Chapter 42

Mystery Completed 14818

Bab 42

Leo diam.

“Sudah! Mari kita makan sajalah. Tentu kau dah lapar, Leo. Ya tak?”

Leo tersenyum.

“Ya makcik.”

Mereka duduk mengelilingi meja yang penuh hidangan. Memang istimewa masakan Puan Salimah malam itu. Kerutup daging, kacang panjang goreng tahu, ayam kurma dan kerabu mangga dinikmati bersama nasi putih. Turut disertakan di meja itu ulam raja dan timun dicicah sambal belacan.

“Ya Allah, banyaknya lauk yang makcik sediakan,” kata Leo.

“Sesekali bukan selalu masak banyak macam ni!” kata Puan Salimah.

“Haa, kalau tak habis nanti kau bawa balik sajalah Leo.”

“Emmm… bagus juga idea makcik tu. Saya memang tinggal serumah dengan kawan saya Fendi dan emaknya. Tapi Makcik Idah jarang masak, Fendi tak bagi. Makcik Idah dah tua, tujuh puluh lebih umurnya. Selalunya dia beli saja lauk-pauk di luar. Makcik Idah tinggal masak nasi saja,” kata Leo dengan lancar.

Amalina memandang Leo. Terkejut juga dia mendengar Leo memanggil bosnya ‘Encik Affendi’ sebagai Fendi saja. Rupa-rupanya dia tinggal serumah dengan bosnya. Tapi katanya tadi Fendi adalah kawannya. Apakah Fendi dan Encik Affendi orang yang sama?

Amalina diam, membiarkan saja ibunya berbual dengan Leo. Nampaknya Puan Salimah seperti dapat menerima diri Leo seadanya. Dia melayani Leo dengan mesra, bercakap tentang pelbagai perkara. Leo juga kelihatan mudah mesra dengan Puan Salimah. Dia bercerita dengan ibunya sesuatu yang tidak pernah dibualkan dengan Amalina sendiri. Amalina jadi takjub. Dia fikir dia sudah kenal lelaki itu luar dan dalam, tetapi masih banyak yang dia tidak tahu.

Mungkin kerana hati sudah cinta, jadi perkara-perkara lain dianggap tidak penting. Apakah mencintai seseorang itu boleh buat kita menjadi ‘buta’ dan tidak melihat perkara-perkara buruk. Hanya yang baik dan indah saja yang muncul di mata. Tapi Leo memang tiada cacat celanya. Dia baik, penyayang dan mengambil berat. Hanya soal keturunan…

Sehingga kini Amalina tidak percaya Leo berketurunan orang asli. Wajah Leo tiada langsung menggambarkan dia orang asli. Wajah dan kulitnya adalah wajah dan kulit orang Melayu! Amat berbeza rupanya dengan Mak Upeh.

“Berapa orang adik beradik kau Leo?” tanya Puan Salimah.

“Saya anak tunggal makcik. Itulah yang sedihnya menjadi anak tunggal. Tak ada sesiapa yang akan membela ataupun memberikan perlindungan. Tapi saya bersyukur, ada sahabat macam Fendi yang bersedia melakukan apa saja untuk saya. Dia banyak tolong saya. Sejak kecil kami dah pun bersahabat.”

“Yalah. Sebenarnya sahabat baik tu lebih baik daripada saudara kandung. Kadang-kadang saudara kandung pun ada yang berdengki khianat. Ada yang cemburu… tak boleh tengok adik-beradik senang. Berebut harta pusaka, hingga timbul perbalahan.”

“Ya. Makcik betul. Sebab perkara tu memang terkena pada saya. Mak saudara saya…” Leo tidak jadi meneruskan kata apabila telefon bimbitnya berbunyi. Dia melihat di skrin, terpapar nombor telefon rumah Affendi.

Cepat-cepat dia menjawab.

“Hello!”

Di hujung talian terdengar suara Puan Faridah yang teresak-esak.

“Makcik Idah? Kenapa makcik?”

“Fendi… Fendi…” kata Puan Faridah tersekat-sekat.

“Kenapa dengan Fendi?”

“Ada orang ceroboh rumah. Makcik pun tak tahu macamana dia orang dapat masuk sedangkan dah pasang alarm. Alarm tak berbunyi. Makcik kena ikat. Ni makcik baru dapat lepaskan diri, dapat dail telefon. Affendi dah hilang, dibawa lari penjahat!”

“Apa?” Fendi dah kena culik? Bisik hati Leo tidak percaya. Bagaimana mungkin ini semua boleh berlaku. Dia tak percaya!

“Makcik tunggu saya balik sekarang!” kata Leo.

Puan Faridah belum melaporkan penculikan kepada polis kerana penjahat itu berpesan supaya tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa. Jika laporan dibuat, serta merta Affendi akan dibunuh.

“Leo, apa yang berlaku ni?”

“Aku harus balik segera. Ada hal penting.” kata Leo pada Amalina yang kebingungan.

Rumah sunyi sepi. Hanya lampu terpasang di satu ruang. Kebanyakan ruang tenggelam dalam kesamaran. Leo menyelinap masuk ke dalam rumah banglo yang didiami Puan Suriati. Dari satu arah dia terdengar suara perbualan. Dia mendekati arah datangnya suara itu. Dia bersandar di dinding, terdengar perbualan antara Puan Suriati dan Hamzah.

“Beres!” kata Puan Suriati sambil menuang minuman ke dalam cawan.

“Dua orang penyangak yang aku upah tu dah berjaya culik Affendi. Sekarang dia orang dalam perjalanan ke tempat persembunyian.”

“Kat mana dia disembunyikan?”

“Kat perkampungan orang asli sana. Kata orang upahan aku Perus, dia ada sebuah rumah pondok kat dalam hutan kaki gunung… Gunung Ais.” kata Puan Suriati seperti tidak yakin.

“Kau pernah dengar ke Gunung Ais?”

Leo terkejut apabila Puan Suriati menyebut nama Perus dan Gunung Ais. Jadi Perus yang telah menculik Affendi kerana diupah oleh Puan Suriati.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah tindakan yang akan diambil oleh Leo setelah mengetahui tentang Perus dan Gunung Ais?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience