7 Opah Cakap

Family Series 57531

“Hoi! Dah siap ke belum?!” Jeritan lantang di subuh hari itu buat mata kuyu Rhett terbuka sedikit. Badan yang semakin lemas cuba ditegakkan. Dia punya tahap mengantuk dah tak boleh bawa bincang dah. Tersengguk-sengguk macam pancing dipatuk ikan.

Semuanya kerana biskut jejari yang telah selamat mendarat dalam perut. Bergegar satu rumah dengan amukan Deila! Tahu dia salah, Rhett mengalah dan akur ketika Deila memaksa dia membuat semula biskut jejari bersalut coklat pelbagai perisa itu.

Pun begitu, dia tetap dipaksa untuk membayar ganti rugi, bukan sekali tetapi dua kali ganda harganya. Kata Deila, harga termasuk denda dia mencuri makan dan buat pelanggan di kedai runcit kempunan. Ada ke macam tu? Rhett menjeling Deila dengan rasa sebal menggunung. Minah ni memang dasar mata duitan kot!

“Kalau kau bagi biskut jejari tu hangus, kau bayar dua kali ganda harga bahan-bahan tu termasuk bil elektrik saya bulan ni!” Terkacip gigi Rhett mendengarnya. Semakin menebal rasa jengkel terhadap Deila. Berani sungguh minah tu ugut dia? Mujur dia berada di tempat asing. Cubalah buat jika dia berada di tempat sendiri, pasti dah lama dia hantar surat saman tak pun biar dia cekik je leher minah tu sampai hancur. Baru padan muka. Biar minah tu jalan dengan kepala tergoyang-goyang macam pakai spring kenderaan Safari.

Rhett rasakan dia dah dijadikan hamba abdi gadis itu. Benda yang tak pernah dia buat sebelum ini terpaksa dibuat disebabkan gadis itu. Dari menguli tepung, mencetak hingga membakar biskut di dalam oven. Semua dia buat secara terpaksa. Mujur bab mencelup-celup dan menggolek-golek biskut jejari yang telah masak dibuat oleh Deila.

Bersama rengusan kasar, Rhett menarik dulang keluar dari dalam oven dengan memakai sarung tangan kalis panas yang diberikan oleh Deila. Muncung sedepa bibir ketika dulang dibawa menghampiri meja di mana Deila sedang duduk di salah sebuah kerusi kayu. Deila memanjangkan leher. Terangguk kepala tanda dia puas hati melihat kejadian biskut hasil tangan Rhett.

Hanya tinggal perisa coklat lagi yang belum siap. Semua bahan celupan telah Deila siapkan. Hanya perlu biarkan biskut itu sejuk sebelum beralih ke proses terakhir.

“Dah siap kan? Boleh saya pergi tidur sekarang?” Pinta Rhett lalu menguap beberapa kali. Deila memandang sebal. Mujur Rhett tutup mulut dengan tangan. Kalau saja air liur Rhett jatuh di atas biskut, kompom dia suruh lelaki itu pergi uli tepung semula.

“Dah subuh pun, kau nak tidur lagi? Ni, kau jaga biskut ni. Kalau dah sejuk sikit kau celup dalam coklat dan golek di atas kacang tanah ni. Lepas tu biarkan sejuk dulu sebelum kau susun kemas-kemas dalam balang kosong ni. Faham kan?”

“Asal saya yang kena buat? Itukan kerja kau!” Bantah Rhett dengan suara naik seoktaf. Wajah ditarik masam mencuka.

“Saya nak masak sarapanlah! Kejap lagi opah akan bangun. Opah biasa makan berat pagi-pagi. Ke kau yang masak dan biarkan saya selesaikan tu?” Rhett jeda sebentar sebelum menggeleng.

“Kalau macam tu, kau je pergi masak. Biar saya buat yang ni.” Mengalah lagi. Batin menyumpah. Entah dah berapa kali dia asyik kena mengalah dengan gadis itu. Baik, dia mengalah kali ini demi opah. Batin cuba memujuk.

Deila bingkas berdiri dan terus bergerak menghampiri peti ais. Bahan-bahan yang mahu dia gunakan dikeluarkan dari peti ais. Saat pintu peti ais terbuka, bau semerbak durian memenuhi ruang dapur. Pantas Rhett memanjangkan leher.

“Hari ni ada bubur durian tak?”

“Takde! Bahan tak cukup!” Kasar Deila jawab. Rhett mengherot bibir. Menyampah betul dia dengan sikap kasar Deila! Patutlah takde yang nak.

Haruman durian itu benar-benar membangkitkan selera. Masih terbayang-bayang keenakan bubur durian yang dia makan semalam. Air liur ditelan. Bagaimana mahu memujuk Deila supaya buat bubur durian macam yang dia makan semalam? Masih tak puas merasa sebenarnya. Baru mahu menambah, belanga dah kering kontang.

“Bubur yang kau masak memang sedap. Masaklah lagi. Saya tak puas makan semalam. Sebab tula kot saya asyik lapar je.” Rhett bersuara lebih lembut berbanding sebelumnya semata-mata kerana mahu mengambil hati Deila.

“Tak boleh, bahan tak cukup.” Deila jawab, ikut merendahkan suara sambil tangan lincah membasuh bahan-bahan yang mahu dipotong kecil-kecil itu di dalam sinki.

Rhett mengeluh perlahan. Nampaknya, kempunanlah dia mahu merasa bubur itu sekali lagi. Tak dia sedar, Deila mencuri-curi memandang ke arahnya. Timbul pula rasa simpati di hati Deila melihat air muka kecewa Rhett ketika itu. Tapi, dia bukan menipu. Memang bahan-bahan yang dia gunakan dalam campuran bubur durian itu dah habis. Ada je jual di kedai runcit tetapi dia tak rajin mahu gerak seawal itu semata-mata untuk tunaikan permintaan Rhett. Jarak rumah dan kedai runcit dia boleh tahan juga jauhnya. Kalau jalan kaki boleh pengsan di tengah jalan.

Deila meneruskan aktiviti memasak di dapur kerana sekejap lagi opah mesti muncul dan mencari makan. Oleh kerana nasi lebihan semalam hanya tinggal sejemput, Deila memutuskan untuk goreng mi kasar sahaja. Stok mi kering masih banyak tersimpan dalam almari barang. Hanya perlu rendam guna air panas sebentar kalau mahu ianya cepat lembut, toskan dan goreng. Mudah dan cepat!

Nak dapatkan stok mi segar memang susah di kampung. Perjalanan jauh buat mi cepat rosak. Sebab itu pembekal tidak mahu tanggung kos kerugian kecuali orang perseorangan yang datang ke kilang untuk dapatkan bekalan. Jadi orang kampung lebih suka memilih mi kering, boleh tahan sampai setahun atau lebih.

Deila kembali semula ke peti ais. Bekas plastik berisi durian itu ditarik keluar. Dia bercadang mahu buat sesuatu dengan bahan yang ada. Kasihan pula melihat wajah Rhett tadi.

“Dah siap! Saya nak mandi dulu.” Bingkas Rhett bangun. Sempat mengerling jam dinding rumah Deila sebelum dia bergegas naik ke tingkat atas. Dia tidak mahu tertinggal waktu solat. Deila hanya biarkan dan kembali sibuk memasak. Selesai semuanya, opah muncul tepat seperti waktu yang dijangkakan.

“Opah dah basuh muka?” Tanya Deila selepas menjawab salam opah. Dia macam nila. Semalam kemain merajuk, hari ni opah dah lupa.

“Dah, lepas Rhett keluar dari bilik mandi opah masuk. Ni, kau pergilah bersihkan diri tu dulu. Sakit mata opah tengok anak dara sorang ni. Serabai! Opah yang dah tua ni tengok pun takde selera.”

Opah ni pun, tak menyempat betul. Pagi-pagi buta dah start enjin bebelan. Deila kunci anak tekak, tahan hati untuk membalas lalu meleretkan senyum lebar sampai telinga kepada opah.

“Baik, Yang Berhormat opahku sayang. Del pergi mandi dulu ya.” Terjegil mata opah mengiringi pemergian Deila.

Setelah siap mandi dan berpakaian, Deila keluar dari bilik opah dan langsung melangkah menuju ke ruang makan berhampiran dapur.

“Sedapnya bau! Opah masakkan bubur durian ke tu?”

“Ini bukan bubur Rhett, ini dipanggil pengat durian. Hanya guna durian, santan dan gula kalau suka manis.”

“Pengat durian ke? Boleh saya makan sekarang tak, opah?”

“Hesy, tak menyempat kau ni kan! Tunggulah Del dulu. Dia yang masak semua ini tau.”

Deila menghampiri meja makan. Buat-buat tak dengar perbualan antara opah dan Rhett tadi. Rhett mengerling lalu berdeham halus. Jujur, dia rasa tersentuh sedikit. Sungguh pun kasar, dia rasakan yang gadis itu berusaha juga untuk tunaikan permintaan dia dengan keadaan mereka yang serba kekurangan di rumah itu.

“Bacalah doa sebelum kita makan.” Arah opah sambil memandang Rhett. Tak tunggu lama, Rhett terus membaca doa makan.

“Sedapnya!” Sampai menjilat bibir Rhett menikmati keenakan pengat durian itu. Tersengih-sengih opah memandang.

Dalam diam, bebola mata opah melekat pada Rhett. Menurut penilaian mata tuanya, dia yakin anak muda itu seorang lelaki yang baik. Dia yakin lelaki itu mampu menjaga dan membimbing Deila dengan baik.

“Nak tambah boleh?” Macam biasa, Rhett dengan perut yang menyimpan anak gajah. Tak akan kenyang dengan hanya sepinggan.

“Pergilah ambil sendiri! Ada dalam belanga tu.” Deila menempelak kasar. Terketap rahang opah dengar. Bulat biji mata memandang Deila.

“Apa salahnya kau tolong cedukkan, Del? Kau kan lebih dekat. Pergi isikan mangkuk Rhett tu.”

Grrr! Marak mata Deila merenung Rhett. Tersengih sumbang Rhett menerima tatapan membunuh Deila.

“Takpe opah, saya boleh je ambil sendiri.” Mengalah, Rhett bingkas bangun. Tak mahu kerana dia, dua beranak tu bergaduh lagi. Bukan main susah mahu pujuk kalau opah dah mula merajuk.

Selepas bersarapan dan mengemas dapur, Deila bersiap-siap kerana mahu ke kedai runcit. Balang-balang berisi jejari ala-ala Pepero itu disusun kemas-kemas di dalam kotak sebelum dia sumbat masuk ke dalam bonet dan selebihnya di kerusi penumpang belakang.

“Oya, hari ini kau nak ke mana? Nak tolong Del di kedai ke?”

Opah dan Rhett sedang duduk di ruang tamu ketika Deila melintas sambil membawa bakul berisi bekalnya menuju ke pintu.

“Errr…. Tak opah, saya nak selesaikan urusan saya secepatnya. Saya bercadang mahu mencari seseorang.”

Opah mengerut dahi yang sememangnya sudah berkedut seribu itu.

“Tujuan kau datang jauh-jauh ni kerana mahu cari seseorang? Kenapa?”

“Nenda saya mahu bertemu orang tu, opah. Macam ni, dulu ada seorang pembantu rumah nenda yang berasal dari kampung ni. Nenda suruh saya cari orang tu dan bawa jumpa nenda.”

“Ada gambar tak? Senang mahu cari kalau ada gambar orang tu. Yela, penduduk kampung di sini dah ramai yang berhijrah ke luar dan ada yang langsung tak balik ke sini dah.”

Rhett garu belakang kepala. Rasanya nenda pun tak punya gambar bekas pembantu rumah tu, dah berbelas tahun kot!

“Takde gambar opah. Nenda cuma beritahu yang pembantu tu bekerja di rumah awal tahun 90an dan nama dia Mar… err…” Sekali lagi Rhett garu kepala. Aduh, dia lupa nama hujung yang nenda sebutkan hari tu.

“Ma apa? Madinah anak si Seman tu ke? Maisah anak Jiah sebelah rumah? Banyak nama mula dengan Ma ni, Rhett oi!”

Nah? Sah? Macam bukan! Rhett kerah otak, cuba mengingat nama hujung bekas pembantu rumah nenda. Yah? Iya kot!

“Tak opah, hujung namanya macam bunyi yah. Maryah kot!”

“Owh, opah tahu. Maryam tu, anak Jemat di hujung kampung. Takpe, biar opah temankan kau jelajah rumah ke rumah. Kau tak tahu jalan kan? Takpe, opah ada!”

Opah siap tepuk dada sendiri dengan bangganya. Rhett pandang opah dengan rasa serba salah.

“Opah tak penat ke nanti? Saya boleh je pergi sendiri.”

“Eiii… kau jangan pandang rendah opah ni tau. Opah masih boleh panjat turun bukit tinggi di hujung kampung tu tau.” Opah bingkas bangun usai berkata.

“Kejap, opah nak pakai anak tudung dulu. Tunggu opah tau.” Rhett hanya terkedu memandang opah pergi.

“Hah! Kau dan opah nak ke mana tu?” Terenjut bahu Rhett bila Deila tiba-tiba menyergah sambil bercekak pinggang di ambang pintu. Eh, ingatkan minah kepoh tu dah blah! Batin Rhett merungut sebal.

“Tak ke mana-mana pun! Opah nak ajak Rhett ke rumah Jiah je!” Opah muncul tergesa-gesa lalu menarik tangan Rhett untuk pergi dari situ. Deila memandang curiga. Mahu saja dia tahan opah tetapi waktu terlalu mencemburui. Dia tidak mahu terlambat ke kedai runcit. Banyak kerja yang dia kena selesaikan hari ini.

Mahu tak mahu, Deila pusing badan dan bergegas keluar. Pintu depan ditutup sebelum dia menapak laju ke kereta kancilnya. Deila memandu dengan kelajuan sederhana. Jalan kampung yang agak sempit itu sememangnya selalu sunyi. Biasanya pagi-pagi macam ni dia hanya akan berpapasan dengan motosikal atau basikal tua sahaja.

Ketika sampai di depan kedai runcit, kelibat Amirul belum kelihatan. Hanya ada beberapa kanak-kanak duduk bertinggung di tepi kedai, menunggu kedatangan tuan punya kedai. Sebaik saja Deila turun dari kereta, kanak-kanak itu berlari mengerumuni dia.

“Miss Pepero, nak beli aiskrim ikat!”

“Miss Pepero, nak Pepero coklat!”

“Saya pun nak aiskrim ikat dan Pepero stoberi!”

“Iya, sabarlah! Kedai belum buka lagi. Ni, tolong miss angkat kotak-kotak ni bawa masuk kedai. Nanti miss belanja lollipop!”

“Yeay!!!”

Kedatangan kanak-kanak itu memudahkan kerja Deila walau pun tanpa Amirul. Hanya disogok duit, cepat je kanak-kanak itu bersetuju membantu Deila membungkus jejari-jejari pelbagai perisa itu. Sehingga kerja pembungkusan selesai, Amirul tak muncul-muncul.

Deila mulai rasa bimbang. Beberapa kali dia keluar menjengah. Selalunya Amirul tak macam ni. Kalau ada hal, Amirul akan beritahu dia awal-awal. Maklumlah, di kampung line telefon memang teruk gila. Paling koman pun hanya boleh dapat satu bar, sebab itu ramai yang memilih untuk tidak menggunakan telefon bimbit. Lagi pun, berita cepat je tersebar di kampung malah boleh merebak dengan cepat ke kampung-kampung sebelah.

Risau pula bila Amirul tiba-tiba tak muncul. Ada masalah keluarga ke? Atau Amirul sakit? Semalam okay je dia lihat. Fikiran tentang Amirul terbantut bila dua mak cik masuk ke dalam kedai. Deila tersenyum mesra bila pandangan mereka bertaut.

“Del, wah berseri-seri nampak!” Deila tergelak kecil.

“Ala mak cik, Del biasa je pun. Macam nila hari-hari.”

“Iya ke? Tak lama lagi nampaknya ada kenduri besar-besaranlah di kampung kita ni kan, Kinah?” Wanita yang disenggol oleh mak cik di sebelahnya pantas mengangguk.

“Eya Semah, dah lama tak makan free kan?”

Bertaut kening Deila mendengar bicara mak cik-mak cik di depannya itu. Ada berita penting yang dia tak tahu ke?

“Apa maksud mak cik? Siapa yang nak kenduri ni? Maaflah, saya ketinggalan cerita agaknya.”

“Eh, malu-malu pulak kau ni Del. Takpe, kitorang faham. Kita pun pernah merasa semua tu.”

Eh? Semakin bingung Deila dibuatnya.

“Saya tak fahamlah, mak cik.”

“Takpe, opah kau dah cakap dah. Tak perlu nak berahsia lagi hehe… tahniah Del, akhirnya ada juga yang sudi. Berkenan mak cik dengan budak tu. Kacak, segak, baik pula pekertinya. Untungnya cucu opah ni!”

Deila tergamam. Opah? Ya Allah! Opah dah buat apa ni? Deila tersandar di kerusi sebaik sahaja mak cik-mak cik itu beredar. Takpe, dia harus bertenang dahulu. Mungkin saja mak cik tu salah faham. Taulah opah ni, jenis main cakap lepas saja. Deila cuba memujuk diri sendiri.

Tidak lama kemudian, masuk lagi beberapa pelanggan yang terdiri dari orang kampung Deila. Masing-masing tersengih-sengih memandang Deila.

“Tahniah Del, nampaknya tak lama lagi menimang cicitlah opah kau tu!”

“Eh, pak cik ni, janganlah cakap macam tu. Lama lagi kot kejadian tu.”

“Ala, opah kau yang cakap pula tu. Takkanlah opah nak tipu?”

Opah!!!

“Kitorang dengar Miss Pepero nak kahwin dengan lelaki bandar yang kacak? Abis tu kedai ni macam mana? Miss nak pindah ke bandar ke lepas kahwin?”

Okay, ini sudah keterlaluan! Dari orang tua sampailah kanak-kanak sibuk kata yang dia nak kahwin? Bila ditanya, semua kata opah cakap. Serius opah?! Arghhh!!!!

“Miss Pepero! Miss Pepero!!!”

Seorang kanak-kanak berlari masuk dengan wajah panik dan pucat lesi. Pantas Deila mengangkat punggung.

“Kenapa Isam?” Nama sebenar budak lelaki tu ialah Hisyam tetapi dia dah biasa panggil Isam je.

“Abang Mirul! Dia nangis-nangis dekat tepi jambatan!”

Ah, sudah! Mirul ni dah kenapa?!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience