Hey! 1 : Pulang

Romance Series 266596

JARINYA mengetuk-ketuk di stereng kereta mengikut rentak irama yang sedang berkumandang di corong radio. Mulutnya terkumat-kamit mengikut rentak lagu nyanyian dengan memakai cermin mata hitam berjenama rayban di matanya. Dirinya mengimbau kembali beberapa hari lepas, waktu ayahnya menghubunginya untuk meminta dirinya pulang ke tempat yang sudah lama tidak dijejakinya.

Buzzzz.....

"Hello, Assalamualaikum abah," sapa si penerima apabila telefonnya berdering tadi.

"Waalaikumusalam. Anak abah apa khabar? Sihat?" soal si pemanggil apabila panggilannya di angkat.

"Alhamdulillah abah, Afaf kat sini sihat walafiat. Abah pula macam mana kat sana? Sihat? Mama sihat?" soal Afaf semula kepada Encik Ihsan.

"Alhamdulillah, kami berdua di sini sihat."

"Abah kat sana macam mana? Cuaca sana okey tak, abah?"

"Alhamdulillah, abah dan mama dekat sini seronok sangat. Seronok dapat mengerjakan ibadah di sini tapi..."

"Tapi apa, abah?" Wajah Afaf mula berkerut. Risau akan keadaan orang tuanya di tanah suci Mekkah.

"Lagi seronok kalau Afaf ada sekali." Afaf tergamam. Memang bapa dan ibu tirinya ada mengajaknya sekali untuk turut serta mengerjakan rukun islam yang kelima itu. Namun dia telah menolak dengan baik. Bukan dirinya tidak sudi menjejakkan kaki di Kota Mekkah itu namun dirinya masih belum bersedia lagi.

"Belum sampai seru lagi, abah," balas Afaf perlahan. Terdengar keluhan di hujung corong telefon.

"Umur kamu dah 25, Afaf. Apa yang tak sampai serunya?" soal Encik Ihsan sedikit kecewa. Afaf diam seketika kerana berasa serba salah.

"Bah, Afaf belum bersedia lagi. Bagi Afaf masa. Bila Afaf dah betul-betul bersedia, Afaf janji dengan abah dan mama, kita pergi sama-sama sekali lagi," pujuk Afaf.

"Hmm... Yelah."

"Abah, doakan Afaf ye," pinta Afaf.

"Abah selalu doakan satu-satunya anak abah ni. Siapa lagi nak doakan kamu kalau bukan abah." Afaf tersenyum mendengar kata-kata Encik Ihsan.

"Abah doakan Afaf diberikan kesihatan dan rezeki yang melimpah ruah."

"Amin." Afaf mengaminkan doa bapanya itu.

"Dan paling penting abah doakan kamu supaya dapat jodoh yang baik dan yang boleh membimbing kamu." Terbeliak mata Afaf mendengar doa bapanya yang seterusnya itu.

"Apa ni abah? Ke situ pula." Afaf sudah memuncungkan bibirnya. Nada rajuk diberikan.

"Apa pula kamu ni? Kan bagus abah doakan kamu macam tu. Kamu tak nak kahwin ke?" soal Encik Ihsan.

"Mestilah nak tapi bukan sekarang. Afaf kan masih muda lagi."

"Muda apanya, Afaf? Dunia sekarang pejam celik pejam celik, cepat je masa berlalu. Abah nak tengok cucu abah sebelum abah tutup mata."

"Apa ni cakap macam ni? Afaf tak sukalah," rajuknya apabila mendengar kata-kata Encik Ihsan tadi.

"Abah cuma ingatkan kamu je. Lagipun abah risaukan kamu tu. Kamu dahlah satu-satunya anak yang abah ada. Jadi abah nak tengok kamu berumah tangga. Lagi kamu tu perempuan, abah ni risaukan kamu. Macam-macam boleh berlaku dengan kamu tu."

"Insya-Allah, abah. Abah jangan risau ye. Pandailah Afaf jaga diri Afaf. Bukan diri Afaf je tapi syarikat abah pun Afaf boleh jaga dah sekarang. Abah jangan risau ye. Pasal jodoh tu, kalau ada, adalah. Kalau tak ada abah carikanlah jodoh yang terbaik untuk Afaf."

"Kamu ni apa abah cakap ada je nak dijawabnya. Nak abah carikan jodoh, boleh. Boleh sangat. Nanti abah bawa balik pak arab untuk Nur Afaf Adlina ni." Melekek Afaf mendengar gurauan bapanya itu.

"Saudagar minyak ye, bah." Gurauan antara dua beranak itu akhirnya mencetuskan tawa antara mereka berdua.

"Haih, Afaf Afaf. Kamu ni kan...." ujar Encik Ihsan masih bersisa tawanya.

"Ah, sebelum abah lupa, sebenarnya abah call kamu ni nak suruh kamu balik kampung." Encik Ihsan menjedakan sebentar ayatnya.

"Lusakan hari jadi atuk kamu. Jadi kamu wakilkan abah untuk ke sana, ya?" pinta Encik Ihsan menyebabkan tawa yang mengukir bibir Afaf mati serta merta.

"Kenapa pula Afaf nak pergi ke sana?" soal Afaf kedengaran tidak gemar. Dia tidak suka untuk pulang ke kampung tempat kelahirannya dan ibubapanya.

"Pergilah. Lagipun bukan orang lain pun, datuk kamu juga. Lagipun dah lama sangat kamu tak balik sana. Boleh juga kamu melawat kubur ibu. Kamu tak rindu pada ibu ke?" Afaf terdiam.
Hampir 10 tahun Afaf tidak menjejakkan kakinya di kampung itu. Selepas dia dan bapanya keluar dari kampung itu selepas kematian ibu kandung yang dicintai, hatinya sudah tawar untuk pulang ke situ lagi. Pada awal lima tahun selepas dirinya dan Encik Ihsan berhijrah ke bandar, dia sentiasa mengikut pulang bersama Encik Ihsan. Namun setelah dirinya menginjak dewasa, dirinya sudah tidak ikut pulang ke kampung itu. Hanya Encik Ihsan yang sentiasa pulang ke kampung halamannya itu.

"Bah, tak semestinya kita rindu kita perlu tengok kubur. Kalau kita rindu kita sedekah al-fatiha kepada arwah itu sudah mencukupi, abah," cantas Afaf.

"Lagipun tiap tahun abah balik sana, sambut birthday la apa semua tu. Pernah dia hargai abah? Tak pernah, abah. Dah tua-tua nak sambut birthday nak buat apa lagi. Afaf yang masih muda pun tak ada fikir nak sambut birthday semua ni," bebel Afaf tidak puas hati dengan bapanya.

"Biarlah orang buat apa pun dengan kita tapi jangan kita buat balik pada mereka semua. Itukan pesan ibu. Takkan Afaf dah lupakan pesan ibu tu." Afaf diamkan dirinya apabila mendengar Encik Ihsan berkata begitu.

"Tolong ya. Sekali ni je. Lagipun masa nilah kamu boleh beramah-mesra dengan sepupu kamu yang dah lama tak jumpa tu."

'Nak buat apa jumpa dia orang. Buat sakit hati je,' desisnya di dalam hati.

"Lagipun hubungan kekeluarga tak baik kita putuskan tak kiralah betapa buruk dan teruknya mereka itu. Balik ya, nak," pujuk Encik Ihsan lagi. Dirinya tahu anaknya itu tidak suka tinggal di kampung kerana pelbagai kenangan pahit yang sudah dilalui oleh mereka berdua. Sebab itu juga setelah umur Afaf menginjak 15 tahun, Afaf sudah tidak mengikutinya lagi untuk pulang ke kampung dengan memberi pelbagai alasan.

"Boleh ya, Afaf. Sekali ni je. Lepas ni kalau kamu tak nak balik, abah dah tak nak paksa kamu dah," rayu Encik Ihsan lagi dengan nada lembut. Afaf tidak menjawab hanya helaan nafasnya sahaja kedengaran.

"Kamu tak rindukan suasana sana ke? Tempat kamu dilahirkan dan membesar. Kamu tak rindu semua tu?"

Rindu. Ya dirinya rindu dengan suasana kampung yang damai. Tidak seperti hiruk-pikuk di bandar yang menyeksakan dada dan kepala.

"Lagipun hari jadi atuk kamu tu jatuh pada hari raya haji jadi tak adalah kamu beraya seorang kat KL tu."

"Siapa kata Afaf sambut seorang diri? Ada Abang Razak dan family dia. Afaf boleh sambut dengan Abang Razak. Tak pun sambut dengan kawan-kawan Afaf," ujar Afaf memberikan alasannya.

"Abang Razak kamu mesti nak balik ke kampung isteri dia di kelantan. Kamu tahukan sambutan raya haji di kelantan meriah. Mestilah dia tak nak ketinggalan moment tu. Kawan-kawan kamu pun mesti nak balik kampung mereka. Jadi takkan kamu nak beraya seorang pula."

"Tak apalah raya seorang," cantas Afaf.

"Afaf... Tak elok macam ni. Hari raya perlu di sambut dengan ahli keluarga kita. Dah kebetulan hari jadi atuk kamu jatuh pada hari raya haji. Jadi tak salahkan kamu meraikan bersama mereka," Encik Ihsan tidak putus asa memujuk anaknya itu. Tiada balasan daripada anaknya membuatkan Encik Ihsan perlu menggunakan cara terakhir dan dirinya berharap cara itu berkesan.

"Sudahlah kalau macam tu. Abah tahu abah pujuk kamu macam mana pun, kamu tetap dengan pendirian kamu takkan balik ke sana lagi." Encik Ihsan menjedakan ayatnya. Afaf pula sudah tergamam mendengar kata-kata bapanya itu.

"Dahlah abah ajak buat haji tak nak. Kalau tak boleh sambut raya sekali kat sini. Sekarang ni abah pula rasa serba salah sebab tinggalkan satu-satunya anak abah sambut raya seorang diri." Ada nada rajuk yang diberikan oleh Encik Ihsan itu.

"Abah... Janganlah cakap macam ni. Sekarang ni Afaf yang rasa serba salah." Afaf cuba memujuk Encik Ihsan pula. Encik Ihsan mengukirkan senyuman. Nampaknya umpannya menggena.

"Jadi, Afaf balik ke kampung ya?" Afaf mendecit sambil menguak rambutnya yang mengurai ke belakang.

"...DAN akhirnya aku balik semula ke sini," monolognya seorang diri sambil memandu keretanya.

"Ish, mana ni rumah atuk ni? Aku rasa jalan ni dah betullah ni. Waze pun kata jalan ni tapi dah berkali-kali aku pusing tak jumpa pun...Ish..." gumamnya lagi sambil matanya memandang kiri dan kanan jalan mencari arah ke rumah Datuknya. Sekian lama dirinya tidak menjejakkan kaki ke kampung itu, sudah banyak perubahan yang berlaku. Dirinya juga tidak dapat mengecam kawasan yang dilaluinya. Kerana sudah putus asa, akhirnya dirinya mengambil keputusan untuk bertanya dengan orang kampung. Sedang dirinya memandu keretanya, dari jauh dapat dilihat kempulan asap yang menerjah hingga ke tengah jalan. Kempulan asap itu hasil daripada sebuah gerai yang sedang membakar lemang. Afaf terus memberhentikan keretanya di tepi jalan bersebelahan dengan gerai tersebut. Lalu dia terus turun dari keretanya. Terlihat beberapa orang lelaki sedang membakar lemang dan seorang wanita separuh abad sedang duduk di meja sambil menganyam ketupat.

"Ough, ough, ough..." terbatuk-batuk Afaf terkena tempias asap yang sedang berterbangan bebas di udara. Mengipas-ngipas tangannya agar asap itu jauh dari dirinya.

"Assalamualaikum," laung Afaf kepada peniaga lemang itu.

"Waalaikumusalam, ya dik. Nak beli lemang ke?"

"Tak. Saya nak tanya jalan ni." Terus terang Afaf tanpa berbasa-basi.

"Boleh. Tanya apa tu?"

"Saya nak tanya, arah rumah Tuan Haji Yaaqub di mana?"

"Oh...Tuan Haji Yaaqub." Afaf mengangguk mengiakan. Lelaki yang berumur sekitar 40-an itu terus keluar dari dalam kedainya sambil membuka sarung tangan yang dipakainya tadi.

"Okey, adik terus je dari sini. Nanti adik akan nampak satu batu besar. Depan sikit batu tu ada jambatan. Sebelum jambatan tu adik masuk simpang ke kiri. Lepas tu adik jalan terus sampailah adik jumpa pintu gerbang besar. Hah! Dah sampailah tu rumah Haji. Adik masuk je pintu gerbang tu depan sikit rumah dia,"jelas lelaki tadi. Afaf mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

"Terima kasih, pak cik," ucap Afaf hormat.

"Ya sama-sama." Afaf berura-ura ingin berlalu pergi dari situ.

"Haaa.. Nanti dik!" Tahan lelaki itu. Afaf memberhentikan langkahnya sambil memalingkan semula tubuhnya. Cermin mata hitamnya diturunkan sedikit dan keningnya diangkat.

"Adik ni siapa? Pak cik tak pernah nampak pun," soal lelaki itu sambil menilik seluruh tubuh Afaf yang memakai pakaian agak menjolok mata.

"I'm..."

"Nobody," jawabnya ringkas lalu terus meloloskan dirinya ke dalam kereta. Terus berderu bunyi enjin keretanya lalu diluncurkan ke jalan. Lelaki tadi hanya menggelengkan kepala.

"Siapa tu, bang?" tanya seseorang yang baru muncul sambil membawa beberapa batang lemang di dalam baldi untuk dibakarnya.

"Tak tahulah, Jaz. Abang tanya dia tak jawab pun. Tapi rasanya bukan budak sini tu. Kau tengok jelah pakaiannya. Terdedah sana terdedah sini."

"Tulah dapat juga kita cuci mata," celah salah seorang lelaki yang sedang membakar lemang.

Tuk!

"Aduh! Sakitlah, Eijaz." Meringgis kesakitan lelaki itu sambil mengosok kepalanya yang diketuk dengan batang lemang itu.

"Kau chot... Suka ye pandang benda macam tu."

"Dah dia tayang so kita tengoklah. Ada mata tengok, ada telinga dengar, ada mulut cakap. Rugi kalau tak tengok benda free show macam tu."

"Orang tutup mata bila terpandang benda macam tu bukan lagi menikmati. Sebab tu mata kau rosak sebab tengok benda macam tu."

"Mana ada mata aku rosak? Elok je aku tengok, tak payah pakai cermin mata pun," bidas Chot.

"Dahlah malas aku nak layan kau. Nah, kau bakar ni semua. Aku nak pergi ke ladang. Nak tengok lembu-lembu Haji yang nak buat korban esok. Ada esok lembu tak korban tapi aku korbankan kau pula," gurau Eijaz sambil menghulurkan baldi yang terisi batang lemang kepada Chot.

"Eleh, kau ingat kau berani korban aku ke? Puih lah." Eijaz tidak membalas. Malas mahu melayan budak yang bernama Chot itu. Eijaz terus ke motornya lalu dihidupkan motor itu. Lalu terus dia memencut laju meninggalkan gerai itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience