RENUNGAN tajam anak mata Datuk Aisar Harris menikam ke dalam anak mata Dahlia Sofea. Keningnya berkerut cuba menatap wajah gadis berbulu mata lentik itu tetapi malang kerana dihalang oleh penutup muka.
Dahlia Sofea menundukkan kepalanya. Tidak mampu membalas renungan tajam Datuk Aisar Harris.
"I rasa memang I pernah jumpa you, cuma I tak sure dekat mana. You pernah ke datang majlis perkahwinan adik I?"
Soalan Datuk Aisar Harris benar-benar buat jantung Dahlia Sofea berdegup laju. Apa jawapan yang perlu dia berikan kepada lelaki di hadapannya ini. Pasti lelaki ini tidak akan berganjak selagi tidak dapat jawapan. Mahu sahaja dia melarikan diri dari tempat dia berdiri.
Dahlia Sofea menelan liur. "Errr saya tak…"
"Datuk Aisar, masa majlis perkahwinan adik datuk hari tu, Sofea ada kerja lain yang perlu diselesaikan. Rasanya memang dia tak pernah jumpa dengan datuk." Pintas Fakhrul yang sedari tadi hanya diam sahaja.
Datuk Aisar Harris angguk. "Okaylah kalau macam tu. Apa-apa nanti I akan contact you," katanya terus beredar daripada situ.
Dahlia Sofea menghembuskan nafas lega. Nasib baik Fakhrul menyelamatkannya, jika tidak, pasti rahsianya terbongkar malam ini. Habislah peluang dia untuk menjadi bodyguard selepas ini dan yang paling menakutkan, berita ini akan sampai ke pengetahuan papa dan mamanya.
Tidak!!! Hatinya menjerit kuat.
Kereta yang dipandu Datuk Aisar Harris perlahan-lahan masuk ke pekarangan rumahnya. Dia merenung bilik anaknya yang berada di tingkat atas rumah banglow tiga tingkat milik keluarganya itu. Dia mendengus perlahan. Pasti anaknya memberontak lagi malam ini. Keluar sahaja daripada perut kereta, dia bergegas masuk ke dalam rumah.
Langkah kakinya diatur laju ke bilik Aimy Aleesa. Pintu bilik anaknya terbuka luas. Datuk Aisar Harris berdiri di muka pintu sambil memerhati ke dalam bilik. Tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Bilik anaknya itu berselerak dengan anak patung dan permainan di atas lantai. Dia menggeleng disusuli dengan keluhan lemah.
"Aimy, kenapa buang anak patung kat bawah lantai?" Tanya Datuk Aisar Harris sambil melangkah masuk ke dalam bilik.
"Eh, tuan. Maafkan saya, tuan. Aimy tak nak tidur. Tiba-tiba jer dia mengamuk. Puas saya pujuk…" beritahu Lina sebaik sahaja Datuk Aisar Harris berdiri di sebelahnya.
"Takpa, kak Lina. Akak boleh keluar. Biar saya yang pujuk dia."
"Baik, datuk."
Datuk Aisar Harris mendekati Aimy Aleesa yang sedang menangis sambil memeluk gambar arwah Qistina. Perlahan-lahan dia melabuh duduk di hadapan anaknya itu. Aimy Aleesa masih lagi menunduk. Esakannya masih lagi kedengaran.
"Aimy, kenapa ni?" Air mata di pipi Aimy Aleesa diseka dengan hujung jari.
"Aimy… Aimy rindukan mama. Kenapa mama… mama tak balik lagi?" Soalnya dengan suara yang tersedu-sedu.
Datuk Aisar Harris menarik gambar di pelukan Aimy Aleesa. Dia memeluk tubuh anaknya. "Sayang, mama kan dah meninggal. Mama mana boleh balik. Mama tengah tunggu kita kat sana."
"Bila kita boleh pergi sana kat mama? Papa pergilah beli tiket. Kan papa ada banyak duit…" kata Aimy Aleesa naif.
Kelopak matanya ditutup rapat. Datuk Aisar Harris mengetap bibir. Perasaannya meronta-ronta tidak tahu samada mahu ketawa ataupun menangis.
Rangkulan dilepaskan. "Sayang, kita mana boleh pergi sana lagi. Belum masanya. Bila sampai masa, barulah kita boleh jumpa mama."
Aimy Aleesa menggaru kepalanya. "Kenapa lama sangat kita nak jumpa mama ni. Aimy dah tak boleh tahan dah. Hati ni dah sesak tahu tak. Aimy nak mama! Nak mama malam ni jugak!" Teriaknya kuat.
Ternganga mulut Datuk Aisar Harris selepas mendengar kata-kata Aimy Aleesa. Entah di mana dia belajar ayat seperti tadi.
"Aimy, listen! Aimy jangan buat perangai boleh tak? Mama dah takda! Mama dah mati! Susah sangat ke Aimy nak faham?" Tengking Datuk Aisar Harris. Wajahnya menyinga.
Mata Aimy Aleesa mula berkaca apabila dimarahi Datuk Aisar Harris. "Aimy nak mama! Aimy nak mama!" Tangisannya semakin kuat. Dia menggosok-gosok matanya.
"Astaghfirullahalazim. Kenapa ni Harris?" Soal Datin Safura yang sedang berdiri di muka pintu. Dia mendekati Aimy Aleesa terus memeluk tubuh kecil itu. "Yang kamu nak tengking-tengking ni dah kenapa?"
"Bonda tengok lah Aimy ni, tak habis-habis nak mama jer. Peninglah Harris kalau hari-hari macam ni." Kepala dipicit perlahan.
Keluhan berat keluar daripada mulut Datin Safura. "Harris, bonda tahu Harris stress, penat tapi bukan macam ni caranya. Aimy ni budak lagi. Dia tak faham. Hurm kamu pergi masuk bilik. Biar bonda uruskan Aimy."
Datuk Aisar Harris menonong keluar dari bilik Aimy Aleesa. Dia terus masuk ke dalam biliknya. Dia duduk dibirai katil sambil merenung gambar arwah Qistina yang baru sahaja 5 bulan meninggalkan mereka kerana penyakit kanser payudara. Bukan mudah dia melupakan arwah isterinya itu. Pasti Aimy Aleesa juga merasa kehilangan mamanya. Gambar arwah Qistina ditatap lama.
~
Throwback 5 bulan yang lalu di hospital.
Qistina sedang terbaring lemah di atas katil. Jemarinya menggenggam kuat jemari Datuk Aisar Harris. Senyuman dilemparkan kepada suaminya yang setia berada disisinya.
"Abang, tolong jagakan Aimy yer. Qis taknak dia merasa kehilangan seorang ibu. Qis nak abang jaga dia penuh kasih sayang…"
"Ya, sayang. Abang janji abang akan jaga anak kita. Qis jangan risau yer. Qis jangan fikirkan sangat yer pasal tu."
Air mata tiba-tiba mengalir di pipi Qistina. "Abang, tolong halalkan makan minum Qis selama Qis jadi isteri abang. Qis minta maaf sebab tak boleh nak temankan abang hingga hujung nafas Qis."
Pipi Qistina disentuh perlahan. Air mata yang merembes keluar diseka dengan ibu jari. "Sayang, abang halalkan semuanya. Abang sayangkan Qis dan anak kita."
Bibirnya mengukir senyum kembali. "Abang, terima kasih kerana dah jaga Qis. Abang tolong redakan pemergian Qis. Kalau nanti abang terbuka hati untuk carikan mama baru untuk Aimy, Qis izinkan. Qis cuma nak abang dan Aimy bahagia walau bukan dengan Qis…"
"Ya Allah, kenapa sayang kata macam tu. Qis, janganlah risau. Abang akan jaga anak kita. Abang janji dengan sayang. Qis, tidur yer. Jangan fikir sangat."
Qistina angguk. Bibirnya mengukir senyum. Matanya perlahan-lahan terpejam. "Abang, Qis mengantuk…"
"Sayang rehat la. Abang tunggu sayang bangun…"
Datuk Aisar Harris duduk menatap wajah isterinya yang sedang tidur. Wajah Qistina kelihatan pucat. Jika dulu wajah itu tidak pernah lekang dengan senyuman manis, kini wajah itu kelihatan suram. Terlalu lama Qistina menderita. Jika Qistina benar-benar akan meninggalkannya, dia reda. Biarlah Qistina pergi dengan tenang.
Bunyi mesin defibrillator yang panjang mengejutkan Datuk Aisar Harris. Jantungnya mula berdegup laju. Dia berlari keluar dari bilik dengan wajah yang cemas. Dia kembali semula dengan beberapa orang perawat.
"Encik, sila tunggu dekat luar yer…"
Tercungap-cungap nafas Datuk Qisar Harris. Dia berjalan mundar-mandir di luar bilik Qistina. Dia risau jika sesuatu yang buruk bakal berlaku.
"Encik…" panggil doktor yang merawat Qistina.
Datuk Aisar Harris berdiri di hadapannya.
"Maafkan, kami. Kami tidak berjaya selamatkan isteri encik. Salam takziah." Bahu Datuk Aisar Harris ditepuk perlahan.
"Allahuakhbar…" Terjelepok Datuk Aisar Harris di atas lantai. Air matanya laju mengalir.
~
Datuk Aisar Harris tersedar daripada lamunan apabila air matanya menitik di atas jemarinya. Air jernih yang mengalir di pipinya diseka dengan hujung jari. Selama 5 bulan ini tidak pernah dia melupakan wajah arwah isterinya. Pasti Aimy Aleesa juga merasakan yang sama. Mungkin kerana itulah anaknya seringkali meracau memanggil-manggil arwah Qistina di dalam tidurnya.
Gambar arwah Qistina yang berada di dalam genggamannya diletakkan di atas meja di sisi katil. Dia mula berbaring sambil merenung siling. Mungkin dia perlu carikan seorang mama baru untuk Aimy tetapi siapa. Kebanyakan wanita yang dia kenal memang tidak layak untuk dijadikan isteri. Dia mendengus lemah. Mungkin terlalu awal untuknya berfikir ke arah itu.
Dia bangun daripada katil dan menuju ke bilik air. Dia perlu berehat kerana esok banyak lagi kerja yang dia perlu uruskan. Soal mencarikan mama baru untuk Aimy Aleesa, biarlah Datin Safura yang uruskan. Itu lebih baik untuknya.
PAGI ini Dahlia Sofea dikejutkan dengan kedatangan Nurlaila di rumahnya. Entah apa mimpi adiknya itu tiba-tiba sahaja datang ke rumahnya. Keningnya mula berkerut apabila terpancul sosok tubuh Nurlaila di hadapan butiknya. Nasibnya baik kerana hari ini butiknya tidak beroperasi.
"Adik buat apa kat sini? Takda angin takda ribut, tiba-tiba jer datang." Soal Dahlia Sofea dengan wajah tidak berpuas hati.
"Kak Lia…" Tubuh Dahlia Sofea dipeluk. "Adik nak ajak akak keluar lah. Jom la kita keluar lepak. Dah lama kan kita tak keluar sama-sama."
Dahlia Sofea menggeleng. Dia duduk di birai katil. "Taknak lah. Malas. Akak nak rehat jer hari ni. Ni datang dengan apa? Mama tahu tak?"
"Naik grab. Mama tahu lah. Ala akak ni. Jomlah. Lagipun akak bukannya buat apa pun. Kan bagus kalau keluar cuci mata. Mana tahu jumpa jodoh datuk ke…"
Dahlia Sofea mencebik. "Datuk apa ke benda lah. Jangan nak mimpi okay. Datuk yang ramai cucu adalah. Nak harap datuk handsome tubuh tegap ni, mimpi jer lah adik oi." Katanya tegas lalu berbaring di atas katil.
"Jomlah…" Nurlaila menarik tangan Dahlia Sofea supaya bangun. "Akak ni memang malas kan. Patutlah tak kahwin-kahwin. Mama kata jadi perempuan tu jangan malas. Cepat pergi siap, adik tunggu ni." Badan kakaknya ditolak masuk ke dalam bilik air.
"Hisy budak ni kan. Memang sengaja nak kacau akak kan. Boleh tak weekend macam ni adik bagi akak rehat. Ni tak, asyik nak ajak keluar jer…" Luah Dahlia Sofea yang sedang bersandar pada bingkai pintu bilik air sambil berpeluk tubuh.
"Cepatlah mandi. Nanti kang lambat pula nak balik. Bebel kang mama nanti kalau adik balik lambat."
"Yer lah, yer lah. Hisy kacau lah!" Dengusnya kasar. Dahlia Sofea terus masuk ke dalam bilik air.
Siap sahaja Dahlia Sofea berpakaian dan bersolek, dia turun ke tingkat bawah. Nurlaila sedang menunggu di dalam kereta. Perlahan-lahan dia memandu keretanya meninggalkan kawasan rumahnya.
Tidak lama kemudian, mereka sampai ke sebuah pusat membeli belah yang tidak jauh dengan rumah Dahlia Sofea. Mereka mengisi perut dahulu di restoran Secret Recipe di dalam pusat membeli belah itu sebelum mencuci mata.
"Hari ni akak belanja kan?" Soal Nurlaila sambil menjongket keningnya sedikit.
Dahlia Sofea mengerutkan keningnya. "Hurm yer lah. Cepatlah, nak order apa ni?"
"Kejap. Hmm adik nak spaghetti meatballs, spicy tomato grilled salmon, shinjuku caramel bake, cream cake dan jus green apple. Okay tu jer…"
"Adik, kau bela saka ke apa ni? Melantak macam tak pernah makan. Mama dengan papa memang tak pernah bagi kau makan ek kat rumah?" Bebel Dahlia Sofea panjang.
Nurlaila muncungkan mulutnya. "Ala, bukannya banyak pun. Lagipun bukannya selalu dapat pau akak. Hehehe."
"Ni kalau tak habis karang, akak tinggalkan kau kat sini. Buatlah apa kerja pun asalkan kau boleh bayar makanan kau. Confirm ke ni?"
"Ha ah. Confirm seratus peratus." Nurlaila tersengih menunjukkan baris giginya.
Dahlia Sofea mengeluh perlahan sebelum membuat pesanan di dalam laman sesawang Secret Recipe. Sempat dia menjeling ke arah Nurlaila yang sedang bermain telefon pintar di hadapannya. Mahu sahaja dia cekik adiknya itu.
Seusai sahaja makan, Nurlaila mengajak Dahlia Sofea untuk membeli pakaian. Mereka masuk ke dalam sebuah kedai menjual pakaian wanita. Hampir 1 jam mereka berpusing di dalam pusat membeli belah tersebut. Dahlia Sofea hanya mengekori sahaja langkah adiknya itu. Dia hanya mampu tersenyum sumbing melihat adiknya yang tersenyum lebar.
"Adik, akak dah penat lah. Jom kita duduk kejap kat sana." Dahlia Sofea menunjuk ke arah sebuah bangku di luar kedai.
"Okay, jom." Balasnya sambil membuntuti Dahlia Sofea.
Nafas lega dihembus perlahan. Mahu sahaja kakinya tercabut kerana berjalan ke hulu dan ke hilir mengekori Nurlaila membeli belah.
"Mama…" jerit seorang kanak-kanak lalu berlari ke arah mereka.
Tersentak Dahlia Sofea apabila Aimy Aleesa datang memeluknya. Nurlaila yang berada di sebelahnya tergamam melihat wajah Aimy Aleesa.
"Mama… kenapa mama lama tak jumpa Aimy?" Soal Aimy Aleesa yang sedang menatapnya.
"Err mama eh akak kerja lah. Ni err Aimy datang dengan siapa ni?" Terjenguk-jenguk kepala Dahlia Sofea mencari kelibat Datuk Aisar Harris.
"Dengan papa. Papa kat sana." Tunjuk Aimy Aleesa ke arah sebuah kedai pakaian.
"Owhhh tapi akak tak nampak pun papa. Ni mesti Aimy lari daripada papa lagi kan?" Soalnya tegas.
Aimy Aleesa menundukkan wajahnya. Tidak sampai beberapa saat, dia dongak semula. "Err ni siapa? Kawan mama ke?" Soalnya pula sambil menepuk perlahan paha Nurlaila.
"Ni adik akak. Nama dia akak Laila."
"Owh… hai, akak Laila." Tegurnya lalu menghulurkan tangannya kepada Nurlaila.
Nurlaila menyambut huluran tangan Aimy Aleesa. "Hai, sayang. Pandainya dia, comel pulak tu. Nama Aimy yer. Mana mama?"
"Ni…" Aimy Aleesa menunjuk ke arah Dahlia Sofea.
"Owhhh okay. Ni mama Aimy lah…" Nurlaila tersenyum nakal.
Dahlia Sofea mengetap giginya. "Err Aimy, apa kata kalau kita pergi cari papa. Kesian papa mesti tercari-cari Aimy kan. Jom kita pergi sana," cadangnya lalu bangun ingin mengatur langkah.
Dari jauh kelihatan Datuk Aisar Harris berlari ke arah mereka. Nafasnya tercungap-cungap. "Cik Lia, terima kasih sekali lagi tolong jaga Aimy. Saya pun tak tahu bila Aimy ni hilang. Tiba-tiba jer dia dah tak ada dekat tepi saya." Terangnya panjang lebar sebaik sahaja berdiri di hadapan mereka berdua.
"Takpa, datuk. Nasib baiklah dia tak pergi dekat orang lain. Risau jugak tu. Zaman sekarang ni bahaya sikit."
"Ha ah, tu lah. Aimy, sini." Tangan Aimy Aleesa ditarik mendekatinya. "Kan papa dah pesan jangan pergi mana-mana. Degil lah Aimy ni."
"Aimy kan datang dekat mama jer. Bukannya pergi mana-mana pun." Jawab Aimy Aleesa sambil memeluk tubuh. Mulutnya muncung dan kepalanya menunduk ke bawah.
"Tengok tu. Melawan." Datuk Aisar Harris mendengus perlahan.
"Takpalah, datuk. Budak-budak. Errr ni adik saya, Nurlaila."
Nurlaila mengukir Senyum dan dibalas Datuk aisar Harris pula.
"Datuk buat apa kat sini?" Soal Dahlia Sofea tiba-tiba.
Eh! Kenapa tiba-tiba aku tanya dia pula? Hisy, patutnya aku minta diri jer. Mulut kau ni memang lah Dahlia Sofea!
"Saya saja belikan baju untuk Aimy. Esok ada event dekat rumah. My parent's anniversary."
"Owh yer ker. Tahniah. Patutlah Aimy nak beli baju baru…" Dahlia Sofea mencubit pipi Aimy Aleesa.
Terkekek-kekek ketawa Aimy Aleesa apabila Dahlia Sofea menggeletek lehernya.
Datuk Aisar Harris tersenyum melihat kemesraan antara anaknya dan Dahlia Sofea. Senyumannya mati apabila terpandang Nurlaila yang sedang merenungnya.
"Hmm kalau macam tu saya minta diri dulu lah. Maaf sebab selalu menyusahkan Cik Lia. Aimy, salam akak Lia dan akak Laila."
Selepas Aimy Aleesa bersalam dengan Dahlia Sofea dan Nurlaila, Datuk Aisar Harris dan anaknya terus berlalu meninggalkan mereka berdua.
Nurlaila tersenyum nakal ke arah Dahlia Sofea. "Sejak bila akak ada anak ni? Dalam diam-diam ek. Cakap dengan papa dan mama."
"Hisy, jangan nak mengada. Akak kenal dia pun sebab akak buatkan pelamin untuk adik dia jer. Jangan nak bawa cerita yang bukan-bukan ek kat papa dengan mama. Nanti akak tak belikan kamera untuk Laila." Katanya terus berjalan meninggalkan Nurlaila.
"Ala akak ni, orang gurau jer lah. Mana ada orang nak beritahu papa dengan mama." Nurlaila membuntuti Dahlia Sofea dari belakang. Dia memeluk pinggang kakaknya itu.
Dahlia Sofea menolak tangan Nurlaila. Mereka berjalan beriringan turun ke tingkat bawah. Terdengar hilaian ketawa mereka berdua. Keluar sahaja dari pusat membeli belah tersebut, Dahlia Sofea menghantar Nurlaila balik ke rumah. Dia terus memandu pulang ke rumahnya kerana tidak mahu mendengar leteran Datin Zarina.
Bunyi pesanan ringkas yang baru sahaja masuk di applikasi Whatsapp terus dibaca. Kening Dahlia Sofea mula berkerut.
Sofea, esok kita ada event penting. Make sure you datang. I taknak dengar apa-apa lagi alasan kali ini. -Fakhrul
Dahlia Sofea melemparkan telefon pintar ke atas katil sebaik sahaja membaca pesanan ringkas daripada Fakhrul. Keluhan berat dilepaskan. Baru sahaja dia mahu bersantai-santai di rumah malam ini, tetapi tiba-tiba sahaja dia mendapat tugas daripada Fakhrul. Malam ini dia perlu tidur awal kerana esok butiknya akan beroperasi seperti biasa dan waktu malam pula dia perlu bekerja lagi.
"Kalau kau tak kaya lagi, tak tahu lah Dahlia Sofea." Rungutnya perlahan.
"SHAH dan Sofea boleh berdiri dekat sana yer. Make sure takda apa-apa yang berlaku malam ni. Faham?"
Fakhrul mula mengatur kedudukan semua bodyguardnya yang bertugas malam ini.
"Yes, boss!" Jawab mereka serentak.
Fakhrul terus berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Shah menoleh memandang Dahlia Sofea. Daripada pandangan matanya sahaja Dahlia Sofea dapat mengagak yang Shah sedang tersenyum kepadanya. Jelingan tajam dihadiahkan kepada Shah.
Majlis ulang tahun perkahwinan Datin Safura dan Datuk Baharuddin berjalan dengan lancar. Ramai tetamu daripada golongan vip dan vvip yang datang pada malam ini. Tidak terkecuali papa dan mama Dahlia Sofea. Nasib baiklah mereka tidak mengenalinya kerana dia memakai penutup muka.
Dahlia Sofea menghembuskan nafas lega apabila kedua-dua orang tuanya berangkat pulang selepas majlis ulang tahun perkahwinan tersebut berakhir. Ramai tetamu telah pun meninggalkan majlis tersebut. Datuk Khaled dan juga isterinya juga telah pulang.
"Sofea, I ada benda nak cakap dengan you," ujar Fakhrul.
Dahlia Sofea membuntuti langkah Fakhrul yang berdiri agak jauh dengan Shah. Shah memerhatikan mereka berdua dari jauh.
"Ada apa bos nak beritahu saya?"
"Macam ni, tadi Datuk Aisar beritahu yang dia perlukan bodyguard untuk anak perempuannya. So, I cadangkan nama you."
"Okay. Anak dia umur berapa?" Soal Dahlia Sofea berpura-pura.
"Anak dia berusia 7 tahun, tapi you jangan risau, Datuk Aisar kata hanya untuk tiga bulan sahaja selama dia outstation dekat luar negara."
Outstation ke pergi joli? Macam lah aku tak kenal orang kaya ni macam mana.
"Tiga bulan? Hmm okay, boleh."
"Good. Nanti saya akan beritahu dia. Jangan tiba-tiba you taknak pula, jangan cari penyakit yer, Sofea."
"Errr taklah. Selama ni kan saya ikut… err arahan." Jawabnya perlahan.
"Yer lah tu. Nanti saya akan beritahu bila you boleh start. Thank you untuk malam ni. See you."
"Okay, boss." Balasnya pendek.
Arghhh kenapa dalam ramai-ramai bodyguard, kau boleh pilih aku! Mampus aku kalau tiba-tiba kantoi depan dia. Habislah karier aku! Aduh, macam mana ni!
Menjerit kuat Dahlia Sofea di dalam hati. Dari jauh dia dapat melihat senyuman Datuk Aisar Harris apabila berjabat tangan dengan Fakhrul. Pasti Fakhrul telah memaklumkan kepadanya tentang persetujuan dia untuk menjadi bodyguard kepada Aimy Aleesa. Selepas ini, dia dapat merasakan yang hidupnya tidak akan tenteram lagi setiap hari.
Share this novel
kompom penat lia ... 2 kja ....huhuhu
c.a most frightened woman disease
alahai sian aimy... xfhm psal ktiadaan mama