BAB 6

Family Completed 16920

Ibu mengetap bibir menahan marah. Jarang sekali ibu memarahi anak-anaknya jauh sekali untuk menyakiti. Tetapi mengenangkan sikap dan kedegilan Daud, secepat kilat tangannya mengayun rotan buluh dan hinggap pada badan Daud yang tidak berlapik.

Aku tergamam! Pertama kali melihat ibu berang seperti itu, seperti naik hantu! Hasnah menunduk kesal, ada rasa sedih di hatinya, kerana dialah Daud di rotan.

“Ibu! Sudahlah,” aku memeluk Daud kuat-kuat.

Daud tersedu-sedu menahan pedih yang makin berbisa di badannya. Ibu terduduk perlahan, mungkin berasa kesal melihat anak bongsunya itu tersedu-sedu menahan kesakitan.

Ada jalur merah yang berbirat di belakang badan Daud.

“Daud, kan kakak dah pesan jangan bergaduh lagi dengan Zali.” giliran aku pun pula menegur adik bongsuku, mataku dipakukan ke mata Daud. Kasihan dan simpati menjalar di setiap penjuru hati kecilku.

“Daud tak suka Zali! Daud benci dia!” Daud menjerit sepenuh hati, memuntahkan gelodak yang bermain di jiwa kecilnya.

Aku mengusap-usap kepala Daud. Apakah yang bermain di minda adik ku ini?

“Kenapa Daud benci dia? Kan arwah ayah pesan pada Daud tak baik kita benci sesama manusia” aku separuh memujuk, aku mengesat air mata Daud yang mengalir laju.

Daud masih teresak-esak menangis. Ibu sekadar melihat drama aku memujuk anak bongsunya.

“Zali jahat! Dia selalu cakap Daud tak ada ayah! Dia cakap Daud budak miskin sebab pakai baju koyak-koyak! Daud benci dia! Daud benci dia!”

Bahu Daud terhinjut-hinjut menahan sedih yang bermain di hatinya, dia mengesat air matanya yang tumpah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience