Bab 2

Humor Series 30996

Azlan bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran makanan segera bernama Kenny Rogers Roaster di sebuah pusat membeli-belah yang separa siap. Dipanggilnya separa siap kerana pusat membeli-belah itu masih baru dan masih banyak lagi kedai yang belum dibuka.

Malah, keadaan masih lagi berhabuk.

Sebagai pelayan, Azlan sentiasa bersedia di pintu hadapan bagi menyambut mana-mana tetamu yang hadir di restoran tersebut. Layanannya adalah mudah. Meraikan pelanggan, ditujukan meja pilihan yang bersesuaian, memberikan buku menu dan mengambil pesanan.

Azlan melihat jam di tangan. Sudah pukul 1.30 petang. Azlan hanya berdiri termenung memandang jauh ke hadapan restoran.

Kali ini, tidak ramai yang mahu makan ayam di Kenny Rogers nampak gayanya. Pelanggan yang sedia ada dalam restoran pun, boleh dikira hanya dengan menggunakan jari tangan. Azlan mengeluh. Memang ada baiknya pelanggan tidak ramai kerana bolehlah dia berehat dan makan gaji buta (ramai atau tidak pelanggan, gaji tetap akan dibayar mengikut jam bekerja), tapi kalau hanya berdiri tidak berbuat apa-apa pun mampu mengundang bosan tahap melampau. Tanpa sengaja, Azlan berdoa di dalam hati agar berlakulah sesuatu yang menarik. Tolonglah berlaku sesuatu yang menarik kejap lagi. Tolonglah.

Dan pada ketika itulah, sesuatu yang menarik itu berlaku.

Seorang gadis, berwajah bidadari, memakai baju T-Shirt hitam berkolar serta rambutnya yang panjang lurus masuk ke dalam restoran. Azlan terpana dan sekaligus melanggar segala peraturan yang perlu dilakukan kepada pelanggan yang masuk ke kedai (ucapan salam sejahtera meraikan pelanggan dan memimpin ke meja). Jujur baginya, gadis yang sedang dilihat ini memang cantik. Sangat-sangat cantik.

Namun, bukan Azlan saja yang merasakan begitu. Hampir semua individu yang ada di dalam restoran itu berhenti sebentar melakukan kerja-kerja sendiri dan mula melakukan kerja-kerja memerhati. Akan indahnya manusia ciptaan Tuhan yang satu ini. Sampaikan, mereka yang bekerja di dalam dapur pun keluar ingin menjenguk wajah gadis terindah di dalam restoran buat masa ini (Adalah menjadi pantang untuk pekerja di dapur hendak keluar menjenguk. Satu, kerana undang undang restoran tak benarkan dan boleh dimaki oleh bos. Dua, mereka memangnya jenis malas nak keluar).

Ya, gadis itu sungguh cantik. Dan ini bukan pernyataan main main.

Perebutan antara pelayan berlaku. Serentak, mereka semua berlari ke meja hadapan untuk mengambil menu dan ingin diserahkan kepada gadis tersebut. Jika hendak digambarkan secara extreme, sikit saja lagi hendak berlaku pertumpahan darah yang melampau. Manakan tidak, pelayannya ada 5. Buku menu pula cuma ada 3. Itupun satu sudah diambil dulu oleh Azlan.

Ya, kali ini Azlan lebih cekap dari sebelumsebelumnya. Dengan ucapan sapaan formal, Azlan menyerahkan menu pada gadis itu dan memulakan proses mengambil pesanan. Yang lain-lain, sudah mula menggigit apron masing-masing kerana terlepas peluang yang paling best untuk hari ini.

Gadis ini bukan saja cantik, malah pemilik kepada suara yang lunak dan sedap di dengar.

Entah mengapa, Azlan merasakan yang moment ini amat istimewa dan mahu disimpannya untuk satu tempoh yang lama. Azlan yakin yang Tuhan akan menemukan dia lagi dengan gadis ini. Dan juga, Azlan cukup yakin yang dia sudah jatuh cinta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience