63

Romance Series 93218

Pintu utama rumah agam itu ditolak perlahan sebelum kakinya melangkah masuk. Suasana di dalam rumah itu kelihatan sunyi sepi seperti tiada penghuni. Aayra menoleh seketika ke arah garaj kereta. Kelihatan kereta Lamborghini Aventador S milik Harraz sedang terpakir elok di dalam garaj. Jadi ke mana pula Harraz menghilang? Mengapa dibiarkan sahaja rumah bergelap seperti ini? Tiba - tiba hati Aayra diusik kebimbangan. Fikirannya mula memikirkan yang bukan - bukan. Apakah ada sesuatu perkara buruk yang sedang menimpa diri suaminya? Aayra semakin cemas. Sepantas kilat dia berlari ke atas sambil mengendong Nuffan dan Nufael.

Sebaik tiba di hadapan pintu kamar, Aayra melepaskan lelahnya buat seketika sebelum kakinya melangkah masuk. Dengan penuh hati - hati pintu kamar itu ditolak perlahan. Suasana di dalam kamar kelihatan sungguh gelap gelita. Namun di suatu sudut, kelihatan ada satu cahaya lampu yang sedang menerangi ruang itu. Aayra cuba mendekati ruang itu dan telinganya seakan dapat menangkap bunyi esak tangis seseorang. Entah mengapa hatinya menjadi semakin cemas. Jantungnya berdegup laju. Dia yakin suara itu milik Harraz. Tanpa menunggu lama, Aayra cuba memberanikan diri untuk menegur suaminya namun tindakannya terbantut saat melihat Harraz sedang berteleku di tikar sejadah.

“Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya hanya kepadaMu aku berserah. Hanya kepadaMu jua aku berharap. Kau kembalikanlah isteriku kepadaku, Ya Allah. Kau bukakanlah pintu hatinya untuk memaafkan segala kesilapanku. Aku sedar akan kekhilafanku, Ya Allah. Aku masih belum sempurna di matanya. Namun aku tidak kuat untuk kehilangan isteri dan anak - anakku. Sesungguhnya Aayra adalah isteri yang terbaik buatku. Pengorbanannya terlalu tinggi buatku bahkan Aayra tudak pernah gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri buatku. Betapa mulianya ciptaanMu ini Ya Allah. Namun andainya perpisahan yang Aayra inginkan, aku pasrah Ya Allah. Aku sedar dengan kekuranganku. Aku belum mampu jadi yang terbaik buatnya. Namun kau lindungilah dia walau dimana dia berada Ya Allah. Kau turunkanlah syafaatMu buatnya. Kau limpahilah dia dengan kebahagiaan yang berpanjangan dan hanya kepadaMu aku memohon, Ya Allah. Kau perkenankanlah doa - doaku ini. Amin, amin Ya Rabbal Al'amin." Doa Harraz panjang lebar bersama esak tangis yang menemani diri.

Aayra bagaikan terkedu. Hatinya menjadi sebak saat mendengarkan permintaan Harraz. Tidak semena - mena air matanya turut sama mengalir membasahi pipi. Betapa dia merasakan Harraz begitu jujur meluahkan isi hatinya di dalam doa - doa itu tadi. Walaupun hubungan mereka dilanda ombak badai ketika ini, Harraz masih jua mendoakan yang terbaik untuk dirinya. Sungguh Aayra benar - benar terharu. Tanpa menunggu lama, Aayra pantas meletakkan Nufael dan Nuffan di dalam katil mereka lalu dia melangkah mendekati Harraz. Tubuh suaminya dipeluk erat dari arah belakang. Aayra menangis semahu - mahunya. Pelukannya ke atas Harraz langsung tidak dilepaskan. Lama mereka berkeadaan begitu. Suasana hening menemani mereka sehinggalah Harraz berpaling.

“Sayang.." Panggil Harraz sebak.

Aayra mengangkat wajahnya merenung Harraz. Sebelum suaminya membuka bicara, Aayra terlebih dahulu meletakkan jarinya di bibir Harraz. Kepalanya digeleng berkali - kali. Dia tidak membenarkan Harraz berkata - kata buat masa ini.

“Sayang tahu apa yang abang nak sampaikan sekarang ni. Abang tak perlu minta maaf dengan sayang. Sayang tahu abang tak salah. Abang cuma mangsa keadaan kan? Sayang kenal suami sayang macam mana. Lagipun Trisya tu bukan taste abang kan?" Soal Aayra seakan menyedapkan hatinya sendiri.

Harraz mengangguk laju. Apa yang diperkatakan Aayra itu semuanya benar belaka. Memang sejak dari awal lagi Harraz sudah menyatakan kepada isterinya bahawa Trisya bukanlah citarasanya. Malah sikap gadis itu sahaja sudah mampu membuatkan dia berasa rimas, apatah lagi ingin jatuh cinta kepadanya. Tidak mungkin sama sekali.

“Abang perlu jelaskan juga keadaan sebenar kepada sayang. Abang tak mahu sayang tersalah anggap. Apa yang terjadi siang tadi langsung tak sama seperti apa yang sayang fikirkan. Ya, memang betul abang yang ajak Trisya pergi situ. Tapi niat abang cuma nak bawa dia jumpa Ezmal. Itupun atas arahan Ezmal." Cerita Harraz tentang perkara sebenar.

“Tapi kenapa?" Soal Aayra ingin tahu.

Harraz dilihat menarik nafas panjang sebelum menyambung cerita. Bahu Aayra dipegang kejap. Pandangan mereka saling bertentangan antara satu sama lain.

“Abang dah ceritakan segala - galanya kepada Ezmal tentang sikap Trisya. Abang minta jasa baik Ezmal untuk tukarkan Trisya ke department lain. Kalau sayang nak tahu, sebelum ni our HR dah pun jalankan tanggungjawab diorang untuk tegur sikap si Trisya tu. Tapi malangnya abang tak nampak apa - apa perubahan pun dekat si Trisya tu. Makin menjadi - jadi adalah perangai gedik dia tu. Jadi nak tak nak, abang terpaksa gunakan kuasa veto Ezmal untuk tukarkan Trisya ke department lain. Kalau ikutkan hati abang, abang memang nak settle kan hal ni di pejabat aje. Tapi Ezmal tak bagi. Ezmal cakap kalau abang bawa Trisya jumpa dia di pejabat, Trisya akan syak yang abang dan Ezmal rancang sesuatu untuk dia. Lagipun Ezmal cakap dia nak settle kan hal ni dalam suasana santai. Jadi demi nak mengelak dari Trisya mengetahui semua ni, abang terpaksalah ajak dia ikut abang lunch di luar. So, itulah yang terjadi siang tadi. Tapi abang tak sangka pulak yang sayang akan datang serang sebelum kejadian sebenar terjadi." Luah Harraz panjang lebar.

Aayra mencemikkan wajahnya seketika. Dia tidak menyangka serangannya terhadap Trisya siang tadi telah mengagalkan plan asal Ezmal dan suaminya.

“Sayang minta maaf sebab dah rosakkan plan abang dan Ezmal. Tapi sayang tak boleh tahan tengok Trisya tu dok menggatal dengan abang. Geram tau tak?" Luah Aayra pula seakan merajuk. Wajahnya mencebek.

Harraz tersenyum kecil melihat reaksi Aayra. Betapa dia sangat merindui isterinya itu.

“Abang faham sayang. Kalau abang di tempat sayang pun, abang akan rasakan perkara yang sama. Tapi bagus juga sayang datang serang dia tadi. Sekurang- kurangnya lagi cepat abang boleh buang dia. Kalau sayang nak tahu, abang dah pecat dia tau. Dekat restoran tu juga tadi Trisya dipecat." Cerita Harraz lagi.

“Seriously?? Tapi abang tak rasa ke this is not the proper way to fired your staff? Trisya mungkin akan menganggap ini sebagai satu penghinaan buat dia and macam mana kalau dia berdendam dengan kita nanti? Especially sayang." Aayra mula berasa bimbang.

Harraz dilihat sekali lagi menarik nafas sedalam - dalamnya sebelum dilepaskan perlahan - lahan. Bahu Aayra ditarik ke dalam dakapannya. Apa yang Aayra khuatirkan saat ini, dia terlebih dahulu merasainya. Sejujurnya Harraz turut berasa bimbang akan keselamatan diri Aayra dan anak - anaknya selepas ini. Namun dia tidak mahu terlalu berfikiran negatif. Malah dia sering berdoa agar semuanya baik - baik sahaja.

“Sayang jangan bimbang ok? Selagi nyawa abang dikandung badan, abang akan pastikan keselamatan sayang dan anak - anak akan terjamin. Atau sayang nak abang hire bodyguards untuk jaga keluarga kita?" Soal Harraz.

Aayra menggeleng laju. Sejak dari dulu lagi dia sering menolak tawaran Harraz untuk mengupah bodyguards bagi menjaga keselamatan keluarga mereka. Bagi Aayra, tidak perlulah mereka berlebih - lebihan seperti itu kerana mereka bukannya terdiri
daripada keluarga yang ternama. Walaupun nama keluarga mertuanya sangat dikenali di seluruh Malaysia, namun bagi Aayra dia lebih gemar hidup dalam kesederhanaan. Lagi pula jika ada bodyguards yang sentiasa mengekori kemana sahaja mereka pergi itu akan membuatkan Aayra berasa kurang selesa dan terkongkong.

“Abang.." Panggil Aayra perlahan.

“Ya sayang."

“Sayang minta maaf sebab terlalu cepat menjatuhkan hukum kepada abang. Tak sepatutnya sayang fikir yang bukan - bukan terhadap abang walhal sayang tahu abang macam mana. Bodohkan sayang ni? Baru diduga sedikit, sayang dah mengelabah seolah - olah dunia ni akan hancur. Maafkan sayang, abang." Ucap Aayra dalam nada yang sungguh sayu.

“Shhh.. Jangan cakap macam tu, sayang. Abang tak pernah anggap sayang bodoh. Malah abang rasa kalau abang di tempat sayang sekalipun, dah tentu abang akan buat perkara yang sama dan mungkin lebih teruk lagi dari sayang. Sejujurnya abang bangga dengan sayang. Bangga kerana sayang masih mampu bersabar walaupun sayang dah tahu dari awal lagi tentang sikap sebenar Trisya tu. Di kesempatan ini, abang nak minta maaf sangat - sangat dengan sayang di atas apa yang telah terjadi. Abang terlalu berlembut dengan Trisya sehinggakan abang tak sedar yang abang dah melukai hati isteri abang sendiri. Jujur abang katakan. Abang takut. Abang takut sangat kehilangan sayang dan anak - anak kita selepas apa yang terjadi siang tadi. Abang tak putus - putus berdoa supaya Allah lembutkan hati sayang untuk sudi memaafkan segala kesilapan abang. Abang tak kuat sayang. I do love you so freaking much." Luah Harraz seraya memeluk tubuh isterinya erat.

Aayra tersenyum bahagia. Sejujurnya dia dapat merasai benih - benih cinta yang semakin mekar tertanam di dasar hati suaminya. Akhirnya Aayra turut membalas pelukan Harraz erat.

“Sayang adalah anugerah terindah yang Allah kirimkan untuk abang. Hadirnya sayang dalam hidup abang membawa sejuta kebahagiaan buat abang. Jadi mana mungkin abang sanggup kehilangan anugerah terindah abang ni. And one more thing yang abang nak sayang tahu." Harraz menjarakkan sedikit tubuhnya dari Aayra.

“Apa dia?" Soal Aayra ingin tahu.

“Walau ada bidadari lain yang menjelma di hadapan abang sekalipun selepas ini, sayang tetap menjadi pilihan abang. Bagi abang, sayanglah bidadari abang yang cukup sempurna. Sayang adalah pelengkap hidup abang. Jadi mana mungkin abang akan
membiarkan bidadari abang ni pergi dari hidup abang dengan begitu sahaja. Abang cintakan sayang sepenuh hati abang. Please jangan tinggalkan abang lama - lama lagi macam tadi. Abang takut. Takut akan kehilangan sayang. Abang tak sanggup, sayang." Rayu Harraz lembut.

Aayra tersenyum bahagia. Lalu bibirnya mencium pipi Harraz lama. Leher suaminya dirangkul erat ke dalam pelukannya.

“Sayang janji abang. Sayang tak akan tinggalkan abang lagi. Malah sayang sendiri pun tak nak kehilangan abang. Sayang cintakan abang. I love you for the rest of my life." Bisik Aayra di telinga suaminya.

Kedua pasangan suami isteri itu tersenyum bahagia. Bibir mereka bertaut mesra bagi melepaskan kerinduan yang bersarang di hati. Betapa mereka saling menyayangi dan memerlukan antara satu sama lain. Semoga Allah terus menyatukan cinta mereka hingga ke penghujung nyawa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience