JUWITA melangkah penuh gaya. Persis model yang sedang beraksi di atas pentas peragaan. Walau kulitnya tidak putih melepak, namun dia punya tarikan yang tersendiri.
Bibirnya yang mungil. Matanya yang bundar serta bulu mata yang panjang melentik, cukup untuk membuatkan jejaka tertawan melihatnya.
"Apa pandang-pandang? Tak pernah tengok pompuan?" jerkah Juwita kepada seorang lelaki yang leka memandangnya. Terkulat-kulat lelaki itu saat dijerkah.
"Nok, kau ni kan... tak habis-habis nak jerkah orang. Biarlah dia nak pandang ke apa. Bukan luak pun." Juwita menoleh kebelakang apabila mendengar teguran itu. Matanya dijulingkan ke atas. Meluat bila diekori.
'Bilalah mamat kurita ni nak berhenti ikut aku?'
Juwita bukanlah sejenis perempuan yang cepat mesra dengan orang. Namun sejak dua minggu kebelakangan ini, mamat kurita tu selalu sangat mengekor kemana saja dia pergi.
"Kau memang tak boleh tengok aku senang eh?" bidas Juwita sebaik saja melabuhkan punggungnya disebuah kerusi.
Mujur saja tengah hari itu tidak ramai pelanggan. Jika tidak, pasti jenuh menunggu meja kosong.
"Kau, kan diva. Aku memang suka mengendeng dengan diva ni." Zailani bersuara lunak. Persis lelaki yang berperwatakan wanita. Sentiasa menjaga agar suara garaunya tidak terkeluar.
Namun Zailani bukanlah lelaki lembut begitu. Masih terserlah maskulinnya. Bukan tak ada rupa, cuma gayanya saja yang lembut. Paling Juwita menyampah bila Zailani sering memanggilnya nok.
"Kau tak payah nak diva sangat eh. Rimaslah aku. Kau memang tak faham bahasa ke? Aku tak suka kau ikut aku!" Juwita menghamburkan rasa ketidak puasan hatinya kepada Zailani.
Namun, Zailani hanya tersenyum. Tidak sedikit pun berganjak. Sudahnya, Juwita hanya membiarkan saja.
Usai memesan makanan, Juwita ralit dengan telefon bimbitnya. Zailani seakan tidak wujud di situ. Dia dengan dunianya.
Entah apa yang dibebelkan Zailani, langsung tidak diambil pusing sehinggalah makanan yang dipesannya sampai. Dia terus mencapai sudu untuk menjamah makanannya.
"Hei... baca doa dululah," tegur Zailani membuatkan Juwita tidak jadi menyuap Nasi Goreng USA ke dalam mulutnya. Diherotkan ke kiri bibirnya tanda geram.
"Tak cantik tau buat muka macam tadi tu." Juwita merengus kasar mendengar komen Zailani.
"Eee... macam singa betina hilang anak merengus macam tu." Makin berasap telinga Juwita dibuatnya.
"Kau bersuara lagi sekali, kau tahulah nasib kau. Aku nak makan. Bukan nak dengar kau membebel." Juwita terus menyuap nasi masuk ke dalam mulutnya.
Masuk ke suapan ke dua, pesanan Zailani pula tiba. Tenang sekali dia mengadap rezekinya. Habis saja menjamah makanan mereka, Zailani mengucap syukur.
"Ju..." Buntang mata Juwita memberi amarah agar Zailani tidak bersuara. Namun, tindakannya tidak diendahkan oleh Zailani.
"Dah ada boyfriend?" Tersedak Juwita dengan pertanyaan Zailani.
"Kau nak aku cucuk biji mata kau dengan garfu ni tak?" soal Juwita geram. Terasa tak aman hidupnya berdepan dengan mamat kurita ni.
Terus saja dia bangun menuju ke kaunter bayaran meninggalkan Zailani sendirian.
* * * * *
ZAILANI menghempas tubuhnya ke atas sofa. Tersenyum dia dengan apa yang berlaku petang tadi. Puas hatinya dapat mengenakan Juwita. Sengaja dia menguji kesabaran Juwita.
Zailani tersenyum lagi. Teringat pula peristiwa ketika balik kerja tadi.
Zailani berlari anak mendapatkan Juwita yang sedang menunggu lift.
"Oi nok... sampai hati tinggalkan aku,kan? Beriya aku tunggu kau siapkan kerja, sudahnya aku kena tinggal." Juwita hanya jungkit kening. Malas melayan Zailani.
Badannya letih. Dia hanya terbayangkan katil ketika itu. Sangat indah andai dapat meluruskan pinggang.
"Nok... kau ni pekak eh? Muka lawa tak sangka pekak. Ke bisu?" Zailani semakin galak mengenakan Juwita.
Walaupun dia tahu Juwita tidak suka bergaul dengan orang, tapi itu bukan alasan untuk dia menjauhkan diri.
"Kau ni memang tak boleh diam eh? Sehari tak bercakap, kau boleh mati ke?" Sembur Juwita geram.
Belum sempat Zailani membalas, pintu lift terbuka luas. Terus saja Zailani merempuh masuk sehingga menyebabkan Juwita jatuh ke depan.
"Aduh..." Juwita meringis. Pergelangan kakinya terasa sakit.
"Kau buta ke, huh?" Marah Juwita. Dia cuba untuk bangun namun, usahanya sia-sia.
"Sorry nok. Aku tak sengaja. Kau boleh bangun tak ni?" Zailani buat muka seposen.
Juwita tidak peduli. Dia cuba berpaut pada dinding untuk bangun. Terasa berdenyut pergelangan kakinya ketika itu.
Tanpa diduga, Zailani memaut bahu Juwita lalu memapahnya supaya berdiri.
"Kita tunggu kejap. Nanti aku bawa kau pergi klinik. Sorry sangat nok. Aku sengaja tolak kau. Tapi tak sangka pulak sampai jadi macam ni." Zailani tayang muka bersalah.
Juwita bungkam. Tidak mahu berkata apa walau hakikatnya dia terlalu sakit hati dengan pengakuan mamat kurita ni.
Kalaulah kakinya tak sakit, sah-sah si kurita ni kena terajang. Sukati dia je nak main rempuh-rempuh.
Share this novel