Cinta Pandang Pertama!

Romance Completed 117449

BAB 48

            “TUAN muda dah rasa okey sikit?” Soal Tam apabila melihat hujung bibir Harry yang sedikit pecah itu diletakkan ubat. Harry hanya mengangguk perlahan.

            Aku menunduk apabila melihat renungan Harry yang tajam kepada aku. Aku sedang merendam kaki ke dalam air suam. Baju aku juga sudah ditukar. Panadol juga sudah di makan. Rasa kesal pun ada menampar Harry dengan begitu kuat. Dia memang tidak sengaja memandang aku dalam keadaan seperti itu. Baju aku memang jarang apabila terkena air sehingga menampakkan jelas badan aku. 

            “Inilah hadiah birthday yang paling mahal aku dapat dalam seumur hidup! Kau dah hilang akal ke?!” Harry ingin menerkam aku tetapi di tahan oleh Tam. Hanna pula bersedia untuk melindungi aku.

            “Sabar tuan muda.” Pujuk Tam.

            “Minggu depan aku ada sidang media! Macam mana dengan muka aku ni?!”

            “Kenapa awak toleh lihat saya! Kan saya dah bagi amaran.” Balasku.

            “Aku cuma nak tengok...”

            “Nak tengok apa?!”

            “Kau kan bersin, jadi...”

            “Saya bukannya lemas pun!”

            Harry mengetap bibir. “Kenapa kau nak kecoh, bukannya besar mana pun!”

            Hanna menutup mulut dan Tam terdiam mendengar kata-kata Harry. Aku sudah ternganga dengan luas.

            “Awak ni memang tak sayang mulut!!” Aku pula ingin menerkam Harry tetapi dihalang oleh Hanna.

            “Tuan muda, Cik Aya. Bawa bertenang, hal ini kita selesaikan baik-baik. Hanna, bawa Cik Aya ke atas.” Celah Tam untuk meredakan keadaan.

            Apabila sampai di bilik Hanna terus ingin keluar tetapi aku sempat menahannya.

            “Hanna, saya minta maaf.” Ujarku dengan rasa bersalah.

            “Untuk apa?”

            “Saya dah cederakan tuan muda...” Luahku menunjukkan sedikit kesal. Tetapi dalam hati aku terasa puas!

            Hanna tersenyum dan hampir ketawa. “Kalau saya bukan je bagi penampar, penumbuk pun dapat! Bagus Cik Aya, macam ni!” Hanna membuat thumb up sambil ketawa kecil.

            Aku turut ketawa. “Saya ingat Hanna dah fikir saya melampau.”

            “Lelaki... kena ajar sikit. Kalau tidak naik bulu. Tidak kisahlah tuan muda ke, putera raja ke. Jangan risau, saya sentiasa sokong Cik Aya!” Ujar Hanna sambil tersengih.

            Aku mengangguk. “Terima kasih, Hanna! Saya dah tak rasa bersalah lagi.”

            “Ya. Jangan risau, esok mesti tuan muda dah tak marah Cik Aya. Sebab, saya tahu tuan muda sangat sayangkan Cik Aya.” Kata Hanna dengan senyuman yang mekar.

            Aku tersipu malu. “Macam mana Hanna tahu?”

            “Saya tahulah Cik Aya. Dah lama saya kenal Cik Aya dan tuan muda.”

            Aku hanya tersenyum tanpa membalas kata-kata Hanna.

**********

            “SAYA minta maaf.” Aku berdiri tegak di hadapan Harry awal pagi itu sebelum turun bersarapan.

            Harry mengeluh. “Aku pun.” Balasnya pendek.

            “Awak dah tak marah kan?” Aku tersenyum.

            “Tak marah, sayanggg sangat!” Harry menarik pipi aku dengan kuat.

            “Sakitlah!!” Aku menjerit.

            “Tuan muda, Cik Aya! Jangan bergaduh lagi!” Tam terburu-terburu berlari ke arah kami. Hanna yang mendengar jeritan aku juga datang dengan cemas.

            “Cik Aya tak apa-apa?!” Tanya Hanna.

            “Tuan muda...” Tam cuba untuk menenangkan Harry.

            “Hai! Sayang sungguh kau orang kat bakal isteri tuan muda kau orang ni kan?!” Harry terus melangkah menuju ke tangga.

            Hanna terus ketawa kecil. Pipi aku yang merah kesan dicubit bertambah merah lagi.

            “Bakal isteri?! How sweet!” Kata Hanna. Dia tersenyum simpul.

            Tam turut tersenyum sebelum melangkah mengikuti Harry.

            “Geram betul la dia ni!” Aku merengus geram menahan malu.

            “Tuan muda, hadiah dari Jepun sudah sampai. Dari Tuan Danial dan Madam Laura, juga dari rakan-rakan perkongsian syarikat LD Marine khas untuk tuan muda.” Ujar Tam sambil menunjukkan beberapa hadiah yang diletakkan di atas meja khas yang sudah disediakan untuk meletakkan hadiah pada majlis malam ini. Aku turut menjenguk hadiah-hadiah tersebut. Sudah pasti hadiah-hadiah yang berharga semuanya.

            Harry hanya memandang tanpa rasa berminat untuk mengambil tahu tentang hadiah itu. Ketika itu juga telefon bimbitnya berbunyi. Harry melihat nama di skrin telefonnya adalah nombor yang tidak dikenali. Namun, Harry menjawab juga panggilan itu.

            “Tuan muda... boleh kita berjumpa?”

            Harry terkejut mendengar suara di talian. Setelah beberapa ketika Harry memutuskan talian itu. Dia kelihatan bergegas untuk keluar dari rumah.

            “Tam sediakan kereta.” Arah Harry. Tam mengangguk lalu keluar untuk mengambil kenderaan di garaj.

            “Awak nak pergi mana?” Aku sempat bertanya sebelum Harry melangkah keluar.

            “Aku keluar sekejap aje. Take care.” Kata Harry. Sempat dia menyentuh kepala aku dengan lembut.            

**********

            MALAM itu menjelma juga. Aku berdandan dengan sederhana. Walaupun Hanna ingin membantu aku berdandan tetapi aku menolaknya. Aku bukannya siapa-siapa pun. Aku tidak mahu dikatakan berlebihan pula. Malah, aku lebih selesa jika menjadi pelayan bersama Hanna untuk melayan tetamu yang hadir. Tetapi niat aku itu dibantah keras oleh Hanna. Katanya, arwah Sir Adam pernah berwasiat supaya melayan aku seperti cucunya sendiri. Bagitu sekalikah? Aku benar-benar terharu sehingga sebak hatiku mendengar pengakuan dari Hanna itu.

            Harry sungguh segak bergaya pada malam itu. Dia turun dari biliknya dan menghampiri tetamu yang baru hadir. Ramai juga orang-orang ternama yang hadir, muka-muka yang pernah keluar TV seperti rakan-rakan atlet dan sebagainya. Aku mula rasa diriku kerdil apabila berada dalam situasi seperti ini. Apabila melihat Hanna yang membawa dulang minuman kepada tetamu aku juga ingin membantu. Aku pergi ke dapur yang dipenuhi chef jemputan untuk mengambil minuman ataupun apa-apa sahaja yang boleh disedarkan kepada tetamu.

            Aku membawa dulang berisi jus untuk diedarkan kepada tetamu yang mula memenuhi ruang tamu Villa Taylor yang dihias untuk majlis ini. Wajah aku sangat ceria menjadi pelayan, sememangnya kerja seperti ini lebih baik dari aku termenung sorang diri sehingga mati kutu.

            “Cik Aya! Kenapa....” Hanna menghampiri aku dengan wajah terkejut. Dia tidak menyangka aku tetap berdegil untuk menjadi pelayan.

            “Hanna, saya okey aje ni. Jangan risau ya!” Aku tersengih manja. Memujuk Hanna.

            Hanna mengeluh kecil melihat kesungguhan aku. Dia akhirnya akur. Aku tersenyum gembira untuk meredakan keresahan hati Hanna.

            “Aya...” Tiba-tiba aku di sapa. Mujurlah aku tidak melatah atau lebih parah menjatuhkan dulang yang dipegang sebelah tangan itu.

            “Abang Is!” Aku terlopong melihat abangku di depan mata. Dia juga dijemput?

            “Aya jadi pelayan ke?” Soalnya lagi.

            “Er... tak! Er... Aya yang offer diri.” Kataku tergagap-gagap.

            Abang Is merenung aku seperti ada perkara yang tidak disenanginya. Tetapi dia tidak boleh berkata apa kerana ramai orang semakin memenuhi ruang rumah agam yang besar itu.

            “Emm, abang pergi jumpa Harry dulu. Aya, please take care.” Nasihatnya sebelum bergerak pergi. Aku mengangguk perlahan.

            Dulang yang aku bawa sudah kosong dan aku berkira untuk kembali ke dapur tetapi mataku tertumpu ke pintu utama. Ray, Sam dan Sallyna berjalan beriringan memasuki pintu utama menyebabkan aku terpaku di situ. Mereka baru pulang dari Phuket dan terus datang ke sini?

            “Hai, Aya!” Sam melambai dari jauh. Ray yang melihat aku hanya tersenyum tawar. Sallyna pula hanya menggariskan senyuman nipis. Dadaku mula berdebar lagi. Entah kenapa semangat aku pasti melayang apabila berhadapan dengan mereka ini.

            “Jadi, Aya dan Harry cepat-cepat nak balik sebab birthday party ni ke?” Soal Sam apabila sudah berdiri di depan aku.

            “Tak, saya tak tahu pun. Surprise party agaknya.” Kataku yang semakin canggung.

            “Harry tak pernah buat party. Kita orang terkejut juga bila dapat jemputan. Sampai aje KL terus datang sini.” Sambung Sam.

            “Well... kenapa awak pegang dulang? Aya jadi pelayan ke?” Soal Sallyna. Dia tersenyum sedikit sinis.

            “Takkanlah! Tak mungkin bakal madam baru rumah ni nak jadi pelayan.” Balas Sam dengan bergurau. Dia tersengih kepadaku.

            Ray berdehem beberapa kali. “That’s not a problem. Aya memang seorang yang rajin. I tak nampak apa yang ganjil.”

            Aku mengangguk perlahan. “Saya sukarela nak jadi pelayan.” Balasku perlahan.

            “Kalau macam tu, tolong ambilkan saya minuman. Saya memang dahaga.” Kata Sallyna. Wajah Sam dan Ray berubah tanda mereka tidak menyenangi cara Sallyna melayan aku.

            “Tak ada masalah. Saya akan ambilkan.” Aku akur.

            “Aya. Tunggu dulu.” Ray menghalang aku dengan memegang lenganku erat.

            Sam semakin hairan melihat situasi di depan matanya itu.

            “Biar orang lain aje ambilkan minuman untuk kita orang.” Sambung Ray dengan serius. Sallyna pula berdengus dengan sinis. Dia terus melangkah tanpa memperdulikan kami. Dia menuju ke arah Harry.

             “Saya pergi letak hadiah dulu.” Katanya Sam seraya berlalu pergi.

            Kini tinggal aku bersama Ray. Dulang masih ditangan aku dan tangan Ray masih dilenganku. Ray cepat-cepat melepaskan lenganku apabila orang mula menyedari keadaan kami berdua seperti itu.

            “Saya minta maaf.” ucap Ray.

            “Terima kasih,” balasku dengan perlahan diikuti dengan segaris senyuman. “Terima kasih kerana selalu mempertahankan saya.” Luahku sepenuh hati.

            “Saya tidak rela melihat Aya disakiti.” Balas Ray. Wajahnya sudah tidak seceria dulu.

            “Boleh kita bercakap di luar?” Pinta Ray.

            Aku mengangguk perlahan. Dulang yang masih berada di tangan aku serahkan kepada seorang pelayan lain yang kebetulan berdiri berhampiran dengan aku. Aku berjalan bersama Ray menuju ke pintu kaca dan keluar ke kolam renang.

            “Nampaknya, Aya sudah memilih Harry.” Ujar Ray dalam nada bergetar.

            Hati aku seperti ditumbuk dengan halu. Ini kerana aku terasa sungguh bersalah ketika berada dalam situasi seperti ini.

            “Kalau diikutkan hati saya. Saya tak boleh memilih sesiapa pun. Saya tak layak untuk dipilih apatah lagi memilih. Tuan Muda Rayyan, senior adalah lelaki yang paling baik pernah saya jumpa. Lelaki yang selalu membantu saya sejak dulu sehingga sekarang. Tetapi di sisi senior sekarang ada Cik Sallyna. Bukan mudah untuk senior menyelesaikan hal dengan Cik Sallyna. Saya juga pasti akan dituduh macam-macam jika bersama senior. Saya juga pasti ditolak oleh keluarga senior. Tuan Muda Harry, Walau sebanyak mana saya mencintainya saya juga tidak mungkin akan mendapat restu dari keluarganya. Saya tak ada tempat di mana-mana pun antara senior dan Harry. Saya hanya berserah kepada Tuhan, dia yang memegang takdir saya. Seandainya suatu masa, saya boleh keluar dari kemelut ini saya pasti akan keluar...”

            Aku meluahkan apa yang terbuku di hati dengan sekali nafas sahaja. Ray kelihatan tergamam apabila mendengar pengakuan dariku. Air mata aku juga tidak mengalir walau setitis. Aku memang sudahpun bersedia meluahkan apa yang terbuku di hati kepada lelaki budiman di sebelahku ini.

            “Hati saya luluh mendengar kata-kata Aya. Janganlah berkata seperti itu Aya, saya tidak sanggup mendengarnya.”

            “Cinta sahaja tidak mencukupi Senior Ray, hidup kita penuh dengan aturan. Saya hanya bab kecil dalam kamus hidup senior dan Harry. Suatu masa, saya pasti dilupakan apabila sudah ada bab-bab yang baru dalam hidup senior dan Harry.”

            “Aya, kenapa Aya cakap macam ni?” Soal Ray dengan resah.

            “Senior jangan risau. Saya pasti akan hidup baik-baik. InsyaAllah.” Aku tersenyum panjang. Menyimpan sesuatu yang dipendam sejak lama.

            “Saya dan Sallyna akan berpisah. Saya akan umumkan perpisahan kami secara rasmi. Aya bersabarlah. Saya akan bawa Aya pergi jauh dari sini. Kita akan mulakan hidup baru. Percayalah kepada saya.” Kata Ray dengan sungguh-sungguh. Matanya juga kelihatan bergenang.

            Aku tersenyum lagi. “Saya juga setuju jika senior dan Cik Sallyna berpisah. Tidak guna jika jasad bersatu tapi hati masing-masing terpisah. Saya benar-benar ingin lihat senior bahagia walaupun bukan dengan Cik Sallyna ataupun saya.”

            “Aya...” Suara Ray bergetar.

            “Maafkan saya senior.” Aku mengenggam tangannya dengan erat. “Saya tak mungkin temui lelaki sebaik senior lagi seumur hidup ni. Senior berhak hidup bahagia, malah lebih bahagia dari saya. Janganlah berputus asa untuk mencari cinta yang sebenar untuk senior, saya pasti ada yang lebih baik dari saya.”

            “Aya... saya... terlalu cintakan Aya.” Air mata Ray berguguran laju. Aku sebak melihatnya. Tetapi aku tetap bertahan untuk menjaga kekuatan semangatku yang boleh lenyap bila-bila masa.

            “Saya ucapkan terima kasih.” Ujarku dengan suara yang sudah tenggelam timbul.

            Ray menggelengkan kepalanya. “Saya tak akan berputus asa, saya akan buktikan saya boleh bahagiakan Aya.”

            “Saya minta maaf senior. Lebih baik kita masuk dulu. Nanti orang cari saya pula.” ujarku perlahan. Kaki aku melangkah dahulu meninggalkan Ray.

            “Datanglah kepada saya kalau Aya fikir tiada tempat untuk pergi...”

            Aku hanya mengangguk walaupun sudah membelakanginya. Ketika itulah air mata aku gugur satu persatu. Aku tidak menipu diriku sendiri. Bohonglah jika hati wanita tidak pernah tersentuh dengan lelaki seperti Ray. Aku juga pernah tersentuh, tetapi entah kenapa hatiku sudah berlabuh kepada orang lain. Walaupun, hakikatnya hatiku berlabuh pada tempat yang salah!

*********

            “Harry...” Sallyna menghampiri Harry yang sedang bercakap dengan tetamu jemputan.

            Harry melihat Sallyna menghampirinya, dia terus meminta diri dari tetamunya itu.

            “Boleh kita bercakap?” Pinta Sallyna.

            “I tak boleh tinggalkan majlis. Kita bercakap di sini aje.” kata Harry.

            Sallyna sedikit kecewa. Tetapi dia berusaha untuk memujuk Harry. “Sekejap aje. Boleh kita ke taman? Tempat kita selalu bermain waktu kecil dulu?”

            Melihat kesungguhan Sallyna, Harry mengalah. Mereka berdua beriringan keluar dari ruang majlis itu berlangsung.

            “Kat sini dulu tak secantik ini. Kita selalu berlari-lari di sini selepas bermain piano bersama-sama. You masih ingat?” Kata Sallyna.

            Harry hanya terdiam. Dia juga masih teringat peristiwa zaman-zaman kanak-kanaknya bersama Sallyna.

            “Sally. Apa yang you nak cakap?”

            Sallyna memeluk tubuhnya sendiri. Kedinginan agin malam sedikit membuatkannya kesejukan. Tetapi dia masih selesa apabila Harry berada di sisi.

            “I dengan Ray sudah putuskan untuk umumkan perpisahan kami. Tak ada gunanya lagi kami teruskan hubungan yang sia-sia ini.”

            Harry kelihatan tidak terkejut. “Kalau itu yang terbaik. I sentiasa sokong keputusan you all.”

            “Harry... kenapa you pilih Aya?”

            Kali ini barulah Harry sedikit tersentak mendengar soalan dari Sallyna.

            “I tak cukup baik untuk you ke? Kenapa sejak dulu you tak pilih I? Kalau tidak I tak perlu bertunang dengan Ray. Dan you juga tak perlu berpura-pura bercinta dengan Aya!”

            “I tak pernah berpura-pura!” Tegas Harry. Matanya merenung tepat ke arah Sallyna.

            “What do you mean?!”

            “Memang aku meminta Aya menyamar menjadi kekasih aku demi mengelak diri dari kau, Sally. Tapi sebenarnya aku memang sudah tertarik dengan Aya sejak pertama kali aku  jumpa dia.”

            “Bohong! You baru kenal dia masa tu. Tak sampai beberapa hari dan you terus umumkan bercinta dengan dia. Sedangkan masa tu I yakin you masih sukakan I. You yang lemah sebab tak nak mengakui perasaan sebenar kat I. Apa yang you takut sangat dengan perancangan keluarga I?!”

            “Kau dah silap Sallyna, pertama kali I melihat Aya bukan di sekolah itu.”

            Sallyna bertambah terkejut. Dahinya berkerut. “I tak faham.”

            “Selepas mama aku berpindah ke Jepun. Kau dan mama kau tidak lagi datang ke rumah aku. Masa itu aku memang rasa keseorangan dan aku akui memang aku sedih bila dapat tahu perancangan keluarga kau dan Ray. Tapi, setiap kali aku balik dari sekolah... aku akan ternampak seorang budak perempuan yang selalu menunggu ayah dia di pintu pagar rumah ni. Dia sangat ceria setiap kali nampak ayah dia datang jumpa dia di pintu pagar itu. Disebabkan kereta yang aku naiki bercermin gelap, dia tidak pernah perasan aku selalu pandang dia dari dalam kereta sebelum gate dibuka. Tetapi, bila aku sudah masuk asrama aku tidak berjumpa dengan dia lagi. Sebab itulah... bila aku lihat dia buat pertama kali secara berdepan, aku benar-benar jatuh hati kepadanya.”

            Sallyna tergamam sambil menggeleng kepalanya. “Tak mungkin!”

            “Ya. Budak perempuan itu adalah Aya. Dia tidak pernah tahu hal ni. Sebab itu dia selalu fikir aku hanya mempergunakannya. Aku tidak boleh memberitahu perasaan aku yang sebenar kepada dia. Kerana dia pasti meninggalkan aku. Bagi Aya, dia tidak pernah layak berdamping dengan orang seperti kita. Jadi, aku ada cara aku sendiri untuk memastikan dia sentiasa berada di sisi aku. Aku tidak berpura-pura Sallyna... perasaan aku kepada kau sudah lama terhakis. Aku benar-benar mencintai wanita yang bernama Marhaya. Janganlah kau buat dia melarikan diri dari aku sebab aku tak akan memaafkan kau kalau perkara itu berlaku.”

            Sallyna terus menangis mendengar pengakuan Harry. “You tipu! I tak percaya. Kenapa you ambil berat masa I cuba bunuh diri dulu?!”

            “Sebab aku tak nak kehilangan seorang kawan!” Tegas Harry. Sallyna semakin kuat menangis.

            “Kenapa Harry...”

            “Aku fikir cukuplah setakat ni...” Harry terus berjalan meninggalkan Sallyna yang masih menangis teresak-esak.

            Aku dapat merasakan getaran di dadaku semakin kuat. Ketika Harry melalui pintu masuk aku terus menghimpit di dinding. Apakah benar apa yang aku dengar dari mulut Harry sebentar tadi? Kenapa? Kenapa Harry tidak pernah bercerita tentang itu kepada aku?

            “Awak...” Pangilku perlahan dan hanya telinga aku sahaja yang mampu mendengarnya. Harry terus berjalan tanpa menyedari kehadiranku di situ. Air mata terharu gugur di pipiku.    

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience