HANYA dua kali gigitan saja, secucuk sate itu habis dilahap Damia. Kalau boleh dengan lidi-lidi dia mahu makan sekali melihat tahap kegelojohan dia itu.
"Seriuslah Syafiqah 11 tahun?" Suara Damia memecah hening seketika. Mata pelanggan-pelanggan lain tertumpu pada mereka berdua.
Syafiq dah mulai tundukkan wajah. Damia yang bersuara, dia pula yang malu.
Damia segera menunduk-nundukkan kepalanya kepada mereka yang memerhati tadi sebagai tanda minta maaf. Itulah, lain kali kawal sikit suara tu.
"Awak ni, kenapa terkejut beruk pulak? Beruk pun terkejut elok lagi tau tak?" Syafiq terus menegur Damia.
"Maaflah, terkejut tadi. Bukan apa, saya tengok adik awak tu kecil je badan. Ingat baru darjah satu atau dua. Entah-entah dah darjah lima?" Terkebil-kebil mata Damia tidak mempercaya.
Syafiq menyeringai. Potongan timun dia cucuk menggunakan lidi lalu disuap ke dalam mulut setelah dicecah kuah kacang. Nikmat!
"Mungkin adik saya tu tak cukup zat? Dia makan pun sikit je. Makan nasi pun tak pernah menambah. Sayur pun tak makan. Demand sungguh padahal orang kampung je."
Mulut Dania bulat membentuk seperti 'o'. Lah, Syafiq ni macam perli aku pulak. Sempat juga Damia tersenyum melihat mulut Syafiq yang terjuih-juih bercakap perihal Syafiqah.
"Kenapa awak tiba-tiba tanya pasal Syafiqah ni?" Dahi Syafiq berkerut. Tiba-tiba pula Damia berminat tahu tentang adiknya itu.
"Umm ... bukan apa. Saya teringin sangat nak jumpak adik awak tu. Walaupun saya tak nampak sangat muka dia masa kat sungai tu, tapi saya tahu mesti dia comel, kan?"
Syafiq tergelak kecil. "Mestilah. Tengoklah abang dia siapa." Sempat lagi Syafiq tayang muka bangga.
Perasan! Terus saja Damia menampar lengan Syafiq. Syafiq laju je mengelak.
Amboi, Damia. Tangan tu tak reti duduk diam sungguh.
"Ni awak nak jumpak adik saya ni ada apa-apa ke? Takkanlah pasal comel je." Mata Syafiq terus merenung tajam Damia. Renungan menggoda. Siap ditongkat lagi dagunya.
Damia apa lagi, terus berdehem macam nak tercabutlah anak tekak tu. Mukanya terus memerah.
"Saja."
Jawapan ringkas Damia membuatkan Syafiq menjongketkan kening. Matanya tak lepas dari merenung Damia dari tadi. Itu bukan jawapan yang dia nak!
"Kenapa tenung saya macam tu?" Damia semakin tak keruan.
"Dahlah, awak pergi tolong kawan awak tu. Jangan nak curi tulang pulak. Mentang-mentanglah gerai ni awak punya, saja nak mengelat eh." Terus saja Damia menolak-nolak lelaki yang duduk di hadapannya itu. Gamaknya mahu menghalau.
Syafiq mencemik. Tapi sempat dia separa bisik kepada Damia. "Kalau awak nak jumpa Syafiqah, boleh. Tapi tunggu masa yang sesuai dulu. Okey?"
Damia memuncungkan mulut.
Ala ...
Tapi tak apalah. Asalkan dapat jumpa. Bibir Damia terus mencoretkan segaris senyum.
*****
Masuk sahaja ke dalam rumah, bilik tidur yang dicarinya. Mata dah sayup-sayup mahu terkatup, mengantuk sangat. Padahal tadi bertentang wajah dengan Syafiq, bukan main segar-bugar matanya tak berkedip. Haih ... Damia, Damia.
Sate yang dibungkus dalam plastik dia letak di atas meja. Nanti pandai-pandailah kak long dan ibunya makan sendiri. Dah nama pun makanan, makan ajelah. Tak ada masa dia nak pelawa-pelawa makan bagai.
"Baru teringat nak balik?"
Suara Mak Siti menerjah dari tingkat atas. Tergedek-gedek Mak Siti menuruni satu per satu anak tangga itu.
"Hmm ..." Acuh tak acuh Damia menjawab.
Mak Siti terus mencapai bungkusan plastik hijau yang Damia letak tadi. Benda apa lagilah budak ni bawa balik.
"Sate lagi?" Mak Siti hadiahkan jelingan.
Damia yang kelu lidahnya hanya tersengih janggal.
"Tiga hari lepas dah bawak balik sate. Kelmarin pun sama. Hari ni pun sate jugak? Kamu ni mengidam ke apa ha, angah?"
"Mana ada, mak. Dah sate tu sedap. Tu yang angah bawak balik tu."
Mak Siti menggeleng-gelengkan kepalanya sebelum mulai berleter panjang. "Kalau sedap pun takkanlah sampai setiap hari nak bawak balik. Lagipun sate ayam dengan daging je. Bukannya sate kijang atau sate arnab yang mahal tu. Kalau yang tu berselera sikitlah mak nak makan."
Damia julingkan mata ke atas. Memilih sungguh ibunya ni. Orang bagi betis dia nak paha.
"Ish, memilihlah mak ni. Dahlah angah nak tidur." Damia yang cuba mengelak dari terus disoal siasat ibunya terus melangkahkan kaki ke tingkat atas.
"Itulah. Pukul 10:30 malam baru nak balik! Kamu ni keluar jumpak siapa sebenarnya?" Mak Siti tak betah mengalah.
Damia yang membelakangi ibunya telan liur. Tak tahu mahu jawab apa. Kalau dia beritahu perkara sebenar yang dia sedang berkawan dengan Syafiq yakni si penjual sate, tentu-tentu ibunya membantah keras. Dah kenal sangat sikap materialistik ibunya itu sampaikan sesiapa sahaja kawan Damia, ibunya la yang aturkan semua.
Nak kawan dengan dia itu tak boleh, nak kawan dengan dia ini tak boleh. Yang berharta disuruh mendekat, yang tak berkemampuan disuruh menjauh. Hidup berprinsip sebegitu membuatkan Damia tidak ramai kawan.
Bukan tidak ramai, tetapi memang dia tiada kawan pun memandangkan mereka yang lain berasa tidak serasi dan 'ngam' dengan dirinya. Semuanya kerana ibunya yang terlalu mengongkong. Penat!
"Ha, angah? Jawab soalan mak cepat! Jangan diam je."
"Aduh mak ni, kan angah dah kata keluar dengan kawan ..."
"Kawan yang mana satu?" Laju saja Mak Siti memotong bicara. Damia apa lagi, tersentaklah dia.
"Umm ... adalah."
Damia terus memekakkan diri memecut ke atas. Nak berdalih apa lagi, memang dia dah kekeringan idea dan ketandusan kata. Kalau lama-lama tunggu di situ, memang takkan habis punya dari menjawab segala soalan aras tinggi ibunya itu.
"Angah! Angah! Mak belum habis cakap lagi ni kan!" Terjerit-jerit Mak Siti memanggil anaknya yang ligat menapak satu per satu anak tangga itu. Memang taklah Damia mahu turuti. Terlalu jelas yang anaknya itu mahu mengelak.
Nak berahsia dengan mak, eh? Kamu siap! Mak akan korek semuanya. Bisik hati Mak Siti dengan panas hatinya.
Renungan tajam masih mengarah ke arah anaknya tadi yang telah menghilang dari pandangan.
*****
Terkumat-kamit mulut Damia memaki motosikalnya itu. Segala jenis cercaan dia hamburkan kerana waktu begini jugalah motornya tu nak buat hal.
Dahlah motosikal rosak di kawasan yang tiada perumahan orang kampung dan di sekitarnya hanya semak-samun sahaja. Ditambah pula dengan bersidai di bawah sinaran matahari. Memang makin tertekanlah gadis seorang ini.
Aduh! Kat jalan ni memang tak ada orang ke? Dah 10 minit aku berpanas kat sini dengan motor tak guna ni. Keluh Damia sambil mencuba menghidupkan enjin motosikalnya kembali, tetapi tetap sahaja gagal.
Entah kenapa, sewaktu perjalanan pulang setelah habis bekerja di kedai ibunya, tiba-tiba motor yang ditunggang berasa berat. Nak dikata 'Cik Ponti', memang taklah kerana dah terang siang-siang hari.
Damia memberhentikan motosikalnya untuk melihat keadaan, tiada apa-apa yang tersangkut. Dia berfikiran positif motosikalnya masih okey. Dan apabila dia mahu saja menghidupkan enjinnya semula, tiba-tiba saja tak boleh. Itulah sebabnya dia berseorangan di situ bertemankan motorsikal Honda Wavenya dari tadi.
Manik-manik peluh sudah merecik-recik membasahi liang kulit. Telefon yang digenggam ditekan butang penghidup, tetapi hampa. Bateri habis!
Malang sungguh nasib kau, Damia. Sudah jatuh ditimpa tangga. Bertimpa-timpa pulak tu.
Nak berjalan maju ke hadapan sambil menuntun motosikalnya, memang taklah Damia nak buat. Dengan motosikal yang cukup berat tu.
Tetapi terpaksa jualah Damia akur kalau mahu pulang. Takut-takut tiada orang yang lalu di kawasan itu, mahu sampai esok Damia 'bermalam' di sekitar situ.
Pin! Pin!
Tiba-tiba sahaja, bunyi hon dari arah hadapan sedikit mengejutkan Damia. Nasib baiklah tak termelatah, kalau tidak segala carutan yang terkeluar dari mulutnya.
Bunyi hon motor? Damia memfokuskan matanya untuk melihat gerangan seseorang yang mengehon kepadanya dalam keadaan panas terik itu. Silau!
"Syafiq?"
Perkataan pertama yang keluar dari mulut Damia. Lelaki tanpa helmet itu dipandangnya tanpa kedip. Kini, kemunculan lelaki itu di hadapannya bagai memberi sinar baharu. Sekurang-kurangnya dia kenal lelaki itu dan mungkin lelaki itu boleh membantunya.
"Damia, kenapa ni? Motor rosak ka?" Syafiq terus turun dari motornya dan mendekati Damia. Damia hanya mengangguk.
"Entahlah. Tiba-tiba je rosak. Dah berjanggut saya tunggu kalau-kalau ada orang lalu yang boleh bantu, tapi tak ada pun. Tak sangka pulak awak ada." Nada suara Damia sedikit lega. Tapi dalam masa yang sama matanya umpama menagih bantuan dan simpati Syafiq.
Mana tahu, Syafiq mahu membawanya pulang rumah. Ish, Damia. Pandai ambil kesempatan betul.
Syafiq bermuka serius memerhati motosikal Damia umpama mahu mengimbas segalanya.
Aku ni dahlah tak tahu sangat bab-bab motor ni. Sempat lagi Syafiq berbisik dalam hati.
Ah! Biarlah. Kasi bedil ajelah Syafiq oi.
"Umm ... macam ni la. Apa kata motor awak ni tinggal kat sini dulu, nanti saya panggilkan mekanik untuk ambil motor awak?"
Mata Damia terjegil luas. "Tak apa ke awak? Tak susahkan awak ke?"
"Tak apa. Lagipun mekanik tu kawan saya. Senanglah kalau nak mintak tolong dia."
Damia menghembus nafas lega. Tapi kerutan di dahinya timbul semula kerana risaunya masih terasa.
"Tapi, kita kena tunggu kawan awak tu datang sini ke? Panas sangatlah kat sini." Damia mengipas-ngipas wajahnya menggunakan tangan.
Tiba-tiba saja muncul semacam rancangan jahat dalam hatinya. Rancangan mahu ambil kesempatan.
Mata Syafiq meliar-liar cuba memikirkan idea. Sebenarnya dia sudah bercadang untuk membantu membawa Damia pulang bersama, tetapi dia terlalu segan mahu katakan perkara itu.
Iyalah, sepanjang hidupnya tiada seorang pun gadis yang pernah membonceng motosikalnya kecuali Syafiqah. Bukan saja membonceng, sentuh pun tak pernah.
Syafiq memejamkan matanya. Nak beritahu atau tak? Nak pelawa atau tunggu? Ah! Beritahu sajalah.
"Apa kata saya bawak awak balik rumah? Kalau hal motor awak tu, tinggal sini dulu. Saya akan uruskan."
Akhirnya kata-kata yang terbuku dalam hati Syafiq dia suarakan jua. Damia mahu menolak pelawaannya, dia tidak kisah. Lagipun dia berniat untuk membantu sahaja.
Mata Damia semakin membulat. Sengaja pura-pura terkejut padahal itu yang dia nakkan. Pandai berlakon betul.
"Eh! Boleh ke, awak? Tak susahkan awak ke?"
Syafiq hanya tersenyum dan menggeleng. Pantas dia mendapatkan motornya dan melabuhkan punggungnya di atas seat motosikal. Sempat lagi dia menepuk-nepuk perlahan bahagian seat di belakangnya tanda menyuruh Damia untuk segera membonceng.
Damia apa lagi, dengan laju saja dia bergerak dan mengikuti sahaja arahan Syafiq itu. Bahu Syafiq dipegang dengan kedua-dua tangannya. Tak lepas langsung.
Mana tahu, kalau Syafiq brek mengejut sepanjang perjalanan nanti, tak adalah pertembungan berlaku. Nanti kesian pula Syafiq, dia tu lelaki. Jadi faham-faham sajalah.
Syafiq terus memulakan tunggangannya. Wajah teruja Damia dia sembunyi pandang dari cermin sisi. Tersenyum dia melihat Damia.
"Awak, awak macam mana boleh sampai kat kampung saya ni? Awak nak buat apa?" tanya Damia memulakan perbualan sewaktu di atas motor itu.
"Saya nak pergi kat kedai runcit awaklah. Ingat nak beli barang sikit."
"Kedai runcit sini? Kedai runcit kat kampung awak tu tutup ke?"
"Tak adalah. Saja nak support kedai awak. Kan awak dah banyak kali beli sate kat gerai saya."
Damia menggaru kepala kerana malu. Dia ni perli aku ke puji? Apa hal aku dengar macam perli je.
"Ala, awak. Tu kedai mak saya. Saya ni pekerja dia je."
"Pekerja? Saya tengok macam owner kedai je. Fokus sangat main dengan phone sampaikan saya masuk kedai hari tu pun awak tak perasan." Syafiq tertawa kecil memerli Damia.
Si Damia tu, kalau tak drama Korea, layan Instagram. Kalau tak Instagram, layan Twitter pula. Itulah rutin hariannya. Macam dah lali dengan semua tu.
Damia menampar perlahan bahu Syafiq. Sempat lagi lelaki itu mengusik sambil menunggang motor. Ini kalau cubit pinggang ni, mahu menggeletis Si Syafiq tu. Tak pasal-pasal pulak mereka tu jatuh tergolek kat tengah jalan nanti.
"Awak ni! Dahlah. Malas nak cakap dengan awak." Damia berpura-pura merajuk padahal senyuman tak lekang di bibir. Mengada.
Syafiq tanpa bicara hanya tertawa. Terhibur jugaklah dengan perangai Damia tu.
Damia turut pecah dengan gelaknya. Hari ini, dia dapat menaiki motosikal bersama lelaki yang merupakan kawannya buat pertama kali.
Syafiq menunggang motosikal dan memintas seorang mak cik yang tak lepas dari memegang payung berwarna merah. Selendang pula hanya dililit ringkas di kepala.
Dalam tak sedar, mak cik itu merenung ke arah mereka berdua yang menunggang dan membonceng motosikal bersama dengan pandangan tajam. Pandangan yang penuh dengan rasa kemusykilan.
Eh? Tu bukan anak Kak Siti ke? Dia dengan laki mana pulak tu? Aku kena report kat Kak Siti ni. Katanya sendiri dalam hati.
Bersambung...
Aduii ada makcik bawang plk kacau line. Semua bend nk report. Kalau mak siti tau ni habis la Damia...
Share this novel