Bab 2

Romance Completed 66067

SEKEMBALINYA mereka daripada melawat pusara keluarganya di kampung yang hanya mengambil masa satu jam perjalanan, Etasya terus menghenyakkan punggungnya di atas sofa panjang di ruang tamu rumah sewa yang dihuni oleh Arini seorang diri yang kini dihuni oleh mereka berdua.

"Nah!" Arini meletakkan segelas air sirap merah di atas meja, lalu dia duduk di sebelah Etasya.

"Thanks," ucap Etasya dengan suara lemah. Tubuh dan kepalanya disandarkan dan dia merenung kipas siling yang sedang berpusing pada kelajuan sederhana. Lagaknya seperti sedang memikirkan sesuatu yang merunsingkan melihat dahinya yang berkerut-kerut.

Arini menghirup perlahan minumannya sambil melepaskan keluhan kecil melihat rakannya yang sedang mengelamun. "Tasya... Ermmm... aku nak tanya sesuatu boleh tak?"

"Sejak bila pula kau minta izin aku sebelum nak bertanya ni?" soal Etasya tanpa bergerak walaupun sedikit. Hanya bola matanya sahaja yang bergerak melirik wajah sahabat baiknya itu.

"Takdelah, bukan apa.... Ermmm... aku takut kalau aku buat kau bertambah moody je nanti kalau aku tanya."

"Tanya jelah," kata Etasya, lalu dia menutup matanya.

Arini berdeham sambil memandang Etasya yang sedang menutup mata itu dengan muka teragak-agak. "Selama ni aku tak pernah tanya pasal ni kat kau, sebab... aku tahu kau trauma... Ermm..."

"Get to the point lah! Tak payah nak bermukadimah lagi," tegas Etasya, masih dengan matanya yang tertutup.

Arini menghela nafas panjang mengumpul keberanian untuk mengajukan pertanyaan yang sudah lama tersimpan di dalam kotak fikirannya. "Kau yakin ke dia yang kau nampak masa malam kejadian? Err... maksud aku, kau yakin ke dia yang buat?"

Serta merta tertegak tubuh Etasya selepas dia mendengar pertanyaan yang terpacul dari mulut rakan baiknya itu. Matanya terbuka luas dan jelas terpamer kemarahan pada sepasang mata galaknya. Bayangan peristiwa pada malam tragedi menyayat hati itu terimbas semula di layar fikirannya. Giginya diketap, penumbuknya dikepal dengan sekuat hati. "Aku yakin, Rini. Yakin 500 peratus!"

"Takkanlah sebab tender projek perumahan tu je dia sampai sanggup buat macam tu? Nyawa manusia kot, bukan nyawa semut." Arini mengerutkan dahinya sambil mengherot-herotkan bibirnya memikirkan logika.

"Itu je motif yang aku boleh fikir, Rini. Projek tu, nilai dia bukan seringgit dua, tapi berjuta. Aku memang tak kenal rapat pun dengan dia. Kau tahu kerja aku dulu buat penilaian dan penapisan pemohon projek kan? Sebelum tu ada beberapa kali dia datang jumpa aku. Siap ajak aku keluar lagi sampai kat kampung dia pernah ikut aku dulu. Aku fikir, dia sakit hati sebab projek tu dapat kat orang lain yang lebih layak. Dia memang bukan manusia, Rini! Dia libatkan keluarga aku!" cerita Etasya panjang lebar.

Arini beristighfar sambil menggeleng-geleng selepas dia mendengar cerita yang membuatkan dia tertanya-tanya selama ini. Baru kali ini dia mendapat keberanian untuk bertanya, kerana selepas kejadian kebakaran yang telah mengorbankan semua ahli keluarga rakannya itu, Etasya terus dibawa oleh keluarga Kyung Mi ke Korea untuk menjalani rawatan pembedahan plastik untuk merawat wajahnya yang teruk melecur dan juga untuk menjalani rawatan psikiatri.

"Jadi, apa rancangan kau? Apa kau nak buat kat dia? Kau nak bunuh dia ke?" soal Arini bertubi-tubi selepas seketika mereka membisu.

"Aku takdelah sampai nak bunuh orang. Aku cuma nak buat hidup dia merana. Aku akan buat dia kehilangan apa yang dia ada dan aku akan buat dia merempat di tepi jalan!!!" Berombak-ombak dadanya seusai dia menghamburkan isi hatinya yang selama ini dipendam.

Keluhan panjang terpacul dari mulut Arini. Paha Etasya disentuh lembut bersama dengan satu pandangan yang tidak dapat ditafsirkan. "Aku faham perasaan kau, tapi kan..." Kata-katanya terhenti di situ. Wajah rakannya direnung serius.

"Tapi apa? Kau nak cakap kat aku, tak baik buat macam tu ke? Lepas tu, kau nak suruh aku supaya maafkan je si bangsat tu dan lupakan je dendam aku? No way, Rini!" Keras nada suara wanita itu menuturkan setiap butir percakapannya.

Arini melepaskan keluhan buat kesekian kalinya. "Tak... Aku risau nanti kalau kau kena tangkap dengan polis, lepas tu kena sumbat dalam penjara," jelas Arini sambil meletakkan gelasnya yang berisi separuh ke atas meja. Padahal, sebenarnya apa yang baru diperkatakan oleh Etasya tadi itulah yang hendak dia katakan, tetapi tidak jadi selepas dia melihat riak wajah rakannya itu.

Dua bersahabat itu saling berbalas renungan. Etasya memicingkan matanya sambil mengherot-herotkan bibirnya, manakala Arini pula melari-larikan anak matanya seperti orang yang sedang menyembunyikan kesalahan.

"Eleh! Aku kenal kaulah! Padahal memang itu yang kau nak cakap tadi, kan?" Etasya menjegilkan matanya, lalu dia ketawa kecil.

"Haihhh... Yelah, yelah aku mengaku! Memang itu yang aku nak cakap tadi. Aku tahulah, aku ni bukannya baik sangat pun, tapi... serius, aku takut nanti kau tertangkap je. Aku tak naklah kawan baik aku masuk penjara nanti. Kalau kau kena tangkap, takde dahlah kawan aku nak berborak nanti," ujar Arini, lalu dia menunduk sambil bermain-main dengan hujung kukunya.

"Kyung Mi kan ada."

Arini mendongak dan memandang Etasya dengan ekor matanya. "Tak bestlah sembang dengan dia! Banyak perkataan dia aku tak faham. Tasya... Aku tahu bukan senang nak move on, tapi aku harap sangat kau move on. Biar Tuhan je yang balas perbuatan dia tu," kata wanita berambut merah separas bahu yang ditocang itu dengan nada memujuk.

Etasya melepaskan keluhan kecil, lalu dia bingkas berdiri. "Aku letihlah. Aku nak rest kejap. Malam nanti aku nak ikut kau pergi ke tempat kerja kau," ujarnya sengaja hendak melarikan diri daripada terus bercakap mengenai hal tadi. Lantas, dia terus mengorak langkah menuju ke biliknya yang bersebelahan dengan dapur rumah sewa itu.

"Haiiilah kawan aku sorang ni!" Arini hanya mampu mengeluh sambil menggeleng.

**

Etasya sedang berbaring meniarap di atas katil dan sedang melayari laman sosial ketika pintu biliknya diketuk.

"Tasya! Aku nak gerak dah ni!" laung Arini dari luar.

Cepat-cepat Etasya turun dari katil, lalu dia menyarungkan jaket jeans dan menyilangkan beg kecil ke tubuhnya. Jam pada ketika ini menunjukkan pukul 8.00 Malam.

"Kau serius ke nak ikut aku ni?" soal Arini sambil memandang Etasya dari atas sampai ke bawah. Dia sangkakan wanita itu cuma cakap kosong sekadar untuk mengelak topik perbualan sahaja petang tadi.

"Aku dah bersiap macam ni, boleh lagi kau tanya soalan macam tu? Dah, jomlah. Aku lapar ni. Gerai roti john Abang Ash tu masih beroperasi lagi ke?" Lengan Arini dipaut, lalu mereka jalan beriringan menuju ke pintu utama.

"Masih, cuma dia dah besarkan sikit gerai dia tu jadi warung. Bukan setakat roti john je, makanan bermasak dengan roti canai pun ada," jawab Arini.

"Aku nak makan roti john je. Selalu aku teringat roti john Abang Ash tu masa aku kat Korea tau," balas Etasya sambil kedua-dua mereka menyarungkan kasut ke kaki masing-masing.

"Teringat kat roti john ke, teringat kat Abang Ashraf?" Arini menjongketkan keningnya sambil mengemam bibir menahan senyum, lalu dia terus berdiri menuju ke pintu keretanya di bahagian pemandu setelah dia selesai memakai kasut.

"Dua-dua sekali," jawab Etasya sambil ketawa. "Dia masih single ke?" soalnya dengan nada yang kedengaran seperti sedang bergurau.

"Dah agak dah!" Arini turut ketawa. "Tak pastilah pula dia masih single ke tak, tapi beberapa kali aku singgah kat warung dia, aku selalu nampak dia borak semeja dengan seorang perempuan ni. Orang yang sama setiap kali aku pergi situ. Awek dia kot. Tak pun, tunang dia. Takkan aku nak pergi tanya pula, kan?"

Etasya menggigit bibir dan mengerutkan dahinya memandang Arini yang sudah pun masuk ke dalam kereta.

"Kenapa kau terpacak kat luar lagi tu? Masuklah cepat! Nak singgah kat warung lagi, kan? Nanti bos aku bebel kalau aku lambat sampai ke tempat kerja," kata Airini, lalu dia menutup semula cermin tingkap kereta yang dia turunkan separuh tadi. Kelam kabut Etasya masuk ke dalam kereta.

"Kau dah kenapa tiba-tiba moody ni? PMS eh?" tukas Arini sambil menoleh buat beberapa saat sebelum dia fokus semula dengan pemanduannya.

"Hmmm... Kau rasa, Abang Ash cam aku lagi tak?"

"Manalah aku tahu. Kalau bagi aku, 50 peratuslah perubahan wajah kau sekarang ni, tapi masih boleh cam. Itu bagi akulah, kalau orang lain aku tak tahu. Kita tengok kejap lagi Abang Ash cam kau atau tak," jawab Arini. Bukannya dia tidak tahu Etasya dan Ashraf agak rapat sebelum ini, cuma belum sampai ke tahap bercinta, kerana masing-masing jual mahal.

**

"Bang, macam biasa bang," pesan Arini, lalu dia menarik kerusi dan terus duduk di bahagian kaki lima warung tersebut diikuti oleh Etasya.

Seorang lelaki yang sedang duduk bersembang dengan seorang wanita di meja selang dua buah dari mereka segera berdiri menuju ke tempat dua orang wanita itu.

"Malam ni tak kerja ke, Rini? Selalunya Rini take away je," ujar lelaki bertopi yang berpenampilan santai itu sambil tersenyum. Pandangannya kemudian beralih ke wajah wanita di sebelah Arini. "Kawan Rini tak nak order ke?" soalnya sambil melakar senyuman mesra.

"Kerja, bang. Rini singgah sekejap je ni," jawab Arini sambil menyiku lengan Etasya. "Orderlah! Tadi cakap, lapar."

"Errr... Roti john dua. Satu makan sini, satu take away. Minuman nak teh special," pesan Etasya sambil berusaha sedaya upaya untuk kelihatan tenang di depan lelaki yang sedang tersenyum merenungnya.

Serta merta hilang senyuman di bibir lelaki itu. Dahinya berkerut. Arini berdeham selepas dia melihat perubahan riak wajah lelaki itu.

"Bang, abang dengar tak tu?" soal Arini sambil menggerakkan tapak tangannya ke kiri dan ke kanan di depan muka lelaki itu.

"Dengar." Sepatah jawapan yang terpacul dari mulut lelaki itu dengan pandangan mata yang tidak berkedip memandang Etasya. "Kejap eh," ujarnya selepas beberapa saat, lalu dia terus menuju ke kaunter dan bercakap-cakap dengan pekerjanya sebelum dia kembali ke mejanya tadi. "Rini tunggu sekejap eh," kata Ashraf sebelum dia duduk dan menyambung sesi perbualannya dengan wanita cantik yang setia menunggunya sejak tadi.

"Cantik kan perempuan tu. Tengok cara diorang bersembang pun macam rapat je. Tunang dia kot," teka Etasya sambil melirik sekilas wanita yang dimaksudkannya.

"Kejap lagi sebelum kita gerak, aku tanya Abang Ash."

Etasya melepaskan keluhan kecil sambil menekur permukaan meja. Ada satu perasaan yang mengganggunya.

"Kau kecewa eh?" teka Arini.

"Kalau betul Abang Ash ada hubungan dengan perempuan tu, aku kecewalah juga," jawab Etasya terus terang. Sejujurnya, dia ada menyimpan perasaan terhadap lelaki itu sejak mereka mula rapat dulu, tapi dia yakin dia hanya bertepuk sebelah tangan. Lagipun, sudah lama mereka tidak bersua muka dan berhubung, jadi dia fikir, mana mungkin lelaki itu pedulikan tentang dia.

Tidak sampai 15 minit pun Arini menghabiskan roti john special dan teh suam yang dipesannya tadi. "Dah, jom!" Keningnya dijongketkan buat sesaat sambil mengesat bibirnya menggunakan tisu, lalu dia mengeluarkan dompetnya dari beg silangnya.

"Takpe, biar aku yang bayar," tawar Etasya lalu dia mengeluarkan sekeping wang kertas 50 ringgit. "Nah."

"Okey, aku pergi bayar sekejap," kata Arini, lalu dia terus berdiri menuju ke kaunter pembayaran diperhatikan oleh Etasya.

"Zee."

Spontan Etasya menoleh. Matanya serta merta membulat selepas dia melihat pemilik suara yang memanggilnya tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience