Bab 18. Ayen & Nenek

Romance Series 205490

"Nenek, masa nenek nak lahirkan pak su, nenek macam mummy ke?" Tanya Rayyan usai mengaji petang Asar itu.

Selalunya Myra yang periksa hafazan anak-anak dan mengaji bersama mereka. Tapi memandangkan dia hanya mampu terbaring, tugas tersebut Jannah bergilir dengan Ryzal untuk ambil alih

"Macam mummy tu, macam mana?" Tanya Jannah.

"Yalah, macam mummy, baring je. Tak boleh makan. Berkurung dalam bilik. Ayen tak suka. Ayen rasa macam tak ada mummy dah. Daddy pun sibuk. Asyik kelas, kelas, kelas!" Bebel Rayyan.

Jannah tersenyum. Rayyan berperangai sama macam Hana sewaktu dia beritahu dia mengandungkan Rafiq masa Hana kecil dulu-dulu. Tapi lebih manja dari Hana. Sama macam daddy dia lah. Nak cakap, perlu atur ayat baik-baik.

"Kalau Ayen nak tahu, tak semua orang akan jadi macam mummy. Setiap orang berbeza-beza. Ayen tahu kan pasal semua orang tu pun tak sama walaupun kembar? Macam Ayen demam, tapi Kakak Nia tak demam.Sama jugak kalau mengandung ni.

Lain anak, lain ujiannya, lainlah kesihatan mummy. Jadi, Ayen kena lah faham mummy. Doakan mummy cepat sembuh" Jannah berterus terang.

"Tapi nenek, kalau adik tak lahir lagi pun mummy daddy dah tak ada masa dengan Ayen, kalau adik lahir nanti mesti mummy daddy tak ada masa jugak untuk Ayen" Balas Rayyan sambil menunduk ke lantai.

"Apa yang Ayen risau sangat ni? Cuba beritahu nenek" Pujuk Jannah.

"Ayen tak nak adik. Ayen takut mummy meninggal masa lahirkan adik" Rayyan berterus terang.

Jannah tarik nafas panjang.

"Siapa yang beritahu Ayen kalau mummy lahirkan adik, mummy meninggal?" Tanya Jannah, mencari tahu punca Rayyan berkata demikian.

"Tak ada orang cakap, tapi ada kawan Ayen, mama dia meninggal lahirkan dia" Cerita Rayyan.

"Lepas tu Ayen terus fikir kalau mummy lahirkan adik, mummy terus meninggal. Macam tu ke?" Soal Jannah lagi.

Rayyan mengangguk.

"Salah pemikiran Ayen tu. Tak semestinya masa lahirkan adik mummy boleh meninggal. Banyak punca orang meninggal kat dunia ni Ayen. Dalam tidur pun ada yang meninggal. Tapi adakah itu bermaksud kita tak payah tidur?" Jannah berjeda, menunggu reaksi Rayyan.

"Tak nenek" Jawab Rayyan.

"Dalam banyak-banyak sebab yang jadi punca orang meninggal, Ayen kena ingat, semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Nenek ni pun, bila-bila masa boleh meninggal walaupun nenek nampak sihat macam ni.

Tapi paling penting, Ayen kena tahu kenapa mummy sanggup tahan semua sakit tu. Sebab anak-anak dia lah. Kakak Raudhah, Nia, Ayen, dan baby. Sepatutnya, dalam keadaan mummy macam ni, Ayen boleh tengok betapa banyak kesusahan yang mummy tanggung untuk lahirkan anak.

Ayen kena jadi anak yang lebih soleh, tolong mummy, tolong kakak-kakak. Daddy sibuk tu, nak buat macam mana kan, kalau kerja dalam keadaan macam ni. Tapi kalau tak kerja, macam mana daddy nak bayar yuran sekolah, beli makan, beli baju. Percayalah cakap nenek, sikit pun tak pernah mummy daddy tak sayang anak-anak mereka ni.

Kalau Ayen boleh tengok dulu macam mana mummy jaga anak-anak masa Ayen kecik, mesti Ayen tak sanggup nak fikir yang bukan-bukan. Jangan sesekali fikir lagi dah pasal mati-mati ni. Bukan tak boleh, tapi kalau sampai Ayen fikir bukan-bukan, maksudnya tu pemikiran yang tak bagus.

Kita orang Islam, tak boleh fikir melampau-lampau sampai kita jadi takut, jadi marah, jadi doakan yang tak baik berlaku pada orang lain. Kita kena cakap yang baik-baik, doa yang baik-baik. Sebab yang baik-baik tu pun ibadah kan. Dikira pahala kita.

Ayen boleh jadi abang yang baik. Nenek yakin. Sebagaimana Ayen sayang mummy daddy, sayang kakak-kakak, sepupu-sepupu, cikgu-cikgu dan kawan-kawan Ayen, macam itu jugaklah Ayen boleh sayang adik.

Boleh?" Panjang lebar Jannah berkata-kata.

"Kalau macam tu, Ayen nak doakan supaya mummy cepat sihat. Adik cepat besar. Mummy boleh makan sedap-sedap, mummy boleh bangun, nanti mummy boleh masak untuk Ayen lagi. Kan nenek?"

Jannah angguk, mengiyakan apa yang dikata Rayyan barusan.

"Pandai pun Ayen" Puji Jannah, Rayyan tersenyum sahaja mendengar pujian neneknya.

*****

"Mummy........." Panggil Rayyan perlahan.

Myra pantas buka mata. Pening kepalanya tidak di hiraukan. Rasa loya bila dia buka mata dilawan. Pandangannya dihala kearah Rayyan yang sedang duduk di lantai bersebelahan katilnya.

"Ya sayang, kenapa?" Pipi dan kepala Rayyan diusap perlahan berkali-kali.

"Mummy, Ayen nak minta maaf. Tadi Ayen doa adik mati, sebab Ayen tak nak mummy meninggal masa lahirkan adik . Macam mama Nasrullah.

Tapi daddy dengan nenek dah beritahu, tak baik doa macam tu. Ayen minta maaf mummy" Ucap Rayyan dengan nada yang kesal.

"Tak apalah. Ayen bukan sengaja, kan?" Myra masih menunggu sambungan kata-kata dari Rayyan walaupun kelihatan riak ragu-ragu di wajahnya.

"Adik, abang minta maaf sebab doa yang bukan-bukan untuk adik. Adik maafkan abang ya. Adik kena besar cepat-cepat, sihat-sihat. Abang tunggu adik, abang janji, nanti abang jadi abang cik yang paling baik, yang boleh jaga adik, macam mummy dengan daddy jaga abang masa abang kecik dulu. Abang sayang adik"

Rayyan peluk Myra erat. Myra gapai tangan Rayyan dan dibawa ke perutnya. Ditekap lama.

"Terima kasih Abang Ayen, doakan yang baik-baik untuk mummy dengan adik. Mesti Abang Ayen akan jadi abang kesayangan adik bila adik lahir nanti"

Ingatkan, bila Rayyan dah besar macam ni, mudah untuk dia terima kehadiran adik baru. Rupanya, masih perlu untuk mummy dan daddy bonding kan Rayyan dengan adik yang bakal lahir supaya dia tak merasa tersisih dari mummy dan daddy dengan kehadiran adiknya setelah sekian lama memegang jawatan anak bongsu mummy daddy!

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience