Sebulan Kemudian
RUMAH ini sudah terlalu sunyi setelah seorang demi seorang penghuni pergi tidak kembali. Setiap susun atur di dalam rumah itu diperhatikan sayu. kemas dan teratur. Cuma sudah sedikit berhabuk. Kerana tiada lagi orang yang mengemasnya. Jika tidak, Melissa pasti mengambil masa untuk membersihkannya. Namun, semuanya hanya tinggal kenangan. Biar terpahat utuh di hati.
Bingkai gambar di almari dicapai dan ditatap sehingga mengalirkan air mata. Ia merupakan gambar keluarga ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ketika itu mereka sekeluarga sedondon memakai baju warna biru. Zaki terkenang lagi, betapa sukarnya dia hendak berpuasa dan bangkit sahur sehingga bapanya terpaksa berjanji untuk memberikan duit raya andai dia dapat berpuasa penuh pada tahun itu. Namun dia berjaya berpuasa selama 20 hari sahaja kerana hari yang lain dia sengaja berpura-pura letih. Zaki tergelak sendiri, tetapi bersambung dengan tangisanya lagi.
Wajah dalam bingkai itu direnung lama. Gambar ayah dan ibunya yang kini sudah pergi buat selamanya. Zaki tewas dalam asakan perasaan yang menghambat jiwa. Dia terduduk dan menangis lagi semahunya. Barangkali inilah tangisannya yang pertama semenjak bapanya meninggal dunia. Kematian ibunya telah menewaskan kecekalan hatinya selama ini.
“Pembunuh keluargaku adalah orang yang sama. Apa yang mereka mahukan sebenarnya?” soal Zaki tanpa mengetahui pada siapa tempat untuk menagih simpati.
“Assalamualaikum!”
Zaki tersentak apabila ada seseorang memberi salam. Dia mengesat air mata yang masih bersisa. Lalu berjalan terhinjut-hinjut dalam keadaan bertongkat menuju ke pintu utama. Entahkan siapa yang yang datang pada lewat petang begini. Setahunya rumahnya ini jarang benar dikunjungi sesiapa. melainkan Datuk Zahran dan Natasha yang datang melawat mereka sesekali.
“Waalaikumsalam, ada apa ya?” jawab Zaki selepas membuka pintu.
Kelihatan seorang perempuan bertudung litup lagi manis jelita sedang berdiri sambil mengangkat satu kotak yang besar berisi barang-barang.
“Saya Mira Hafizah. Bekas pembantu Puan Melissa di syarikat. Sebenarnya, Cik Natasha selaku setiausaha Datuk Zahran yang minta saya datang ke sini. Ni barang-barang dan dokumen Puan Melissa. Saya tolong hantarkan ke sini,” terang Mira Hafizah dengan nafas yang mengah.
“Oh, nampak berat. Awak letaklah dulu kat bawah. Nanti saya bawa masuk ke dalam,” kata Zaki.
Hati Zaki terpesona melihat keanggunan wajah bekas pembantu ibunya itu. Matanya sempat melirik ke arah jari Mira Hafizah, terdapat sebentuk cincin bertatah berlian di jarinya. Bibirnya diherotkan.
“Err, Puan apa tadi?”
“Cik Mira Hafizah,” jawab Mira Hafiazah pantas.
Zaki tersenyum. Tekniknya mengena. Kata gelaran ‘Cik’ yang diberi penegasan oleh gadis itu mengesahkan bahawa dia masih bujang! Ini menambahkan keriangan di hati Zaki.
“Tapi encik saya tengok keadaan encik macam tak berapa sihat. Encik terlibat kemalangan sebulan yang lepas, kan? Kaki dan tangan pun masih belum pulih sepenuhnya. Larat ke encik nak angkat semua barang ni masuk nanti? Apa kata, saya tolong aje bawakan ke dalam rumah?” ujar Mira Hafizah menawarkan bantuan.
“Tak apa awak letak aje kat luar. Nanti saya akan panggilkan jiran untuk tolong angkatkan. Lagipun, tak manis seorang gadis masuk ke dalam rumah lelaki, kan?” jawab Zaki sambil menjeling nakal.
“Sebenarnya adik lelaki saya ada kat luar. Saya fikir dia yang akan tolong kita nanti. Tapi tak apalah. Jimat masa saya kat sini. Oh ya! Ni kad saya. Jika ada apa-apa, boleh hubungi saya. Puan Melissa seorang wanita yang hebat dan sangat baik. Semua orang merinduinya. Saya sampaikan ucapan takziah bagi pihak rakan sekerja kepada awak. Semoga tabah menghadapi ujianNYa. Mudah-mudahan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, insyaALLAH.” Kata-kata Mira Hafiazah menukarkan moodnya.
“Terima kasih,” balas Zaki ringkas.
Setiap kali ibunya disebut, Zaki pasti akan terdiam. Baginya, dia sudah terlalu menyesal. Pada saat orang lain menyebut-nyebut kebaikan ibunya, semasa mudanya dulu dia banyak melakukan sesuatu yang menghampakan ibunya. Zaki mengeluh berat. Penyesalan yang tiada gunanya lagi. Terputus sudah doa seorang ibu yang makbul. Nikmat yang tidak akan kembali.
MIRA HAFIZAH baru sahaja selesai membersihkan diri setelah pulang dari rumah Zaki. Seharian dia bekerja sehingga terasa badannya melekit. Sungguh tidak selesa! Kini, dia menghadap laptopnya dan terus membuka aplikasi aplikasi Fac. Tiada notification baru. Kalau ada pun hanyalah update dari page menjual aksesori dan pakaian fesyen wanita. Sebenarnya gadis ini jarang menulis status di Fac. Hidupnya terlalu sibuk. Cuma malam ini tangannya terasa ringan untuk meninjau apa yang berlaku di dunia laman sosial itu.
Satu friend request masuk! Mira Hafizah tersenyum malihat namanya. Lalu ditekan pada butang confirm untuk mengesahkannya dalam senarai rakan laman sosialnya.
“Assalamualaikum Cik Mira!” sapa friend barunya itu.
“Waalaikumsalam Encik Zaki. Ada apa yang boleh saya bantu?” soal Mira Hafizah dengan pantas.
Chat itu kemudiannya tidak berbalas sekitar 10 minit lamanya. Mira Hafizah juga tidak begitu mengedahkannya. Dia bukanlah seorang yang rajin untuk berbalas chatting, lebih-lebih lagi dengan seorang lelaki yang baru sahaja dikenali. Ketika Mira Hafizah hendak menutup laptopnya, tiba-tiba satu mesej baru daripada Zaki memasuki peti inboxnya.
“Tolong saya!”
Pap! keluar imej yang gelap dan kurang jelas. Gadis itu mengerutkan wajah. Mira Hafizah suba meneliti gambar itu, kemudian tersentak dan segera bangkit mencapai telefon bimbit. Nombor Natasha menjadi pilihan pertama untuk dihubunginya.
“Helo Natasha! Tolong beritahu Datuk Zahran! Ada perompak masuk rumah Zaki!”
Share this novel