Bab 12

Drama Completed 20250

Keesokannya Mama menjemputku pulang. Dia tiba lebihkurang jam 11 pagi. Dia bersendirian tidak ditemani Aina sepertimana selalu. Aku cepat-cepat memeluk Mama. Aku rindu. Beg pakaian dan semua barang aku masukkan dalam kereta. Tidak banyak kerana aku sudah membawa pulang ke rumah sedikit demi sedikit. Dua beg pakaian, satu baldi kecil berisi toiletries dan satu raga plastik mengandungi nota-nota dan buku. Beg non-woven cantik berwarna ungu dengan riben besar bercorak polka dot, aku pegang di tangan. Itu hadiah pemberian Radzi.

Kami bertukar-tukar hadiah secara mencabut nama dalam balang. Nama orang yang dicabut akan bertukar cenderahati dengan si pencabut. Semalam aku mencabut dan entah kenapa nama yang aku dapat ialah Muhammad Radzi bin Asri. Bersorak rakan-rakan dan guru, bagai mahu tercabut khemah yurt. Hanya kebetulan.

“Eh! Apa ni?” Cikgu Mutallib mula riuh.

“Yelah. Macam ada jodoh pulak. Begitu ramai orang lain, nama Abang Radzi juga yang dicabutnya..” Hairul Rizal mengusik, memerahkan pipiku. Kami bertukar hadiah. Namun aku enggan membuka hadiahnya. Di rumah nanti, aku akan membuka. Dia sebaliknya. Terus membuka kotak yang aku serahkan kepadanya.

T shirt berwarna hitam. Di hadapannya ada nombor besar 27101998 yang ditulis seperti barcode. Di belakang ada tertulis Aina 17. Aku menempah khas tulisan pada t-shirt itu. Sulaman khas yang eksklusif, dengan warna kuning dilapisi oren. Radzi menayangkan t-shirt itu kepada semua. Bangga barangkali. Bersorak lagi sekali rakan-rakan setingkatan.

“Malam ni pakai. Nanti tentu mimpi naik ke bintang…” Usikan Cikgu Fadhil membuatkan ketawa kami terus gamat.

“Alia mana Mama?” Aku rindu yang teramat sangat pada adikku. Kenapa agaknya dia tidak mengikut Mama? Takkan masih merajuk? Ataupun, entah-entah Mama memang dari pejabat? Dia tidak sempat pulang ke rumah menjemput Alia.

“Ada..” Mama tersenyum namun matanya nampak bersedih. Kenapa agaknya? Aku pula, terlalu gembira. Macam-macam aku ceritakan pada Mama. Tentang soalan SPM, tentang majlis semalam dan tentang Radzi. Sayang sekali Mama seperti melayang fikirannya. Dia memandu tenang, tidak laju seperti selalu. Entah-entah, semua yang aku ceritakan, satupun tidak masuk ke mindanya. Mama tidak kelihatan seperti biasa.

“Boleh tak Mama?” Aku kurang sabar menanti jawapan. Tadi aku bercerita tentang Radzi dan memaklumkan, Radzi akan datang ke rumah cuti ini untuk berkenalan dengan ahli keluarga. Apakah Mama akan mengizinkan dia datang?

“Boleh apanya?” Sah. Satupun tidak didengarnya. Tidak mengapa. Nanti aku akan bertanyakan Walid.
“Kita singgah sini kejap.” Di hadapan Masjid Al Bukhori, Mama membuat pusingan U.

“Kita nak cari barang-barang rumah di Giant ke?” Bagus juga. Aku mahu membeli potongan daging biri-biri. Tentu sedap jika dibakar sesudah diperap beberapa jam dengan sos barbeku. Mama tidak menjawab, sekadar tersenyum melihat keterujaan aku.

“Jom turun…” Mama sudah mematikan enjin kereta. Ini bukan tempat parking Giant. Ini kawasan tanah perkuburan bersebelahan Masjid Al Bukhori. Tempat ini istimewa. Ia tenang, lapang dan lot-lot kubur tersusun rapi, sayup dan sayu mata memandang. Maklumlah, kubur. Destinasi terakhir manusia kerdil seperti kita semua. Aku patuh, mengekori Mama. Dia berhenti di salah satu kubur kecil. Tanahnya masih merah dan tinggi, tanda ia kubur baru. Aku mula gugup. Kubur kecil? Kubur budak? Alia tidak ada. Semua fakta itu menjurus kepada satu kesimpulan. Entah-entah…Ayat itu tidak terkeluar. Ada sesuatu yang tersangkut di kerongkong.

“Ku..Kubur siapa ni Mama?” Suaraku antara keluar dan tidak. Mama menitiskan airmata. Segala-gala mula nampak jelas. Kenduri arwah yang disebut Mama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience