BAB 16

Fantasy Completed 10501

Ariana mengerutkan dahinya. Suara yang menyerunya berhenti begitu sahaja. Ariana menekan lengan kirinya yang luka menggunakan tangan kanannya. Menyeringai wajahnya menahan kesakitan.

Puteri bertujuh cantik rupawan

Sayang hati dihasut syaitan

Jiwa si ibu dirasuk rawan

Melihat puteri-puterinya tersesat jalan

Nyawa manusia menjadi korban

Puteri sulung kunci kemenangan

Ariana berpaling mendengarkan suara syahdu seseorang mengalunkan syair. Dia kenal suara itu. Bulat matanya memandang kehadiran Ratna Seri Dewi dan Sari beberapa meter dari tempat mereka bertempur. Ariana berpaling semula saat dia mendengar jeritan Saifullah. Puteri tadi sudah mencengkam batang leher Saifullah. Kuatnya dia hingga tubuh sasa Saifullah terawang-awang tanpa menjejak bumi. Saat itu juga Sari berlari menghulurkan bantuan. Serangan Sari membuatkan puteri tadi mencampak tubuh Saifullah. Tubuh sasa itu tercampak ke arah Ariana dan kesan dari rempuhan itu membuatkan tubuh kecilnya pula tercampak ke dalam sungai.

Ariana membuka matanya. Sejuk yang dirasakan menggigit hingga ke tulang hitam. Dia cuba berenang ke permukaan, namun tiba-tiba tubuhnya ditarik pusaran air yang kuat. Dia tidak mampu melawan. Dia meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang pantas dengan harapan dia berjaya naik ke permukaan. Dia dapat rasakan dadanya semakin sesak tanpa udara.

Keadaan itu seketika cuma. Dia seperti mendengar suara ramai-ramai mendoakan dia. Waktu itu dia merasakan dadanya tidak lagi sesak. Dia berhenti meronta. Matanya tertancap pada sesuatu yang berkilau di dasar sungai. Pusaran air itu berhenti mendadak. Ariana menyelam lebih dalam. Barang yang berkilau tadi dicapai dan dibelek. Keris? Keris berwarna putih. Ketika itu kotak ingatannya tentang keris hitam yang digunakan salah seorang puteri tadi terbuka. ‘Hitam lawannya putih!’ Hatinya terdetik. Dia berenang ke permukaan. Dengan payahnya dia memanjat ke tebing. Namun, ada sesuatu yang terlintas difikirannya. Lukanya masih berdarah, tetapi sakitnya tidak seteruk tadi. Tangannya yang memegang keris itu dibelek. Dari mana datangnya tenaga yang dia rasakan kini?

“Ariana!” Jeritan Sari menyedarkan Ariana. Gadis itu tidak menunggu lama untuk menghulurkan bantuannya pada Sari. Kerjasama mereka sangat sempurna tetapi kekuatan puteri itu sukar ditewaskan.

Tuk Pujangga membuka matanya. Dia dapat mengesan kehadiran keris putih di tangan Ariana. Dia tersenyum penuh makna. Seketika dia bangkit dari duduknya. Telapak tangannya menghala ke arah Ariana, Sari dan Puteri tadi. Tiba-tiba akar-akar kayu keluar dari tanah. Akar-akar itu kelihatan hidup dan menerpa ke arah tujuh-tujuh puteri itu sebelum mengunci pergerakan mereka.

“Sekarang Ariana! Tuk tidak dapat bertahan lama!” Arah Tuk Pujangga. Ariana mengangguk sekali. Namun belum sempat dia menghunus keris putih itu ke arah lawannya, keris hitam milik puteri tadi terbang sendiri menikam belakangnya. Ariana menyeringai kesakitan. Rasa menyengat di belakang membuat dia hampir putus nafas. Matanya mula berpinar. Tak boleh! Dia harus kuat! Ini sahaja peluang yang tinggal… Tapi kakinya terasa berat mahu melangkah. Dia menangkap suara kuat mentertawakannya.

Ariana, jangan kalah. Allah ada bersamamu. Jangan jadi lemah. Sekuat tenaga yang tinggal, Ariana melempar keris itu dengan laungan Takbir dan aneh sekali kerana laungan takbir itu juga dilaungkan bukan hanya suaranya tetapi ramai. Keris itu tepat terpacak di dada kiri puteri itu. Nyaring raungannya sebelum akhirnya dia longlai. Ariana memandang puteri-puteri yang lain yang juga longlai dalam cengkaman akar itu dengan pandangan hairan.

Tubuh ketujuh-tujuh puteri itu mengeluarkan wap berwarna hitam. Tuk Pujangga mendekat lalu membacakan sesuatu. Akar-akar itu bergerak perlahan membawa jasad-jasad itu ke dalam bumi. Segalanya telah selesai….

Ariana rebah. Kakinya tidak mampu menanggung berat badannya. Sari memapahnya bangun. Sempat Ariana melihat sekilas Ratna Seri Dewi yang berwajah duka. Kain batik yang menutupi kepala Ratna Seri Dewi di tarik perlahan menutupi wajahnya. Mungkin mahu menyembunyikan air matanya. Tubuh itu berpaling sebelum menghilang dari situ. Ariana cuba memanggil tapi dia tidak berdaya. Akhirnya dia longlai begitu sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience