“Amboi-amboi, Comel Manja pegang lengan Radzi. Mimpi apa semalam?” Itu suara Hairul Rizal, rakan sekelas yang gemar mengusik. Entah kenapa, sejak Tingkatan Satu lagi dia menggelarkan aku Comel Manja. Ada juga guru-guru yang terikut-ikut dengan gelaran itu. Aku tidak marah. Faham bahawa Hairul Rizal ini, memang suka bergurau. Mana-mana kelas yang didudukinya, memang sentiasa meriah dengan gelak ketawa. Dia seorang pencetus.
“Comel Manja nak terjatuh tadi. Tersandung besi tu…” Radzi yang menjawab, menunjukkan besi yang separa tertanam di tanah.
“Lagipun, setakat terpegang lengan, apa salahnya?” Dia menyambung. Aku tersenyum. Malu sebenarnya.
“Bukannya kita orang pegang tangan macam ni..” Serentak ayat itu, tanganku disambar. Jari-jemarinya dibiarkan bertaut dengan jari-jemarinya. Tanganku yang kecil, kemas dalam genggamannya. Entah kenapa, aku terasa selamat. Hampir tersembul mata Hairul Rizal melihat perbuatannya.
“Aku nak cakap pada semua oranglah…” Ugutan Hairul Rizal membuatkan aku cemas. Radzi tenang sahaja. Dia melepaskan tangan aku. Kini tangan kirinya memegang kedua-dua tangan Hairul Rizal dan tangan kanan memukul punggung rakan sekelas yang lebih rendah. Aku hanya ketawa melihat kelakuan mereka. Radzi nampak seperti seorang abang, bisikku dalam hati.
“Pergilah beritahu semua orang. Aku lagi suka.” Terkulat-kulat Hairul Rizal jadinya.
Di dalam khemah kecil, dia memberikan sesuatu untuk aku. Hadiah kecil itu aku belek. Rantai kunci. Bahagian atasnya diperbuat dari kaca. Bukan kaca biasa kerana ada gambar yang tertanam di dalamnya. Gambar kami berdua, yang berkemungkinan besar, dirakam tanpa aku sedari. Aku tidak memandang kamera pun. Cuma Radzi yang tersenyum. Membelek gambar itu, aku mula tahu kenapa dia memilih untuk menjadikan gambar ini sebagai hiasan rantai kunci. Posisi aku dalam gambar itu, membuat ia kelihatan seolah-olah aku sedang bersandar di bahunya.
“Thank you, Radzi. Cantik key chain ni.” Aku meletakkannya di dalam poket jubah. Bimbang tercicir.
“Aina, kita ambil gambar, boleh?” Aku mengangguk. Sepanjang musim peperiksaan, semua pelajar SPM dibenarkan membawa talipon bimbit. Boleh dikatakan, 99 % memiliki talipon bimbit. Mungkin 70% daripada jumlah itu, memiliki smartphone. Aku, antara 1% yang tidak membawa kerana aku malu.
Handphone aku jenis Nokia model lama. Tiada applikasi untuk Whatsapp dan sebagainya. Selepas ini aku akan cuba meminta Walid membelikan jenis yang murah seperti Oppo atau Lenovo. Kalau aku meminta Samsung Note atau IPhone, sahih tidak dapat.
Dia mengeluarkan IPhone dari poket jubah dan berselfie. Kami sama-sama membelek. Nampak pelik. Tiada kemesraan. Aku mula terfikir, gambar ini nanti akan aku upload dalam FB, khas untuk Syed Zain. Aku akan buktikan, aku tidak akan mati kelayuan tanpanya. Hati ini masih curiga. Kalaulah benar dia menganggap aku seperti adik atau kawan biasa, dia takkan keberatan memberitahu aku tentang dia bakal mendirikan rumahtangga.
Untuk apa dia menyembunyikan maklumat itu? Tadi aku sempat membuka FB aku, menggunakan handphone milik rakan bernama Ibtisam. Ada post terkini darinya. Menyebut tentang aku pasti lega kerana SPM sudah berakhir. Dia juga menasihatkan tidak terlalu leka dengan aktiviti bersama rakan-rakan sehingga lupa, cuti ini hanya sementara. Sepatahpun tidak dia menyebut tentang sudah bergelar suami. Apa motifnya?
“Ambil lagi satu..” Aku mancadangkan. Kali ini aku duduk dekat dengannya. Bahu bersentuh bahu. Dia menekan butang snap dan kami membelek.
“I know…” Dia menyebut. Tangan kanannya melingkari bahu kanan aku dan dia memegang handphone dengan tangan kiri. Aku menyeringai. Dia juga. Dan kali ini, kami sama-sama ketawa gembira. Gambar itu cantik dan nampak asli. Ada sinar di mata kami dan ada kegembiraan yang hangat.
“Barulah betul..” Aku berpuashati.
“Nanti bagi Aina gambar ni ya? Aina minta Walid beli handphone baru untuk Aina, yang boleh hantar Whatsapp. Nanti kita boleh keep in touch.”
“Kenapa semua ni tak berlaku lebih awal?” Radzi seperti kesal.
“Sekaranglah masa yang sesuai. Kalau orang nak gossip pasal kita pun, esok kita dah balik rumah masing-masing. Gossip tu tak ke mana.” Dia mengangguk, mendengar penjelasanku. Macam-macam yang kami bualkan. Tentang diri masing-masing. Maklumlah sebelum ini, aku jual mahal. Kami bercerita tentang halatuju dan pelbagai topik.
“Aina nampak cantik sangat malam ni..” Dia menyebut, setelah diam seketika. “Patutlah dari dulu lagi Hairul Rizal panggil Aina, Comel Manja.”
“Aina tak manjalah…” Cuba menafikan.
“Kalau manjapun, apa salahnya. Itu memang sifat orang perempuan. Asal jangan keterlaluan, cukup. Saya suka orang manja. Lebih-lebih lagi, orang macam Aina.”
Aku tersenyum walaupun hati terasa pilu. Barang yang aku kejar tak dapat. Barang yang aku kendong habis berciciran. Mujurlah yang satu ini tidak tercicir sama.
“Tengok tu…Nampak sedih lagi sekali..” Dia handal membaca perasaan dari mimik muka. “Kenapa ni?”
Aku menggeleng. Belum bersedia untuk bercerita, bahawa selama ini aku tertipu. Benarkah ayat aku? Selama ini Syed Zain tidak pernahpun berjanji yang muluk-muluk. Aku tersalah tafsir kebaikannya. Aku hanya kawan. Tidak lebih dari seorang kawan. Ada satu cara untuk memastikan.
“Boleh tak Aina nak pinjam handphone Radzi? Aina nak upload gambar tadi.”
Share this novel