Bab 5 : Segalanya Bermula

Horror & Thriller Completed 71148

Jam menunjukkan tepat pukul 6 pagi. Bacaan ayat suci al Quran mula kedengaran sayup-sayup dari arah masjid yang tidak jauh dari kolej kediaman mereka.

Jam lonceng Syafiq berbunyi kuat, memecah sunyi pagi di dalam bilik mereka itu. Lagu rock sekitar tahun 90'an menjadi pilihan nya sebagai runut bunyi penggeranya itu.

Syafiq tidak bergerak langsung, dia terus lena seakan tidak mendengar apa-apa. Lagu itu pula sudah dua tiga kali berulang semula, namun Syafiq masih lena.

Masuk kali ke empat lagu itu berbunyi, tiba-tiba Syafiq tersedar. Dia tersentak apabila mendengar bunyi hentakan yang sangat kuat di pintu biliknya itu. Dengan keadaan yang masih mamai, dia menoleh ke arah pintu biliknya itu. Masih seperti biasa, tertutup rapat ke dinding biliknya.

Syafiq meletakkan semula kepalanya itu di atas bantal kekebunya itu. Empuk, Syafiq mahu menyambung lenanya. Namun dia baru perasan, Alif tidak ada di atas katilnya. Syafiq menoleh ke kiri, mahu memastikan apa yang dilihatnya tadi.

Kosong, Alif tiada di atas katilnya. Syafiq mulai risau. Ke mana Alif pergi di awal pagi begini. Kemudian baru dia teringat yang Alif selalu ke masjid untuk solat berjemaah. Hatinya lega. Dan teringat tentang solat berjemaah, baru Syafiq teringat yang dia masih belum solat subuh lagi. Dia bangkit dengan perlahan dan keluar menuju ke bilik air.

Pili air itu dibuka perlahan. Syafiq membasuh sedikit tangannya untuk merasai kesejukan air itu. Dia kemudiannya berkumur-kumur dan meneruskan membasuh anggota badannya yang lain untuk berwudhu'. Seusai mengambil wudhu' dia berjalan keluar dari tandas itu.

Tiba-tiba dengan pantas Syafiq menoleh ke belakang. Dia seakan terlihat kelibat seseorang melintas di belakangnya tadi. Melihat tiada sesiapa pun di situ, bulu romanya berdiri tegak. Dia mempercepatkan langkahnya tanpa menoleh ke belakang lagi.

Syafiq masuk lalu menutup laju pintu biliknya itu. Dia mengambil nafas seketika. Dia kemudiannya mencapai sejadah yang digantung di sisi katilnya dan mula mendirikan solat subuh. Dia solat dalam keadaan yang tidak khusyuk. Dia seakan merasakan seperti ada seseorang sedang memerhatikannya. Betul-betul di belakangnya.

-0-0-0-0-

Seusai solat subuh pagi tadi, Syafiq kembali lena. Dia yang perlu ke makmal pada jam 9 pagi masih lena diulit mimpi. Jam sudah menunjukkan tepat 8.30 pagi. Jam loncengnya berbunyi, Syafiq tersentak dari lenanya.

Dia mencapai telefon bimbitnya itu dan menekan butang snooze. Kemudian dia kembali ke alam mimpinya itu lagi. Dia merasakan seperti sekejap sahaja dia terlena, rupa-rupanya jam sudah menunjukkan tepat 9 pagi. Sepantas kilat dia bangun mencapai tuala dan alatan mandinya lalu dia berlari menuju ke bilik air.

Tidak sampai beberapa minit kemudian, dia kembali semula ke dalam biliknya itu. Mandi kerbau, macam biasa. Dia mencapai sahaja baju yang ada dan menyarungkannya. Kemudian dia bersiap lalu mengambil barang-barang untuk dibawa ke makmal.

Saat dia mahu melangkah keluar, matanya terlihat sesuatu di atas lantai. Sekeping kertas seakan nota untuk dirinya. Dia mengambilnya lalu membacanya perlahan.

Aku mungkin balik lewat, kau jangan tunggu aku ye Syafiq.
- Alif

Syafiq terdiam membaca nota kecil itu. Kertasnya basah, dan dia tidak nampak pun kertas itu tadi. Dia mula pelik. Namun memikirkan yang dia sudah terlewat, dia terus menutup daun pintu biliknya itu dan berlari menuju ke keretanya. Otaknya masih ligat memikirkan, kemana Alif pergi seawal pagi begini.

-0-0-0-0-

Seharian Syafiq menghabiskan masanya di makmal. Hari ini dia terpaksa tinggal lebih lama kerana mahu melihat hasil uji kajinya. Jam sudah menunjukkan pukul 7.10 petang. Suasana mulai sunyi. Mentari mulai menghilang, digantikan pula dengan bulan yang menerang.

Sedang Syafiq menaip sesuatu di komputer ribanya itu, dia terdengar seakan seseorang sedang memanggil-manggil namanya. Dia menoleh ke belakang, namun tiada sesiapa pun situ. Dia pun kembali menaip. Tidak lama selepas itu, suara tadi muncul kembali. Kali ini lebih kuat lagi. Syafiq mula tak sedap hati.

Syafiq~~

Oh Syafiq~~

Dia mahu menoleh, tapi dia takut ada sesuatu di belakangnya. Dia berpura-pura tidak mendengar dan terus menaip dengan laju. Suara itu semakin menghampiri dirinya.

Aku tahu kau dengar suara aku, tengok lah sini. Syafiq~~

Bulu romanya menegak. Syafiq sudah tidak tahan lagi. Dengan berani dia menoleh ke belakang. Fuhhhh, tiada apa-apa pun di belakangnya. Dia lega.

"Arghhhhhhhhhhh." Tiba-tiba Syafiq menjerit.

Satu lembaga hitam berwajah hodoh betul-betul berada di hadapan matanya itu. Matanya merah, mukanya buruk dan basah. Dia tersenyum ke arah Syafiq dengan wajahnya yang menakutkan itu.

Habis semua barang-barang nya bertaburan. Syafiq cuba untuk melarikan dirinya. Namun lembaga itu laju mengejarnya. Kerana terlalu ketakutan, Syafiq terjatuh di sisi tangga. Dia yang menoleh ke belakang menjerit ketakutan apabila lembaga itu menerpa ke arahnya. Dia menutup rapat mukanya itu.

Apabila merasakan tiada apa-apa menerjahnya, dia melepaskan tanganya itu perlahan. Sedikit demi sedikit dia melonggarkan jari jemarinya. Syafiq tercengang. Dia kini sedang berada di hadapan komputer ribanya, di dalam makmal. Barang-barangnya itu masih tersusun seperti biasa.

Syafiq mula rasa tak sedap badan. Seluruh tubuhnya menggigil ketakutan. Tanpa banyak bicara, dia mengemas barang-barangnya itu dan mancapai apa yang perlu dibawa pulang. Mula-mula dia mahu balik lewat sedikit, tapi apabila dikacau begitu terus terbantut hasratnya itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.40 malam. Dia melangkah laju dan meninggalkan kawasan itu. Suasana sunyi menyebabkan pedal minyak dipijak kuat. Dia ketakutan. Di dalam hidupnya, tidak pernah dia dikacau sebegitu rupa.

"Astagfirullah. Aku belum solat maghrib lagi." Monolog Syafiq sendiri.

Keretanya terus memecut laju. Syafiq tidak memandang kanan dan kirinya lagi. Yang dia tahu, dia mahu cepat sampai di biliknya itu.

Namun tanpa Syafiq sedari, ada satu lembaga hitam mula mengekori. Lembaga itu tersenyum, memperlihatkan wajahnya yang hodoh itu. Matanya yang merah merenung tajam Syafiq yang langsung tidak menoleh ke belakang.

-0-0-0-0-

Jam sudah menunjukkan pukul 11.35malam. Syafiq yang mulai risau tentang keadaan Alif mula mendail nombor telefon sahabatnya itu.

Nombor yang anda dail, tidak dapat dihubungi. Sila cuba sebentar lagi.

Syafiq buntu. Ke mana agaknya Alif menghilang. Dia yang mulai mengantuk meletakkan telefon nya itu di atas meja lalu merebahkan badannya di atas katil. Dia merenung ke arah pintu biliknya itu. Tidak lama kemudian dia terlelap.

-0-0-0-0-

Bunyi geseran besi pintu biliknya itu menyebabkan Syafiq terjaga dari lenanya. Dia membuka matanya sedikit dan melihat ke arah pintu biliknya itu.

Mata Syafiq terbeliak melihat Alif berdiri kaku di depan pintu bilik mereka. Dirinya basah kuyup, menggigil dan ketakutan. Syafiq berdiri lalu mencapai tuala di tepi almarinya itu.

Dia menyelubungkan Alif dengan tuala itu lalu membawanya masuk.

"Ya Allah, kau kenapa ni Alif? Kau kemana seharian ni sampai jadi macam ni?" Tanya Syafiq seusai mereka melanhkah masuk ke bilik mereka.

Alif hanya mendiamkan dirinya. Kedengaran perlahan suara tangisannya. Syafiq turut terdiam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience