AKHIRNYA Nadia keluar dari kereta kerana berasa kasihan melihat Ain Azreen sendirian menghadap dua orang lelaki di belakang keretanya.
"Errr, encik, saya minta maaf. Saya tak sengaja berhenti mengejut macam tu tadi. Ada kucing melintas, jadi saya pun..."
"Jadi, apa awak nak buat sekarang?" pintas lelaki berjambang itu dengan muka serius.
Nadia mengeluh panjang sambil memandang bonet belakang keretanya yang kemek. Belum sampai setahun pun dia menggunakan kereta itu.
"Encik, driver encik tadi tu follow rapat sangat. Kawan saya bawa tadi pun 80 kilometer per jam je. Kalau tak puas hati juga, saya call polis sekarang, kita runding kat balai," sampuk Ain Azreen cuba membela rakannya.
Lelaki itu melempar renungan tajam tepat ke sepasang anak mata berwarna biru cair milik Ain Azreen. Bukan contact lens, tetapi itulah warna semulajadi matanya melengkapi pakej wajah seorang wanita kacukan dan wajah kacukan itulah yang sering membuatkan ramai lelaki cuba mendekatinya.
"I didn't ask you! Lagipun, bukan awak yang drive tadi, kan? So, don't interrupt while people are talking," balas lelaki itu dengan riak wajah dingin sedingin aisberg di Antartika.
Ceh! Poyo nak mampus! kutuk Ain Azreen dalam hati sambil mengetap gigi dan menayang muka tidak puas hati.
"Encik, kalau encik nak saya bayar, saya memang tak mampu. Insurans saya pun belum tentu lagi mampu nak cover kerosakan kereta encik tu, tapi sepatutnya, encik yang kena bayar kerosakan kereta saya tu tau." Nadia cuba membuat rundingan.
"Darwish, ambil nombor telefon diorang dua ni," arah lelaki berjambang itu lalu dia terus berpaling dan masuk semula ke dalam keretanya. Terpinga-pinga dua orang wanita itu dibuatnya.
"Darwish, ambil nombor telefon diorang dua ni." Ain Azreen mengajuk kata-kata lelaki itu tadi sambil membuat mimik wajah menjengkelkan. "Hisy! Menyampah aku dengan lelaki poyo tu tadi. Ingat dia kaya, dia boleh buli kita ke? Geram je aku nak bagi penyepak kat muka dia tadi tu!" luahnya sambil menumbuk tapak tangannya sendiri.
Nadia ketawa kecil melihat riak wajah tidak puas hati rakannya itu. "Tapi kan, kalau dia bawa juga kes ni naik mahkamah, mana duit kita nak bayar peguam? Aduh! Ni semua salah kucing tadi!"
"Habis tu, kalau dia suruh bayar juga kerosakan kereta dia tu, macam mana? Dahlah kereta mahal. Entah-entah, kemek macam tu je tadi pun kos beribu ringgit. Ni semua salah aku. Kalau bukan sebab kita keluar nak pergi beli ubat aku, tak adalah jadi kemalangan tadi," balas Ain Azreen disusuli dengan keluhan.
"Hisy, kau ni! Benda dah memang nak jadi, kan? Kita tunggu jelah. Dia dah ambil nombor telefon kita tadi, kan? Hmmm... terpaksalah aku pinjam duit dengan abang aku nak bayar kos ketuk bonet aku yang kemek tu," ujar Nadia lalu menyalakan lampu isyarat ke kanan menuju ke blok bangunan farmasi.
Air dari pancuran, mencurah-curah jatuh di atas tubuh langsingnya. Bahagian dada kirinya disentuh dan diramas lembut.
Setiap kali dia mandi, persoalan yang sama pasti akan muncul di benak fikirannya. Tatu lukisan bunga ros sebesar penumbuk itu sering menjadi tanda tanya.
Dia tahu dia hilang ingatan tentang masa lalunya, tetapi yang dia pasti, kad pengenalan yang dijumpai bersamanya ketika dia kemalangan dulu menunjukkan dia seorang muslim.
Teruk sangatkah sosialnya sebelum ini sehingga dia boleh mencacah tatu pada kulit tubuhnya?
Ain Azreen mencengkam rambutnya yang basah lalu dia menyandarkan tubuhnya pada dinding bilik air dengan air pancuran yang dibiarkan terpasang menyirami tubuhnya.
Siapa aku dulu? Macam mana aku boleh kemalangan? Di mana keluarga aku yang sebenar? Persoalan-persoalan itulah yang sering mengganggu fikirannya setiap hari.
Keluarga angkatnya sendiri tidak tahu apa-apa mengenai latar belakangnya. Nadia dan Azyan teman serumahnya sekarang pula, baru sahaja dia kenal sejak tiga tahun lepas. Mana mungkin mereka tahu tentang dirinya dulu. Dia tiada tempat untuk bertanya.
Selama empat tahun sejak dia sedar daripada koma selepas kemalangan dulu, dia ibarat bayi baru lahir yang tidak tahu apa-apa. Dia tidak dapat mencari pekerjaan yang standard, kerana apa taraf pendidikannya dulu pun dia tidak tahu. Hanya penjaga kaunter tiket dan kerja pelayan kedai makan sahajalah yang silih berganti menjadi pekerjaannya selama tiga tahun ini.
Kedua-dua belah pipinya disentuh. Wajahnya yang lebih ke arah wajah orang barat juga menjadi persoalan. Entah ayahnya atau ibunya yang bukan orang tempatan. Passport dan kad pengenalan yang ditemui bersamanya dulu menunjukkan dia baru tiba dari New York. Apa dia buat di situ? Adakah keluarganya berada di situ?
Bunyi ketukan pintu membuatkan dia tersentak daripada lamunan.
"Ain! Kau lama lagi ke? Kakak kau call ni," laung Nadia dari luar pintu.
"Kejap, kejap," balas Ain Azreen lalu dia cepat-cepat mematikan air dan meraih kain tualanya yang bersangkut.
Dia biasanya akan terus memakai baju di dalam bilik air juga kerana tidak mahu rakan serumahnya nampak akan kewujudan tatunya. Apa pula kata mereka nanti.
Suasana kelab malam yang membingitkan itu, sudah lali di telinganya sejak tiga tahun lepas lagi. Pekerjaan pada waktu siangnya sering bertukar, tetapi pekerjaan pada waktu malamnya itu, kekal sampai sekarang.
Kalau bukan kerana kakaknya berhutang dengan pemilik kelab malam itu, mungkin dia tidak akan bekerja di situ menggantikan tempatnya. Kakaknya dulu bekerja sebagai penghidang air, sama seperti pekerjaannya sekarang, tetapi kerana penderaan yang dilakukan oleh bekas suami terhadap wanita itu, kakaknya menjadi lumpuh seumur hidup.
Dia sanggup menggantikan tempat kakaknya, kerana kakaknya berhutang dulu pun untuk menampung kos bayaran rawatannya ketika dia koma selama satu bulan di hospital empat tahun lepas. Hanya itu yang mampu dia lakukan untuk membalas jasa wanita yang tiada pertalian darah langsung dengannya itu.
"Ain!"
Ain Azreen menoleh selepas mendengar namanya dipanggil. Wanita berusia penghujung 30-an tahun berambut perang yang sedang mengunyah gula-gula getah sudah terpacak di sebelahnya sambil memegang dulang berisi sebotol minuman berwarna kekuningan, gelas kaca serta snek.
"Ya, Miss Kat?"
"Pergi hantar minuman ni ke bilik VIP nombor 3," arahnya.
"Baik, miss," balas Ain Azreen lalu menuju ke bilik yang dimaksudkan.
Matanya terbeliak melihat dua orang pelanggan yang berada di dalam bilik itu sebaik sahaja dia menolak pintu. Dia kaku di muka pintu dengan muka terkejut, begitu juga dengan dua orang pelanggan tersebut.
"Kenapa terpacak kat situ? Serve my drink," kata lelaki itu dengan muka serius menyembunyikan riak terkejutnya tadi.
Cepat-cepat Ain Azreen masuk dan berlagak tenang, lalu dia meletakkan isi dulang tadi ke atas meja. Setelah selesai, dia meminta diri dan segera melangkah menuju ke pintu.
"Hey, you."
Ain Azreen serta merta memberhentikan hayunan langkah kakinya. Aduh! Apa lagi dia nak ni... Takkan dia nak ungkit pasal petang tadi, getus hati Ain Azreen sambil menggigit bibir. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya dan memandang wajah lelaki yang sedang duduk menyilangkan kaki di atas sofa itu. Lelaki bersut hitam itu pula sedang berdiri tegak di hujung sofa.
"Ya, encik?"
"Duduk sini."
"Errr... maaf, encik. Saya bukan pelayan tetamu. Saya cuma penghidang air," jawab Ain Azreen dengan lagak tenang.
"Ada saya suruh awak layan saya? Saya suruh awak duduk je, kan?" balas lelaki itu dengan renungan serius sambil menuang air ke dalam gelas. Selama sebulan sejak dia kembali ke tanah air, ini baru kali pertama dia berkunjung di kelab malam.
Sebenarnya, sudah lama dia berhenti meminum minuman keras, tetapi pertemuan yang tidak disangka petang tadi membuatkan fikiran dan hatinya tidak tenteram. Tidak sangka pula dia akan bertemu semula dengan wanita itu dalam tempoh tidak sampai pun 24 jam.
Tetapi, siapa lelaki itu sebenarnya? Adakah dia mengenali Ain Azreen? Apa kaitan mereka sehingga wanita itu meninggalkan kesan terhadap dirinya selepas pertemuan petang tadi?
"Duduk!" arahnya lagi, tetapi dengan suara yang lebih keras berbanding tadi.
"Maaf, encik. Saya akan panggilkan pelayan kalau encik nak ada pelayan," balas Ain Azreen lalu berpaling semula menuju ke pintu.
"Argh!" Ain Azreen menjerit kecil kerana terkejut tangannya ditarik kasar dari belakang.
"Saya tak nak pelayan. Saya suruh awak duduk, kan? Awak tak perlu buat apa-apa pun. Awak duduk je diam-diam," ujar lelaki itu lalu menekan kuat kedua-dua bahu Ain Azreen sehingga dia terduduk.
Ain Azreen mengetap gigi sambil merenung wajah lelaki itu dengan muka tidak puas hati. "Saya kerja di sini bukan untuk duduk, encik. Banyak lagi kerja yang saya kena buat." Keras lontaran nada suaranya.
Lelaki itu menadah tangan ke arah Darwish. Cepat-cepat Darwish menyerahkan beg bersaiz buku latihan kepada majikannya.
"Saya tak suruh awak duduk percuma. Saya bayar," ujar lelaki itu lalu mengeluarkan beberapa keping duit kertas berwarna ungu dan meletakkannya di atas meja.
Ain Azreen memandang duit kertas di atas meja bersama dengan senyuman sinis yang terukir di bibirnya. Bukan baru sekali ini dia diberikan tawaran sedemikian. Semua lelaki, sama je!
"Sorry, saya tak boleh. Nanti saya akan panggilkan pelayan untuk encik," kata Ain Azreen masih bertegas dengan keputusannya lalu dia bingkas berdiri dan melangkah pantas keluar dari bilik itu meninggalkan lelaki itu terkebil-kebil memandangnya dari belakang.
Dia melepaskan keluhan lega sebaik sahaja dia berjaya keluar dari bilik itu. "Ceh! Duduk diam-diam konon. Lelaki macam dia tu, macamlah aku tak tahu dia nak apa," gumamnya lalu melangkah menuju ke dapur kelab malam tersebut. Cukuplah sekali dia pernah kena dulu. Pernah dulu ada pelanggan menyuruhnya duduk diam-diam sahaja, tetapi setelah pelanggan itu mabuk, mulalah meraba-raba sana sini.
"Kau bawa kereta ke pergi interview?" soal Azyan sambil memandang Ain Azreen yang baru duduk menyertai mereka di meja makan.
"Taklah. Menyusahkan je bawa kereta antik zaman Jepun tu. Baik aku naik Grab je," jawab Ain Azreen sambil menuang teh susu dari jag kecil ke dalam cawan.
"Nak naik Grab kenapa pula? Aku kan ada. Aku masih cuti lagi hari ni. Nanti aku hantar kau, okey?" tawar Nadia yang bekerja sebagai penyelia di sebuah pasaraya.
"Aku saja je tunggu kau offer macam tu. Nak minta sendiri, segan," balas Ain Azreen lalu ketawa.
"Eleh! Mengada-ngada je nak segan-segan kat aku. Macamlah baru kemarin kita kenal, kan? Sekeh kang! Kau nak?" Nadia menjegilkan mata memandang wajah Ain Azreen.
"Kalau aku pun, aku okey je kalau nak tumpang aku. Tapi kereta aku tak ada air cond. Nak kata kereta zaman Jepun tu taklah. Up sikit. Zaman perdana menteri kedua," kata Azyan selamba sambil menyapu jem ke atas roti.
Ain Azreen dan Nadia saling berpandangan, lalu ketawa kecil sambil menggeleng. Kalau dikirakan umur mereka, Ain Azreen dan Nadia sebaya, manakala Azyan pula, tua setahun daripada mereka dan bekerja di taman asuhan kanak-kanak.
Kepalanya didongakkan memandang bangunan 13 tingkat yang tersergam megah di depannya bersama dengan harapan yang setinggi gunung.
Walaupun cuma kerja sebagai tukang susun fail, pekerjaan itu teramatlah penting baginya.
"Selamat pagi, tumpang tanya. Di mana nak interview kerja file organizer ye?" soal Ain Azreen sopan kepada seorang wanita yang baru sahaja keluar dari sebuah bilik.
"Selamat pagi. Ermm... Sesi interview belum mula lagi, tapi... cik masuk je dalam bilik tu. Tu bilik bos. Bos sendiri yang akan interview," kata wanita itu sambil memandang Ain Azreen dari atas sampai ke bawah.
"Err... terima kasih," balas Ain Azreen sambil menunduk lalu menuju ke pintu bilik yang dimaksudkan oleh wanita tadi dan dia terus masuk setelah mendapat arahan dari dalam menyuruhnya masuk.
"Selamat pagi, tuan. Nama saya Ain Azreen dan saya datang untuk interview jawatan file organizer hari ni," ujar Ain Azreen sambil memandang sosok tubuh lelaki yang sedang berdiri menghadap pemandangan di luar jendela, membelakanginya.
Lelaki itu memusingkan tubuh dan memandang wajah Ain Azreen. Masing-masing terkejut, tetapi lelaki itu berusaha sedaya upaya untuk kelihatan tenang.
Alamak! Ain Azreen menelan liur sambil memandang wajah lelaki itu dengan pandangan mata yang tidak berkedip langsung.
Share this novel