..konsertnya…’

Tarik nafas. Hembus. Tarik nafas. Hembus. “Kau boleh, Ivy. Kau boleh.”

Tangan dikepal hendak mencecah permukaan pintu kembali sebelum tiba-tiba pintu itu terbuka daripada dalam.

Dia kaku dengan mata tidak berkelip dengan kepala terdongak memandang susuk tinggi yang berdiri menjulang di hadapannya. Tangan yang terkepal masih tergawang.

Apa aku nak buat ni?

Kenapa dia yang buka pintu?

Habislah aku?

Mood dia baik ke?

Macam mana aku nak cakap?

Suara-suara dalam kepala sudah menjerit-jerit kalut. Diam-diam dia menelan air liur.

“Nak apa?”suara rendah nan dingin itu menyapa telinganya. Seraut wajah yang tampan itu dipandang. Seperti biasa, di wajah tampan yang sentiasa menggetarkan hati gadis remajanya langsung tidak terpapar ekspresi ramah atau lembut sama sekali. Hanya riak wajah dingin dan sombong sahaja yang menghiasi seraut wajah tampan itu.

Tangan yang masih tergawang diturunkan lalu ditautkan dengan tangan kirinya di hadapan tubuh. “Sa..Saya…”

“Eh, Ivy…”sapaan ramah memutuskan katanya. Ivy menjengah ke belakang pelajar lelaki yang berdiri di hadapannya itu. Seorang pelajar lelaki dengan senyuman manis sedang mendekati mereka berdua ke muka pintu.

Dia hanya mampu tersenyum namun jelas kelihatan sedikit gugup.

“Lambat datang hari ni…ingatkan tak datang macam biasa.”Pelajar lelaki itu sudah bertenggek di sebelah pelajar lelaki yang berhadapan dengan Ivy.

“Er..cikgu Su ada bagi kerja sikit sebab tu lambat keluar rehat.”

Pelajar lelaki itu mengangguk. Baru sahaja dia hendak buka mulut menyambung perbualan, pelajar lelaki di sebelahnya sudah memintas.

“Kitorang dah nak balik kelas, kau nak apa datang sini?”suara itu bertanya terus tanpa ada nada ramah ataupun sedikit nada friendly. Nada suaranya lebih kepada hendak mengusir.

Namun, Ivy langsung tidak kisah. Sudah terbiasa dengan intonasi suara pelajar lelaki itu. Dengan senyuman manis dan penuh mengharap dia berkata, “Saya nak cakap sikit dengan senior Noah, boleh? Er..berdua. Sekejaaap je.”

Pelajar lelaki yang berwajah ramah itu sudah memandang kawan dan juniornya itu bersilih ganti dengan wajah penuh ingin tahu.

“Hum. Iman, kau dengan yang lain balik kelas dulu.”putus Noah. Tiga orang yang masih berada di dalam bilik sudah menyertai mereka. Lampu bilik Muzik dimatikan, dan pintu sudah dikunci.
“Yakin?” Iman menyoal dengan dahi berkerut.

“Hurm. Pergi je lah!”

Iman memicingkan matanya, curiga. “Okay, kitorang pergi. Tapi, kau jangan buat benda tak baik pula dekat junior comel kita ni. Ingat ada Allah tengok.”Sempat Iman bertazkirah sebelum membuntuti kawan-kawannya yang lain. Mata dipicingkan kepada Noah, seolah memberi amaran.

Noah hanya balas kata-kata Iman dengan pandangan tajam. Ingat dia teruk sangat ke?

Ivy pula hanya diam dengan mulut terkunci rapat, dan raut wajah gugup. Kedua tangannya yang saling bertaut, memainkan jari-jari tangannya. Kata-kata Iman langsung tidak singgah di telinganya dek kerana kepalanya sibuk menyusun kata.

********

Noah memandang kelibat kawan-kawannya sehingga menghilang dari pandangannya. Setelah itu, baru perhatian ditumpukan pada pelajar perempuan yang berdiri tiga langkah kaki dewasa di hadapannya, menundukkan wajah dan memainkan jari jemarinya. Dari tingkah lakunya, jelas kelihatan gugupnya.

“Nak apa jumpa aku?”

Ivy angkat wajah memandang Noah.

“Saya sebenarnya…saya..”tergagap dia hendak memuntahkan ayat. Semua ayat yang dia fikir dalam kepala otak, seakan tersekat di kerongkong.

Ivy tunduk kembali dengan bahu lesu. Mata dipejam dan dahi berkerut.

“Kau nak cakap apa sebenarnya ni? Sejak bila pula kau gagap ni?”

Ivy menggeleng. ‘Now or never…’

Kembali tegakkan tubuh dan dia menghela nafas sejenak. “Sebelum tu, saya nak tanya senior..apa pendapat senior tentang saya?”

Dia menyoal yakin. Raut wajah tampan di hadapannya dipandang.

Noah pula diam, dengan wajah sedikit terkejut sebelum tanpa kiraan saat sudah berubah kembali kepada ekspresi tanpa perasaannya.

Dia berdehem perlahan. “Aku kena jawab ke?”

Ivy mengangguk lagi. “Wajib jawab.”

“Bising. Hyper.”

Ivy ketap bibir kejap. “Itu je? Comel? Cantik? Rajin?”Ivy bawa dua tangan, pangku wajah sambil tersenyum manis.

Dibalas Noah dengan pandangan kosong.

“Masa rehat dah nak habis, dan aku ada kelas add maths lepas ni. Kalau kau nak merepek, jangan kacau masa aku.” Noah sudah mula membuka langkah hendak berlalu. Tidak merasa Ivy punya hal penting untuk dibicarakan dengannya.

Ivy yang melihat Noah sudah mula melangkah pergi, kalut dan tanpa sedar menahan lengan Noah dengan pegangan kejap.

“Jangan pergi du…”kata-katanya terpotong apabila Noah menyentak tangannya kasar.

Noah mendengus perlahan. “Kau nak cakap apa?”tanya Noah dengan suara tertahan.

“Aku tak suka buang masa aku macam ni dan aku tak suka kau buat….”

“Saya suka senior, boleh saya jadi girlfriend senior ?”

Kata-kata Noah mati dan digantikan oleh luahan perasaan daripada Ivy.

Enjoy!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience