Buli Balik!

Romance Completed 117449

BAB 10

            KAWASAN dusun yang luas itu sangat bersih kerana di jaga dengan rapi oleh pekerja yang di upah oleh pak cik. Pokok-pokok yang menjulang tinggi meredupkan kawasan dusun itu dan terasa udara yang segar dan dingin. Pokok durianlah paling banyak dan memenuhi kawasan dusun, juga terdapat pokok langsat, manggis, rambutan, dan buah mata kucing. Aku berhenti di bawah pokok durian dan melihat buah menanti untuk luruh.

            “Tingginya pokok ni, macam mana nak petik buah dia?!” Harry turut mendongak. Matanya mengecil kerana cahaya mentari menyusup di celah-celah dedaunan pohon itu menyilau matanya.

            Aku ketawa kecil diikuti sepupuku, Fuad. Adikku Marhani dan Naufal berada tidak jauh dari kami sedang memetik buah langsat yang pohonya rendang dan rendah.

            “Tuan Muda Harry... apa kata awak panjat pokok ni?” aku sengaja berubah serius.

            Harry memandang aku dengan kerutan di dahi. Manakala Fuad sudah terkejut namun, sempat aku menjeling memberi amaran supaya dia diamkan diri sahaja.

            “Kau ingat aku monyet?!” Harry tidak puas hati.

            “Tak... malah awak lagi cerdik dari monyet! Rasanya monyet pun tahu yang buah durian ni luruh sendiri bukannya perlu dipetik!” aku ketawa sinis. Puas hati aku melihat wajah Harry sudah seperti bodoh-bodoh alang.

            “Hey! Watch your mouth!” Harry menuding jari tepat ke mukaku.

            “Lalala...” aku buat tidak tahu dan berjalan ke pokok rambutan sambil menyanyi kecil. Merah padam wajahnya kerana geram dengan sikapku. Rasakan Tuam Muda Harry. Apa yang kau boleh buat kat kampung aku ni? Hahaha...

            RAMBUTAN! Inilah satu-satunya buah yang paling aku suka. Aku menjerit kepada Fuad supaya dia dapat memetik buah yang paling masak berwarna merah terang. Sudah terliur aku dibuatnya.

            “Hai... malu betul jadi lelaki kalau tak pandai panjat pokok!” aku sengaja memerli lagi kerana aku melihat Harry sejak tadi hanya mengutip buah rambutan yang sudah jatuh ke tanah.

            Harry memanggung kepala melihat aku. “Kau ingat aku ni apa?” Harry mencampakkan beg plastik yang dipenuhi buah rambutan itu ke tanah. Kemudian dia mendongak melihat Fuad di atas pokok. Pantang dicabar betul!

            “Fuad! Sekarang giliran saya pulak, awak boleh turun.”

            Fuad melopong. “Er... Abang Harry. Mak saya tak benarkan abang panjat pokok.”

            “Betul tu Fuad... lagipun dia ni hanya pandai bagi arahan kat orang aje. Mana tahu buat kerja...” aku menambah provokasi.

            Harry mengetap bibir menahan marah. “Perem...” Ayat Harry berhenti di situ. “Kau... memang nak sangat makan selipar aku, kan?! Dah... Fuad, turun sekarang!”

            Aku mencebik tidak takut. Kelihatan Fuad tergesa-gesa turun dari pokok rambutan itu. dia melompat ke tanah dengan mudah. Aku mengangkat kening mencabar Harry.

            “Abang Harry! Abang Harry nak panjat pokok!” Jerit Marhani. Naufal yang terpandang turut terkejut. Mereka berlari ke arah kami.

            “Kak... kalau Abang Harry cedera macam mana? Kulit dia tu dah la lembut, licin!” Ujar Marhani.

            Aku ketawa sinis. “Biar dia rasa!”

            Marhani ternganga, ‘Sejak bila Kak Aya jadi ahli sihir yang menakutkan?!’

            Harry memegang dahan yang paling rendah. Dia cuba untuk memijak ranting yang lain untuk memanjat naik.

            “Abang Harry! Hati-hati ya!” Naufal menjerit.

            Fuad juga kelihatan sangat gelisah di sebelahku. Aku melihat Harry berjaya naik dengan bergaya. Dia tersenyum bangga.

            “Taklah susah sangat!”

            Aku mencebik. Kalau dahan serendah itu aku pun boleh panjat.

            “Adeh...” Harry menampar lehernya. “Apa yang gigit aku ni?”

            Aku membeliakkan mata. “Awak... awak dah pijak sarang kerengga!!!” aku menjerit.

            “Argghhhhhhhhhhhhhh!!!” Harry terus melompat turun tanpa mempedulikan apa-apa.

            “Ehhh...” aku tidak sempat melarikan diri. 

            Debukk! Bunyi kuat menghempap tanah. 

            Aku terasa seperti tulang belakang aku berbunyi ‘krek’. Harry menghempap badanku!

            Aku terlentang. Kedua tanganku tidak dapat digerakkan. Tubuh Harry terasa amat berat.

            “Sakit betul...” Harry bangun. Sambil menyapu tubuhnya yang masih dipenuhi kerengga. Barulah dia menyedari yang...

            “Hah!” Harry terus melompat ke tepi. Melihat aku yang terlentang dengan mulut terbuka, mataku terbeliak.

            “Abang Harry okey?!” Fuad, Marhani dan Naufal terus menerpa kepada Harry.

            Aku menjeling dengan ekor mata. “Kamu sepatutnya tanya pasal aku!!”

            “Rasanya... dia tak apa-apa. Sebab tu mampu menjerit lagi.” Harry bangun menghampiri aku. Dia menghulurkan tangan. “Terima kasih sebab sudi jadi tilam untuk aku landing.”

*********

            BEDEBAH! Memang menyakitkan hati. Aku jalan terbongkok-bongkok kerana sakit belakang masih terasa. Aku menghampiri meja makan dan duduk dengan berhati-hati. Aku melihat pak cik, mak cik, adik-adik aku serta sepupuku Fuad berselera makan makanan yang terhidang. Si bedebah itu kelihatan makan dengan sopan. Aku berdehem.

            “Eh, Aya. Mari makan. Sakit belakang kamu tu dah baik?” soal Pak cik dengan prihatin.

            “Dah kurang...” aku tersengeh. Mengambil tempat di sebelah Harry. Huh!

            “Kak Aya dah macam nenek bongkok tiga! Haha...” Naufal ketawa sambil mengejek aku.

            Mengecil mataku memandangnya. “Seronok gelakkan akak!”

            Harry turut ketawa kecil. “Jalan pun dah lembap kan?”

            Amboi! Dia ni kalau sehari tak panggil aku lembap boleh mati tercekik tulang dinasor gamaknya!

            “Sudah... tak baik bergaduh depan rezeki.” Celah pak cik menenteramkan keadaan.

            “Kamu semua ni... pergi dusun orang bawa balik buah. Ini bawa balik penyakit.”

            “Ibu... Kak Aya yang suruh Abang Harry panjat pokok!” Fuad mengadu.

            Aku menjegil mata dengan luas. Harry ketawa kecil.

            “It’s okay. Semua ini pengalaman.”

“Aya... Aya minta maaf.” Aku akhirnya mengalah. Memang salah aku pun. Harry tu budak bandar yang tak tahu apa-apa pasal kehidupan orang kampung.

            “Petang ni... kita pergi mandi sungai pulak. Abang Harry juara renang kan? Jomlah pergi sungai. Kat sana, budak-budak kampung memang suka buat pertandingan berenang. Siapa menang digelar juara kampung. Memang akan glamor la. Yang penting...” Fuad merendahkan suara dan membisik ke telinga Harry. “Dapat perhatian awek-awek kampung ni lah!”

            Harry tersenyum. “Macam menarik!”

            “Fuad... kamu jaga Abang Harry elok-elok. Jangan bawa balik penyakit lain pulak.” Ujar pak cik. Memberi peringatan.

            “Nak ikut!” serentak Naufal dan Marhani bersuara.

            Aku perlahan-lahan mengangkat tangan. “Saya pun...”

**********

            PETANG itu seperti dirancang kami berjalan kaki sehingga ke hujung kampung. Aku berjalan dengan perlahan kerana masih lagi sakit badan. Sepanjang perjalanan kami, ramai mata yang mencuri pandang ke arah Harry. Mereka seperti tidak pernah melihat orang! Anak-anak gadis pula tersipu-sipu apabila berselisih dengan kami. Aku menjadi hairan, apa sangat la daya penarik lelaki ini. Sehingga auranya sentiasa kuat di mana pun dia pergi.

            Kami tiba di sungai yang berhampiran kawasan sawah padi. Memang ramai remaja-remaja kampung ketika itu berada di sepanjang tebing sungai. Mereka bersorak riang seperti ada sebuah acara yang sedang berlangsung. Fuad berjalan paling hadapan. Apabila kami tiba di situ semua perhatian mereka tertumpu kepada kami. Aku menjadi cuak. Harry masih tenang dengan senyuman yang menghiasi bibir. Aku mencuri pandang. Ah... manisnya senyuman dia. Tidak pernah aku lihat sebelum ini.

            Aku melihat beberapa anak-anak kampung ini sedang berenang seperti melakukan warm up. Kami dimaklumkan oleh Fuad yang pertandingan ini sememangnya sangat dinanti setiap tahun. Pertandingan renang ini hanya dibuat suka-suka tanpa ada hadiah yang diberikan kepada juara, mereka juga ada pertandingan seperti bermain layang-layang dan sebagainya. Memang kampung ini sangat meriah. Aku pernah datang dahulu dan sempat menyertai mereka bermain layang-layang. Dan inilah kali pertama melihat mereka bertanding juara renang kampung. Aku terasa lucu pula, tetapi ini sekadar permainan remaja kampung yang aku fikir sangat kreatif. Daripada mereka membuang masa ke tempat lain.

            Seperti yang aku jangkakan, anak-anak gadis yang turut ada ketika itu semuanya menumpukan perhatian kepada Harry. Mereka berbisik-bisik sambil tersenyum-senyum. Aku tiba-tiba terasa ingin memakaikan topeng muka kepada Harry. Bahaya betul wajahnya itu jika ditayang di khalayak umum.

            “Fuad! Jom la turun. Tahun ni pun mesti tempat paling last jugak kan! Hahaha...” seorang budak lelaki yang sudah pun berada di dalam sungai itu ketawa dengan kuat. Maka, yang lain juga turut menyambut tawa budak lelaki itu.

            “Amir! Aku tak berminat nak join tahun ni. Tapi... aku bawa wakil aku.” Balas Fuad yang terasa tercabar.

            “Siapa? Tak ada siapa pun yang boleh kalahkan Abang Amir kita ni?!” Sahut Borhan pula. Mereka ketawa lagi.

            “Go go, Amir!” jerit beberapa budak-budak perempuan yang berdiri di tebing sungai. 

            Aku tidak percaya. Sungguh tidak sopan. Mereka sepatutnya lebih berlemah lembut kerana mereka gadis kampung.

            “Boleh tahan budak perempuan kat kampung ni.” Bisik Harry kepadaku.

            “Miang!” Aku mecubit lengannya. Menyampah.

            “Maksud aku, sikap merekalah!”

            Aku mengangkat bahu tanda ‘no comment’. Harry kembali menumpukan perhatian ke tempat perlumbaan.

            Fuad menarik tangan Harry. “Abang... boleh lawan dengan mereka kan?”

            “Hah?!” Harry ternganga kerana terkejut. “Er...”

            Aku lagilah terkejut dengan pertanyaan Fuad itu. “Kau ni... kata nak bawak dia datang jadi penonton aje.”

            “Bila aku cakap macam tu. Alah... kacang je lawan dengan dia orang tu. Abang Harry pernah wakil Malaysia ke Terbuka Remaja Melbourne dulu kan? Dapat juara pulak tu. Inikan... kat kampung. Kacanglah!” Fuad cuba memujuk Harry.

            “Er... kat dalam sungai ni ada apa, eh?” Soal Harry teragak-agak.

            “Ada buaya!” aku memintas Fuad yang mahu menjawab soalan Harry. “Jomlah balik!” aku menarik tangan Harry. Aku tidak mahu menanggung risiko jika ada apa-apa berlaku kepada Tuan Muda Hairy Fattah ini!

            “Bu... buaya...” Harry menelan liur. Wajahnya sungguh naif!

            “Kalau ada buaya dah lama kami arwah la. Mana ada apa pun, setakat pacat, lintah tu biasalah!”

            Aku melopong. Oh, tidak! Tiba-tiba bulu roma aku terpacak. Terbayang pacat yang hitam dan menghisap darah itu. Badannya licin dan... argghh! Yang penting sangat menggelikan!

            “Benda tu tak bahaya ke?” soalnya dengan berwajah polos pula.

            “Tak! Tak bahaya pun. Boleh la Abang Harry! Saya dah lama geram dengan Amir yang berlagak tu!”

            “Woo... jangan! Awak tahu tak pacat tu macam mana?” aku menarik tangan Harry sebelah kanan. Manakala Fuad menarik sebelah kiri.

            “Pacat... tak tahu.” Harry menggeleng.

            “Macam ni!” Tiba-tiba Naufal datang dengan membawa seekor pacat di tangannya. Entah dari mana dia ambil. Pacat itu kelihatan masih basah dan sangat menggelikan!

            “Eee... apa ni Naufal. Pergi buang jauh-jauh!” aku menjerit.

            Terus berubah pucat wajah Harry ketika itu. “Er...”

            “Ini... inilah wakil saya!” Fuad tiba-tiba menjerit kepada semua orang sambil menunjukkan ke arah Harry. Kami semua terkejut. Fuad!! Aku memandangnya geram.

            “Wah... orang bandar, macam menarik aje! Hahaha...” mereka ketawa ramai-ramai.

            Manakala semua budak perempuan yang hadir sudah sangat teruja. Mereka bertepuk tangan dengan riang.

            Harry menelan liur. “Baiklah...” Harry akhirnya setuju.

            Fuad terus melompat gembira. Dan aku hanya mampu mengeluh. ‘Harry... awak boleh ke masuk dalam air sungai tu. Awak kan biasa dengan air kolam aje.’

            “Cepatlah terjun, orang bandar. Alahai... jambunya!” Ujar Borhan dengan tawa besarnya. 

            “Nama dia Harry!” Fuad menjerit.

            “Okay, Harry. Come on!” Laung Amir pula.

Harry berdiri di tebing sungai dan berkira-kira untuk terjun. Fuad yang melihat keadaan itu terus bagi semangat.

“Abang. Tanggallah baju. Baru senang sikit nak berenang!” Saran Fuad dengan semangat.

“Abang Harry nak tanggal baju ke?” soal Marhani tidak percaya.

Aku menepuk dahi. ‘Ya Allah... jangan Harry! Jangannnnnn!! Badan awak tu...’ aku mengeluh. ‘sangat bahaya untuk ditayang’.

Sememangnya mereka yang akan bertanding itu semuanya hanya berseluar pendek tanpa memakai baju. Biasalah anak-anak kampung, bagi mereka tidak ada apa yang hendak disegankan.

Harry mengetap bibir. Perlahan-lahan dia memegang hujung baju dan menariknya ke atas. Terus dicampak baju itu ke tanah. Harry berdiri tegak di tepi tebing.

Semua mata tidak lepas memandangnya! Mata semuanya terbeliak melihat susuk tubuh atlet Adam Taylor High School itu. Aku yang tadinya memandang ke arah lain sempat juga mengerling melihat Harry.

‘Macam model majalah!’ Haish!

Harry menggosok-gosok tangannya beberapa kali. Dia memejam mata. Dan melompat tinggi terus terjun ke dalam sungai dengan bergaya. Perbuatannya itu memang menarik perhatian. Semua menepuk tangan dengan teruja.

“Kacaknya! Wahh...” aku terdengar beberapa budak perempuan yang kelihatan agak teruja dengan Harry berbisik sesama mereka. Aku mencebik.

Harry sudah berada di dalam sungai. Air sungai itu agak dalam ke paras dadanya yang lampai. Harry tiba-tiba menyelam. Aku terkejut kerana Harry masih tidak timbul-timbul. Agak lama. Semua semakin cemas.

Harry akhirnya muncul setelah beberapa minit. Dia mengambil nafas dengan teratur.

“Okay, let’s go!” Harry tersenyum dengan kacak. Semua menjerit-jerit bingit.

Aku menarik nafas lega. Ingat apalah tadi...

Perlumbaan pun bermula dengan bilangan 5 orang remaja lelaki termasuk Harry. Seorang budak lelaki meniup wisel dan mereka pun bermula. Harry dengan pantas berenang ke hadapan dan meninggalkan yang lain jauh ke belakang. Harry berpusing semula dan berenang penuh bergaya ke tempat permulaan tadi. Maka, semua orang bersorak kerana Harry benar-benar telah meninggalkan yang lain dalam jarak yang jauh.

Aku hanya memandang kosong. Tidak ada apa yang nak dihairankan. Mereka sedang berlumba dengan juara remaja Asia! Dan tahun ini Harry akan wakil negara lagi dalam Terbuka Remaja Dunia di Jepun pula. Tidak hairanlah, jika cita-cita Harry mahu membawa pulang emas Olimpik untuk negara kelak.

“Nampaknya kita ada juara baru!!” jerit Fuad dengan riang dan disambut oleh penonton yang sejak tadi memberi sokongan. Wahh... dah macam tournament besar pula. Boleh tahan.

Harry mengangkat tangan seperti kebiasaanya berada dalam pertandingan. Sungguh bergaya walaupun hakikatnya sekarang dia berada di dalam sungai yang airnya berwarna coklat!

Aku turut menepuk tangan. Aku menghampiri ke tebing sungai. Dan membantu Harry untuk naik ke atas. Jelas wajah cemburu di mata para gadis yang merenungku tajam. Memang aku sengaja pun. Hehe...

“Tahniah!” aku menghulurkan bajunya.

“Not bad!” Komen Harry sambil tersengih.

Amir yang baru tiba itu menjerit tidak puas hati. “Kamu ni siapa?”

Harry menoleh ke belakang. “Saya Harry.” Jawabnya pendek.

“Maksud aku. Kau ni budak Sekolah Sukan Bukit Jalil ke? Kenapa aku tak pernah nampak pun!” Soal Amir hairan. Barulah aku tahu, rupanya Amir adalah budak sekolah itu.

“Tak semua atlet terbaik ada di sekolah itu.” Harry menjawab selamba.

“Sekejap!” Amir memanjat tebing sungai untuk ke atas. Dia menghampiri Harry dan melihat wajahnya dengan teliti.

“Aku macam pernah tengok kau. Di...” Amir menggaru-garu kepala. Memikirkan sesuatu.

“Di Adam Taylor High School. Pertandingan Terbuka Remaja Kebangsaan awal tahun ini, kan?”  Ujar Harry. Tersenyum.

Amir baru tersedar dan terus ketawa. “Betul! Ini bukan kali pertama aku dikalahkan. Kaulah yang terpilih untuk ke Jepun bulan hadapan kan?!”

“InsyaAllah.” Harry mengangguk.

“Wah... macam mana aku tak perasan tadi. Kau... kau memang hebat. Jurulatih kami pun sangat banyak memuji kau. Mereka dah berusaha untuk menarik kau masuk ke sekolah kami. Tetapi Adam Taylor tidak mahu lepaskan. Mana-mana sekolah pun, jika mereka ada atlet hebat, mereka berat hati nak lepaskan. Kerana mahu mengharumkan nama sekolah masing-masing.”

Harry hanya tersenyum dan memegang bahu Amir. “Teruskan berusaha. Semoga kita sama-sama dapat mengharumkan nama Malaysia suatu hari nanti!”

“Yahh! Inilah juara kita!” Amir mengangkat tangan Harry dan ramai-ramai bersorak untuknya.

Aku tersenyum. Aku melihat Harry sangat-sangat gembira hari ini.

“Apa... apa ni?!!” Harry melihat ada suatu bergerak di dadanya.

“Pacat!!!” aku menjerit.

“Cepat buang!!” wajah Harry merah dan semua orang ketawa melihatnya. Harry melompat tinggi apabila ada lintah besar kelihatan di jari kakinya pula. Dia benar-benar kelihatan seperti badut sarkas! Menjerit seperti orang hilang akal. Dia kemudian dibantu oleh Amir dan Fuad untuk membuang pacat yang menggelikan itu.

Aku hanya mampu ketawa dan ketawa!

“Stay away from me, goddamn it!!” jeritnya kepada pacat itu.

*********

            BEBERAPA hari berlalu dengan sangat menggembirakan. Pelbagai peristiwa pahit manis yang tidak dapat aku lupakan. Aku terkejut juga, selepas Harry menang pertandingan renang tempoh hari, badannya menjadi gatal-gatal. Rupanya air sungai itu tidak sesuai dengan kulitnya. Kasihan juga... Harry sudah kelihatan sangat comot sejak berada di kampung. Mana tidaknya, pakaiannya semua baju-baju pak cik. Kerana dia membawa baju yang tidak sesuai dipakai untuk aktiviti kampung.

            Dua hari juga Harry deman. Kata doktor dia terlalu terkejut. Aku tidak sangka begitu sekali dasyatnya penangan pacat dan lintah itu. Aku tahu, Harry lambat sembuh kerana dia tidak mahu makan ubat dan hanya bergantung kepada air cap badak. Mak cik memang sudah mengamuk kepada kami kerana tidak menjaga Harry dengan baik. Setiap kali pergi untuk bermain di luar pasti akan membawa balik penyakit.

            “Awak... sikit pun tak nak makan ubat ke?” aku cuba memujuk walaupun ini adalah kali yang ke seratus gamaknya.

            “Sikit pun makan jugak kan? Aku dah cakap tak nak makan. Faham?!”

            Terkebil-kebil aku ingin mencerna apa yang dikatakannya itu. “Fa... faham.” Aku mengeluh kecewa.

            Harry tidur dengan berselimutkan kain pelekat. Kasihan aku melihat keadaan dia seperti itu.

“Kalau awak tak makan ubat bila nak sembuh!” aku akhirnya bangun berdiri. Sambil menyingsing kedua lengan baju aku sehingga ke siku. Rambutku yang panjang mengurai terus aku simpul menjadikan sanggul. Kemudian aku mematah-matahkan jari.

            “Hah... Kak Aya dah bertukar jadi ahli sihir!” Marhani menjerit sambil memegang Naufal.

            “Ingat tak... masa kita tak nak makan ubat dulu? Apa Kak Aya dah buat?” Soal Naufal yang sudah menggigil.

            “Tak... mungkin dilupakan...” Marhani menggeleng-geleng kepala.

            “Makannnnnn!!!!” aku menarik tubuh Harry sehingga dia terduduk.

            “Ap... apa ni!!” Harry terkejut apabila melihat aku yang sudah memaut lehernya dengan lenganku. Kakinya aku pijak dengan kaki aku. Tangan kiriku pula bersedia dengan kapsul ubat demam.

            “Tak nak!” Jerit Harry sambil meronta-ronta.

            “Atau kau nak aku gigit telinga kau sampai putus!”

            “Menakutkan!” Fuad yang turut berada di situ ternganga dengan luas.

            “Buka mulut!” aku memicit pipinya pula. “Buka!!”

            Harry akhirnya tidak tahan dengan asakan itu membuka mulut. Terus aku memasukkan ubat dalam mulutnya dan menuangkan air supaya dia menelannya. Habis basah badan Harry dek air yang tertumpah semasa pergelutan.

            Kemudian aku menolak tubuh Harry yang longlai itu sehingga terbaring. Lelaki itu seperti terkena renjatan elektrik. Tidak mampu bergerak.

            Aku mengesat peluh di dahi dan menghembuskan nafas lega. “Fuhh...”

            “Aku... aku tak akan lepaskan kau perempuan raksaksa!” bisik Harry keras dalam keadaan lemah.

            Fuad, Marhani, dan Naufal mengecil di satu sudut sambil menelan liur. Mereka tidak berani bersuara langsung.

            “Sia-sia aku ada tali pinggang hitam kalau perkara remeh macam ni pun tak boleh nak settle!”

Share this novel

Zaidi Zack
2021-10-11 01:29:55 

Harap utk karya lepas ni ble tulis no bab kat content. Klu brenti baca, esok nk smbg baca susah nak cari balik pasai x dak no tu, tajuk ni susah nk ingat. Nak kena kira 1 1 plak.


NovelPlus Premium

The best ads free experience