Bab 7

Short Story Series 55831

Disepanjang perjalanan pulang ke asrama Areen dihantui oleh kata-kata Sheila yang mengganggu akal fikirannya sehingga Areen tidak mampu mengawal perasaan marahnya yang membuak-buak ketika itu. Sampai sahaja dia di bangunan asrama perempuan, Areen langsung menuju ke bilik asrama Rina, Jun dan Aqilah. Air matanya sudah menitis tidak dapat dibendung lagi. Hatinya begitu sakit saat ketika ini dan semuanya berpunca daripada berita buruk yang baru didengarinya. Di kejauhan, Areen sudah melihat Rina yang sedang mengangkat jemuran di ampaian depan bilik asrama gadis itu. Terbakar hatinya dengan api cemburu dan kedengkian. Syaitan mula membisikkan hasutan agar Areen melakukan sesuatu yang buruk terhadap Rina.

Areen berjalan dengan laju dan langsung saja menarik tangan Rina dengan kasar sehingga jatuh pakaian yang berada di dalam pelukan gadis itu. Rina yang tidak bersedia dengan keadaan itu terdorong ke belakang akibat ditarik dengan kuat oleh orang dibelakangnya. Mata Rina membulat ketika dia menoleh ke belakang wajah bengis Areen adalah gerangan yang hampir membuatkan dirinya terjatuh. Belum sempat Rina berkata-kata Areen dengan sengaja menolak tubuh kurus Rina dengan kuat sehingga tersandar gadis itu ke tembok dinding. Rina mengerang kecil apabila terasa belakang badannya sedikit sakit akibat tolakan yang kuat daripada Areen itu.

"Sampai hati kau buat aku macam ni, Rina!" Areen menengking Rina dengan kuat sehingga membuatkan Aqilah dan Jun yang berada di dalam bilik keluar begitu juga beberapa pelajar lain keluar dari bilik masing-masing untuk mengetahui suara teriakan yang nyaring kedengaran itu.

"Astaghfirullah, kenapa ni Areen?" Serta-merta kedua-dua tangan Rina memegang perutnya. Dia cuba memujuk Areen agar bertenang dan bercakap secara baik-baik tetapi kelihatannya gadis itu tidak mengendahkan pujukannya.

"Kenapa kau tanya? Depan aku, kau buat baik macam tak ada apa-apa yang berlaku tapi kau tikam aku dari belakang! Kawan jenis apa kau ni? Pakai purdah tapi perangai kau hipokrit!" Areen melempiaskan rasa marahnya yang membuak-buak apabila melihat wajah Rina yang menunjukkan ketenangan. Dia benci melihat wajah tenang itu yang mampu menakluk hati lelaki yang dicintainya.

Aqilah yang melihat semakin ramai pelajar lain yang berkumpul untuk melihat pergaduhan itu menarik Areen dan Rina masuk ke dalam bilik mereka dan menutup pintu dengan rapat. Dia tidak mahu Areen dan Rina malu mendapat malu disebabkan spekulasi yang dibuat oleh pelajar lain. Areen merentap tangannya dari pegangan Aqilah dengan kuat dan tangannya dicengkam kuat di bahu Rina yang masih terpinga-pinga.

"Kau cakap kat aku apa hubungan kau dengan Aqil?" Areen membentak lagi. Dia tidak peduli lagi jika suaranya didengari oleh orang diluar bilik Rina ketika itu.

"Astaghfirullahalazim, inikah punca awak mengamuk sedemikian rupa, Areen? Saya tak ada apa-apa hubungan dengan Aqil." Rina terkejut seraya melarikan pandangan matanya daripada memandang Areen yang seperti mahu menelannya hidup-hidup.

"Kau jangan bohong akulah, perempuan tak guna!" Areen menggoncang kuat badan Rina apabila Rina menafikan perasaannya terhadap Aqil. Jika benar Rina tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Aqil mengapa gadis itu tidak mahu menatap matanya? Rina seperti sedang menyembunyikan sesuatu daripada dirinya.

Jun menarik Rina segera dan Aqilah menarik Areen menjauhi satu sama lain apabila Areen seperti hilang kawalan mahu menyerang Rina yang di dalam keadaan tidak bersedia. Apakah Areen sudah gila? Hanya disebabkan lelaki mengapa harus sampai 'bertempur' seperti ini. Tapi benarkah kata-kata Areen? Aqil dan Rina mempunyai hubungan lebih daripada seorang senior dan junior kerana setahunya Aqil dan Rina memang jarang sekali berbual jika bukan urusan kelab mereka. Bahkan sahabat mereka itu tidak pernah sekalipun berbicara tentang Aqil dihadapan mereka.

"Demi Allah, buat apa saya ingin berbohong dengan awak? Awak boleh tanya dengan Aqil sendiri yang kami tidak pernah mempunyai hubungan lebih dari seorang sahabat." Rina mula berpeluh-peluh dingin kerana perutnya berasa sedikt sakit tiba-tiba selepas Areen menggoncang tubuhnya dengan sangat kuat. Dia berharap agar Allah melindungnya daripada kemarahan Areen.

"Habis tu kau nak cakap Aqil yang terhegeh-hegeh pada kau lah? Eh, kau sedar sikit asal usul diri kau. Kau tu perempuan kampung dan miskin yang tiada apa-apanya berbanding aku." Areen sudah mula menghina dengan mengingatkan asal usul Rina yang berasal daripada keluarga yang miskin tidak seperti dirinya anak orang berada dan bapanya juga mempunyai gelaran "Datuk" di depan namanya.

"Saya sedar diri Areen, siapa saya dan siapa awak tanpa perlu awak ingatkan saya. Tapi kita sama saja mahluk Allah. Allah tidak melihat harta yang merupakan daki dunia melainkan keimanan terhadap-Nya. Sudahlah, lebih baik jika awak keluar daripada bilik kami sebelum warden asrama datang. Saya tidak mahu memperpanjangkan urusan ini." Rina sedikit terasa hati dengan hinaan Areen itu. Wanita mengandung sepertinya itu memang sedikit sensitif dengan kata-kata seperti itu.

"Tak payah nak tunjuk pandailah, bodoh." Areen yang terasa seperti disindir oleh Rina walaupun gadis itu tidak bermaksudkan seperti itu bertindak menolak kuat tubuh Rina sehingga gadis itu jatuh terduduk sewaktu Jun dan Aqilah alpa seketika.

"Ya Allah!" Rina mengadu kesakitan yang teramat. Punggugnya terasa kebas, perutnya terasa sakit seperti disiat-siat kulitnya. Tolakan yang kuat itu membuatkan air mata Rina mengalir kerana sakit yang semakin menyengat pada perutnya.

"Apa kau dah gila ke Areen?" Aqilah berang dengan tindakan Areen yang menyakiti Rina. Dia juga menolak Areen dengan kuat tetapi tidaklah sampai gadis itu jatuh.

"Aqilah!!!" Jun menjerit tiba-tiba sehingga mengejutkan Aqilah dan Areen. Jari telunjuknya menunjuk ke arah darah yang mengalir disebalik bawah kain sarong yang dipakai oleh Rina.

"Rina, kenapa ni?" Aqilah segera mendekati Rina yang sudah mula menjerit kesakitan.

"Sakit, Ya Allah. Anak..." Rina tidak sempat menghabiskan ayatnya apabila matanya sudah berpinar-pinar. Dunianya semakin gelap dan akhirnya dia tidak sedarkan diri.

Areen yang terkejut dengan apa yang dilihatnya melarikan diri kerana ketakutan. Sewaktu dia keluar, pelajar lain sudah tidak berkumpul seperti tadi. Areen mempercepatkan langkah lariannya kerana dia tidak mahu terlibat dengan apa yang telah dia lakukan.

Aqilah dan Jun tidak menunggu lama untuk bertindak. Mereka terus menghubungi Syahiran untuk membawa sahabat mereka itu ke hospital. Sedaya upaya mereka cuba menyembunyikan keadaan Rina yang tidak sedarkan diri itu kerana tidak mahu perkara ini dibawa ke pihak universiti. Jun meminta Syahiran membawa masuk kereta sehingga ke belakang bangunan asrama perempuan. Mereka memastikan tiada siapa yang melihat kelakuan mereka itu sebelum masing-masing masuk ke dalam kereta dan memandu kereta itu laju menuju ke hospital yang berdekatan.

Hampir satu jam mereka menunggu Rina yang dirawat di dalam bilik kecemasan itu sebelum seorang doktor wanita yang merawat Rina mendekati Syahiran, Jun dan Aqilah yang menunggu di luar bilik wad. Mereka kelihatan pucat seperti tak berdarah. Tangan mereka masih belum dicuci daripada darah pekat Rina. Belum sempat doktor itu berkata apa-apa seorang lelaki bergegas berlari ke arah mereka dengan wajah yang cemas.

"Doktor, doktor yang merawat Rina?" Aqil bertanya sebaik saja dia berada di hadapan doktor wanita itu.

Aqilah dan Jun saling berpandangan. Siapa yang memberitahu lelaki itu bahawa Rina berada di hospital ketika ini?

“Aku yang beritahu dia Rina masuk ke hospital.” Syahiran mengaku apabila seperti dapat membaca fikiran kedua gadis di sebelahnya itu yang kelihatan gusar.

Aqilah dan Jun menjegilkan mata mendengar pengakuan Syahiran itu. Mengapa Syahiran memberitahu lelaki itu tentang keadaan Rina. Sepatutnya perkara ini tidak boleh diberitahu kepada sesiapapun memandangkan Aqil adalah merupakan ketua pelajar di universiti mereka. Dungu betul! Mereka menyumpah Syahiran di dalam hati.

"Antara kamu berdua, siapa suami Puan Rina?" Doktor wanita yang merawat Rina itu bertanya dengan mengalihkan pandangannya kepada Syahiran dan seorang lagi lelaki yang baru sampai itu. Pada pandangan doktor wanita itu kelihatannya seperti lelaki yang membawa Rina ke hospital itu adalah suami kepada Rina tetapi mengapa lelaki yang baru sampai itu pula yang sangat gelisah. Akhirnya doktor itu memutuskan untuk bertanya.

Mereka saling berpandangan. Jun dan Aqilah diam membisu tidak tahu ingin menjawab apa. Lambat-lambat Syahiran mengangkat tangannya sehingga membuatkan Aqil terkejut dengan pengakuan lelaki itu. Rina dan Syahiran sudah berkahwin? Bila? Mengapa dia tidak mengetahui perkara itu sedangkan Syahiran merupakan kawan yang rapat dengan dirinya?

"Saya..." Syahiran jawab sedikit gementar.

"Encik, saya ingin nasihatkan encik agar lebih memerhatikan kandungan puan. Walaupun sibuk macam mana sekalipun encik dan puan kena lebih peka dan elakkan melakukan pergerakan yang besar dan menggunakan tenaga yang banyak. Alhamdulillah, kandungan puan tidak apa-apa dan bayi selamat di dalam kandungan tetapi keajaiban tidak berlaku dua kali. Suruh puan perbanyakkan berehat dan jangan stress. Buat masa sekarang biarlah dia di dalam dirawat di hospital wad dahulu besok kalau sudah tiada apa-apa puan boleh balik ke rumah. Saya minta diri dulu." Doktor itu berlalu pergi. Terlintas di hatinya bahawa kedua-duanya masih begitu muda dan mentah untuk membahterai rumah tangga.

"Rina...mengandung? Aku tak salah dengarkan?" Syahiran memandang Aqilah dan Jun untuk mendapatkan kepastian. Lambat-lambat kedua sahabatnya itu mengangguk tanpa dipaksa air mata keduanya mengalir. Syahiran tersandar di dinding dan meraup wajahnya dengan kedua tapak tangannya.

Ujian apakah ini? Mengapa Rina harus mengandungkan anak lelaki yang tidak bertanggungjawab itu. Apa pula nanti kata orang sekeliling jika mendapat tahu bahawa gadis itu berbadan dua sedangkan tiada seorangpun yang mengetahui perkahwinan gadis itu dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Apa benda semua ni? Kau suami Rina? Sejak bila kau berkahwin dengan dia, Syah?" Aqil membentak. Mereka hampir terlupa ada insan lain bersama mereka ketika itu.

"Aqil, aku akan jelaskan semuanya kepada engkau tapi bukan sekarang." Syahiran menelan liur. Dapat dilihat dengan jelas wajah merona merah Aqil sedang menahan marah.

"Sudahlah! Dasar penipu! Aku tak nak dengar apa-apa lagi daripada kau semua." Aqil berlalu pergi dengan api kemarahan yang membuak-buak. Tersiat-siat hatinya apabila mendapat berita yang mengejutkan itu. Rina gadis yang dicintainya ternyata sudah berkahwin dengan kawan baiknya sendiri dan bakal menimang cahaya mata. Patutlah Rina sudah tidak membalas mesejnya lagi rupa-rupanya ini yang gadis itu sembunyikan daripadanya. Mengapa tidak berterus terang sahaja dengan dirinya mengapa harus memperlakukan dirinya seperti orang bodoh yang tidak mempunyai perasaan?

Inikah kesudahan cintanya? Bukan cinta bahagia seperti yang dibayanginya malah cinta yang dipermainkan dan dipersiakan oleh seorang gadis bernama, Rina Altafunisa. Aqil melangkah kecewa meninggalkan bangunan hospital itu dengan hati yang lara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience