Bab 36

Short Story Series 55082

Malam itu Qalifh tidak tidur bersama Rina kerana Tan Sri Mansur berkeras mahu tidur bersama cucunya itu kerana masih berasa risau dengan keadaan Qalifh yang baru dijahit dahinya. Rina yang baru mahu tidur selepas solat isyak itu terlihat tasbih kayu kecil yang diberikan oleh tua renta di hadapan masjid zuhur tadi di atas katilnya. Rina mengambil tasbih itu dan keluar daripada biliknya dan menuruni anak tangga perlahan-lahan. Di tingkat bawah rumah itu sunyi sepi tetapi dia yakin orang dicarinya itu pasti berada di halaman rumah.
Rina tersenyum sendiri apabila tekaannya benar. Aqil berada di halaman rumah sambil melihat langit. Di ribaannya itu ada sebuah kitab fiqih yang sudah hampir separuh dibacanya. Rina mendekati Aqil dan disembunyikan tasbih kayu kecil itu dibelakangnya.

“Aqil.” Rina menyapa perlahan.
Aqil yang mendengar namanya diseru dari belakang menoleh dengan wajah yang terkejut kerana dia tidak menyedari Rina dibelakangnya. Aqil bangun dari duduknya dan memandang Rina yang memberikannya senyuman mata disebalik purdah hitamnya.

“Amboi termenungkan siapa itu sampai tidak menyedari Rina disini.” Rina cuba mengajak Aqil berbual agar tidak kelihatan canggung.

“Tiada apa-apa. Mengapa Rina ke bawah? Qalifh baik-baik sajakan?” Aqil bertanya risau. Selalunya selepas pukul sepuluh Rina tidak akan keluar daripada biliknya. Apakah sesuatu berlaku kepada Qalifh?

“Ya Allah, Qalifh baik-baik saja. Dia tidur bersama papa hari ini.” Kekhuatiran di wajah Aqil itu mengundang gelengan di kepala Rina. Aqil sangat mencintai Qalifh seperti anak kandungnya sendiri dan itu membuatkan Rina terharu dengan sikap kasih sayang Aqil itu.

“Jadi mengapa Rina turun ke bawah? Ada yang Rina perlukan?” Aqil melepaskan nafas lega apabila Qalifh dalam keadaan baik-baik saja tetapi apakah yang membuatkan Rina turun ke tingkat bawah dan berjumpa dengan dirinya.

“Ini saya berikan buat Aqil. Simpanlah dan semoga bermanfaat buat awak.” Rina menghulurkan tasbih yang dipegangnya dari tadi kepada Aqil.

Aqil melihat tasbih kayu kecil yang diberikan oleh Rina kepada dirinya. Entah kenapa dia berasa gembira walaupun hadiah itu hanya merupakan sebuah tasbih. Buat pertama kali Rina memberikan sesuatu kepada dirinya. Aqil mengambil tasbih itu dan mengucapkan terima kasih kepada Rina.

“Selamat ulang tahun,Amirul Aqil.” Rina sempat mengucapkan kata-kata selamat ulang tahun itu kepada Aqil sebelum berlalu pergi naik ke tingkat atas.

Aqil terkedu. Rina ingat hari ulang tahunnya. Tiada seorang pun yang mengingati ulang tahunnya pada hari itu termasuk Tan Sri Mansur tetapi wanita itu mengingati hari kelahirannya dan memberikan hadiah tasbih kepada dirinya. Sudah lama dia tidak pernah menyambut hari ulang tahunnya kerana setiap tahun kelahirannya dia hanya menghabiskan waktu sendirian di rumah sambil membaca surah Yaasin buat kedua arwah orang tuanya begitu juga ketika dia berada di universiti dia tidak pernah menyambutnya. Timbul senyuman di hujung bibir Aqil.

“Ya Rahman, sungguh aku menyayanginya dia walaupun aku tahu dia bukan milikku. Aku ikhlas melepaskannya, timbulkan sayang ini hanya sebatas seorang abang kepada adiknya. Lindungi dia dan anaknya walau dimanapun mereka berada. Bantu aku, Ya Allah.” Aqil sempat mendoakan Rina dan Qalifh sebelum duduk semula di kerusinya.

Sementara itu, di kelab malam yang riuh dengan bunyi muzik yang kuat dan suara-suara manusia-manusia yang lalai Haikal duduk sendirian di satu sudut sambil meneguk arak yang sudah hampir separuh botol diteguknya. Dia teringat akan kembali wajah wanita yang dilihatnya di masjid siang tadi. Dia yakin wanita yang dilihatnya adalah isterinya, Rina Altafunisa. Wajah cantik itu tidak pernah hilang dari ingatannya sejak pertama kali mereka bertemu. Bahkan wanita-wanita cantik yang dijumpainya di luar negara juga tidak mampu menandingi kecantikan wanita itu.

Dia teringat malam pertama dengan isterinya itu. Dia memperlakuan Rina seperti binatang kerana begitu marah akibat mereka ditangkap khalwat. Sehingga ke hari ini dia tidak mengetahui angkara siapa yang melaporkan mereka berdua-duaan di dalam rumah kepada jabatan agama. Akibat kesalahan orang lain dia melepaskan rasa marah itu kepada wanita yang baru dinikahinya.

Tetapi dia juga tidak mahu mengakui kesalahannya seratus peratus kerana jika bukan disebabkan wanita itu berada di dalam rumahnya pasti perkara itu tidak akan berlaku. Dia sudah bertanyakan kepada agensi pekerjaan yang didakwa oleh Rina yang telah menggajikannya untuk mengemas rumahnya tetapi agensi itu menafikan dan berkata bahawa Rina berbohong kerana mereka tidak pernag menggajikan wanita itu.

“Argghhh!!! Sakit kepala aku ingat perempuan tak guna tu.” Haikal berkata kasar sambil meneguk arak di dalam gelasnya sehingga habis. Haikal bangun daripada duduknya dan mula menari dengan perempuan-perempuan yang berada di situ. Disebabkan wajahnya yang tampan tidak susah baginya untuk mendapatkan perhatian wanita-wanita yang berada di kelab malam itu.

“Today it’s my treats.” Haikal mengangkat satu gelas yang diisi penuh dengan arak lagi sebelum meneguknya sehingga habis. Perbuatannya itu mendapat sorakan daripada orang ramai disitu. Dia berasa bangga dengan dirinya sendiri tanpa menyedari bahawa Allah yang Maha Kuasa memurkai dirinya yang lalai.

Seperti yang diinginkan, Haikal mabuk dan hilang kewarasan malam itu selepas bertemu dengan kawan-kawannya. Wanita yang bernama Rose yang baru dijumpainya itu di kelab malam diajak untuk pulang ke rumah. Rose yang tidak terlalu mabuk memandu kereta Haikal menuju ke rumah Tan Sri Mansur seperti yang diberikan alamat oleh Haikal yang sedang ketawa berdekah-dekah di tempat duduk belakang.

“Honey, you tinggal dengan siapa di rumah? Tak apa ke kalau I tidur di rumah you?” Rose bertanya sambil menjegilkan biji matanya agar fokus pada pemanduannya. Mereka akan tiba ke rumah Tan Sri Mansur dalam masa lima minit.

“It’s okay, baby. Don’t worry, you can sleep with me tonight.” Haikal berkata lagi dengan ketawanya yang tiada henti. Asyik berketawa tangannya tiba-tiba terpegang sesuatu. Tasbih kayu kecil yang diberikan oleh tua renta kepada Shofwah itu kini berada di dalam genggamannya. Haikal memerhatikan tasbih itu berkali-kali sebelum menyimpan tasbih itu ke dalam poket seluarnya.

“Honey, kita dah sampai. Jom I tolong you.” Rose keluar daripada tempat pemanduan dan membantu Haikal yang terhuyung hayang akibat sudah mabuk teruk. Rose menekan loceng pintu rumah sambil matanya melilau melihat kemewahan rumah itu. Jika diluar saja sudah cantik seperti ini apatah lagi di dalam rumah pasti jauh lebih cantik. Rose mula tidak sabar mahu masuk ke dalam rumah agam milik Tan Sri Mansur.

Rose menekan sekali lagi loceng pintu rumah apabila masih tiada orang membuka pintu. Tidak sampai lima minit tiba-tiba pintu terbuka daripada dalam. Rose agak terkejut saat melihat orang yang membuka pintu ketika itu adalah seorang wanita yang memakai purdah bewarna hitam dan bertelekung. Siapa pula wanita ini? Adakah Haikal salah memberikan alamat rumah kepada dirinya kerana dia tidak percaya di rumah Haikal ada seorang wanita yang berpurdah.

“Sayang….” Haikal yang masih mabuk itu tiba-tiba memeluk Rose dengan erat dan tidak berhenti mencumbui wanita itu.

“Astaghfirullahalazim.” Rina memalingkan pandangannya kerana tidak mahu melihat kelakuan tidak senonoh suaminya itu dengan wanita yang berpakaian terbuka sehingga memperlihatkan hampir kesemua auratnya.

“Sorry, betul ke ini rumah Haikal. I nak bawa dia masuk tidur kat bilik. Boleh I masuk?” Rose menolak wajah Haikal jauh dari wajahnya sambil ketawa kecil.

“Tidak boleh! Saya tidak izinkan.” Rina bercakap dengan nada tegas.

“Hello, kau siapa nak cakap macam itu dekat aku? Sayang, tengoklah perempuan ni.” Rose cuba meminta pembelaan tetapi sia-sia kerana Haikal sudah terlentok tidur dibahunya.

“Saya isteri lelaki yang sedang memeluk awak sekarang ini. Dia ayah kepada anak saya yang sedang tidur di atas bersama atuknya. Jika saya izinkan awak masuk ke dalam bilik tidurnya beerti saya bersekongkol dengan awak berdua. Saya takut kepada yang Maha Melihat. Biarkan saya yang membawa dia ke bilik tidur. Masuklah, hari sudah lewat tidak elok sekiranya awak berada diluar sana besendirian.Saya izinkan awak masuk ke dalam rumah ini dan tidur bersama saya.” Rina menarik tangan Haikal menjauhi Rose dan memapah lelaki yang besar dua kali ganda daripada dirinya itu ke tingkat atas sambil diikuti oleh Rose dibelakangnya.
Saat menaiki tangga, Haikal yang asyik bergerak terhuyang-hayang itu tertarik purdah yang dipakai oleh Rina sehingga terlurut purdah itu daripada wajah wanita itu. Haikal terpandang wajah Rina yang sangat dekat dengan wajahnya. Direnung wajah itu lama sebelum tangan kanannya mengusap lembut wajah itu dan mengucup pipi Rina sebelum memeluk wanita itu erat.

“I’m sorry.” Haikal menangis dan berkata dengan perlahan. Rina yang mendengar kata-kata itu agak terkejut tetapi dia tahu Haikal berada di dalam keadaan mabuk. Tidak mungkin lelaki itu berkata seperti itu kepada dirinya dengan sangat lembut. Seandainya Haikal dalam keadaan waras pasti dirinya sudah diusir daripada rumah Tan Sri Mansur sebaik saja lelaki itu mengetahui identitinya yang sebenar.

Rose yang mengikuti daripada belakang berasa jengkel melihat keadaan itu. Sepatutnya dia yang berada di dalam pelukan Haikal ketika itu. Dia tidak mengetahui bahawa ternyata lelaki itu sudah berkahwin dan isteri kepada lelaki itu sangat cantik sehingga dia juga merasa cemburu dengan kecantikan itu.

“Masuklah ke dalam bilik ini. Saya akan datang sebentar lagi.” Sebaik saja sampai di tingkat dua Rina menunjukkan bilik tidurnya kepada Rose dan menunggu wanita itu masuk ke dalam biliknya. Dia harus membaringkan Haikal ke dalam bilik tidurnya sebelum Tan Sri Mansur menyedari akan hal itu.

Rose menjeling dengan tajam kepada Rina sebelum melangkah malas masuk ke dalam bilik tidur yang sangat kemas dan wangi semerbak itu. Wangian di dalam bilik itu sangat asing bagi dirinya. Dia merasakan seperti tidak pernah bau wangian seperti yang berada di dalam bilik itu. Di satu sudut ada sejadah yang terhampar dan al-quran yang terbuka. Rose mendekati sudut itu dan duduk disebelah sejadah itu sambil melihat ayat-ayat al-quran sebelum dia merasakan sebak menguasai dadanya. Dia merasakan hidupnya kosong dan tak bermakna ketika itu. Dia yang sudah lama hidup dalam gelumang dosa berasa seperti dirinya tidak berguna. Pasti isteri Haikal yang baru saja menggunakan sejadah itu untuk solat sunat memandangkan sudah pukul tiga setengah pagi.

Cemburunya kepada Rina datang lagi. Wanita itu sungguh bertuah memiliki segalanya tidak seperti dirinya yang harus mengetepikan maruah diri dan malu hanya semata-mata mahu mencari kesenangan dunia. Dia berasa dirinya tiada apa-apa berbanding isteri Haikal yang cantik dan soleha itu. Air matanya yang menitis diseka dengan kasar. Dia merasakan tiada gunanya dia menangis kerana Allah tidak pernah membantu dirinya disaat dia memerlukannya. Dia sudah berputus asa dengan rahmat Allah.

“Masih belum terlambat untuk awak bertaubat selagi nyawa dikandung badan. Pintu taubat Allah seluas petala langit dan seluas petala bumi.” Rina mengusap belakang badan Rose dengan lembut. Selepas dia meninggalkan bilik Haikal dia langsung masuk ke dalam biliknya dan melihat Rose yang duduk bersimpuh disisi sejadahnya. Dia yakin hati wanita itu lembut apabila melihat Rose menyeka air mata saat melihat al-Quran.

“Allah tidak pernah adil kepada saya. Sejak daripada dulu saya tidak pernah mendapat apa yang saya inginkan. Saya sering berdoa agar ibu dan ayah saya tidak pernah bercerai tetapi mereka bercerai dan tidak memperdulikan saya. Saya sering berdoa agar saya diberikan kekayaan seperti kawan-kawan yang lain tetapi saya tetap hidup susah sampailah ibu saya meninggal dunia disebabkan tiada duit untuk berubat. Ayah saya pula masuk ke dalam penjara kerana mencuri. Kenapa Allah tidak adil kepada semua umatnya? Mengapa Allah memberikan awak kekayaan tetapi menjadikan saya seorang yang miskin sehingga saya sanggup menggadaikan tubuh saya untuk mendapatkan kemewahan.” Rose bertanya dengan nada yang marah. Dia marah kepada nasib hidupnya yang teruk dan tidak seperti orang lain. Entah kenapa dia tidak malu mahu meluahkan perasaan dendamnya yang selama ini tidak pernah dikongsikan dengan sesiapa di dalam hidupnya termasuk teman-temannya.

“Tiada manusia yang tidak diuji. Adakah awak berasa bahagia jika awak mempunyai harta dan kekayaan tetapi masih jauh dengan Allah? Apa yang awak lihat indah belum tentu ia benar-benar indah. Saya bukan berasal daripada orang yang kaya raya. Saya miskin tidak berharta. Saya yatim ketika di dalam kandungan dan sebatang kara selepas ibu yang lumpuh turut meninggal kerana sakit yang tidak diubati. Saya koma setahun selepas melahirkan dan lumpuh ketika sedar. Dengan izin Allah yang Maha Pengasih saya masih diberi kesempatan untuk hidup sehingga ke hari ini. Jadi nikmat Tuhan yang mana awak dustakan? Kemewahan tidak menjanjikan kebahagian tetapi dengan adanya keimanan menjanjikan kita ketenangan. Apalah ertinya kekayaan di dunia jika di akhirat kita berakhir dengan celaka. Rina menceritakan kehidupannya serba sedikit untuk menyedarkan Rose bahawa Allah tidak memandang harta seseorang hamba melainkan keimanan dan ketakwaan.

“Awak perempuan yang baik tapi mengapa Allah menjodohkan awak dengan lelaki seperti Haikal? Bukankah Allah berkata wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi dimanakah janji Allah itu?” Mendengar kisah kehidupan Rina yang ringkas itu membuatkan Rose berasa dirinya tiada apa-apa berbanding penderitaan yang dihadapi oleh Rina. Bagaimakah wanita sebaik ini boleh berjodohan dengan lelaki seperti Haikal yang begitu bertentangan dengan peribadi wanita berpurdah itu.

“Janji Allah itu pasti. Jika kita tidak dapat didunia, InsyaAllah kita dapat di akhirat. Ini jalan takdir hidup saya yang harus saya jalani. Saya sabar dan ikhlas dan menjalani kerana saya yakin Allah sudah merencanakan sesuatu yang jauh lebih baik daripada jangkaan saya contohnya seperti sekarang ini. Allah mempertemukan kita berdua agar kita saling ingat mengingatkan.” Rina mencapai tangan Rose dan mengusapnya lembut. Dia berdoa di dalam hatinya ketika itu agar Allah membuka pintu hati wanita muda itu agar kembali ke jalan yang benar.

“Apa yang awak harapkan dengan kebaikan yang awak buat ini? Syurga Allah?” Rose bertanya dengan linangan air mata. Dia dapat merasakan keikhlasan wanita itu untuk membawanya ke jalan Allah.

Rina menggeleng dan menundukkan wajahnya sebelum dia juga turut mengalirkan air mata sehingga membuatkan Rose kebingungan. Adakah pertanyaannya itu salah sehingga membuatkan Rina terasa hati lalu menangis. Bukankah orang yang berbuat baik kerana mahu balasan syurga daripada Allah?

“Saya cuma mahu keredhaan Allah. Cukup hanya dengan redha Allah terhadap saya, saya akan sangat bahagia. Saya harap kelak di padang mahsyar, Allah akan memandang saya dengan wajah-Nya yang indah. Hanya itu yang saya mahukan.” Rina menangis hiba. Dia sangat takut jika Allah meninggalkan dirinya. Dia tidak tahu sama ada ibadah yang selama ini dia lakukan itu diterima oleh Allah atau tidak. Dia masih berasa dia adalah seorang pendosa walau berapa banyak ibadah yang dia lakukan.

Rose terkesima mendengar jawapan Rina. Dia dapat merasakan tangisan Rina itu adalah tangisan yang benar-benar seperti orang yang ketakutan. Tubuh Rina menggeletar dan tangisannya seperti tidak akan reda. Perlahan-lahan Rose merangkul Rina ke dalam pelukannya. Dia tidak menyangka beberapa jam yang lepas dia menjadi manusia yang lalai dan sekarang dia berada di dalam bilik seorang wanita yang sedang beribadah tetapi masih merasakan dirinya seorang pendosa. Lalu bagaimana dengan dirinya? Rose berasa menyesal dan malu kepada Allah yang Maha Agung.

“Ya Allah ampuni aku. Aku bertaubat kepada-Mu mulai malam ini. Terima kasih kerana mempertemukan aku dengan wanita ini. Ampuni dosanya dan terimalah amal ibadahnya. Tempat dia di kalangan orang-orang yang Engkau cintai. Aku bermohon kepada-Mu, Ya Rabb.” Rose menadah tangannya berdoa kepada Allah yang Maha menerima taubat.

Rina yang mendengar pengakuan Rose itu turut berdoa. “Ya Allah, ampuni wanita ini. Bersihkan hatinya seperti mana Kamu membersihkan hati orang-orang yang bertaubat kepada-Mu. Hamba mencintainya kerana-Mu dan mahu berkumpul dengannya di dalam kalangan orang-orang yang Kamu cintai.” Rina menadah tangannya sebelum bersujud lama kepada Allah tanda mensyukuri kebesaran Allah kerana dalam sekelip mata Rose mahu bertaubat dan kembali bersujud kepada Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience