ROTI, telur dan juga jem strawberry diambil dari rak. Dalam masa yang sama, Najwa menghalakan pandangannya ke arah luar kedai serbaneka. Dia melihat suasana di luar kedai serbaneka nampak begitu sunyi. Sudah seperti kawasan bandar yang tidak berpenghuni. Lebih-lebih lagi, tiada satu kenderaan pun, yang parkir di situ.
Kenapa aku rasa seram nak balik ni? Selalunya tak adalah seram macam ni sangat. Ke, ada something yang nak berlaku kejap lagi? Fikir Najwa.
Malas mahu berfikir lagi, Najwa terus menuju ke arah kaunter pembayaran.
Juruwang yang dari tadi menunggu, terus tersenyum. “Ini aje?”
Najwa mengangguk.
Juruwang tersebut terus sahaja mengira makanan yang diambil Najwa tadi. “Semua sekali RM15.90,” katanya.
Najwa terus menghulurkan Note RM20 kepada juruwang tersebut. Setelah itu, dia terus sahaja melangkah keluar dari kedai serbaneka itu, lalu menuju ke arah motosikalnya.
Kelam kabut dia mengeluarkan kunci motosikalnya dari poket seluar. Dalam masa yang sama, dia memandang kiri dan kanannya. Bulu romanya tiba-tiba sahaja meremang.
“Awak! Ni baki ni. Tak nak ke?” Juruwang kedai serbaneka tersebut, terus berlari anak menuju ke arah Najwa.
Najwa terkebil-kebil sendiri. Bagaimana dia boleh terlupa dengan wang bakinya tadi? Sepatutnya, memang ada bakikah? Sememangnya dia langsung tidak perasan. Mana taknya, kalau perasaan takut tu, dari tadi tidak hilang-hilang.
“Laju sangat keluarnya pun. Tak sempat saya nak bagi baki tadi.” Pekerja serbaneka itu menghulurkan wang baki kepada Najwa sambil tersenyum manis.
“Oh, saya tak sedar. Lagipun hari dah lewat sangat. Faham-fahamlah, dah lewat malam begini, itu yang takut sikit. Sampai terlupa nak ambil baki ni.” Najwa tersengih, sambil mengambil wang baki dari tangan pekerja serbaneka itu.
Macam manalah, pekerja 7E ni boleh kerja waktu-waktu malam macam ni? Buatnya ada hantu ke? Tapi buat apa takut dengan hantu, lebih baik takut dengan perompak. Isy! Mulut kau ni Najwa. Ada ke cakap macam tu? Najwa berperang dengan perasaan sendiri.
“Oh, lupa. Terima kasih bagi wang baki ni.”
“Sama-sama.”
Najwa terus menaiki motosikalnya, lalu enjin dihidupkan. Dia terus memulas minyak motosikalnya, dan meninggalkan kawasan kedai serbaneka itu.
Pada waktu ini, jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Najwa benar-benar sudah lewat untuk pulang. Bermacam-macam yang difikirkannya ketika ini. Dengan otaknya mula memikirkan perkara yang bukan-bukan. Kalau dia tahu yang Sasha tidak balik bersamanya, tak adanya dia rajin membuat kerja lebih masa tadi. Lebih baik dia pulang awal sahaja.
Sedang Najwa mengelamun jauh, tiba-tiba sahaja seekor kucing hitam sedang melintas di hadapan motosikalnya. Hampir sahaja Najwa melanggar kucing hitam tersebut. Dengan pantas dia menekan brek. Bunyi decitan tayar motosikal, kedengaran begitu kuat. Hampir sahaja, Najwa terjatuh daripada motosikalnya itu. Nasib baiklah, dia dapat mengawal motosikalnya.
“Fuh! Nasib baik aku tak terbabas! Inilah gunanya brek. Kucing ni pun, time ni jugalah dia nak lintas jalan. Aku ni dahlah tengah takut,” bebel Najwa. Matanya melilau melihat keadaan sekelilingnya. Sudahlah kawasan di sini sunyi sepi.
Janganlah ada hantu terbang depan aku ni. Bisiknya. Tiba-tiba sahaja, matanya tertancap ke arah satu susuk tubuh yang sedang duduk di tepi tong sampah, dengan kepalanya menunduk ke bawah.
Eh, siapa pula tu? Han... hantu ke? Berdegup kencang jantung Najwa ketika ini.
“Tolong... tolong...” Nada suara lelaki itu, kedengaran begitu lemah.
Bulu roma Najwa, terus sahaja mencanak naik. Usah dicakap bagaimana perasaannya ketika ini. Jantungnya pula semakin berdegup laju.
“Kau... kau siapa? Kau, orang ke hantu?” Menggeletar suara Najwa ketika ini.
“Please... help me...” katanya lagi.
“Jawablah! Orang ke hantu?!” jerit Najwa, dengan penuh keberanian. Lelaki itu senyap, langsung tidak bersuara. Kenapa dengannya?
“Hello! Kenapa tak jawab? Kau, orang ke hantu?! Macam mana aku nak tolong kau, kalau kau tak jawab!” jerit Najwa lagi.
Hati Najwa mula berbelah bahagi. Entah bagaimana, laju sahaja dia turun dari motosikalnya.
Nak tolong ke tak nak ya? Apa dia buat dekat celah tong sampah tu pula? Fikir Najwa.
Najwa terus mengangkangkan kakinya, sambil menundukkan kepalanya ke bawah celah kelangkangnya. Entah kenapa dia terfikirkan petua orang lama. Kalau nak tahu dia manusia ke hantu, hanya perlu buat seperti itu sahaja, walaupun dia tidak pasti adakah petua itu benar ataupun tidak.
Macam manusia. Desis hati kecil Najwa.
Teragak-agak Najwa mahu menuju ke arah lelaki tersebut. Buatnya perompak bagaimana? Tak ke haru nanti? Tetapi kalau lelaki itu memang memerlukan pertolongan, bagaimana pula?
Kaki diayun laju menuju ke arah lelaki tersebut. Kelihatannya lelaki itu sedang menahan kesakitan, dengan wajahnya masih menunduk ke bawah.
Tiba sahaja Najwa di hadapan lelaki itu, matanya terus sahaja terbuntang. Dia hampir menjerit. Pantas kedua-kedua tangannya menutup mulut.
Lelaki itu sedang menekan perutnya, dengan darah pekat yang sedang membasahi tangannya. Dengan pantas Najwa duduk melutut menghadap lelaki tersebut. Berdasarkan pakaian lelaki itu, nampaknya dia seperti orang berada.
“Tuan, kenapa dengan tuan? Kenapa berdarah ni?” Najwa tidak tentu arah ketika ini. Entah kenapa, panggilan tuan laju sahaja terpacul dari mulutnya. Mungkin daripada pakaiannya, Najwa menganggap dia seorang yang berpangkat besar.
Secara tiba-tiba, lelaki itu terus sahaja menarik tangan Najwa. Wajah lelaki itu begitu hampir dengan wajahnya. Najwa tergamam. Hampir sahaja bibirnya mahu mengucup pipi lelaki itu.
Najwa mahu melarikan diri, tetapi tangan kekar lelaki itu, begitu kuat menggenggam pergelangan tangannya.
Perlahan-lahan lelaki yang cedera parah itu, mula mengangkat wajahnya sambil memandang ke arah Najwa, dengan matanya yang redup.
Najwa menelan liur. Dia terpana, saat melihat raut wajah lelaki itu yang sungguh tampan. Memiliki kumis, beserta jambang yang nipis. Pasti lelaki ini ada kacukan dari mana-mana negara. Dan jika dilihat daripada wajahnya, boleh dianggarkan umurnya di dalam lingkungan 30-an. Mungkin 35 tahun, atau 37 tahun?
“Tolong I... I tak boleh nak bangun,” bisik lelaki itu perlahan.
Suara garau lelaki itu, telah membuatkan bulu roma Najwa terus mencanak naik. “Lepaskan saya tuan. Saya boleh call ambulans, dan suruh dia orang bawa tuan ke hospital.”
“No... I don’t want to go to the hospital. Just take me to your home. Kalau nak ke rumah I, terlalu jauh...” Nada suara lelaki itu, sedikit bergetar. Mungkin dia sedang menahan sakit pada perutnya.
“Ha? Rumah saya? Gila ke? Tak... tak... tuan cari orang lain. Saya tak boleh nak tolong. Dan saya tak boleh bawa lelaki bukan mahram ke rumah saya.” Najwa dengan pantas bangun. Tetapi, laju sahaja lelaki itu menarik lengannya kembali. Hampir sahaja wajahnya mahu tersembam pada dada bidang lelaki itu pula. Dengan pantas Najwa menahan dengan kedua-dua tapak tangannya. Nasib baiklah tak bercium. Kalau tidak?
“Tolong... I. I merayu sangat-sangat. Bawa I ke rumah you. Lagipun luka pada perut I tak begitu besar. Ini pisaunya.” Pisau diambil, lalu dihalakan ke arah wajah Najwa.
Terbuntang mata Najwa ketika ini. “Pi... pisau?” Pucat lesi wajah Najwa ketika ini. Ibarat wajahnya jika ditoreh, pasti tidak berdarah.
Siapakah lelaki ini? Adakah dia seorang penjenayah? Wajah lelaki itu benar-benar pucat.
Bodohlah kau Najwa! Kenapa kau turun juga dari motor tadi? Sepatutnya kau buat tak tahu aje. Kau tak perlu tolong dia. Patut ke aku larikan diri aje? Biar lantaklah dia dekat sini. Apa aku perlu buat? Apa aku perlu buat!
“Please... I’m begging you...” rayu lelaki itu lagi.
Najwa tidak menghiraukan kata-kata lelaki itu. Perlahan-lahan, dia cuba untuk bangun, dan mahu meninggalkannya. Tidak berani dia menanggung risiko hanya semata-mata mahu membantu lelaki tersebut. Lebih baik dia pergi sahaja dari situ.
“Please...” Lelaki itu bersuara lagi.
Najwa memandang wajah lelaki itu kembali. Kalau dia tinggalkannya, pasti lelaki itu akan mati di situ juga. Bagaimana dia mahu membuat keputusan? Perlukah dia membantu? Atau tinggalkan sahaja? Tetapi hatinya tidak kuat untuk meninggalkan lelaki tersebut, yang sedang menahan sakit. Wajahnya juga, seakan tidak berdaya.
Najwa tiada pilihan lain lagi. Nak tak nak, dia terpaksa juga membawa lelaki itu pulang ke rumahnya.
Sweater yang tersarung di tubuhnya, terus sahaja ditanggalkan, lalu diikat pada perut lelaki yang luka itu. Dia tidak mahu lelaki itu kehilangan banyak darah.
“Okey, mari sini, saya pimpin tuan.”
Najwa mula menarik lengan baju sut hitam yang dipakai lelaki tersebut. Tetapi lelaki itu terus sahaja merangkul pinggangnya. Najwa terkesima, bagaikan terkena renjatan elektrik. Hendak ditepis, lelaki ini di dalam keadaan kesakitan.
Ini darurat ni. Aku tak boleh nak tolak dia. Tiada cara lain lagi. Nak tak nak, aku kena bawa dia ke rumah aku. Najwa terus membantu lelaki tersebut untuk berdiri.
Mak aih, tinggi gila lelaki ni. 180 cm ke? Najwa memandang lelaki tersebut, atas bawah. Jika hendak dibandingkan dengan ketinggiannya, dia hanya memiliki ketinggian 153 cm sahaja. Dia benar-benar kerdil di sisi lelaki itu. Mereka berdua terus menuju ke arah motosikal miliknya.
“Tuan duduk belakang saya. Rumah saya tak jauh dari sini.” Najwa terus sahaja menghidupkan enjin motosikalnya. Dan lelaki tadi terus membonceng di belakang, sambil kepalanya dilentokkan di bahunya.
Dahi Najwa berkerut, dengan jantungnya tidak henti-henti berdegup laju. Tak pernah-pernah dia merasakan perasaan sebegini.
Tak gunalah. Aku telah dinodai. Walaupun dia sekadar pegang pinggang aku dengan lentok kepala dia dekat bahu aku tadi, tapi aku tak rela! Ni kalau Hafiz tahu ni, habislah aku.
Dengan pantas Najwa meninggalkan kawasan itu bersama dengan lelaki tadi. Tetapi hatinya masih tertanya-tanya, kenapa lelaki ini ditikam? Adakah dia seorang penjenayah?
Dalam lima minit, motosikal yang ditunggangi Najwa, telah pun memasuki pekarangan rumah sewa miliknya. Nasib baiklah rumah sewanya di bahagian corner lot.
Dan di kawasan perumahannya juga kebanyakkannya adalah kaum cina. Ada kaum melayu yang tinggal di situ. Tetapi rumah mereka, di bahagian hadapan.
Najwa terus sahaja memimpin lelaki tadi masuk ke dalam rumah sewanya. Dalam masa yang sama, sempat juga matanya meliar melihat keadaan sekeliling. Takut pula nanti, ada jiran lain yang nampak dia dengan lelaki ini. Tak pasal-pasal pula, dia ditangkap khalwat nanti.
Sekarang ni nak bawa dia masuk bilik ke, atau dekat ruang tamu aje? Kalau Sasha tahu ni, habis aku. Aku yang pandai-pandai nasihat dia, dan sekarang ni, aku yang bawa jantan balik rumah.
“Hmm... tuan, mari saya bawakan tuan ke bilik saya aje.” Najwa memimpin lelaki tadi menuju ke biliknya, lalu tubuh lelaki tadi dibaringkan di atas katil.
Lelaki tadi terbaring lemah. Najwa langsung tidak tahu, apa yang patut dia lakukan. Dia mula pening kepala. Kenapalah dia boleh terbabit dalam hal ini.
“You ada first aid? Bawakan I first aid.” Lelaki itu bersuara.
Najwa menangguk, dan terus sahaja menuju ke ruang tamu. Tidak lama kemudian, dia muncul semula sambil membawa first aid, lalu dihulurkan kepada lelaki tadi. Dia terus sahaja berdiri di muka pintu, sambil melihat lelaki itu sedang membelek kotak first aid tersebut.
“Barang macam tak cukup ni,” kata lelaki itu, sambil berdecit menahan sakit.
“Habis tu saya nak buat apa?”
“You pergi beli barang.” Lelaki tadi mengambil pen dan buku nota yang ada di atas meja, tepi katil Najwa. Dia menulis sesuatu di atas buku nota tersebut. Setelah itu, kertasnya dikoyak.
“Nah, ambil ni.” Kertas tersebut dihulurkan kepada Najwa.
Najwa merenung kertas yang dipegangnya. Nak tak nak, dia terpaksa menuju ke farmasi pula untuk membeli barang yang diminta lelaki yang sedang menahan sakit itu. Nasib baiklah ada farmasi yang sememangnya buka 24 jam.
“Saya pergi beli kejap. Tuan boleh bertahan ke?”
Lelaki itu mengangguk sedikit.
Najwa terus sahaja berlalu keluar dari biliknya. Dia melihat baju dan tudung yang dipakainya, sudah melekat dengan darah lelaki tadi. Tanpa menunggu, Najwa terus mengambil sweater milik Sasha, lalu disarungkan ke tubuhnya. Dia perlu cepat, sebelum terjadi apa-apa pada lelaki itu nanti.
Share this novel