Bab 28

Short Story Series 55082

“Aqil? Kenapa tak siap-siap lagi nak ke pejabat? Aqil cuti ke hari ini?” Mak Sofi menegur Aqil yang masih duduk di ruang tamu pada waktu itu sedangkan Tan Sri Mansur sudah berlalu pergi ke syarikat beberapa minit yang lalu.

“Tidak, Aqil tak sedap badan. Mahu berehat saja di rumah hari ini Mak Sofi.” Aqil menyandarkan kepalanya ke sofa yang empuk kerana kepalanya memang sedang berdenyut-denyut ketika itu.

“Jarang Mak Sofi lihat Aqil sakit. Ada apa sebenarnya ni? Cuba cerita pada Mak Sofi.” Mak Sofi mengambil tempat duduk di sebelah Aqil sambil melihat wajah Aqil yang kelihatan sedikit pucat itu.

“Tiada apa-apalah, Mak Sofi. Aqil cuma perlukan rehat saja.” Aqil berdalih tidak mahu berkongsi masalahnya dengan sesiapa.

“Aqil, Mak Sofi ini sudah seperti ibu kamu dan Haikal. Dari kecil Mak Sofi yang jaga kamu berdua. Mak Sofi sudah kenal sangat jika kamu ada masalah. Ceritakan pada Mak Sofi.” Mak Sofi memaksa Aqil bercerita kerana dia tahu Aqil sedang dilanda masalah. Dia tidak mahu Aqil jatuh sakit akibat terlalu memikirkan masalah itu.

“Sebenarnya Aqil keliru Mak Sofi. Aqil tidak tahu mahu berbuat apa.” Akhirnya Aqil memberitahu Mak Sofi perkara yang dirisaukan kerana tidak mahu wanita itu khuatir tentang dirinya.

“Kenapa?” Mak Sofi bertanya tidak sabar mahu mendengar cerita Aqil.

“Papa mahu menjodohkan Aqil dengan anak Tan Sri Syukri, Munirah. Aqil masih belum boleh melupakan Shofwah dan papa nampaknya memang mahu Aqil berkahwin dengan segera.” Aqil menceritakan satu masalah yang mengganggu dirinya sejak perbualannya semalam dengan Tan Sri Mansur.

“Aqil, jika tan sri yang memilih InsyaAllah pasti wanita itu wanita yang baik sama seperti Shofwah dahulu. Tapi kalau boleh jujur, sebenarnya Aqil bukan tidak boleh lupakan Shofwah bukan? Tapi Aqil tidak boleh melupakan Rina Altafunisa, ummi Qalifh.” Mak Sofi melihat wajah Aqil yang sedikit tersentak dengan kata-katanya itu.

“Benar kata Mak Sofi, Aqil tidak boleh melupakan Rina. Aqil tidak mampu melupakannya walaupun Aqil sudah cuba sedaya upaya untuk menghapus nama Rina dalam fikiran Aqil. Jujur Mak Sofi, semalam ketika Rina berkata mahu meminta fasakh daripada abang Haikal, Aqil sangat gembira. Gembira kerana akhirnya Rina akan bebas daripada pernikahan yang hanya menyeksa dirinya tapi apabila teringat pada papa Aqil tidak mahu pula papa yang bersedih dengan keputusan Rina itu.” Aqil tidak berdalih dengan kebenaran yang dikatakan oleh Mak Sofi itu kerana wanita itu memang sudahpun mengetahui tentang perasaannya pada Rina sejak daripada Rina koma dahulu.

“Jika seandainya Rina bercerai dengan Haikal apakah Aqil mahu mengkhitbahnya?” Mak Sofi bertanya lagi.
Diam.

“Mengkhitbah Rina adalah salah satu impian Aqil tapi semua itu tidak mungkin terjadi kerana dia adalah isteri kepada abang Aqil, Mak Sofi.” Aqil mengalihkan pandangannya ke arah tangga, lama.

“Jika Rina benar-benar sudah membulatkan tekadnya dan mahu meminta fasakh daripada abang, Aqil akan mengkhitbahnya menjadi isteri Aqil walaupun ketika itu hati papa terluka.” Aqil berkata lagi sambil matanya masih memandang ke arah yang sama tidak mahu bertentangan mata dengan Mak Sofi.

“Apakah kamu yakin Rina akan menerimanya? Apa yang Mak Sofi lihat sekarang, hati Rina sudah benar-benar tertutup untuk insan bernama lelaki. Hidupnya hanya akan dihabiskan dengan mencintai dan menjaga Qalifh sahaja.” Mak Sofi mula khuatir melihat tekad Aqil pula yang sepertinya sudah sama bulatnya dengan tekad Rina. Dia tahu Aqil sangat menghormati Tan Sri Mansur sehingga tidak mampu menolak semua keinginan bapa angkatnya itu tetapi apabila melibatkan wanita yang dicintainya apakah Aqil akan memilih cinta berbanding Tan Sri Mansur yang menjaganya selama ini?

“Aqil akan tetap menunggunya.” Aqil mula bersuara sangat serius di pendengaran orang yang mendengarnya. Nampaknya dia tidak main-main.

“Sampai bila?” Mak Sofi mengerutkan keningnya.

“Sampai bila-bila Mak Sofi. Jika Rina tidak bercerai dengan abang mungkin Aqil akan belajar menerima kenyataan bahawa kami tidak ditakdirkan bersama tetapi jika Rina sudah bergelar janda, dia bukan milik mana-mana lelaki dan cinta Aqil tidak akan pernah berubah untuk dirinya. Aqil akan menunggunya walaupun ketika itu usia kami sudah senja. Walaupun kami tidak ditakdirkan untuk hidup bersama, mencintai dan melihat dirinya saja sudah cukup buat Aqil.” Aqil berkata lagi sebelum berjalan meninggalkan Mak Sofi di ruang tamu sendirian.

Ketika Aqil mahu memanjat anak tangga pertama, Aqil melirik ke arah pantulan cermin dan melihat Rina sedang menyorok di sebalik dinding daripada penglihatannya. Dia tahu Rina mendengar perbualannya dengan Mak Sofi sebentar tadi disebabkan itulah Aqil berkata-kata seperti itu. Dia tahu kata-katanya sedikit sebanyak membuatkan Rina gusar. Dia yakin wanita itu akan membatalkan niatnya untuk meminta fasakh daripada Haikal kerana Rina tidak mungkin mahu dirinya menunggu wanita itu sampai bila-bila. Cinta Rina untuk dirinya sudah lama terpadam semenjak wanita itu menikahi abangnya dan cinta wanita itu juga bukan milik abangnya melainkan cinta itu sudah dikubur terlalu dalam di dalam hatinya. Hidupnya kini hanya dihabiskan untuk Muhammad Qalifh Althar.

Hati Aqil terasa bagai dihiris belati tajam saat itu. Hatinya melonjak mahu memberitahu dunia bahawa tiada wanita lain yang dicintainya kecuali Rina Altafunisa walaupun nanti Rina tidak bercerai dengan Haikal. Air matanya mahu gugur membasahi pipi akibat rasa kecewa yang teramat saat itu tetapi ditahan air mata itu daripada gugur kerana dia tidak mahu orang lain melihat kelemahannya. Akhirnya dia memilih untuk mengikuti kata-kata Tan Sri Mansur agar mencari jalan supaya Rina tidak menuntut fasakh daripada Haikal. Kebahagiaan Tan Sri Mansur lebih penting buat dirinya berbanding kebahagiaannya sendiri. Rina akan selamat selagi wanita itu tinggal disini bersama Tan Sri Mansur berbanding tinggal di kampung. Keselamatan Rina dan Qalifh adalah lebih penting walaupun caranya itu hanya membuatkan Rina berasa terseksa. Semua yang dilakukan ini kerana dia sangat mencintai wanita itu.

Aqil masuk ke dalam biliknya dan menutup pintu bilik rapat tidak mahu diganggu sebelum seseorang mengetuknya daripada luar. Aqil memusingkan badannya semula untuk membuka pintu bilik itu dan melihat susuk tubuh Rina yang sedang menunduk memandang ke lantai.

“Rina mahu sesuatu?” Aqil bertanya walaupun dia sudah tahu tujuan wanita itu mengetuk pintu biliknya.

“Aqil tentang mahkamah syahriah itu…” Rina mematikan ayatnya sebentar cuba mencari keputusan muktamad apa yang perlu dia lakukan saat itu.

“Oh tentang itu, nanti tengahari Aqil akan hantar Rina ke sana.” Aqil segera menjawab tidak memberikan ruang kepada Rina untuk berfikiran jernih.

“Tidak perlu! Rina rasa lebih baik buat masa sekarang Rina hidup seperti ini saja dahulu. Mungkin betul kata Aqil, Rina yang terlalu pentingkan diri sendiri tanpa mengira kebahagiaan Qalifh dan orang disekeliling Rina. Maaf sudah menyusahkan Aqil saja.” Rina langsung memberikan jawapannya kepada Aqil apabila melihat lelaki itu seperti tidak sabar mahu membawa dirinya ke mahkamah syahriah.

“Ini peluang Rina untuk hidup bebas seperti yang Rina inginkan.” Aqil sengaja memprovok Rina. Dia langsung tidak terkejut dengan keputusan Rina yang berubah itu kerana dia sudah dapat meneka itulah kata-kata yang akan keluar daripada mulut Rina. Rina tidak akan memberikan dirinya peluang untuk mencintai wanita itu dan mahu dirinya berkahwin dengan wanita lain.

“Rina tidak mahu bebas dengan cara menyeksa orang disekeliling Rina. Mungkin waktunya belum tepat. Rina akan lebih bersabar menjalani ujian yang Allah berikan ini.” Rina memusingkan badannya ingin berlalu pergi sebelum dia berhenti melangkah dan memandang Aqil yang masih berada di depan pintu bilik lagi melihat dirinya.

“Aqil, sudah masanya Aqil mencari seorang wanita yang ikhlas mencintai Aqil dan hidup bahagia. Itu keinginan Rina sekarang untuk hidup Aqil.” Rina masuk ke dalam biliknya tidak mahu mendengar balasan daripada Aqil. Rina tidak mungkin mahu membiarkan Aqil mencintainya sehingga ke hujung nyawa lelaki itu. Hatinya sudah tertutup untuk mana-mana lelaki. Cukup pengalaman lalu mengajar dirinya.

Apakah lelaki itu sudah gila? Begitu banyak wanita yang luar biasa cantik dan soleha berbanding dirinya mengapa dirinya juga yang Aqil cintai sehingga sekarang. Jika dia bercerai dengan Haikal, Aqil akan terus melamarnya walaupun dia menolak itulah apa yang didengarinya tadi perbualan diantara Aqil dan Mak Sofi. Dia tidak mungkin menghancurkan hidup Aqil disebabkan oleh cinta lelaki itu kepada dirinya. Dia juga tidak mungkin mahu menyakitkan hati Tan Sri Mansur dengan menerima Aqil sebagai suaminya sebaik saja bercerai dengan Haikal. Keluarga ini akan porak peranda disebabkan dirinya.

Dia tidak mahu menjadi penghancur kebahagiaan orang lain demi kebahagiaannya sendiri. Inilah pengorbanan yang harus dia lakukan demi kebahagiaan orang disekelilingnya. Jika seandainya dia harus hidup seperti ini sehingga hujung nafasnya dia akan menjalaninya dengan hati yang rela demi kebahagiaan Aqil dan Tan Sri Mansur pada masa hadapan. Kasih sayang anak beranak itu harus dijaga kerana Rina tahu Aqil sangat menghormati bapanya itu.

“Ya Allah, beri hamba kekuatan menjalani hari-hari yang akan datang. Tuntun dan pegangilah hamba-Mu ini yang lemah.” Air mata Rina mengalir sambil menyandarkan badannya pada pintu bilik dibelakangnya.

Di waktu yang sama, di dalam bilik Aqil. Aqil juga sedang bersandar di pintu biliknya selepas Rina berlalu ke dalam bilik wanita itu. Wajah lelaki itu menunduk dan ada titisan air yang mengalir di pipinya sehingga jatuh ke bumi. Aqil juga mengalirkan air matanya saat itu kerana sudah tidak dapat dibendung lagi. Melihat mata Rina yang berkaca saat berbicara dengannya tadi Aqil tahu wanita itu memaksa diri untuk kelihatan tenang dan bahagia padahal di dalam hati wanita itu sedang menangis hiba. Keadaan itu membuatkan Aqil tidak tegar melihat Rina sehingga dia juga turut sama merasakan penderitaan wanita itu.

“Ya Allah, jaga dia di dalam perlindungan-Mu. Hamba tidak mampu melindunginya kerana kekurangan hamba-Mu ini.” Aqil berdoa untuk Rina.

Inikah yang dinamakan cinta? Walaupun tidak mampu memiliki tetapi sanggup berkorban demi kebahagiaan orang yang kita cintai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience