Setinggan

Short Story Series 2822

RUTIN yang bosan aku kira. Bangun awal pagi semata-mata nak berebut guna jamban zink dengan penghuni lain. Macam cerita P.Ramlee betul lah.

Kena pulak yang sedang amek giliran guna jamban tu dia boleh berak sambil bantai terlalok? Mati-mati orang lain ingatkan kot dia ni memang berak batu punya jenis ke apa.

"Siapa kat dalam ni?" tanya Osman Sengguk. Mendapat gelarannya kerana asyik tersengguk-sengguk.

"Entahlah. Aku datang tadi tengok kamu semua dah ada sini dulu. Jadi kamu semua lebih tahu" kata Salim.

"Iya aku yang awal sekali kemari bang Salim. Memang kok udah ada orang di dalamnya" kata Arianto,penghuni warga Indonesia yang baik dan peramah orangnya.

Seorang dua lagi penghuni warga Bangladesh cuma diam saja. Mereka angkat bahu tanda tidak tahu.

PAKK PAKK PAKK!

"Hoi cepatlah sikit guna jamban! orang lain pun nak masuk jugak. Berak batu ke intan berlian kat dalam tu?"Pak Roni dah bising sambil tepuk dinding zink jamban.

Aku dan beberapa penghuni lain mengangguk-angguk setuju dengan tindakkan Pak Roni.

"Kecoh lah Pak Roni!" balas si anu kat dalam jamban tu.

Aku pun tak tahu siapa kat dalam tu.

"Kecoh apak kamu. Nak menahik pun agak-agak la lamanya. Orang lain pun kejar masa" balas Pak Roni.

Bunyi air berdebur dalam jamban. Si anu selesai jugak akhirnya.

Pintu jamban di buka.

Samidin lalok rupanya. Pagi-pagi muka basi je. Umur dah cecah 41. Jerawat kat pipi macam budak umur 14. Rambut afro. Bibir tebal macam negro. Semua orang tau Samidin memang kaki lalok. Lalok tak kira tempat. Seolah-olah dia tak pernah dapat tidur yang mencukupi. Dalam jamban pun Samidin lalok.

Walaubagaimanapun Samidin seorang penghuni yang di kira agak otai jugaklah kat setinggan ni. Bujang terlajak tak laku. Macam aku juga nasibnya.

"Sori le semua. Mengantuk sikit tadi" kata Samidin dengan wajah tak terurus sambil garu-garu pipi.

Dia pun berlalu sambil jinjing baldi dan bertuala je ingin menuju ke bilik air untuk mandi. Bilik air berdindingkan zink letaknya bersebelahan saja dengan jamban zink. Di bina untuk kegunaan bersama penghuni setinggan.

Tiba-tiba langkah Samidin terhenti. Dia menoleh kepada kami.

"Siapa yang masuk jamban ni sebelum aku tadi?kurang asam...taik main biar je tak jirus" kata Samidin sebelum berlalu. Malas pulak kami nak bertanya lebih-lebih. Biar aja lah.

Arianto pula masuk mengambil giliran. Dia ni bagus. Ada timbangrasa pada orang lain. Lima minit saja masa di ambil,Arianto selesai membuang.

Tapi apabila pintu jamban di buka,menyerbu keluar asap-asap rokok kretek yang di sedutnya sambil buang air besar tadi. Berkepul-kepul tebal pulak tu.

"Uhuk!...uhukk!..uhukk!"

Osman batuk berdentum-dentam dek penangan asap kretek Arianto. Semua orang tau betapa bencinya Osman pada bau rokok. Kini gilirannya tiba untuk masuk ke jamban yang di penuhi asap.

Di kibas-kibas nya asap itu. Tapi baunya tetap ada. Arianto dah berlalu pergi ke bilik air sebelah.

"Hish..haru betul lah" rungut Osman.

Tuala yang di guna buat mengibas-ngibas asap rokok tadi langsung di lilit ke muka buat menutupi hidung.

Osman mengambil giliran menggunakan jamban. Lebih kurang lima ke tujuh minit kemudian dia pun selesai.

Kalau ikutkan tiba giliran aku pulak. Tapi Salim beriya-iya nak guna jamban dulu sebab dah tak tahan sangat sakit perut memulas-mulas.

"Zain...aku masuk dulu boleh? memulas sangat ni Zain" kata Salim kepada aku.

"Hm masuklah" balas aku.

"Terima kasih banyak Zain"

Baru Salim nak mencangkung kat lubang jamban,dia terperasan ada cebisan najis yang tidak masuk ke lubang jamban.

"Alah! ni yang aku lemah ni!"

Suara Salim kedengaran di luar jamban zink.

"Kenapa tu Lim?" soal aku.

"Siapa punya cebis najis tak jatuh tepat ke lubang ni?" balas Salim.

Aku dan lain-lain yang sedang beratur kat luar jamban dah gelak-gelak. Semua orang tau bahawa Osman ada dua gelaran sebenarnya. Pertama-sengguk. Kedua-berak tak tepat.

Maka terpaksalah Salim layankan saja membuang hajat besarnya di samping dengan cebisan najis Osman yang mungkin hampir dengan kaki nya.

Kami dengar dia merungut-rungut.

"Dah tua-tua nak mampus pun tak pandai nak berak kasi tepat ke?" kata Salim.

Tapi elok jugaklah Salim kena hadap benda alah tu. Dia pun apa kurang nya.. semua orang kat setinggan ni tau Salim gemar buang sampah merata-rata. Bila di nasihatkan nanti menjawablah dia konon orang lain tak boleh tolong kutipkan ke?

Jadi mari kita lihat sejauh mana Salim boleh tolong jiruskan cebisan najis Osman.

Air jirusan berdebur dalam jamban zink tanda Salim telah selesai membuang. Boleh pulak dia terjogol kepala sambil tersengih kepada kami yang sedang beratur sambil berkata.

"Osman tu dulu mana ada belajar siviks"

Senyum tawar jelah kami yang sedang menanti giliran nak masuk jamban boleh beri kepada Salim.

"Ada sesiapa nak masuk dulu?" tanya aku walaupun giliran aku sepatutnya untuk masuk sekarang setelah beralah dengan Salim tadi. Rasa nak membuang aku hilang serta-merta pulak.

"Zain...aku..aku...biar aku masuk dulu. Nanti lambat pulak bukak warung. Kau orang juga yang merungut nanti" kata Pak Roni.

Aku pun beri laluan kepada Pak Roni. Lagipun memang perut aku dah naik lapar. Dan aku jugaklah yang paling kuat merungut bila Pak Roni lewat buka warung.

Orang tua berusia pertengahan enam puluhan tu memang lagenda kat setinggan ni. Dia dah duduk situ sejak tiga puluh tahun lalu kot. Kami yang masing-masing bujang tua terlajak tak laku ni memang senang dengan adanya warung Pak Roni kat tepi jalan setinggan ni. Malas nak memasak? singgah je ke situ. Roti canai,nasi lemak,kuih-muih semua ada. Tengahari jual pula nasi campur dan mee yang pelbagai.

Selepas arwah isteri Pak Roni meninggal, orang tua itu upah si Jangahir dan Rahman warga Bangladesh yang juga penyewa rumah setinggan kat situ membantunya berniaga.

Baru saja Pak Roni melangkah masuk ke dalam jamban zink tu,dia pun keluar semula.

"Salim mana? Salim?"

Merah padam muka orang tua tu.

"Salim dah kat bilik air nun Pak Roni. Tengah mandi kot. Kenapa?" tanya aku.

"Zain...engkau dengan yang lain-lain jangan ikut perangai si Salim tu. Pandai mengata Osman tak ada siviks konon. Tengoklah tu...dia jirus tahi dia aja. Cebisan najis yang di tinggalkan dek Osman di biarkan je macam tu. Hish, geram betul aku si Salim ni!" dengus Pak Roni.

Tak pasal-pasal orang tua itu pulak yang kena jiruskan cebisan najis tu. 

Tak lama kemudian Pak Roni pun selesai.

"Ahh..lega sikit pungkoq aku ni. Gila lama aku menahan sejak tadi. Barulah seronok sikit nak pergi meniaga" kata Pak Roni. Tersengih dengan misai tebal dah putih beruban.

Aku dan lain-lain pun tumpang gembira. Itu tandanya warung Pak Roni akan buka sebentar saja lagi. Ah,lapar pulak dah perut aku ni.

Pak Roni siap menari-nari berjalan pergi ke bilik air. Pandai betul dia buat kami ketawa sehingga terlupa terus akan tebiat kebiasaannya yang gemar tak jirus berak.

Nah!

Jangahir tepuk dahi geleng kepala je lah bila tengok tahi Pak Roni selonggok dalam mangkuk jamban tak berjirus. Dia merungut-rungut dalam bahasa Bangladesh. Nak marah maki-maki tak boleh. Sebab dia kerja pembantu Pak Roni kat warung.

Aku tersengih-sengih dan minta diri.

"Eh bang..abang kinapa tahan berak?tak mau berak ka abang?" tanya Jangahir.

"Tak apa. Aku dah berak awal-awal pagi tadi lagi sebenarnya. Sebetulnya sebelum yitu Samidin lalok masuk" kata aku.

Jangahir dan Rahman dah terbeliak besar biji mata sambil tutup mulut yang ternganga memandang aku yang sedang terhenjut-henjut ketawa.

Hidup di setinggan bersama penghuni yang jarang menitikberatkan soal kesedaran siviks memang meletihkan. Itu juga yang memaksa aku menjadi seperti mereka juga. Memang sengaja aku pura-pura beratur sekali konon nak guna jamban, walhal tidak...aku cuma nak kalian lihat pelbagai ragam manusia yang ada kat setinggan ni.

Dan begitulah rutin bosan yang harus di lalui oleh penghuni setinggan. Dek kerana jamban zink yang satu dan harus di kongsi bersama tu saja dah cukup nak bagi stress yang dahsyat pada kami. Belum lagi cerita hal-hal dan masalah lainnya. Itulah yang harus kami lalui setiap hari,minggu,bulan dan tahun.

            --------------------------------------------------------

SEPULUH TAHUN KEMUDIAN....

Suasana petang yang damai. Langit cerah tak panas sangat. Aku duduk dekat bendul pintu rumah sambil termenung panjang gigit kuku. Beg pakaian apa semuanya telah ku bawa keluar.

Deretan rumah setinggan itu betul-betul letaknya bersebelahan sahaja dengan kawasan landasan rel keretapi. Namun ada pagar memisahkan di antara keduanya.

Angin bertiup landai membuat rumput-rumput dan lalang beralun-alun. Tapi semua itu gagal mententeramkan jiwaku yang sudah sedia goyah.

Baru sebentar tadi doktor menghubungi aku mendesak agar di segerakan rawatan homodialis ke atas sakit buah pinggang yang di hidapi. Kos nya bukan main mahal. Harus pula di jalani tiga kali seminggu. Dengan kerja yang tak seberapa,mana aku ada duit untuk itu semua. Kini di tambah pula dengan satu lagi masalah besar iaitu aku bakal kehilangan rumah yang aku huni sejak sekian lama. Menjalani hidup yang kian kronik dalam keadaan merempat nanti tentu dapat kau bayangkan betapa berat dan getirnya beban yang harus ku pikul bukan?

Aku toleh pula ke rumah sebelah.

Samidin lalok sedang rancak bercakap-cakap. Beg pakaiannya juga telah siap di letak dekat luar.

"Semuanya dah siap mak. Kalau tak ada apa-apa aral melintang,sampai lah Midin nanti. Apa dia mak? balik naik apa? Ohh...Midin dah tempah tiket keretapi siap-siap ni. Tak perlu susah-susah pun mak. Keretapi lalu pun depan rumah. Habis nak buat macam mana lagi mak...cenggini le nasib Midin. Nak kaya tak kaya-kaya jugak. Rumah setinggan buruk ni jelah satu tempat untuk Midin berteduh mak. Itupun nak di amek juga dek kerajaan. Nak buat projek lebuhraya katanya. Notis suruh berpindah pun dah tulis kat sini..hari ni Midin dan semua penghuni kat deretan rumah setinggan mesti keluar juga. Tempoh yang di beri dah cukup katanya. Apa-apa pun nanti kita jumpa ya mak? Asalamualalaikum mak" kata Samidin siap tangannya di lambai-lambai.

Makin rancak aku gigit jari sambil berfikir adakah Samidin di kurniakan kebolehan melihat roh orang yang sudah mati? Setahu aku arwah ibunya dah meninggal dunia lama dulu. Yang dia rancak bercakap-cakap tadi tu dia bercakap sorang-sorang je.

Dah berbuih mulut aku menasihati Samidin sejak sedekad yang lalu lagi. Ibarat mencurah air ke daun keladi saja hasilnya. Alih-alih plastik bungkusan air yang di isi dengan gam kasut tu juga menjadi 'sahabat' sejatinya sekian lama.

Letih bercakap,Samidin pun menyandar ke pintu rumah sambil garu-garu rambut afro nya yang makin hari semakin besar pula aku tengok saiznya. Tiba-tiba ada bunyi berdecit-decit pula sebelum seekor tikus melompat keluar dari rambutnya.

Opocot!

Aku pulak yang terkejut gamaknya. Samidin tenang sahaja. Jauh dia melemparkan pandangan keluar pagar kawasan rel landasan. Dia pun sedih juga seperti mana aku sedang bersedih. Begitu juga penghuni lain setinggan. Semua orang berasa sedih dan hiba. Kalau bukan kerana notis suruhan berpindah tu,tiada siapa pun di antara kami ingin berpindah keluar dari setinggan buruk ni.

Aku toleh pula ke arah sebelah lain rumah ku. Osman sedang memunggah beg pakaiannya keluar. Penyakit sengguk yang di hidapinya sejak dari dulu pun dah semakin teruk. Wajahnya sedih benar. Berkali-kali air mata di kesat-kesat.

Ketika sedang tertunduk-tunduk memungut anak kunci yang terjatuh ke lantai,rambut palsu di atas kepala Osman terlucut. Terbongkarlah sudah rahsia yang sekian lama di peruknya balik rambut palsu itu. Licin berkilat botak di tengah rupanya kepala si Osman ni. Cuma ada rambut di kiri-kanan sideburns saja yang tinggal.

"Alah!"

Rungut Osman sambil di pijak-pijak dan di tendangnya rambut palsu itu. Aku dan Samidin memandang lesu sahaja. Kami faham beliau bersedih seperti mana kami dan lain-lain juga.

Sedih Osman banyak sebabnya. Dulu Osman kacak. Lebat pula rambutnya. Masalah dan tekanan hidup dewasa ini membuat helaian demi helaian rambut Osman gugur lebih banyak.

Osman pun terduduk sambil menyandar dekat pintu rumah setinggannya. Kami bertiga terkaku bagaikan patung bersama pandangan yang seiring di lemparkan ke arah kawasan landasan rel keretapi.

Dari kejauhan hujung deretan rumah setinggan itu muncul lah Salim dan Arianto berlari-lari menuju ke arah kami dengan wajah yang gembira.

Serta-merta aku,Osman dan Samidin saling berpandangan sesama sendiri sambil mengukir senyuman. Terhibur jugak kami melihat barisan gigi Salim yang putih berseri menyerlah tersengih di wajahnya yang bersimbah cat hitam.

Kesan cat yang di simbah oleh ceti haram bukan setakat melayang ke muka pintu rumah Salim, malah dirinya sekali di jirus cat oleh gangster yang berselindung di sebalik nama peminjam wang. Arianto yang cuba membantu Salim sewaktu kejadian itu berlaku tak pasal-pasal di hadiahkan sekali dengan sepak terajang serta di masukkan sekali ke dalam senarai orang-orang yang di kehendaki bunuh dan simen dalam tong deram bersama Salim. Kalau tak silap aku hari ini tamatlah tempoh yang di beri oleh ceti kepada Salim untuk melunaskan segala hutang sebelum hukuman bunuh dapat di kenakan kepadanya.

"Kami dah dapat! dah dapat ni haa" teriak Salim siap di layang-layangkan nya alat cutter pemotong dawai pagar yang berada di tangannya. Begitu juga dengan Arianto yang memiliki sebuah lagi cutter.

"Hahahahaha"

Kami semua ketawa bersahut-sahutan. Tapi itu pun tak lebih kuat dari ketawa Pak Roni yang baru keluar dari rumahnya sambil di papah oleh Jangahir dan Rahman. Siap batuk kokol orang tua itu di buatnya.

Dah bertahun kami tak dengar Pak Roni ketawa. Kalau nampak pun wajahnya sedih dan duka sentiasa. Itu belum di tambah dengan permintaan nya yang bukan-bukan seperti hendak minum racun tikuslah,mahu cepat mati lah...dunia ini kejam dan tak berlaku adil kepadanya dan sebagainya lagi.

"Ada benda tu Salim? Arianto?" tanya Pak Roni yang kini sedikit uzur hingga terpaksa duduk di atas kerusi roda. Jangahir dan Rahman si dua orang Bangladesh pembantu warungnya itu cukup setia menjaganya walaupun warung Pak Roni sudah lama di robohkan oleh jabatan Kerja Bandar kerana tiada permit perniagaan.

"Ada Pak Roni..ada ni" balas Salim.

"Hahaha bagus...bagus... cepatlah kau sama Arianto potong pagar dawai tu. Nanti terlepas keretapi pulak kita" kata Pak Roni.

Salim dan Arianto bergegas menuju ke pagar tepian yang memisahkan rumah setinggan dengan kawasan landasan rel keretapi itu. Pagar dawai itu di potong sehingga terbuka luas.

"Dah siap!" teriak Salim dan Arianto.

"Lagi lima minit" kataku.

"Ayuhlah kita bergerak sekarang" kata Pak Roni.

Kami semua bangun dan menjinjing beg pakaian kami. Jangahir dan Rahman sambil menolak kerusi roda Pak Roni,mereka menjinjing beg pakaian mereka.

Pak Roni yang duduk di atas kerusi roda memangku beg pakaiannya sendiri.

Salim dan Arianto mengambil beg pakaian masing-masing. Kini kami semua berdiri betul-betul di tepian rel. Selangkah saja darinya.

Tatkala bunyi serombong keretapi datang kedengaran dari jauh,kami pun melangkah di atas rel. Beratur macam nak menunggu giliran nak masuk ke jamban zink seperti yang biasa kami lakukan.

Ketika keretapi telah melaju ke arah kami,sempat kami menoleh ke deretan rumah setinggan itu. Selamat tinggal kenangan.

                     ==TAMAT==

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience