BAB 6

Romance Completed 9366

Aku merenungi dia yang kini sah menjadi isteriku. Wajah manis itu kini milikku. Aku bahagia menjadi suaminya. Benar katanya dulu. Bila rasa benci kubuang jauh, aku mampu memenuhkan ruang hati ini dengan rasa cinta. Cinta yang hanya milik dia. Untuk dia!

Kiranya perasaan yang kumiliki dulu memang cinta. Tapi, masa tu umurku baru 17 tahun. Manalah menyangka apa-apa, kan? Ditambah dengan segala yang berlaku, langsung, kututup semuanya sehinggalah Farah muncul semula dalam hidupku.

“Kenapa Farah sayangkan abang?”

“Manalah Farah tahu, bang?”

“Takkan tak tahu kenapa abang yang jadi pilihan?”

Isteriku ketawa. Dia menggelengkan kepalanya lagi. Haih, susah betul nak korek isi hati dia.

“Abang tahu kenapa abang pilih Farah?”

Aku termangu. Kalau saat ini Farah inginkan alasan-alasan itu, aku tak akan mampu memberitahu. Macam mana nak cakap apa yang aku rasa? Apa yang aku sedang alami. Sukarnya!

“Tu, dahi dah berkerut-kerut nak fikirkan sebab-sebab yang Farah mintak. Betul tak?”

Aku mengangguk laju.

“Sebanyak mana alasan yang kita beri, tanpa izinNYA, cinta tetap tidak akan lahir. Jadi, cukuplah sekadar kita tahu bahawa rasa indah ini, kurniaanNYA untuk kita miliki dan rasai. Sedetik atau selamanya, bersyukurlah, sebab bukan semua orang dapat bercinta dan berkahwin. Betul tak, bang?”

Ini yang buat aku kagum dengan Farah Harissa Haris. Bekas penuntut di Madrasah Irsyadiah di Pokok Sena yang juga seorang ustazah sebenarnya. Tutur bicaranya lembut dan selalu menenangkan jiwa ini.

Tuhan, jangan pisahkan kami. Aku cinta dia. Walau agak lewat tiba, rasa cinta ini ingin kubawa sepanjang usiaku ini, meniti hari-hari tua kami bersama-sama.

Cikgu Haris, terima kasih kerana mengerti hatiku. Terima kasih memberi amanah agar Farah di bawah jagaanku. Akan ku jaga amanahmu ini. Kerana aku cinta dia. Sepenuh hatiku ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience