Senyum. “Jaga Imtiyaz baik-baik. Awak memang layak untuk dia. Tipulah kalau saya kata saya langsung tak marahkan awak dengan Imtiyaz. Bohonglah kalau saya cakap saya tak rasa apa-apa bila nampak awak dengan dia. Tapi… saya cuba untuk terima. Jadi saya nak awak jaga Imtiyaz dan jangan sesekali lepaskan dia seperti yang pernah saya lakukan.”
Zapppp!!! Terasa sekeping hatinya dirobek tanpa rela. Hati yang sudah memancut-mancut mengalirkan darah kerana terluka. Imtiyaz menggugurkan air mata di pipi sebelum memandang wajah tenang Durrah, lama. “Durrah, kenapa awak cakap macam ni? Saya… saya cuma nak tebus kesalahan saya kepada awak tapi…”
“Tapi saya tak mahu awak lakukan apa-apa untuk saya. Apa yang perlu awak buat ialah bahagiakan isteri awak seadanya dan sayangi dia. Untuk pengetahuan awak, saya… saya jadi sekuat ini kerana seseorang. Saya jadi setabah ini kerana seseorang dan saya jadi setenang ini kerana orang yang sama. Tanpa kata-kata semangat daripada dia, mungkin saya sudah meraung untuk hidup dengan awak semula.” Wajah Julia pula dipandang oleh Durrah. “Imtiyaz memang seorang lelaki yang baik jadi saya mohon agar awak tak mensia-siakan dia.”
Julia mengangguk laju. Genggaman tangan Durrah dieratkan. “I’m sorry.”
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan dan kalau ada sekalipun, saya dah lama maafkan awak. Saya tahu awak lebih layak untuk lelaki seperti Imtiyaz,” celah Durrah tenang.
“Durrah… jangan buat abang macam ni. Abang perlukan Durrah,” rayu Imtiyaz untuk ke sekian kalinya. Namun Durrah hanya mampu berlalu tanpa suara dan masuk ke dalam perut lif yang kebetulan terbuka. Butang lif untuk menutup pintu lif ditekan berkali-kali agar Imtiyaz tidak masuk sekali ke dalam. Air matanya lebat gugur dari tubir mata yang lelah menampung permata jernih itu. Cincin perkahwinan yang disarungkan oleh Imtiyaz suatu ketika dahulu dikeluarkan lalu digenggam kemas. “Minta maaf, tapi Durrah tetap dengan keputusan Durrah. Biarlah yang lalu berlalu pergi tanpa perlu dikenang,” gumamnya sebak. Terlalu sebak, hinggakan masih ada sisa air mata yang masih setia mengalir.
Share this novel