HU 4 - DEGIL

Romance Completed 792495

BALQIS memejamkan matanya. “Mampus aku. Mampus!” jerit hati kecilnya.

“Kau siapa ha? Kau keluar sekarang!” arah Zill Hakim.

Balqis diam, langsung tidak bergerak-gerak. Jika boleh ditahan nafas dan menjadi patung cendana, sudah lama dia berbuat begitu.

“Keluar!” jerit Zill Hakim.

Perlahan-lahan Balqis keluar dari sebalik langsir. Tergamam dia melihat lelaki yang berambut panjang, berjambang, serta badannya yang kurus kering, sambil bertuala, kini sedang merenung tajam ke arahnya.

Seriuslah, apa ke teruk badan cekeding macam tu? Ini penghuni gua ke apa ni? gumam Balqis.

“Kau siapa? Apa kau buat dalam bilik aku ni?”

“Maafkan saya penghuni gua. Eh silap, maafkan saya tuan.”

“Kau cakap aku penghuni gua?” Zill Hakim menghampiri ke arah wanita itu. Jarak mereka tidak terlalu rapat lebih kurang dalam satu depa sahaja. Dia tidak pernah melihat wanita itu sebelum ini.

“Maaf... maaf... saya tak sengaja.” Balqis menundukkan kepalanya, disebabkan terlepas cakap tadi.

“Aku tanya, kau ni siapa? Apa kau buat dalam bilik aku?”

“Saya... saya orang gaji baru dalam rumah ni.”

“Orang gaji baru apa?”

“Orang gajilah apa lagi?”

“Kau keluar sekarang dari bilik aku! Aku tak nak tengok muka kau dalam bilik ni. Berambus!”

“Tapi bagi saya betulkan cadar tilam tu. Nampak bersepah sangat tu.”

“Aku cakap keluar, keluarlah! Kenapa tak faham bahasa?”

“Okey, okey saya keluar.”

Zill Hakim melihat wanita itu bukannya mahu berjalan keluar dari biliknya, malah berjalan menuju ke arah katilnya pula.

“Kau buat apa pergi dekat katil aku?”

“Aduh, sebenarnya kan, saya sakit mata tengok cadar tilam tuan ni. Bagi saya kemas sikit je. Sikit je... please... please.”

“Berambus!!!” jerit Zill Hakim lagi. Geram pula dia melihat wanita itu yang tidak faham bahasa.

“Zill! Apa ni? Apa benda yang kamu bising-bising ni?” muncul Datin Zahlia.

“Ni orang gaji mana mama ambil ni? Degil sangat tau tak! Zill dah suruh dia keluar, masih ada hati lagi nak betulkan cadar tilam Zill tu. Geram betul.”

“Mana ada degil. Saya nak betulkan cadar tu je.”

“Tengok tu mama. Menjawab pulak tu.”

“Biar jelah Balqis nak betulkan cadar tu. Apa masalahnya?”

“Apa masalah mama cakap? Zill nak Mak Jah yang buat, bukannya perempuan ni.”

“Kan Mak Jah dah berhenti kerja. Macam mana pula dia nak buat?”

Girlfriend dia ke Mak Jah tu? Lain macam taste jantan ni. Patutlah kurus kering, rambut panjang bagai. Frust menonggeng rupanya mamat ni dengan Mak Jah. Kesian pula tengok dia ni, gumam Balqis.

“Dahlah Balqis, kamu keluarlah. Tak payah lagi kemas bilik dia ni.”

“Baiklah Datin.” Balqis sempat mencapai bakul yang berisi pakaian kotor lelaki itu. Tetapi yang membuatkan dia masih tidak berpuas hati, apabila cadar katil lelaki itu tidak sempat dikemasnya.

“Baju aku tu tak payah basuh!”

Balqis terus berjalan laju meninggalkan bilik lelaki tadi. Malas dia melayan anak lelaki majikannya itu. Jenis Balqis pula, dia tidak suka kerja yang dilakukannya tidak dihabiskan. Tetapi disebabkan lelaki itu telah menghalaunya, dia tidak dapat berbuat apa. Kalau boleh, mahu sahaja dia membuat degil sambil mengemas katil lelaki itu.

“Sudahlah Zill. Biarlah dia basuh. Tak larat mama nak layan perangai kamu ni.” Datin Zahlia terus berlalu dari situ.

Zill Hakim mengetap bibir menahan marah.

“BALQIS, awak masaklah apa yang patut. Nanti makanan tu awak hantar naik atas, letak dekat depan pintu bilik anak lelaki saya ya.”

“Err, Datin...”

“Apa?”

“Nama anak Datin apa?”

“Zill Hakim.”

“Oh... baik.”

“Okeylah, saya nak ke laman. Nak siram pokok bunga saya. Awak masaklah dulu. Dah siap nanti awak hantar naik atas ya.” Datin Zahlia berlalu dari situ

“Okey, Datin.” Balqis merenung ayam di dalam singki. Dia sudah terfikir ingin memasak nasi ayam.

“Okey kut nasi ayam,” gumam Balqis.

Ayam diambil lalu dipotong lapan. Setelah itu dia mula mengupas bawang. Hampir satu jam lebih, siaplah nasi ayamnya. Datin Zahlia pula sudah masuk ke biliknya setelah selesai menyiram pokok bunga tadi. Mungkin rehat agaknya di dalam bilik.

Pinggan diambil, lalu Balqis mengisikan nasi dan ayam bahagian dada ke dalam pinggan. Setelah itu, kuah sup, kicap, serta sambal cili diletakkan di dalam mangkuk yang berasingan.

“Okey, siap.”

Balqis mula berjalan sambil membawa dulang yang berisi makanan tadi, ke bilik Zill Hakim. Kakinya berhenti di hadapan pintu bilik lelaki itu. Dulang yang dipegang tadi diletakkan di atas lantai.

“Dah macam bagi banduan makan pulak aku rasa. Nak biar je ke makanan ni macam tu je? Ataupun aku ketuk pintu bilik dia ni je suruh dia ambil?” fikir Balqis.

“Ni biar terbuka, karang setan makan pulak. Tak bertutup.” Balqis memikirkan sesuatu.

Tok! Tok! Tok! Pintu diketuk dari luar.

“Tuan. Tuan,” panggil Balqis.

Senyap.

“Tuan, ni ada makanan. Boleh ambil dah ni.” Tetap senyap. Tiada sahutan.

“Kenapa dia tak nak buka pintu ni?” gumam Balqis.

Tok! Tok! Tok!

“Tuan... buka pintu ni tuan. Ambil makanan ni. Nanti sejuk. Baik ambil makan.” Pintu dibuka kasar.

“Kau ni apa masalah ha? Terpekik terlolong depan pintu bilik aku ni!”

“Pandai-pandai je cakap saya terpekik terlolong. Ni nak bagi makan. Dah siap masak.”

“Aku tak nak makan.”

“Kenapa pula tak nak makan?”

“Aku tak nak makanlah. Kenapa tak faham bahasa?”

“Kalau tuan lapar nanti macam mana? Makanlah.” Balqis mengangkat dulang yang berisi makanan tadi, dengan selambanya dia menolak tubuh Zill Hakim, dulang berisi makanan tadi diletakkan di atas katil lelaki itu.

Zill Hakim pula terkebil-kebil melihat tingkah laku wanita itu tadi.

“Eh, eh, suka hati kau je masuk bilik aku ni kan?”

“Makan ya tuan,” kata Balqis.

“Kau keluar dari bilik aku ni! Aku tak nak makan masakan kaulah! Aku nak Mak Jah yang masak kan!”

“Mak Jah dah tak kerja sini. Nak suruh dia masak apa? Nak suruh Mak Jah pos kan makanan ke?”

“Kau jangan nak loyar buruk dengan akulah.”

“Mana ada saya loyar buruk.”

“Sekarang ni kau berambus dari bilik aku ni. Ambil kau punya makanan tu. Aku tak hadaplah nak makan masakan kau ni. Berambus!” jerit Zill Hakim.

“Apa lagi ni ha Zill? Tak habis-habis lagi ke?” Datin Zahlia sudah berdiri di muka pintu bilik. Dia mengurut dada. Penat betul dia dengan kerenah anak lelakinya itu.

“Zill tak nak makan masakan dia! Suruh dia keluar dari bilik Zill ni!” jerit Zill Hakim.

“Dah Balqis. Ambillah makanan tu. Dia tak nak makan sudah. Zill, mama penat dah nak layan kamu ni. Suka hati kamulah Zill.” Datin Zahlia berlalu dari situ. Malas dia melayan Zill Hakim lagi.

Balqis mengeluh perlahan, lalu mengangkat semula dulang dari atas katil lelaki itu. Tiba-tiba Balqis berhenti di hadapan Zill Hakim.

“Tuan. Kalau tuan tengah bersedih sekali pun, fikirlah perasaan Datin tu. Dia dah cuba buat yang terbaik untuk tuan. Tak ada mak yang nak tengok anak dia macam ni.” Balqis terus berlalu keluar dari bilik lelaki itu. Pintu ditutup.

Zill Hakim berdengus kasar. “Kau tak tahu apa, tak payah nak sibuk sangat,” getus Zill Hakim.

BALQIS membetulkan urat-urat badannya. Seharian dia di rumah Datin Zahlia tadi. Nasiblah waktu bekerjanya bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga pukul 6.00 petang. Nasib baik juga, dia tidak tinggal di situ.

“Penat sangat tu ibu tengok,” tegur Badriah.

“Ha’ah penat sangat. Rumah tiga tingkat ibu.”

“Ha kalau penat, akak berhenti kerja jelah.” Bazli tiba-tiba menyampuk.

“Eh, tak! Tak! Jangan harap akak nak berhenti kerja. Gaji 4K. Rambang oi mata ni.”

“Banyak juga kan ibu, gaji akak tu.”

“Memanglah banyak. Tapi penatlah. Macam mana kerja kamu hari ni? Majikan kamu okey ke?”

“Okey je. Cuma tulah...”

“Apanya?”

“Anak lelaki dia tu.”

“Kenapa dengan anak dia? Apa dia buat dekat kamu? Dia ada buat perkara tak senonoh ke dekat kamu?”

“Relakslah, ibu. Tak adanya badan cekeding macam tu nak buat perkara tak senonoh. Aqis libas badan dia, terus jatuh tersungkur.” Balqis tersengih.

“Yalah tu. Kenapa dengan anak dia tu?”

“Entahlah. Aqis pun tak tahu. Nak mengamuk je tak habis-habis. Aqis masak dia tak nak makan. Rambut dia panjang. Berjambang. Kurus kering. Kesian dia, frust dengan Mak Jah.”

“Ha? Apa frust?”

“Abaikanlah.”

“Habis tu, kamu nak kerja dekat situ juga ke? Tak payahlah Aqis. Ibu risaulah.”

“Kerja jelah ibu. Alah... Aqis tak pedulilah dia nak mengamuk ke apa. Janji Aqis buat je kerja Aqis. 4K, tiaptiap bulan masuk akaun. Ha betul tak Li?”

“Betul-betul.” Bazli menganggukkan kepalanya.

Badriah hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya sahaja.

“KAU kerja tu okey ke?” soal Anis di corong telefon.

“Okeylah. Tak ada masalah apa pun. Cuma anak lelaki dia tulah. Nak mengamuk je tak habis-habis. Tapi, ada aku kisah?”

“Kau memang jenis tak kisah pun. Aku dah tahu kau punya perangai tu dari sekolah lagi jenis tak ambik port. Tapi, handsome ke anak lelaki dia tu?”

“Handsome mendenya. Cekeding. Dah macam orang zaman batu je aku tengok. Tapi bukan aku yang gelar dia macam tu tau, tapi mak bapak dia.”

“Orang zaman batu?”

“Yalah. Rambut panjang, berjambang. Kurus kering. Aku tak tahu apa masalah laki tu. Memang dia berkurung je dalam bilik. Aku rasa dia frust.”

Anis ketawa. “Macam-macam kau ni.”

“Hmm, seronoklah kau, dapat banyak A. Boleh sambung belajar.”

“Alhamdulillah. Tapi kau tu, tak semestinya gagal SPM, kau akan gagal selama-lamanya.”

“Dah gagal dah. Aku nak sambung belajar apanya? Kerja jelah. Ni pun aku tak tahulah, sampai bila aku nak kerja dekat rumah Datin. Dengan anaknya pun macam tu.”

“Helo, mana Balqis yang aku kenal ni? Kau dah tahu perangai dia yang suka mengamuk, kau ikut jelah perangai macam dia juga. Cuba kau slow-slow selami hati dia. Bila dia mengamuk, kau cuba lembutkan hati dia. Mana tahu, kut lepas ni dia tak mengamuk dah ke? Ha, entah-entah nanti dia jadi suami kau ke?” Anis ketawa sekuat hatinya.

“Puihhh! Tak kesio aku aih. Bak kata orang Perak. Tak lalu aku. Badan cekeding macam tu. Nak peluk pun ngeri kau tahu tak? Dahlah. Aku letak phone dululah. Nak tidur. Esok aku kerja.”

“Ha, yalah. Nanti dah gaji belanja aku makan.”

“Boleh, boleh. Okey, Assalammualaikum.”

“Waalaikummussalam.”

Balqis termenung sejenak. “Simpang malaikat 44. Tak hingin, aku nak dia jadi suami aku. Ceh!”

“BALQIS, saya nak ke pasar raya ni. Nak beli barang dapur. Ada apa-apa yang awak nak kirim tak?”

“Datin belikan garam dengan serbuk kunyit. Dua barang tu dah nak habis.”

“Okey. Ada apa-apa lagi tak?” soal Datin Zahlia

“Buat masa ni tak ada.”

“Tak apalah, yang lain nanti, saya tambah-tambahkan. Bilik Zill tu nanti awak tak payahlah kemas. Biar lantak dia duduk dalam bilik gelap dia tu. Malas saya nak melayan. Saya pergi dulu.”

“Baik, Datin.”

Setelah Datin Zahlia keluar, Balqis terus mengambil mop dan baldi yang berisi air, untuk dia mengemop di tingkat dua. Telefon bimbit dikeluarkan dari poket seluarnya, lalu dia memasang lagu Nunu Nana nyanyian Jessi. Telefon bimbitnya diletakkan di atas meja. Lagu Nunu Nana, mula bergema di ruangan tingkat dua itu.

Ketika itu, Zill Hakim merasakan perutnya terlalu lapar. Mana tidaknya, dari semalam dia langsung tidak menjamah makanan, akibat berdegil tidak mahu makan masakan wanita itu. Pintu dibuka. Kedengaran seperti lagu Kpop di tingkat dua.

Perlahan-lahan Zill Hakim menuruni anak tangga. Kelihatan wanita itu sedang menari mengikut rentak lagu dari telefon bimbitnya, sambil mengemop lantai.

Zill Hakim mencebik. “Apa benda perempuan ni buat?” desis Zill Hakim.

Balqis berpusing sambil menari, terkedu dia melihat Zill Hakim yang sudah terpacak di anak tangga.

“Eh, tuan buat apa dekat situ?” soal Balqis. Dia menebalkan mukanya. Malunya jangan cakap. Memang terlalu malu. Tetapi dia terpaksa buat-buat berlakon.

“Kau nak kerja ke nak menari?”

“Eh, buat kerjalah. Tak nampak saya tengah mop ni?”

“Banyaklah kau punya kerja. Tengok nanti aku beritahu mak aku, yang kau menari. Bukannya buat kerja.”

“Pergilah beritahu. Tak takut pun. Uwek!” Balqis menjelirkan lidahnya kepada lelaki itu.

“Kurang asam punya perempuan. Berani dia julur lidah dekat aku?” gumam Zill Hakim. Terus dia naik ke atas. Dari lapar terus tak lapar.

Balqis pula sebenarnya agak terkejut juga sebab secara spontan dia pergi julur lidah pada lelaki itu.

“Tapi kenapa aku pergi julur lidah dekat dia pulak dah?” Balqis mengetuk kepalanya.

“Bodoh... bodoh. Dah kenapa kau pergi buat hal. Macam mana nanti kalau dia mengadu dekat Datin? Ah, sudah kau Aqis. Cari pasal.”

Hai. Novel ini sudah dibukukan. Jika berminat nak dapatkan novel ni dlm bentuk fizikal dan utk dibuat koleksi, boleh dibeli di aplikasi, NovelPlus, Shopee ataupun Lazada.

Share this novel

Rimatanti Rasyid
2022-02-05 13:20:06 

minta maaf bertanya.. sy dh topap tapi kenapa sy tk boleh nk baca ye.. kenapa suruh topap lagi.. sy dh topap rm19.90 tapi tk boleh baca.. sedih lah mcm ni

Cik Mafia
2021-08-08 12:03:33 

ala baru nk bace next part tapi dh lock la pulok....hurrm

Aisy Eddy
2020-12-08 04:45:13 

omg!! nunu nana kott...HAHAAH


NovelPlus Premium

The best ads free experience