Bab 30: Kemaafan

Romance Series 20066

SUASANA senyap. Dah lima minit mereka bertandang di ruang tamu tu, tetapi satu suara pun tidak kedengaran. Masing-masing masih membisu.

Yang kedengaran pun, hanyalah suara penyampai berita di kaca televisyen. Berita yang disampaikan pun sememangnya serius, memang tak hairanlah kalau situasi kat ruang tamu tu tegang semacam.

Mak Siti tidak sesaat pun mahu memandang tiga manusia yang kini di berada hadapannya. Sengaja matanya dialihkan ke kaca televisyen. Dirinya tak kuasa nak melayan tetamu yang tak diundang itu.

Tetapi itulah, tindakan Mak Siti itu di luar jangkaan Damia dan Syafiq. Mereka fikir, mungkin awal-awal lagi mereka sudah dihalau, tetapi lain pula jadinya.

Pintu dibiarkan terbuka apabila Mak Siti sedar akan kehadiran mereka. Jadi itu cukup baik bagi mereka. Cuma cara layanan Mak Siti itu sajalah yang menjadi isu sekarang ini.

Tanpa membuang masa, Damia paksakan diri untuk memulakan langkah. Dia mendekati ibunya dan kepalanya ditunduk. Tangan berkedut ibunya diraih.

Keampunan dari ibunya harus dimohon. Sudah banyak dosa yang dia lakukan, semata-mata kerana cinta. Tetapi tak sanggup juga dia melepaskan cinta, hanya kerana harta. Restu seorang ibu mesti dipinta.

"Mak ... angah mintak maaf, mak. Angah tahu mak masih marahkan angah, tapi angah tak nak kita jadi macam ni. Angah masih sayangkan mak." Air mata mencurah turun dari kolam mata.

Mak Siti merentap tangannya kasar. Takkan sesekali dia robohkan batu-bata keegoan yang sudah dia dirikan selama ini. Takkan sekali-kali dia berlembut dengan mereka-mereka yang menentang perancangannya dahulu.

Kerana mereka, persahabatannya dengan Mak Cik Zainab goyah. Kerana mereka jugalah dirinya terpaksa menanggung malu dengan apa yang sudah terjadi.

Syafiq terus mendekati isterinya yang ditawan tangisan. Wajahnya turut tertunduk. "Mak, Syafiq pun nak mintak maaf. Syafiq tahu mak bencikan Syafiq dari dulu. Tapi tolong bagi peluang untuk ..."

"Kau diam! Kau tak layak panggil aku mak. Sampai mati pun aku takkan anggap kau sebagai menantu aku!" jerkah Mak Siti yang kini matanya tepat memanah Syafiq.

Syafiq hela nafasnya. Sudah diagak apa yang bakal dihamburkan Mak Siti itu sebelum dia menapak ke dalam rumah ni lagi.

Dia sedar dirinya siapa. Dirinya bukannya menantu pilihan. Tapi dia tekad berusaha sedaya upaya agar ibu mentuanya itu dapat menerimanya.

Tubuh Damia terketar-ketar menahan tangis dan geram sekali gus. Kalau diikutkan hatinya, mahu je dia membalas kata-kata ibunya tadi tapi apabila dia teringat akan permintaan Syafiq sebelum mereka bertolak keluar rumah tadi, dia akur. Syafiq sudah memesan kepada dirinya agar tidak melawan dan terima saja setiap bait bicara ibunya.

Syafiq menggenggam tangan isterinya, seperti saling menyalurkan kekuatan. "Selagi saya bergelar suami kepada Damia, selagi tu tiada apa-apa panggilan yang boleh saya panggil Mak Siti daripada panggilan mak. Mak tetap mentua Syafiq. Syafiq pun dah anggap mak macam mak Syafiq sendiri," tutur Syafiq dengan lancarnya.

Mak Siti tertawa sinis. "Jangan mimpilah. Kau fikir kau berpura-pura baik depan aku ni, aku nak restui hubungan kamu berdua?" Dia bangun dari duduknya. "Jangan fikir aku bagi kau orang masuk rumah aku ni, aku akan restui perkahwinan kau orang tu, tau."

Damia pantas menghalang kaki ibunya dari terus melangkah. Kaki ibunya dipeluk kuat dan ucapan rayunya tidak henti keluar dari mulut.

Tapi Mak Siti keras. Tak hiraukan pun rayuan anaknya tu.

"Mak ... kalau mak tak boleh terima Syafiq, Syafiq reda. Asalkan mak dapat maafkan Damia. Damia tu masih anak mak. Saya tak akan paksa mak terima saya serta-merta," rintih Syafiq yang turut melutut. Doa kepada Yang Maha Esa tidak henti dipinta dalam hati. Semoga ibu mentuanya seorang ini dapat berlembut hati.

"Eleh ... jantan macam kau ni aku takkan percaya." Mata Mak Siti mencerlung tajam ke arah lelaki itu. "Kau mesti sengaja kan bawak Damia datang sini untuk berbaik dengan aku, sebab kau nak bolot harta aku, kan?" Jari telunjuk dituding tepat ke wajah Syafiq.

Syafiq pantas menggeleng. "Tak mak. Demi Allah saya tak terfikir pun macam tu. Memang betul saya tak berharta, tapi saya masih ada kudrat untuk sara Damia dan adik saya sendiri. Saya memang betul-betul ikhlas nak baikkan Damia dengan mak," terangnya lagi dengan nada yang sayu.

"Habis tu, apa yang budak tu buat kat sini? Kau nak aku buat apa dengan budak tu?" Pandangan Mak Siti terus terhala ke arah Syafiqah yang masih duduk di atas sofa.

Sejak tadi, Syafiqah hanya menjadi saksi drama air mata tu. Dirinya memakukan diri di atas sofa dengan muka yang pucat lesi. Nampak gayanya, apa yang dikatakan abangnya sewaktu sarapan tadi adalah auta belaka. Sedikit pun suara tidak berani dia keluarkan.

Mak Siti tak garang? Semua tu dusta aje!

Syafiq terus menoleh memandang adiknya sekilas sebelum fokus kembali kepada Mak Siti. "Saya tahu adik saya tak ada kena mengena dengan hal ni. Tapi saya juga tak nak mak benci adik saya ni. Adik saya tak bersalah. Kalau mak nak benci saya sekali pun, tolong jangan benci adik saya sekali."

Bukan Syafiq tak tahu perangai Mak Siti tu. Dia turut menjadi saksi ketika Syafiqah menjadi mangsa kebencian sewaktu di hari pernikahannya.

Sakit hatinya, hanya Allah saja yang tahu waktu tu. Mujurlah dia dan adiknya kuat. Waktu itu juga, terus Syafiq memujuk dan menyemangati adiknya.

Mak Siti terus menjeling tajam Syafiqah. Entah apa yang difikirkannya tetapi jelas riak ketidakpuasan dalam wajahnya.

Syafiqah yang tersedar dia diperhatikan terus menundukkan wajah. Hujung tudungnya diramas-ramas dari tadi. Habis berkedut tudungnya. Rasa takutnya ketika itu sedang memuncak-muncak tinggi. Hanya sedikit getaran tubuh yang menjadi penemannya di kala itu.

*****

Hari terakhir sebagai seorang pendidik kitab al-Quran, terasa amat berat. Lebih-lebih lagi apabila melihat seorang demi seorang pelajarnya berpamitan pulang. Sudah lima tahun dia memilih untuk menjadi ustazah, takkan la dia senang-senang je mahu melupakan semua tu, kan?

Najihah masih tercegat di depan pintu sambil matanya masih tertancap kepada sekumpulan pelajarnya yang sudah menapak pergi meninggalkan rumahnya. Lambaian tangan dan ucapan selamat tinggal tidak mereka lupakan. Entah bila lagilah dia dapat bertemu lagi dengan mereka. Sebak mulai menekan rasa.

Tetapi dirinya tekad, gelaran ustazah itu takkan sekali-kali hilang dalam dirinya. Lagipun sepanjang Ramadan, dia tetap akan meneruskan pengajarannya tetapi hanya terhad di dalam masjid. Satu bulan itulah dia selalu gunakan untuk mengajar mengaji jemaah Muslimah. Bahkan, sejak dua tahun lalu dia sudah menjadi ustazah tanpa bayaran untuk mengajar mengaji di bulan yang penuh mulia itu.

"Ustazah menung apa tu?" Suara kecil seseorang menyedarkannya. Tak lain tak bukan semestinya Syafiqah yang masih menanti kehadiran abangnya.

Najihah raup wajahnya. Baru perasan yang pelajar-pelajarnya tadi sudah hilang dari pandangan.

Senyuman automatik dihadiahkan. Mujurlah air mata yang bergenang tidak sempat mengalir membasahi pipi. Kalau tak, pasti perpisahan ni makin berat rasanya lagi-lagi kalau Syafiqah menyaksikan tangisnya.

"Tak menung apa pun," nafi Najihah lalu dia terus mengajak Syafiqah duduk bersamanya di kerusi batu di luar.

"Hari ni, hari last Syafiqah mengaji. Lepas ni, tak dapatlah nak jumpak ustazah macam selalu."

Kata-kata Syafiqah membuatkan Najihah semakin diruntun sayu. Kenapa dirinya terasa terlalu berat untuk menerima padahal dialah yang putuskan semua ini.

"Mana ada, Syafiqah. Bila-bila pun Syafiqah boleh jumpak ustazah. Syafiqah nak datang sini hari-hari pun boleh," kata Najihah yang sekadar menyedapkan hati. Memang benar Najihah dan Syafiqah boleh berjumpa setiap hari tapi memandangkan Syafiq sudah berkahwin, peluang itu sudah menipis.

Syafiqah mencebik. "Tapi Syafiqah dah ada Kak Damia. Kak Damia yang jaga Syafiqah sepenuh masa lepas ni. Mak Cik Siti pun ada jugak tolong tengok-tengokkan kami berdua waktu along pergi berniaga," adunya.

Najihah tersentak seketika apabila mendengar satu nama yang disebut tadi. "Mak Cik Siti? Maksud Syafiqah ... mak Kak Damia?"

Syafiqah terus mengangguk. "Setiap kali sebelum along pergi kerja, along hantar Syafiqah dengan Kak Damia kat rumah Mak Cik Siti. Dah dua hari dah Syafiqah pergi rumah dia."

Terkejut. Bukan dia tak kenal Mak Siti tu macam mana. Garang dan bengis. Dahlah wanita tu membenci Syafiq, takkanlah senang-senang dia dapat menerima semua ini?

"Mak Cik Siti tak buat apa-apa kat Syafiqah?"

Laju Syafiqah menggeleng. Najihah pula menghembus nafas lega. Mujurlah tiada apa-apa yang Syafiqah perlu hadap sejak menjadi sebahagian dari keluarga Damia. Takut jugak kalau keselamatan pelajarnya terancam. Maklumlah, sekarang ini banyak jugak kes penderaan yang berleluasa.

"Alhamdulillah," ucap Najihah.

"Tapi dia tetap tak boleh terima along. Along cakap sikit je, mesti dia bentak-bentak. Kak Damia tegur pun, dia buat tak tahu je." Syafiqah tak habis berbicara lagi.

Difikir tadi masalah dah selesai, rupanya belum lagi. Hanya Syafiq je yang menjadi punca kebencian Mak Siti sekarang ni. Najihah geleng kepalanya.

"Tak apalah. Nanti Mak Cik Siti okeylah tu. Semua manusia boleh berubah, kan?" Tangan kecil Syafiqah digenggam. Dari budak itu berumur enam tahun, tangan itulah yang menjadi genggaman Najihah tatkala dirinya memerlukan penghibur.

"Apa yang penting, Syafiqah dah boleh sesuaikan diri dengan suasana baru. Syafiqah dah ada Kak Damia dan Mak Cik Siti. Diorang tu dah jadi sebahagian dari hidup Syafiqah." Timbul tenggelam Najihah bersuara. "Syafiqah jangan nakal-nakal tau. Mengaji jangan lupa, solat jangan tinggal. Ingat pesanan ustazah. Ustazah harap, Syafiqah tak akan sesekali lupakan ustazah." Wajahnya ditundukkan cuba menyembunyikan air mata yang bergenang.

Tiba-tiba, terasa tubuhnya dipeluk. Tangan kecil itu turut mengusap-usap bahunya. Air mata yang ditahan, akhirnya jatuh jua. Tak mampu lagi dirinya menipu kuat dengan perpisahan ini.

"Ustazah jangan nangis. Syafiqah takkan lupakan ustazah. Syafiqah sayangkan ustazah," bisik Syafiqah pula.

Telinga menangkap bunyi enjin motosikal yang semakin mendekat menandakan gerangan yang ditunggu Syafiqah telah tiba. Maka, bermulalah episod perpisahan antara mereka berdua.

*****

Air Milo '3 in 1' dibancuh. Tidur awal punya angkara, tak pasal-pasal pukul 4:00 pagi dah terjaga dari lena. Masuk ke dapur pun, sekadar mahu membasahkan tekak yang terasa kering.

Kerusi ditarik lalu Damia labuhkan punggungnya. Air Milo suam itu dicicip perlahan. Sempat dia kerling jam di dinding, masih berbaki lagi dua jam sebelum masuknya waktu subuh.

Alhamdulillah, setelah dia berkahwin, rukun Islam yang kedua itu tidak pernah dia tinggalkan. Syafiqlah yang banyak membimbing dirinya untuk kembali tunaikan kewajipan itu. Mujurlah, lelaki itu tidak pernah menghakimi akan kekurangan Damia yang sering meninggalkan solat.

Memang pada awalnya, agak sukar sebab terasa liat mahu mengerjakannya. Tapi atas dorongan suami, Allah permudahkan segalanya biarpun masih banyak yang perlu diperbaiki.

"Lah ... sayang kat sini ke?" Syafiq tersenyum lalu terus duduk di sebelah isterinya. "Patutlah abang cari kat sebelah katil tadi tak ada. Rupa-rupanya tengah melantak ..."

"Ish! Mana ada melantak la, bang. Tengah minum air je ni." Muk diangkat sekadar mahu tunjuk bukti. "Abang nak air jugak ke? Ke abang tengah lapar ni?"

Syafiq mengetuk-ngetuk dagunya. Perutnya memang sedang menjerit mintak diisi tetapi kalau dah diisi, nanti tak boleh sambung tidur pulak.

Tapi nak sambung tidur apa, sekejap lagi dah nak masuk waktu subuh. Jadi dirinya memutuskan untuk makan apa yang ada saja sekadar untuk alas perut.

"Abang sebenarnya lapar ni. Tak apalah, abang masak Maggie kejap." Baru sahaja Syafiq mahu bangun dari duduknya, Damia segera menghalang.

"Tak payahlah, bang. Biar saya je yang masakkan untuk abang." Damia terus bangun. Satu bungkus mi segera berperisa kari di dalam kabinet diambil.

"Amboi, rajin isteri abang ni. Tak menyusahkan ke?"

"Tak menyusahkan pun. Lagipun selama ni abang yang selalu masak untuk saya. Nak harapkan saya masak, memang hancurlah. Setakat Maggie, bolehlah nak masak pun."

Syafiq tertawa kecil. Tahap kemahiran memasak isterinya itu memang dia sudah sedia maklum. Biarpun kadang Damia selalu merendah diri akan kekurangannya itu, tetapi Syafiq terima seadanya.

Tak apa, tak reti masak, boleh belajar.

Sambil menopang dagu, dia pandang je isterinya yang sibuk bersilat kat dapur tu. Senyum masih tak lekang di bibir. Terkial-kial si isteri mahu memasak pun. Dengan mencari periuk pun tak jumpak, cari senduk apatah lagi.

Syafiq pun dah jadi macam bos besar menunjuk itu dan ini. Nak tolong, nanti dituduh dia tak mempercayai kemahiran isterinya pulak. Jadi dia biarkan ajelah isterinya tu selesaikan tugas memasaknya sendiri.

"Dah siap!" laung Damia dengan bangganya. Mi segera di dalam periuk dicedok ke dalam mangkuk lalu dihidangkan kepada suaminya. Kali ini, biar dia pulak yang melayan suaminya seperti raja.

"Terima kasih, sayang." Syafiq terus merapatkan mangkuk itu mendekatinya. "Sayang tak nak makan sekali ke?"

Damia menggeleng. "Tak. Abang makanlah."

Syafiq hanya mengangguk. Tengok je kuah mi segera itu, nampak ceroi. Tapi itu hanyalah luaran saja.

Rasa dan kelazatannya siapa yang tahu, kan? Kadang, ada je makanan yang nampak tak menyelerakan tetapi rasanya sedap.

Mata Damia masih tertancap memandang suaminya. Rasa nervous la, first time masak untuk suami.

Syafiq cicip sedikit kuah. Mi juga digigit sedikit. Sekarang ni, dia rasa macam dirinya tu juri pertandingan memasak pulak.

"Sedap tak?"

Syafiq masih tak beriak sebelum tersenyum. "Tawar." Serba-salah Syafiq mahu berterus-terang

Damia membulatkan mata. Mangkuk mi segera Syafiq dia tarik ke arahnya lalu dia merasa air tangannya itu.

Ingatkan suaminya nak mengusik tetapi tak pun. Memang betul pun tawar. Ini mesti kes terlebih letak airlah ni.

Damia tersengih malu. Masak mi segera pun fail. Nak je dia menyorok bawah meja sekarang ini. "Sorry, bang."

"Tak apalah. Bukannya tak boleh makan terus. Lagipun, sedap jugak ni." Syafiq mengambil semula mangkuknya dan teruskan menikmati mi segera itu.

Rasa bersalah pulak terpaksa tengok suaminya menikmati hidangan yang tak berapa sedap itu. Pasti suaminya mahu menjaga hatinya. Tapi lihat suaminya nampak berselera, dia menghembus nafas lega. Lapar sangatlah tu.

"Saya mintak maaf, bang."

"Lah ... sayang tak salah apa pun. Setakat Maggie tawar je."

"Bukan pasal Maggie tu."

Syafiq terus kaku. "Habis tu?"

"Abang bersusah payah nak satukan balik saya dengan mak. Mak dah boleh terima saya. Setiap kali abang hantar saya kat sana, dia dah siap masak. Bukan untuk saya je, tapi untuk Syafiqah sekali."

Syafiq terus senyum. Dia memang sedia maklum dengan semua tu. Syafiqah la yang paling banyak mengadu tentang tu. Lega jugak hatinya sebab Mak Siti sedikit sebanyak mampu menerima semua ini.

"Alhamdulillah kalau macam tu. Tapi kenapa sayang mintak maaf?"

Damia hela nafasnya. "Sebab ... mak masih tak boleh terima abang. Abang dah buat macam-macam untuk dekatkan saya dan Syafiqah dengan mak. Tapi macam tu jugak perangai mak kat abang. Tak berubah."

Syafiq segera letakkan sudu dan garfunya. Seleranya untuk makan terbantut selagi isterinya masih berasa bersalah. Mata mereka kini saling bertatapan.

"Sayang ... kan abang dah cakap, semua benda perlukan masa. Tak semudah tu mak boleh terima abang. Tapi bila tengok mak dah boleh terima sayang dan Syafiqah sebagai keluarga dia, abang yakin hati mak taklah sekeras yang disangka. Janganlah terlalu sedih sebab abang. Abang okey je," luah Syafiq.

Damia mengangguk lemah. Selalu sangat Syafiq mengaku baik-baik sahaja tetapi dalam hatinya, mesti berlawanan sama sekali dengan bicaranya.

Bahunya diusap perlahan oleh Syafiq sebelum lelaki itu menyambung semula menjamah mi segera tu.

"Alang-alang cakap pasal mak, abang nak tanya satu benda boleh?" Syafiq bersuara semula setelah beberapa minit mereka berdiam.

"Apa dia?"

"Kak long tu pergi mana eh? Dah tiga hari abang hantar sayang dengan Syafiqah kat rumah mak, tapi tak pernah pun abang terserempak dengan dia." Akhirnya kemusykilan di dalam benaknya terluah jua.

Tertanya-tanya juga tentang Nadia. Bahkan, ketika hari pernikahan dirinya dan Damia, kakak iparnya tu tak pernah munculkan diri sampailah sekarang.

Damia mengerutkan dahi. "Mak kata dia pergi melancong kat Indonesia dengan kawan-kawan dia. Entah betul ke tak."

Syafiq angguk. "Mesti dia benci nak jumpak dengan saya, kan?" Senyuman yang terpaksa dia pancarkan.

"Biarkan je kak long tu. Perangai dia memang pelik sikit. Saya rasa lagi bagus kita tak jumpak dia," kutuk Damia.

Baginya, mungkin sebab ketiadaan kakaknya itulah, ibunya menjadi lembut hati. Tahu sangat mulut kakaknya tu macam mana. Dia la yang selalu meracuni fikiran ibunya selama ini.

Bersambung...

Hmm... betul ke Mak Siti tu dah baik? Harap betullah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience